Tuesday, 16 September 2008

Menyingkap Peristiwa Nuzul Quran



Al Quran ialah kitab wahyu agung yang ditinggalkan oleh nabi saw, satu-satunya mukjizat yang masih kekal dan merupakan burhan yang nyata tentang ketulenan ajaran dari langit ini. Keunggulan al Quran terserlah melalui variasi isi-isi yang menarik dan bersesuaian pada setiap masa dan zaman sehinggalah hari kiamat. Malah, al Quran juga menjadi perlembagaan di Mahkamah Agung Akhirat kelak.


Firman Allah:


Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa. (al Baqarah:1-2)


Taqwa merupakan suatu darjat yang teramat mulia di sisi Allah, mengatasi segala yang ada di langit dan bumi.


Firman Allah: “…Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”


Jika seseorang itu membeli sebuah kereta Ferrari, maka dia akan diberikan sebuah buku panduan tentang cara mengendalikan kereta tersebut. Mana mungkin dia boleh menggunakan buku panduan kereta Produa untuk menggantikan rujukan yang telah diberikan oleh syarikat pengeluar kereta tersebut. Jauh panggang dari api tentang cara menggunakan kereta Ferrari dan Produa. Begitu juga kalau ‘A’ yang dinyatakan dalam buku panduan tersebut, maka ‘A’lah jawapannya. Tidak boleh ditukarkan arahan ‘A’ kepada ‘B’.


Begitu juga dengan kita. Jika Allah telah mengurniakan sebuah buku panduan sepanjang perjalanan ini, masakan pula kita boleh menggantikan dengan buku lain yang berlainan arahan dan peraturannya. Alamatnya, akan rosak dan cacamerbalah masyarakat dan manusia itu sendiri. Justeru, kesimpulan mudah yang boleh diambil ialah sekiranya kita ingin mendapatkan takwa, maka kita mestilah menuruti segala isi kandungan yang dinyatakan dalam buku panduan yang telah dibekalkan.


Misi mendapatkan takwa amat payah. Namun, Allah telah menghadiahkan kepada umat Muhammad saw bulan Ramadan yang memudahkan lagi urusan untuk mendapatkan takwa. Umpama kita akan menjalani peperiksaan dan dalam semua subjek yang diambil, pensyarah telah menugaskan kita menyiapkan assignment yang mana akan dikurniakan markah sebanyak 80 %. Selebihnya atas usaha kita. Agak-agaknya ada tak pensyarah yang teramat baik hati seperti itu?


Satu perkara menarik yang saya ingin nyatakan ialah berkenaan al Quran dan Ramadan. Kedua-duanya memberi pulangan yang sama iaitu takwa dan kedua-duanya mempunyai sejarah yang sama iaitulah peristiwa nuzul al Quran.


Al Quran merupakan kitab yang mulia manakala Ramadan pula merupakan bulan yang tiada tolok tandingnya sehinggalah dikatakan oleh nabi saw: “sekiranya kamu tahu apa yang berada pada Ramadan, nescaya kamu akan mahu setiap bulan itu ialah Ramadan.” Sudah tentu kita sudah sedia maklum bahawa lailatul qadar merupakan satu malam yang maha mulia daripada malam-malam yang lain. Hal ini diakui sendiri oleh Allah swt:


“ Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (al Qadar: 1-5)


Jadi, kesimpulannya al Quran diturunkan pada malam lailatul qadar dan malam lailatul qadar itu berada dalam bulan Ramadan. Kesimpulan yang kedua yang boleh dibuat ialah lailatul qadar lebih mulia daripada malam-malam yang lain sehingga lebih baik daripada seribu bulan kerana pada malam itu diturunkan al Quran. Begitu juga Ramadan itu lebih mulia daripada bulan-bulan yang lain sehingga tak terkira keistimewaannya kerana pada bulan ini diturunkan al Quran. Setuju?


Asy Syahid Syed Qutb



Asy syahid Syed Qutb rmh mengatakan bahawa bulan Ramadan menjadi mulia kerana pada bulan itu diturunkan al Quran. Begitu juga sebab utama kemuliaan lailatul qadar. Semuanya gara-gara al Quran, kalamullah. Oleh itu beliau menambah, jika seseorang itu dipilih oleh Allah untuk diturunkan al Quran padanya (pemikul al Quran; penghafaz dan pejuang), maka secara automatik diangkat darjatnya melebihi orang lain. Begitu juga jika sesebuah negara itu menjadikan al Quran sebagai dusturnya (perlembagaan), maka serta-merta negara itu menjadi mulia mengatasi negara lain. Subhanallah, agungnya al Quran.


Nuzul al Quran merupakan tarikh yang ‘wajib’ disambut oleh sekalian umat Islam melebihi hari-hari lain. Bahkan sepatutnya tarikh ini lebih diawlakan berbanding maulidurrasul, kedatangan bulan Rejab dan nisfu syaaban. Bukankah Rasulullah saw sendiri ada bersabda:



“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tak akan sesat selagimana kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah (al Quran) dan sunnah nabi-Nya.”



Pada hari ini, kita berada dalam zaman yang meminggirkan al Quran, akibatnya sistem kehidupan menjadi rosak dan berbarah. Barah yang akan menjangkiti ke dalam urusan lain dalam kehidupan. Bekas Perdana Menteri Britain pernah berucap dalam parlimen di Britain suatu ketika dahulu sambil memegang al Quran. Dalam ucapannya, beliau menyatakan dengan tegas supaya jundi-jundi kuffar memastikan kitab yang sedang dipegangnya itu tidak menjadi panduan dan rujukan umat Islam.



Akhirnya jadilah umat Islam itu terpinga-pinga dalam kesesatan, mencari-cari jalan keluar sedangkan pintu keluar terang-terang berada di depan matanya.



Merujuk kepada kenyataan daripada Syed Qutb rmh di atas, maka mafhum mukhalafah ungkapan tersebut ialah seseorang/sekelompok masyarakat/sesebuah negara itu akan berada pada status yang paling hina dan kedana jika mereka mengenepikan al Quran. Hal ini bertepatan dengan sebuah firman Allah swt:



“Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit. Kami akan bangkitkan mereka (akhirat nanti) dalam keadaan buta. Dia bertanya mengapa engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta sedangkan aku di dunia dulu boleh melihat. Allah menjawab, begitulah (balasannya) apabila didatangkan kepadamu ayat-ayatku kamu melupakannya. Begitulah pada hari ini kamu dilupakan.” (Taha:124-126)


Populariti al Quran pada hari ini juga sudah jatuh merudum. Ayat-ayatnya hanya menjadi perhiasan di dinding-dinding dan juga di dalam almari-almari sambil dikawal rapi oleh laba-laba yang membuat ‘kawat-kawat besi’. Menyedihkan.


Penangan keagungan al Quran ini bukan hanya akan dirasa oleh pemikulnya, malah ahli keluarganya juga akan mendapat tempiasnya apabila para penghafaz al Quran akan mendapat kelebihan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya dan ahli keluarganya yang lain. Sebab itulah, dulu-dulu para ibu bapa amat teringin si anaknya menjadi penghafaz al Quran. Tapi kini, lain pula jadinya. Memilih institusi pendidikan al Quran sebagai tempat menyambung pengajian lebih rendah statusnya daripada pusat-pusat pengajian lain. Nampaknya, agenda yahudi sudah berjaya.


Sempena sambutan nuzul al Quran pada tahun 1429 hijrah ini, saya berharap al Quran akan lebih dimuliakan. Nescaya kita akan menjadi mulia. Semoga para penghafaz al Quran juga akan bersedia untuk berada di saf depan demi memperjuangkan al Quran. Jangan hanya menjadi seperti ‘huffaz yang terpenjara di penjara syurga’. Nak tahu apa itu ‘huffaz yang terpenjara di penjara syurga’? Kalau nak tahu tunggu artikel yang seterusnya yer. insyaAllah.


Salam nuzul al Quran;

“Ayuh bersama-sama membebaskan huffaz dari penjara syurga”

01:23 am,

16 Ramadan 1429/Selasa

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP