Monday, 29 September 2008

Coretan di Penghujung Ramadan


Selamat tinggal Ramadan, kudoakan kitakan bersua lagi satu hari nanti...



“Kalau kita baru balik dari sebuah kursus yang dihantar oleh bos kita, tiba-tiba tak sampai seminggu, dah berubah. Agak-agaknya apa yang akan bos kita cakap? Sudahlah banyak kemudahan yang disediakan sepanjang kursus tu.”


Begitulah petikan daripada belaian seorang murabbi, Ustaz Ridhwan Hasyim yang merupakan salah seorang penasihat Majlis Nuqaba Terengganu (MNT) sewaktu menyampaikan taujihad beliau dalam Multaqa MNT yang diadakan di Rusila, Marang. Hati saya tersentuh mendengar ucapan beliau di hujung Ramadan ini.


Sebelum itu, Saudara Razikin sebagai pengerusi MNT menyatakan: “Kita nak bawa al Quran, nak suruh masyarakat terima al Quran. Persoalannya adakah kita sudah mengikut segala arahan yang datang dari al Quran? Muamalat kita, pergaulan dan kehidupan kita, adakah menepati dengan apa yang diajar al Quran?”


Minda saya mula terbang ke sana-sini. Bukan kerana khayal teringatkan sesiapa, tetapi terbang menziarahi segala tindak-tanduk sebelum ini. Muhasabah diri. Saya berasa sungguh bersyukur dan bertuah kerana masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk berbakti dalam agamanya. Allah sebagai al Ghaniy langsung tidak berhajat kepada insan hina-dina ini, namun saya sedar kefaqiran diri menyebabkan saya bersungguh-sungguh untuk istikamah atas jalan sunyi ini.


Apalah sangat nak diharapkan dengan status diri yang teramat hina, baru setahun jagung berada dalam perjuangan yang sangat panjang dan tinggi cita-citanya ini. Sungguh, tarbiah berjemaah sungguh besar nilainya. Saya masih ingat, usrahlah yang mengubah diri ini. Keindahan berjemaahlah yang telah mendidik diri ini.


Kehidupan sebagai seorang remaja memang amat mencabar, lebih-lebih lagi cabaran perasaan. Keinginan shahwat manusia yang sering bertentangan dengan hukum Allah kekadang menghukum diri sendiri. Berapa banyak yang sudi menghiasi zaman remajanya dengan iman,ilmu dan amal? Berapa banyak yang sudi menolak banyak tawaran daripada Syarikat Gejala Sosial Berhad (SGSB)? Pada pandangan saya, usia remaja merupakan usia keemasan. Remajalah yang lebih layak digelar warga emas. Emas yang mesti digilap dengan sebaik-baiknya supaya kelak tak pudar dan turun nilainya.


Hari ini merupakan hari ke-29 umat Islam menyambut Ramadan dan jika dirujuk kepada kalendar hijrah, hanya tinggal sehari lagi untuk kursus peningkatan iman dan takwa akan tamat. Saya bimbang sekiranya kita tak mendapat apa-apa keuntungan pun di sebalik kemuliaan Ramadan ini. Lagilah dibimbangi jika ‘BOS’ akan murka dengan kita atas kealpaan dan kelalaian sepanjang kursus ini.Walaupun hanya berbaki sehari lagi untuk kita menyambut Aidilfitri, namun saya masih belum berasa suasana untuk menyambut hari kemenangan ini dibandingkan dengan manusia lain yang sudah mula dengan pelbagai persiapan. Mungkin kerana terlalu sedikit amal sepanjang Ramadan ini, hati saya berasa terlalu pilu untuk berpisah dengan tetamu agung ini.


Baru-baru ini saya mengikuti satu program reunion bekas-bekas pelajar SMKATJ. Reunion yang sedikit mengecewakan hati saya apabila melihat perubahan beberapa orang kawan yang terkesan sejajar dengan perubahan iklim yang pernah dilalui sebelum ini. Jika diikutkan, ingin sekali saya menulis satu artikel tentang ‘adab-adab mengadakan reunion’. Akan tetapi, kelemahan ilmu di dada menyekat hasrat ini buat masa ini dan mungkin ada yang akan mengatakan saya terlalu jumud, tak suka berseronok dan pelbagai lagi.Tak mengapa, saya tak kisah dan saya menerimanya sebagai satu kritikan yang membina demi menjalankan tugas sebagai seorang da’i.


Saya teringat satu pepatah arab yang bermaksud, “waktu lapang seseorang pemuda itu akan membunuhnya”. Memang benar, jika kita tak boleh mengisi dan mengurus waktu lapang kita dengan baik, maka banyaklah unsur-unsur yang tak menyenangkan menawarkan diri untuk mengisi ruang kosong itu.


“kalau ana ikutkan nafsu, ana dah pergi jumpa dia kat kl ni. Nasib baik ana duk kat sini, menyebabkan ana fikir banyak kali baik-buruknya.” Bentak jiwa muda salah seorang teman saya semasa menceritakan masalah dirinya.


“sabar syeikh, ana faham. Tapi kalau pun gitu, berapa sangat peluang nta boleh hidup ngan dia pasni? Nta sanggup tunggu 4 tahun?” Saya memberikan pandangan dengan satu soalan. Seakan mustahil ikatan dapat diteruskan jika si hawa akan meneruskan pengajian ke seberang laut.


Setelah beberapa hari, dia memberitahu saya:
“ana bersyukur wan, kesibukan ana dengan persatuan menyebabkan ana dapat jaga diri ana ni.”
Saya tersenyum syukur dan berdoa semoga saya juga takan terus diberi kekuatan berhadapan dengan pelbagai virus yang datang menyerang.


Kisah di atas merupakan salah satu cerita yang saya boleh kongsi yang bertepatan dengan pepatah di atas.


Kembali kepada topik utama kita iaitu di penghujung Ramadan, saya cukup berharap semoga Allah akan mengurniakan kesihatan yang baik supaya dapat saya meneruskan perjuangan di muka bumi ini dan dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang.


Semoga kehidupan kita sebagai seorang remaja akan dmanfaatkan dengan sebaiknya supaya kelak kita tak akan miskin diri. Berbanggalah kita dapat menjadi golongan yang berlainan berbanding pelbagai wajah remaja yang wujud pada hari ini kerana nabi saw ada menyatakan, “Islam itu bermula dalam keadaan dagang dan akan berakhir dalam keadaan dagang sebagaimana ia bermula. Maka berjayalah buat mereka yang dagang.”


Lebih-lebih lagi setelah berjaya menjadi peserta kursus di bulan penuh barakah ini. Jangan bersedih jika hanya kita yang bersungguh-sungguh mengamalkan Islam pada hari ini. Bagi mereka yang bergelar muslimah, berbanggalah kalian dengan busana, akhlak dan keperibadian sebagai seorang muslimah sejati.


Untuk akhirnya, hayatilah sebuah firman Allah di dalam surah Aali Imran, “Dan janganlah kamu berasa hina dan janganlah kamu bersedih sedang kamu adalah yang tertinggi di sisi Allah jika kamu beriman kepada-Nya.”




sekian,
salam aidilfitri..
maaf zahir dan batin

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP