Monday, 7 July 2008

TIGA SEBAB PENCIPTAAN MANUSIA

Umat Islam pada hari ini seolah-olah masih dalam dilema tentang diri mereka sendiri. Lantaran itu ada yangmemilih untuk hidup sendirian bertemankan sehelaisejadah dan tasbih yangdipegang erat. Ada pula yang hidup mereka disibukkan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan melebihi kesibukan yang pernah dialami nabi Sulaiman as. Persoalannya, apa sebenarnya faktor utama terciptanya jasad serba canggih ini?

Sila baca dan renung jawapannya di bawah yang telah saya pindah dalam bentuk penulisan berdasarkan kuliah-kuliah, usrah dan pembacaan yang pernah diikuti.

1-Untuk menunaikan ibadat kepada Allah S.W.T. Firman Allah :
“ Tiadalah Aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan dengan hikmah supaya mereka beribadat kepada-Ku “ ( Surah Az-Zariat :56)

2-Menjadi khalifah dibumi Allah. Firman Allah :
“ Dan apabila berkata Allah kepada para malaikat sesungguhnya Aku akan mencipta khalifah ( manusia ) di muka bumi..” ( Surah Al-Baqarah : 30 )

3-“ Sesungguhnya kami telah membentangkan amanah kepada langit, bumi dan bukit, maka mereka enggan untuk memikulnya dan rasa takut untuk menanggungnya dan manusia telah menerimanya, sesungguhnya (banyak dalam kalangan)manusia itu zalim lagi jahil” ( Surah Al- Ahzab : 72 )

HURAIAN :
Fakta 1
Hakikat sebenar manusia tidak boleh lari daripada pengabdian diri kepada yang maha pencipta . Dari ayat ini jelas membuktikan manusia dijadikan untuk beribadat kepada Allah. Dan telah menjadi kebiasaan, bagi mereka yang mempunyai mentaliti dan persepsi yang negatif tentang ibadat iaitu hanya meletakkan ibadat kepada spesifikasi ibadat khusus semata-mata.
Perkara ini perlu dikikis kerana skop ibadat merangkumi segenap aspek asalkan tidak bertentangan dengan syariat Islam dan bertunjangkan mardhatillah. Dalam ayat ini Allah meletakkan peranan manusia secara jelas.

Adapun yang dimaksudkan dengan ibadat dalam Islam ialah melakukan semua perkara dalam keadaan beribadat kepadanya. Apabila kita melakukan sesuatu, kita hendaklah bertanya kepada diri sendiri sama ada ia bertepatan dengan apa yang telah digariskan oleh Allah. Hal ini demikian kerana semua yang kita lakukan di dunia ini akan ditanya dan dibicarakan semula di Mahkamah Akhirat. Pendek kata, apabila kita bergaul, memimpin, berpolitik, bersukan, menuntut ilmu, berhibur dan apa-apa pun hendaklah selari dengan arahan-Nya.

Firman Allah di dalam surah al Baqarah; “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam dalam keadaan menyerah diri dalam keseluruhan ajarannya, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” Ayat ini mengajar umat Islam supaya tidak mengecualikan diri mereka daripada Islam dalam semua perkara. Hal inilah yang yang dinamakan konsep kesyumulan dalam Islam. Konsep ini merupakan satu kelebihan yang berharga dalam Islam kerana ia tidak wujud dalam mana-mana agama. Namun begitu terdapat ramai manusia yang tidak menyedari hakikat ini, lalu mereka menggadaikannya dengan memilih ideologi dan fahaman dari Barat yang sesat dan menyeleweng.

Untuk mencapai kesempurnaan dan penghayatan maksimum dalam sesuatu ibadat, seseorang muslim itu hendaklah menghayati sabda junjungan mulia yang bermaksud :
“ Kamu beribadat kepada Allah seperti kamu melihatnya,jika kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya dia melihat kamu “ ( Bukhari & Muslim )



Fakta 2
Sebelum tercipta manusia,jin telah lama menghuni dunia. Disebabkan kefasadan yang dilakukan ,Allah telah murka dan menukarkan mereka ke dalam satu alam yang ghaib. Maka Allah telah mencipta satu jenis makhluk (manusia) di bumi bagi memakmurkannya. Para malaikat telah memberi pandangan dan bertanya kepada Allah tentang penciptaan tersebut kerana takut berlaku kerosakan dan perkara ini jelas di buktikan melalui ayat seterusnya itu “berkata malaikat adakah Kamu (Allah) ingin mencipta sesuatu (makhluk) yang akan melakukan kerosakan, sedang kami sentiasa bertasbih dengan kepujian-Mu dan mensucikan-Mu”. Namun Allah Maha Mengetahui perkara-perkara yang tidak diketahui malaikat. Walaupun ada manusia yang membuat kerosakan, namun di sana ada manusia yang diberi petunjuk yang melakukan semua urusan berdasarkan perintah-Nya.

Takrif Khalifah

Menurut Imam al Mawardi dalam kitabnya Ahkam al Sultoniah, khalifah itu ditakrifkan sebagai “ menggalang ganti tugas nabi dalam memelihara agama dan menguruskan dunia dengan agama”. Perlu diingat, peranan ini merupakan pengesahan berharga daripada Pencipta. Oleh itu, semua individu mestilah memahami bahawa di mana sahaja dia berada, dia bertanggungjawab untuk memelihara kesucian agama. Dalam masa yang sama, urusan keduniaan juga hendaklah diurus tadbir berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Ajaran Kristian menafikan ketuanan agama

Hal ini berbeza sekali dengan ajaran agama lain yang mengasingkan urusan kehidupan dengan agama. Sehinggakan timbul kata-kata dari mereka, religion cannot mixture with politic. Dalam ajaran Kristian, Kitab Injil (bukan yang asal) menyebut, “Give to Caesar what is Caesar’s, and to God what is God’s. Terjemahan daripada ayat di atas ialah, “berikan kepada raja apa yang menjadi milik raja dan berikan kepada tuhan apa yang menjadi milik tuhan.”

Ungkapan di atas bermaksud, Tuhan tidak berkuasa dalam urusan kepemimpinan dan pentadbiran atau dengan lain perkataan, kepemimpinan tiada hubungan dengan agama dan mesti dipisahkan. Inilah yang dinamakan sebagai sekularisme iaitu pengasingan agama dalam urusan kehidupan. Kesudahannya, agama diperintah bukannya memerintah.


Fakta 3

Allah S.W.T telah membentangkan amanah kepada langit-langit bumi dan bukit bukau. Namun makhluk-makhluk tersebut enggan memikul amanah yang ditawarkan lantaran takut untuk menanggungnya. Akan tetapi manusia telah menawarkan diri untuk memikul amanah itu. Ulama’ menafsirkan perkataan amanah dalam ayat ke 72 surah Al-Ahzab sebagai amanah dalam urusan keagamaan. Sabda nabi “apabila disia-siakan amanah,maka tunggulah detik kehancuran. Seorang sahabat bertanya. Apakah yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah? Jawab baginda: apabila diberikan sesuatu urusan itu kepada bukan ahlinya maka tunggulah as saah(detik kebinasaan dan kiamat).”

Sabda Nabi lagi: “Tidak sempurna iman orang yang tiada sifat amanah dalam dirinya”.

Di samping itu Allah telah memberi peringatan kepada orang yang beriman supaya mereka tidak mengkhianati amanah.
Firman Allah : “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mangkhianati Allah dan rasul dan jangan kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahui.” ( al-anfal:27 )

Rasulullah saw juga ada bersabda maksudnya: “Tanda munafiq itu ada tiga, apabila ia berkata-kata ia berdusta, apabila ia berjanji ia mengingkarinya dan apabila ia diberikan amanah, ia berlaku khianat akan amanah itu.” Dalam hadis yang lain pula nabi saw menyatakan walaupun orang yang mempunyai sifat-sifat munafik pada dirinya itu menunaikan solat, mengeluarkan zakat dan melakukan perbuatan sebagaimana yang dilazimi muslim lain.

Mengapa nabi saw memberi amaran sekeras itu kepada orang yang mengkhianati amanah? Jawapannya ialah apabila sesuatu amanah itu disia-siakan, maka akibat buruk bukan hanya dihadapinya seorang, malah kepada pihak yang lain juga. Dalam peristiwa israk dan mikraj juga baginda saw telah diperlihatkan keadaan orang yang berani tidak bertempat dalam menunaikan sesuatu amanah sehinggakan apabila ia sudah tidak mampu sekalipun. Hal ini menunjukkan amanah suatu yang sukar ditunaikan tetapi mudah mencari orang yang ingin menanggungnya.(Rujuk kisah Abu Dzar al Ghifari dan Rasulullah)






Dipetik dari artikel panjang: 'Kepimpinan Islam' karangan Marwan bukhari A. Hamid..

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP