Thursday, 8 May 2008

INSAFLAH WAHAI DIRI




Wahai diri
yang masih tak sedar diri
berlagak seperti bidadari
ke mana mahu pergi.?
iman semakin lari
maksiat pula datang ke mari
amal yg dulu kononnya b'lori-lori
kini simpan dalam almari
yang baik-baik semua dah dicuri
nafsu pula semakin berseri
dengan layanan yang diberi
tak cukup dengan tari-menari
banyak lagi yang tak terperi
dari hari ke hari
kehidupan yang dilayari
menjadi kian ngeri
wahai diri
yang masih tak sedar diri
malaikat di kanan dan kiri
tak perlu nak dicari
tolonglah berdikari
dengan ilmu yang terpateri
jangan nanti suatu hari
baru nak gigit jari
atau bila tangan dah digari
baru nak sedar diri.....

3.59 p.m.
05/05/2008

Read more...

Thursday, 1 May 2008

Ya Rasulallah…

• Apabila kamu berasa malu, ingatlah malunya Rasulullah di
Ta'if.
• Apabila kamu berasa lapar, ingatlah Rasulullah pernah mengikat 2
batu di perut Baginda.
• Apabila kamu berasa marah, ingatlah Rasulullah mengawal
kemarahan Baginda ketika kehilangan bapa saudara tercinta, Hamzah..
• Apabila kehilangan sebatang gigi, ingatlah gigi-gigi
Rasulullah dalam peperangan Uhud.
• Apabila mengalami pendarahan di mana-mana bahagian tubuh,
ingatlah tubuh Rasulullah bermandi darah ketika pulang dari Ta'if.
• Apabila kamu kesunyian, ingatlah kesunyian Rasulullah di Gua
Hira'.
• Apabila kamu letih mengerjakan solat, ingatlah kaki Rasulullah
ketika bertahajjud.
• Apabila kamu tertusuk duri, ingatlah kesakitan Rasulullah
akibat perbuatan isteri Abu Lahab.
• Apabila diganggu oleh jiran, ingatlah perempuan tua yang
membuang sampah ke atas Rasulullah.
• Apabila kematian anak, ingatlah putera Rasulullah, Ibrahim.
• Apabila memulakan perjalanan yang jauh, ingatlah perjalanan
Rasulullah ke Madinah.
• Apabila kamu mahu membantah satu sunnah, ingatlah Rasulullah
mengucapkan, Ummati, Ummati, Ummati (Ummatku, Ummatku, Ummatku).
• Apabila mengorbankan seekor haiwan, ingatlah Rasulullah
mengorbankan 63 ekor haiwan untuk umatnya.
• Sebelum mencukur kepalamu, ingatlah wajah Rasulullah ketika
membantah 2 orang Parsi yang botak.
• Apabila bertengkar dengan isterimu, ingatlah pertemuan
Rasulullah dengan Aisha dan Hafsa.
• Apabila makanan kurang di rumahmu, ingatlah hari-hari
kebuluran Rasulullah.
• Apabila kamu kebuluran, ingatlah nasihat Rasulullah kepada
Ashaab-e-Suffa (Ahli Suffa).
• Apabila kehilangan anggota keluarga, ingatlah pemergian
Rasulullah dari dunia ini.
• Apabila kamu menjadi yatim-piatu, ingatlah Rasulullah ketika
6 tahun.
• Apabila kamu membela seorang yatim, ingatlah Rasulullah
membela Zaid ibn Haritha.
• Apabila kamu gentar akan musuh, ingatlah kata-kata
Rasulullah kepada Abu Bakr di Gua Thour .
• Apa sahaja situasi yang kamu hadapi, ingatlah idola mu,
ciptaan terbaik: Nabi Muhammad.
• Apa sahaja yang kamu lakukan, ingatlah bahawa amalanmu akan
di hamparkan di depan Rasulullah. Adakah kamu menggembirakannya atau
sebaliknya?

Wallahua'lam...

Diterjemah dari sumber asal: http://www.inter-islam.org/

Read more...

Kepentingan Meneliti Sumber Ilmu

Sudah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat kita pada hari ini, menyebar sebarang berita atau riwayat berunsur Islamik tanpa mengambil kira sumber bahan itu diperoleh. Bahan-bahan ini sesetengahnya, jika diteliti dengan baik, hanyalah satu kisah rekaan yang jelas tiada asas dalam agama Islam. Kecenderungan ni sebenarnya dipengaruhi oleh keghairahan untuk berkongsi bahan-bahan yang kononnya berunsur Islamik.

Perkara ini merupakan satu fenomena yang amat mengancam kesucian Islam itu sendiri. Kerana kisah-kisah ini sebenarnya telah mengotori kesucian agama Islam yang setiap sumbernya, yakni Al Quran dan As-Sunnah, dipelihara melalui rangkaian sanad yang bersambung terus kepada Rasulullah, wakil Allah di muka bumi. Kisah-kisah yang sering menjadi pilihan untuk disebarkan sudah tentulah kisah-kisah alam ghaib. Lebih menarik, apabila disertakan dengan kata-kata Allah sebagaimana kisah ini:

Suatu hari seorang bayi siap untuk dilahirkan ke dunia...

Dia bertanya kepada Tuhan : " Para malaikat disini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya kedunia, tetapi bagaimana cara saya hidup disana; saya begitu kecil dan lemah ?"

Dan Tuhan menjawab: "Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Ia akan menjaga dan mengasihimu ."

Bayi bertanya lagi: "Tetapi disini; didalam syurga ini, apa yang saya
lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa...Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia."

"Malaikatmu akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia"


Menarik, bukan? Sebuah riwayat yang menceritakan perihal manusia sebelum dibangkitkan ke muka bumi. Tapi, bagaimanakah kisah ini sampai ke pengetahuan manusia? Siapakah yang meriwayatkannya? Jika diteliti, tiada sebarang dalil Al-Quran mahupun As-Sunnah bagi menyokong kisah ini. Kisah ini tidak lain hanyalah sebuah rekaan, yang dicipta bagi memesongkan akidah umat Islam. Bukankah kanak-kanak kecil bermain-main dalam taman Syurga itu merupakan budaya dalam agama Kristian? Firman Allah,

Maka tidak ada Yang lebih zalim daripada orang Yang berdusta terhadap Allah atau Yang mendustakan ayat-ayatNya. orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari apa Yang telah tersurat (bagi mereka), (Al A’raf 7:37)

Kisah-kisah seperti ini, tidak ada kebaikannya untuk disebarkan kepada khalayak umum. Dan sepatutnya, sumber kisah ini diperoleh terlebih dahulu sebelum disebarkan. Lupakah kita bagaimana ulamak-ulamak dahulu begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis? Ulamak terdahulu tidak menerima bulat-bulat sebarang kisah atau riwayat yang berunsur Islamik walaupun dari sudut akalnya betul, tetapi jka sumbernya salah, maka riwayat itu akan ditolak. Para ulama sepakat mengatakan tidak harus dijadikan sebagai hujah bagi menyabitkan sesuatu, sebab ia tersenarai di dalam kategori “Muhdathat” atau perkara baru yang diada-adakan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,

"Adapun sesudah itu, maka sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah Kitab Allah (al-Quran), dan petunjuk yang paling mulia lagi utama (selepas al-Quran) adalah petunjuk Muhammad (s.a.w.), sementara itu perkara yang paling jahat ialah sesuatu yang diada-adakan . (Ingat) setiap perkara yang diada-adakan itu adalah sesat, dan tiap-tiap kesesatan itu (pasti dihumban) ke dalam neraka."
[hadis riwayat Muslim daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhu]

Kerana itulah kita sepatutnya bersikap lebih berhati-hati dalam menyebarkan kisah seperti ini. Pahala yang dicari, namun dosa yang diperoleh. Kisah-kisah seperti penciptaan dunia, penciptaan malaikat, syaitan dan manusia, sering berlegar di kalangan masyarakat, tanpa dijelaskan asal kisah tersebut. Lebih teruk, apabila disertakan juga firman Allah, tanpa dinyatakan Hadis Qudsi atau ayat Al-Quran di mana firman itu diperoleh. Bukankah firman itu wahyu? Siapakah penulis ini yang mengetahui kata-kata Allah tanpa merujuk kepada Al-Quran dan Hadis? Firman Allah,

Dan Sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan Yang benar, sedang mereka menyangka Bahawa mereka orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk. (Az-Zukhruf 43:37)

Begitu juga dengan kisah para wali. Kita selalu ghairah menceritakan perihal wali ini dan wali itu terbang ke sana ke mari. Untuk apakah diceritakan semua ini dengan berlebihan? Kenapakah kita terlalu mendedahkan masyarakat dengan definisi yang salah mengenai karomah? Jika kita bertanya kepada anggota masyarakat mengenai karomah, sudah tentu mereka cenderung menjawab tentang kebolehan untuk terbang, solat di air dan sebagainya.

Adakah karomah itu sekadar ini sahaja? Sudah lupakah kita dengan kisah ulamak-ulamak muktabar? Imam Syafi’e, Imam Malik, Imam Nawawi, contohnya, tidak pernah kedengaran kisah mereka terbang, tetapi, karomah yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka jauh lebih hebat dari terbang. Karomah apa? Karomah akal yang hebat. Allah mengurniakan mereka akal yang hebat bagi membolehkan mereka mengarang kitab muktabar yang menjadi panduan umat zaman-berzaman. Kenapa karomah seperti ini tidak dihighlightkan dalam penulisan?

Sudah sampai masanya bagi kita, menilai semula kesahihan kisah-kisah yang kita baca. Zaman ini teknologi sudah hebat, dan kita boleh bertanya kepada ulamak yang berada beribu-ribu kilometer jauhnya dari rumah kita dalam masa yang singkat. Oleh itu, bertanyalah dahulu kepada para alim ulamak, kerana sesungguhnya ulamak itulah pewaris para nabi, yang meneruskan usaha para anbiya’, berusaha mengeluarkan manusia dari kegelapan kejahilan. Firman Allah,

..oleh itu Bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui. (An-Nahl 16:43)

Sebelum menyebar sesuatu perkara, seseorang itu perlu melakukan beberapa perkara berikut:
• Mengesahkan kesahihan perkara tersebut di sisi syarak dengan ilmu nya yang sahih.
• Jika tidak mampu, bertanya kepada orang yang lebih tahu.
• Jika masih tidak mampu, wajib berdiam diri dari menyebarkan berita yang tidak sahih.

Abdulullah Ibn Mubarak pernah menyebut:
الاسناد من الدين ، ولولا الاسناد لقال من شاء ما شاء

"Isnad itu sebahagian dari agama. Jika tidak ada isnad maka orang akan berkata sesuka hatinya".



Wallahua’lam

Read more...

Aneh..Manusia Berbalah Dengan Diri Sendiri

Menjadi lumrah kehidupan manusia bahawa mereka akan bertelingkah dan menyalahkan sesama sendiri. Namun begitu, terdetikkah di hati kita bahawa pada suatu hari nanti, manusia akan bertelingkah dan menyalahkan batang tubuh mereka sendiri?
Suadah tentu kenyataan ini nampak aneh bunyinya. Akan tetapi tanpa kita sedari,terdapat beberapa firman Allah swt dan hadis baginda saw yang menyatakan hal ini.

Firman Allah; “Pada hari ini(hari kiamat),kami tutup mulut mereka dan kami izinkan kedua-dua tangan mereka dan kaki mereka akan menjadi saksi terhadap apa yang mereka lakukan.”(Yasin:65)

Manakala di dalam surah an Nur, Allah berfirman; “Pada hari(ketika) lidah, kedua-dua tangan mereka dan kaki-kaki mereka menjadi saksi ke atas setiap yang mereka lakukan.”(an Nur:24)

Kedua-dua ayat di atas merupakan bukti perbicaraan agung yang akan diadakan di Mahkamah Tinggi Akhirat yang akan dihakimi oleh Allah Rabbul Jalil. Hakim yang maha adil. Tiada terkecuali dari pengetahuan-Nya walau sekerdip dari pandangan mata. Pada hari itu juga, semua anggota yang ada pada tubuh badan mereka seperti tangan, kaki dan mulut mereka menjadi saksi atas semua perlakuan mereka sewaktu hidup di muka bumi Allah.

Lidah akan memberitahu kepada Allah bahawa tuannya selalu menuturkan ucapan yang kotor,berdusta, mengumpat dan menyebarkan fitnah. Tidak cukup dengan itu, datang pula tangan memberitahu kepada Allah apa yang diperlakukan tuannya dengan nikmat itu. Kemudian kaki mengambil peranan menjadi saksi di hadapan Allah.

Cuba bayangkan apabila semua anggota tubuh kita menjadi saksi di akhirat kelak. Mereka akan mendedahkan semua perbuatan kita di hadapan Allah. Perbicaraan yang menjadi tontonan semua manusia semenjak zaman nabi Adam as. Bayangkan, ibu bapa kita, kawan-kawan kita dan semua orang akan mengetahui semua perbuatan kita. Mungkin di dunia ini, kita masih boleh berdalih dan bersembunyi apabila melakukan sesuatu kejahatan. Namun, pada hari itu tidak ada dalih lagi, semuanya akan didedahkan.

Sahabat sekalian, penulis ingin mengajak semua bermuhasabah sejenak. Sepanjang hidup di dunia ini, apa yang telah kita buat. Lidah, tangan, telinga, kaki dan semua anggota pada tubuh kita. Ingatlah, semua ini akan menjadi saksi kepada kita di akhirat kelak.
Anggota tubuh tidak akan khianat kepada diri sendiri, mereka akan bersikap jujur di hadapan Allah swt. Kejujuran mereka itu hanya akan memberi keuntungan kepada orang yang mengerjakan amal soleh.

Sebaliknya, bagi mereka yang mengerjakan kejahatan, mereka bukan sahaja tidak mendapat manfaat daripada anggota tubuh mereka sendiri. Bahkan mereka akan mendapat balasan azab seksa daripada Allah swt. Tidak timbul soal khianat atau kasihan kepada diri kerana anggota tubuh itu akan bercakap benar walaupun terpaksa memecahkan tembelang di hadapan Allah.

Orang yang merasa malang terhadap pengakuan anggota tubuhnya sendiri hanyalah ahli maksiat yang banyak dosa. Justeru, mereka menyumpah dan mengherdik tubuh mereka sendiri dengan berkata; “Pergi jahanam wahai anggota yang tidak mengenang budi. Aku bekerja keras memerah keringat untuk mendapatkan rezeki untuk memelihara anggota tubuh supaya menjadi segar, sihat dan tidak dihidapi sebarang penyakit. Inikah balasanmu setelah segala kebaikan kulakukan untuk menjagamu?”

Sesungguhnya tiada yang boleh dimarahi melainkan dirinya sendiri.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP