Saturday, 18 October 2008

Apabila Doktor Yang Sakit (Bahagian 1)


ada seorang lelaki dalam kelas saya
selalu bagi dakwah islamiah
tapi bukan nak menyejukkan hati
memanaskan hati adalah
dia selalu marahkan orang perempuan sambil menghentakkan tangan dia atas meja
ada pada satu hari tu dia kata orang perepuan ni semuanya luncah
hati ni memang dah panas masa tu
saya harap awak boleh tolong saya nak tegur lelaki ni
hati ni pedih sangatsaya akui kata2 dia ada juga benarnya
tapi cara penyampaiaan dia memang tak kena

p/s: saya rasa nak bagi dia makan je kasut ni kalau boleh




Himpunan kalimah di atas merupakan satu aduan daripada seorang pelajar yang telah diletakkan di ruangan testi di friendster saya. Melalui aduan tersebut, maka saya dapat membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga persoalan utama yang tersirat di sebalik perkataan-perkataan yang sudah tersurat. Tiga persoalan tersebut ialah:


1) Tidak berhikmah semasa berdakwah
2) Akhlak seorang pendakwah
3) Memahami waqi’ (skop/suasana)


Sebagaimana kita sedia maklum, dakwah merupakan satu elemen terpenting dalam agama Islam. Tuntutan ini sungguh indah dan amat menguntungkan manusia apabila setiap tindak-tanduk kita akan diperhatikan dan dianjurkan teguran sesama kita sekiranya berlaku perselisihan dengan apa yang telah dianjurkan oleh syariat.


Malah, kenyataan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa menghadiri majlis berbuka puasa baru-baru ini bahawa amar makruf nahi mungkar merupakan elemen yang baik dalam kehidupan bermasyarakat menunjukkan satu respon yang sihat daripada seorang yang bukan Islam. Namun begitu, dalam keaktifan kita menyampaikan Islam kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, kadang-kadang kita terlepas pandang beberapa disiplin sewaktu berdakwah.


Isi yang terkandung dalam Islam ibarat satu hidangan yang amat menyelerakan, persoalannya wajarkah jika kita melemparkan hidangan tersebut sambil mengharapkan ia diterima dan disuap dengan baik oleh sasaran dakwah itu sendiri. Sudah tentu tidak, hidangan yang baik mesti diberikan kepada tetamu dengan cara yang baik juga.


(1)Tidak Berhikmah Semasa Berdakwah


Ini merupakan masalah yang paling banyak dihadapi oleh para pendakwah pada hari ini. Niat suci dan murni mereka terhalang dengan tiadanya unsur berhikmah semasa berdakwah. Hakikatnya, Islam sangat mengutamakan elemen kebijaksanaan dalam usaha kita memenangi hati mad’u (sasaran/target dakwah). Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan hikmah?
Firman Allah SWT: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” (an Nahl:125)


Dalam kalangan ulama ada yang menyatakan hikmah bermaksud menjalankan dakwah dengan hanya menggunakan manhaj daripada al Quran dan as Sunnah. Terdapat juga dari kalangan ulama yang berpendapat hikmah bermaksud berdakwah mengikut situasi, keperluan dan pendekatan sama ada lembut ataupun kasar.


Sabda nabi saw: “Hikmah itu ialah barang tercicir orang mukmin. Di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak ke atasnya.” (at Termizi)


Hadis ini menunjukkan bahawa sikap berlapang dada nabi saw yang menerima apa sahaja yang baik walaupun bukan berasal daripada sunnah baginda selagi tak berlawanan dengan syariat Allah. Telah jelas, baginda bebas daripada diselimuti sikap jumud yang melampau sebagaimana sikap sebilangan besar para daie pada hari ini.


Namun begitu, saya tertarik dengan satu kisah yang berlaku kepada seorang khalifah yang masyhur iaitu Umar Abdul Aziz. Sewaktu beliau sedang menjadi pemerintah pada zaman pemerintahan khilafah Bani Umaiyah, anaknya datang memberikan pendapat supaya ayahnya dapat melakukan islah dan perubahan dalam masyarakat dengan sekaligus. Lalu dijawab oleh Umar Abdul Aziz dengan penuh jujur:
“ Janganlah engkau gopoh wahai anak kesayanganku, sesungguhnya Allah mencela arak dalam al Quran sebanyak dua kali dan mengharamkannya pada kali ketiga. Dan aku bimbang untuk membawa kebenaran ke atas manusia secara sekaligus, lalu mereka meninggalkannya secara sekaligus.”


Kepentingan at Tadarruj dalam menyampaikan dakwah


Jawapan tersebut menggambarkan kesabaran dan prinsip at tadarruj dalam menyampaikan dakwah Islamiyah kepada masyarakat. Apakah maksud at tadarruj? At tadarruj bermaksud beransur-ansur dalam menyampaikan tarbiyyah dan ia merupakan salah satu daripada sifat-sifat tarbiyyah.


Teori ini sungguh berkesan, namun untuk mengamalkannya amat mendidik kesabaran dan strategi kita sebagai daie. At tadarruj boleh dihayati sekiranya kita memahami bahawa dakwah yang kita lakukan ini amat berjangkamasa. Disebabkan kelemahan menghayati prinsip inilah menyebabkan banyak yang sudah kecundang dalam medan dakwah. Mereka terlalu mengharap masyarakat menerima bulat-bulat apa yang dibawa oleh mereka. Dan sikap ‘terlalu sayang’ kepada mad’u menyebabkan tanpa disedari mereka seolah-olah menarik kasar benang yang tersimpul ketat. Silap hari bulan, benang itu akan terputus dan sudah tidak boleh dibaiki lagi.


Alangkah baiknya sekiranya mereka bersabar dan memikirkan kaedah terbaik dalam memastikan benang yang tersimpul dapat dileraikan dengan sebaik mungkin. Malah sekiranya kita merujuk kepada perkembangan syariat Islam itu sendiri, maka kita akan melihat bahawa peraturan-peraturan dan hukum hakam diturunkan secara beransur-ansur yang dikenali dalam ilmu syariah sebagai “ at tadarruj fit tasyri’ “. Contoh pengaplikasian prinsip ini ialah pensyariatan solat itu sendiri dimana pada awalnya solat yang difardukan kepada umat Islam hanyalah dua rakaat pada waktu pagi (sabaahan) dan dua rakaat pada waktu malam (masaa’an).

Begitu juga jika kita melihat proses difardukan ibadah puasa, pengharaman riba dan lain-lain.


Mengetahui latar belakang mad’u


Ilmu ini menjadi sangat penting dalam usaha kita menyampaikan dakwah Islamiah. Seseorang daie itu metilah mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi supaya tidak timbul sebarang masalah dan sesuatu yang keruh menjadi jernih dan sesuatu yang jernih menjadi makin jernih.


Apabila kita melihat kepada beberapa jawapan nabi saw sewaktu ditanya oleh para sahabat, maka kita dapat melihat bahawa baginda saw melihat kepada latar belakang individu yang bertanya tersebut. Sebagai contoh apabila ditanya berkenaan amalan Islam yang baik, terdapat riwayat yang menyatakan baginda saw menjawab: “ Kamu memberi makan kepada orang lain, kemudian kamu memberi salam........” Dalam hadis yang lain pula, nabi saw menyatakan: “Muslim itu ialah seorang yang memelihara orang muslim yang lain daripada mulutnya dan tangannya.”


Kisah yang kedua pula ialah apabila nabi saw ditanya oleh seorang sahabat yang muda, “uqabbilu wa anash shoim...(aku cium (isteri), sedangkan aku berpuasa..) maka nabi menjawab, “La..” (tidak). Manakala sewaktu nabi saw ditanya oleh soalan yang serupa oleh seorang sahabat yang sudah tua, maka nabi saw membenarkannya. Ulama menyatakan, hal ini demikian kerana nabi mengetahui bahawa orang yang sudah berusia boleh mengawal nafsunya sedangkan orang muda mudah tewas dan ‘terkantoi’ dengan nafsu.


Justeru, dunia hari ini juga menuntut kita mengetahui latar belakang mad’u supaya segala intipati Islam dapat disampaikan dengan penuh bijaksana dan mengelakkan daripada budaya ‘langgar lari’ sewaktu berdakwah.


Hikmah bukannya lemah


Terdapat dalam kalangan pendakwah yang tersilap memahami berhikmah semasa berdakwah sehinggakan mereka terlalu berlemah lembut dengan golongan musuh Islam. Akibatnya, musuh islam berani mengemukakan tuntutan-tuntutan yang sudah termaktub dan berada bawah bidang kuasa Islam secara mutlak.


Saidina Umar al Khattab telah berkata: “Kita ialah satu kaum yang Allah telah muliakan dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan itu selain daripada Islam, maka Allah akan timpakan kehinaan.”


Dalam keprihatinan kita berhikmah semasa berdakwah, jangan kita terlalai dan bersikap ‘tak apa’ dalam banyak tindak-tanduk kita sehingga tanpa kita sedari, ia membuka peluang kepada pihak musuh untuk memanipulasi ketuanan Islam itu sendiri.


Dalam ciri-ciri khususi islam, terdapat satu ciri yang agak menarik untuk diambil iktibar dalam perbincangan kita pada kali ini iaitu ‘thabat dan murunah’. Ciri ini bermaksud tetap dari sudut prinsip tetapi anjal dan fleksibel semasa pelaksanaan.


Sebagai contoh pengaplikasian ciri ini dalam kehidupan ialah sewaktu kita bersolat. Kefardhuannya tetap kita julang, namun dari sudut pelaksaannya berbeza semasa kita sihat ataupun sakit. Sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis di mana ada seorang sahabat yang bernama Imran bin Hushain bertanya kepada Rasulullah saw bagaimana mengerjakan solat sedangkan ia berpenyakit buasir. Lalu baginda menyatakan: “Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk, sekiranya tidak mampu, maka solatlah secara berbaring.”


Apa yang perlu ditekankan ialah pelaksaan sesuatu urusan itu mestilah tetap berada dalam orbit islam walau dimana dan macam mana keadaan sekalipun.



bersambung...

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP