Saturday, 18 October 2008

Apabila Doktor Yang Sakit (Bahagian 1)


ada seorang lelaki dalam kelas saya
selalu bagi dakwah islamiah
tapi bukan nak menyejukkan hati
memanaskan hati adalah
dia selalu marahkan orang perempuan sambil menghentakkan tangan dia atas meja
ada pada satu hari tu dia kata orang perepuan ni semuanya luncah
hati ni memang dah panas masa tu
saya harap awak boleh tolong saya nak tegur lelaki ni
hati ni pedih sangatsaya akui kata2 dia ada juga benarnya
tapi cara penyampaiaan dia memang tak kena

p/s: saya rasa nak bagi dia makan je kasut ni kalau boleh




Himpunan kalimah di atas merupakan satu aduan daripada seorang pelajar yang telah diletakkan di ruangan testi di friendster saya. Melalui aduan tersebut, maka saya dapat membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga persoalan utama yang tersirat di sebalik perkataan-perkataan yang sudah tersurat. Tiga persoalan tersebut ialah:


1) Tidak berhikmah semasa berdakwah
2) Akhlak seorang pendakwah
3) Memahami waqi’ (skop/suasana)


Sebagaimana kita sedia maklum, dakwah merupakan satu elemen terpenting dalam agama Islam. Tuntutan ini sungguh indah dan amat menguntungkan manusia apabila setiap tindak-tanduk kita akan diperhatikan dan dianjurkan teguran sesama kita sekiranya berlaku perselisihan dengan apa yang telah dianjurkan oleh syariat.


Malah, kenyataan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa menghadiri majlis berbuka puasa baru-baru ini bahawa amar makruf nahi mungkar merupakan elemen yang baik dalam kehidupan bermasyarakat menunjukkan satu respon yang sihat daripada seorang yang bukan Islam. Namun begitu, dalam keaktifan kita menyampaikan Islam kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, kadang-kadang kita terlepas pandang beberapa disiplin sewaktu berdakwah.


Isi yang terkandung dalam Islam ibarat satu hidangan yang amat menyelerakan, persoalannya wajarkah jika kita melemparkan hidangan tersebut sambil mengharapkan ia diterima dan disuap dengan baik oleh sasaran dakwah itu sendiri. Sudah tentu tidak, hidangan yang baik mesti diberikan kepada tetamu dengan cara yang baik juga.


(1)Tidak Berhikmah Semasa Berdakwah


Ini merupakan masalah yang paling banyak dihadapi oleh para pendakwah pada hari ini. Niat suci dan murni mereka terhalang dengan tiadanya unsur berhikmah semasa berdakwah. Hakikatnya, Islam sangat mengutamakan elemen kebijaksanaan dalam usaha kita memenangi hati mad’u (sasaran/target dakwah). Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan hikmah?
Firman Allah SWT: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” (an Nahl:125)


Dalam kalangan ulama ada yang menyatakan hikmah bermaksud menjalankan dakwah dengan hanya menggunakan manhaj daripada al Quran dan as Sunnah. Terdapat juga dari kalangan ulama yang berpendapat hikmah bermaksud berdakwah mengikut situasi, keperluan dan pendekatan sama ada lembut ataupun kasar.


Sabda nabi saw: “Hikmah itu ialah barang tercicir orang mukmin. Di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak ke atasnya.” (at Termizi)


Hadis ini menunjukkan bahawa sikap berlapang dada nabi saw yang menerima apa sahaja yang baik walaupun bukan berasal daripada sunnah baginda selagi tak berlawanan dengan syariat Allah. Telah jelas, baginda bebas daripada diselimuti sikap jumud yang melampau sebagaimana sikap sebilangan besar para daie pada hari ini.


Namun begitu, saya tertarik dengan satu kisah yang berlaku kepada seorang khalifah yang masyhur iaitu Umar Abdul Aziz. Sewaktu beliau sedang menjadi pemerintah pada zaman pemerintahan khilafah Bani Umaiyah, anaknya datang memberikan pendapat supaya ayahnya dapat melakukan islah dan perubahan dalam masyarakat dengan sekaligus. Lalu dijawab oleh Umar Abdul Aziz dengan penuh jujur:
“ Janganlah engkau gopoh wahai anak kesayanganku, sesungguhnya Allah mencela arak dalam al Quran sebanyak dua kali dan mengharamkannya pada kali ketiga. Dan aku bimbang untuk membawa kebenaran ke atas manusia secara sekaligus, lalu mereka meninggalkannya secara sekaligus.”


Kepentingan at Tadarruj dalam menyampaikan dakwah


Jawapan tersebut menggambarkan kesabaran dan prinsip at tadarruj dalam menyampaikan dakwah Islamiyah kepada masyarakat. Apakah maksud at tadarruj? At tadarruj bermaksud beransur-ansur dalam menyampaikan tarbiyyah dan ia merupakan salah satu daripada sifat-sifat tarbiyyah.


Teori ini sungguh berkesan, namun untuk mengamalkannya amat mendidik kesabaran dan strategi kita sebagai daie. At tadarruj boleh dihayati sekiranya kita memahami bahawa dakwah yang kita lakukan ini amat berjangkamasa. Disebabkan kelemahan menghayati prinsip inilah menyebabkan banyak yang sudah kecundang dalam medan dakwah. Mereka terlalu mengharap masyarakat menerima bulat-bulat apa yang dibawa oleh mereka. Dan sikap ‘terlalu sayang’ kepada mad’u menyebabkan tanpa disedari mereka seolah-olah menarik kasar benang yang tersimpul ketat. Silap hari bulan, benang itu akan terputus dan sudah tidak boleh dibaiki lagi.


Alangkah baiknya sekiranya mereka bersabar dan memikirkan kaedah terbaik dalam memastikan benang yang tersimpul dapat dileraikan dengan sebaik mungkin. Malah sekiranya kita merujuk kepada perkembangan syariat Islam itu sendiri, maka kita akan melihat bahawa peraturan-peraturan dan hukum hakam diturunkan secara beransur-ansur yang dikenali dalam ilmu syariah sebagai “ at tadarruj fit tasyri’ “. Contoh pengaplikasian prinsip ini ialah pensyariatan solat itu sendiri dimana pada awalnya solat yang difardukan kepada umat Islam hanyalah dua rakaat pada waktu pagi (sabaahan) dan dua rakaat pada waktu malam (masaa’an).

Begitu juga jika kita melihat proses difardukan ibadah puasa, pengharaman riba dan lain-lain.


Mengetahui latar belakang mad’u


Ilmu ini menjadi sangat penting dalam usaha kita menyampaikan dakwah Islamiah. Seseorang daie itu metilah mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi supaya tidak timbul sebarang masalah dan sesuatu yang keruh menjadi jernih dan sesuatu yang jernih menjadi makin jernih.


Apabila kita melihat kepada beberapa jawapan nabi saw sewaktu ditanya oleh para sahabat, maka kita dapat melihat bahawa baginda saw melihat kepada latar belakang individu yang bertanya tersebut. Sebagai contoh apabila ditanya berkenaan amalan Islam yang baik, terdapat riwayat yang menyatakan baginda saw menjawab: “ Kamu memberi makan kepada orang lain, kemudian kamu memberi salam........” Dalam hadis yang lain pula, nabi saw menyatakan: “Muslim itu ialah seorang yang memelihara orang muslim yang lain daripada mulutnya dan tangannya.”


Kisah yang kedua pula ialah apabila nabi saw ditanya oleh seorang sahabat yang muda, “uqabbilu wa anash shoim...(aku cium (isteri), sedangkan aku berpuasa..) maka nabi menjawab, “La..” (tidak). Manakala sewaktu nabi saw ditanya oleh soalan yang serupa oleh seorang sahabat yang sudah tua, maka nabi saw membenarkannya. Ulama menyatakan, hal ini demikian kerana nabi mengetahui bahawa orang yang sudah berusia boleh mengawal nafsunya sedangkan orang muda mudah tewas dan ‘terkantoi’ dengan nafsu.


Justeru, dunia hari ini juga menuntut kita mengetahui latar belakang mad’u supaya segala intipati Islam dapat disampaikan dengan penuh bijaksana dan mengelakkan daripada budaya ‘langgar lari’ sewaktu berdakwah.


Hikmah bukannya lemah


Terdapat dalam kalangan pendakwah yang tersilap memahami berhikmah semasa berdakwah sehinggakan mereka terlalu berlemah lembut dengan golongan musuh Islam. Akibatnya, musuh islam berani mengemukakan tuntutan-tuntutan yang sudah termaktub dan berada bawah bidang kuasa Islam secara mutlak.


Saidina Umar al Khattab telah berkata: “Kita ialah satu kaum yang Allah telah muliakan dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan itu selain daripada Islam, maka Allah akan timpakan kehinaan.”


Dalam keprihatinan kita berhikmah semasa berdakwah, jangan kita terlalai dan bersikap ‘tak apa’ dalam banyak tindak-tanduk kita sehingga tanpa kita sedari, ia membuka peluang kepada pihak musuh untuk memanipulasi ketuanan Islam itu sendiri.


Dalam ciri-ciri khususi islam, terdapat satu ciri yang agak menarik untuk diambil iktibar dalam perbincangan kita pada kali ini iaitu ‘thabat dan murunah’. Ciri ini bermaksud tetap dari sudut prinsip tetapi anjal dan fleksibel semasa pelaksanaan.


Sebagai contoh pengaplikasian ciri ini dalam kehidupan ialah sewaktu kita bersolat. Kefardhuannya tetap kita julang, namun dari sudut pelaksaannya berbeza semasa kita sihat ataupun sakit. Sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis di mana ada seorang sahabat yang bernama Imran bin Hushain bertanya kepada Rasulullah saw bagaimana mengerjakan solat sedangkan ia berpenyakit buasir. Lalu baginda menyatakan: “Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk, sekiranya tidak mampu, maka solatlah secara berbaring.”


Apa yang perlu ditekankan ialah pelaksaan sesuatu urusan itu mestilah tetap berada dalam orbit islam walau dimana dan macam mana keadaan sekalipun.



bersambung...

Read more...

Wednesday, 15 October 2008

Dalam Kesunyian Jalan




'pelajarilah' ukhuwah daripada semut


Dalam kesunyian jalan
Diriku tersilap memilih kawan
Apa yang kufikirkan hanyalah keseronokan
Keseronokan yang berlawanan dengan iman
Keseronokan yang akan mencelakakan masa depan


Akhirnya aku tersedar
Jalan itu tak diredhai tuhan
Akan menodai kehidupan
Membenih kebuntuan
Menjanjikan kesusahan


Lalu muncul dirimu teman
Datang memberikan harapan
Memberikan bimbingan
Menghadiahkan dorongan
Berkongsi pengalaman


Kumasih ingat,
Tika itu aku masih dalam kekusutan
Aku memandang ke hadapan
Inikah jalan?
Dikaukah teman?


Namun, kau terus memimpin diriku
Walau jalan itu berliku-liku
Jauhnya beribu batu
Membuatkan diriku terharu
Mengajar diriku erti syukur




Hari ini baru kutahu
Baru kukenal
Ya, inilah jalannya
Dikaulah temanku
Kusayangi dimu teman
Kucintaimu semanis madu



Cebisan memori,
Kala terik, 14:51
15 syawal 1429/15 Oktober 2008

~Nukilan khas buatmu teman, yang pernah mengejutkan diriku dari lena yang panjang, kisah benar diriku, penuh dengan kenangan.. :)~

Read more...

Pemuda Itu

Pemuda itu,
Imannya sungguh kental
Akidahnya amat perkasa
Tak jatuh apabila dibedil bertubi-tubi
Tak lemah apabila diuji bertalu-talu
Hidayah terus bertambah
Nur terus bersinar
Sinar yang tak sirna


Pemuda itu,
Hati mereka diikat Rabb
Ikatan yang tak bisa terurai
Atas nama ukhuwwah islamiyyah
Atas prinsip kesatuan akidah
Walau badai menimpa
Kendati taufan menyerang
Ribat tetap ampuh









Pemuda itu,
Dituduh sebagai pemberontak
Difitnah sebagai penderhaka
Dimurka sang raja angkuh mengaku tuhan
Dikecam pengecut di dalam istana
Lalu mereka bangkit serentak,
Bersuara senada, seirama
Tuhan kami Pemilik langit dan bumi
Kami tak berharap selain daripada-Nya


Pemuda itu,
Kini hanya tinggal sejarah
Menjadi cerita motivasi yang hanya bernilai ilusi
Tinggal harapan di dada para pencinta perjuangan
Entah jadi, entahkan tidak
Makin ampuh ataupun makin rapuh
Semuanya tinggal persoalan
Masih menunggu jawapan


Aku mahu memberi jawapan
Aku mahu memberi keputusan
Demi satu perjuangan
Ya, akulah penerus generasi pemuda itu!







Penagih semangat perjuangan
Antara Zohor dan Asar,
14:30, 15 Syawal 1429

~Sajak ini sebagai memperingati generasi pemuda hebat, Ashabul Kahfi~

Read more...

Tuesday, 14 October 2008

Umat Islam Hari Ini..Simbiotik Yang Egoistik




Kehidupan di dunia pada zaman yang hanya menunggu tiupan sangkakala daripada malaikat Israfil ini sungguh mencabar dan menduga iman. Semua perkara yang baik akan mengundang kepelikan bahkan kekadang dipandang dengan penuh sindiran. Tapi, apa boleh buat, hidup mesti diteruskan selagi ‘lampu amaran’ belum menyala tajam. Senario yang sungguh menyedihkan, namun akan membuahkan kemanisan iman yang benar-benar ‘menggiurkan’ jika kena pada caranya. Setuju?


Kalau tak setuju pun tiada masalah kerana perbezaan pendapat itu merupakan rahmat terbesar buat kita dan akan menyuburkan lagi pelbagai idea yang cukup menarik. Lagipun, insyaAllah saya seorang yang demokratik dan memandang positif sebarang kritikan yang membina. Usah dibiarkan kejumudan menyelimuti kita, tetapi contohilah ulama-ulama kita yang terdahulu. Mereka tepu dengan kekhilafan pendapat.


Kembali kepada tajuk di atas, saya membuat kenyataan bahawa umat Islam sebenarnya simbiosis, sedari dahulu lagi dan telah diperakui oleh nabi saw melalui kalam mulia baginda: “Kamu melihat orang mukmin itu pada kasih sayang mereka seperti satu jasad. Apabila salah satu anggota badan sakit, nescaya seluruh jasad turut sama merasai dengan berjaga malam dan demam. (al Bukhari & Muslim)


Memanglah dalam hadis di atas tak disebut perkataan simbiosis, tapi anda semua boleh memahami kan. Baiklah, buat yang masih belum faham kita tengok dulu apakah yang dimaksudkan dengan simbiosis. Simbiosis dalam bahasa yang mudah ialah hubungan sesama organisme hidup yang saling memerlukan antara satu sama lain. Nak mudah faham lagi kita teliti contoh di bawah.



Haiwan-haiwan herbivor memerlukan pepohon untuk dijadikan makanan dan pepohon juga memerlukan najis haiwan herbivor sebagai baja penyubur. Contoh kedua pula ialah burung gembala kerbau mencari makanan di atas belakang kerbau dan kerbau juga memerlukan burung itu bagi membuang parasit di atas belakangnya. Jadi kesimpulannya, kedua-duanya saling memerlukan.


Anda dah nampak kan apa yang saya maksudkan. Seperti aur dengan tebing. Aur merupakan sejenis pokok yang boleh menahan hakisan yang akan berlaku terhadap tebing. Aur memerlukan tebing kerana ia hanya boleh hidup di kawasan-kawasan yang berair. Tebing sungai pula memerlukan aur untuk melindungi ‘dirinya’ daripada hakisan dan kerosakan. Jadi, aur perlukan tebing, tebing pun perlukan aur. Ada faham?






Baiklah, oleh itu sepertimana yang saya katakan di atas, umat Islam itu simbiotik iaitu saling memerlukan antara satu sama lain. Bahkan semua manusia pun saling memerlukan. Tak gitu? Akan tetapi, penulisan saya pada kali ini menumpukan kepada ‘kesimbiotikan’ ( betul tak istilah ni?) umat Islam itu sendiri.


Namun disebabkan wabak egoistik, lalu mereka menjadi individualistik dan akhirnya keindahan Islam hanya menjadi seperti bahan kosmetik. Hasilnya menyedihkan. Seperti yang kita lihat di depan mata kita pada hari ini. Berat untuk diungkapkan dengan lidah.


Umat islam menjadi angkuh dan suka bersaing secara tidak sihat apabila berhadapan dengan ‘anggota badan’ sendiri. Baginda saw telah memberi amaran tentang bahaya sifat ego ini melalui satu hadis sahih: “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang mempunyai walau sebesar zarah sifat takabur dalam hatinya.”

Apabila kita merujuk kepada sirah, maka kita akan menemui satu peristiwa besar dalam sejarah umat islam iaitu peristiwa penukaran kiblat dari Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram yang mana di dalamnya terdapat Kaabah di Mekah. Peristiwa ini berlaku setelah 16 bulan Rasulullah saw dan para sahabat bermastautin di Madinah. Menurut ulama, peristiwa ini berlaku pada hari Isnin, setelah tergelincirnya matahari pada pertengahan bulan Rejab, iaitu kira-kira dua bulan sebelum peperangan Badar. Pertukaran kiblat ini berlaku di Masjid Bani Salamah yang kemudiannya lebih masyhur dengan nama Masjid Qiblatain sebagai memperingati peristiwa bersejarah ini.






Firman Allah: “Kerap kali Kami melihat Engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat Yang Engkau sukai. oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. dan Sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui Bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah Yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang mereka lakukan.”
(al Baqarah:144)


Sebagaimana yang kita sedia maklum, sebelum itu umat Islam berkongsi kiblat dengan orang-orang Yahudi. Justeru, pengisytiharan penuh bersejarah dan ditunggu-tunggu oleh baginda saw ini merupakan satu manifestasi kesatuan hati, akidah, ibadat, ukhuwwah, fikrah dan semua aspek kehidupan. Umat Islam mempunyai identiti dan cara hidup mereka sendiri. Mereka wajib bangkit senada dan seirama bagi membela dan memperjuangkan agama dan mereka tidak boleh berkiblatkan Yahudi mahupun musuh-musuh yang lain dalam keseluruhan aktiviti hidup.

Rasulullah saw mengukuhkan lagi hakikat ini menerusi sabdanya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia bukan dari kalangan umat Islam.”


Malah, penurunan ayat tersebut yang hanya dua bulan sebelum perang Badar jelas menunjukkan bahawa penukaran arah kiblat itu merupakan peniupan semboyan awal sebelum berlakunya perang tersebut. Umat Islam diisyaratkan bahawa mereka mesti membebaskan Masjidil Haram yang suci daripada jajahan kaum Musyrikin Quraisy. Semangat umat Islam dibakar menerusi asas yang utama, iaitu mereka mesti mempunyai kesatuan yang jitu. Mereka mesti mempunyai kesedaran bekerja dalam satu pasukan kerana mereka simbiosis.


Namun begitu, virus egoistik dan individualistik cukup kuat mencengkam kehidupan umat islam pada hari ini menyebabkan perbalahan sesama sendiri tidak sudah-sudah. Lahirnya ‘kanibal moden’ yang membuat umpatan dan berita fitnah kepada saudara mereka sendiri menjadikan situasi makin parah. Perebutan kuasa, dengki mendengki , fitnah-memfitnah dan pelbagai lagi perlakuan buruk telah menajisi landskap indah milik umat Islam. Sedang pasukan ahzab moden pula ‘standing ovation’ sambil hilai yang kuat.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita membebaskan diri daripada pengaruh negatif ini. Kita runtuhkan binaan buruk dan hanyir ini, dan kita bina di atasnya satu bangunan baru yang tersergam indah dan akan menaungi dan merahmati seluruh alam ini. Syaratnya, hidupkan ‘kesimbiotikan’ itu dan hindarilah egoistik, moga-moga akan lahirlah generasi islamik yang karismatik dan akan mewarisi bumi yang hampir kiamat ini.


Cetusan minda,
Selepas Isyak
Isnin/13 Syawal 1429 (13 Oktober 2008)

Read more...

Thursday, 9 October 2008

Noda Eid

Aidilfitri datang lagi!

1 Syawal 1429 bersamaan 1 Oktober 2008. Sedia maklum, inilah tarikh bagi perayaan aidilfitri untuk tahun ini. Bagi masyarakat awam, sememangnya kedatangan Syawal menjadi satu penantian yang girang untuk pulang ke kampung, merasa lemang, ketupat, rendang, lontong dan kuih-muih yang beraneka pada pagi raya ditambah pula dengan lenggok kesyahduan takbir yang dialunkan oleh imam, lantas hilanglah kesedihan meninggalkan Ramadhan.


Golongan ulama’ dan rapat hubungannya dengan Allah pula, saat berada di akhir Ramadhan, titisan air mata menitis di atas tikar sejadah, sedih dengan pemergian Ramadhan yang mana belum tentu akan ditemui pada tahun hadapan. Mereka golongan sufi, mereka benar-benar golongan yang hatinya termasuk dalam golongan pencinta-pencinta agama Allah. (alangkah indahnya pabila penulis juga dapat menyerap seluruh semangat mereka ini untuk menjadi motivasi kepada penulis).


Fokus perbincangan kita kali ini, bukanlah berkisar mengenai akhir Ramadhan, tetapi kebimbangan penulis pada pencabulan dan penodaan maruah aidilfitri itu sendiri. Belum lagi berakhir Ramadhan, iklan-iklan sempena Aidilfitri menayangkan cerita-cerita yang bakal ditayangkan dan ditambah pula dengan rancangan-rancangan lain yang tidak keterlaluan disebut sebagai memperkosa bulan suci Aidilfitri. Untuk disebut kesemua nama rancangan itu, rasanya pembaca boleh menilai sendiri, kebaikan dan keburukan. Bayangkan hampir keseluruhan rancangan dalam televisyen menjurus kepada hiburan. Memang benar Nabi tidak melarang untuk berhibur, malah nabi sendiri membiarkan adanya hiburan saat perayaan, namun persoalannya, adakah garis ukur hiburan yang ditetapkan nabi itu kita ikut?


Andai kata hiburan keterlaluan ini terus menguasai pemikiran dan perbuatan golongan yang mengaku dirinya sebagai umat Islam terutama saat kita merayakan perayaan yang cukup mulia ini, maka kita sebenarnya terperangkap dengan konflik yang sengaja direncanakan oleh Regim Zionis untuk merencatkan umat Islam.Teringat pada bahan bacaan penulis mengenai Protocols (persidangan pemimpin-pemimpin Yahudi pada tahun 1897 di Basel, Switzerland yang telah mengeluarkan persepakatan mengangkat martabat yahudi dan memusnahkan seluruh bangsa lain), antara perkara yang terpenting yang digunakan Yahudi sebagai senjata melemahkan umat Islam ialah sogokkan mereka dengan hiburan berlebihan, pastikan mereka dialpakan, hingga Quran hilang daripada dada-dada mereka. Maka, mereka sudah tentu akan hilang kekuatan untuk syahid.


Terlalu bahaya andai kata kita tidak ambil berat tentang perkara ini. Andai kata perayaan kita dirosakkan dengan elemen negatif, di mana lagi kita akan mendapat kesucian. Berapa banyak tamadun yang musnah kerana implikasi ketidaktertiban dan kebongkakan mematuhi ajaran yang hanif melalui perantaraan Nabi-nabi-Nya.


Berhiburlah sempena perayaan, tetapi, janganlah lupakan Tuhan walau sesaat pun. Jauhilah perkara-perkara haram yang memang jelas haram (pembukaan aurat dan aib, minuman keras, lalai daripada menunaikan solat, mengumpat dsbgnya). Moga-moga kita adalah golongan yang diterima Allah s.w.t.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP