Tuesday, 14 October 2008

Umat Islam Hari Ini..Simbiotik Yang Egoistik




Kehidupan di dunia pada zaman yang hanya menunggu tiupan sangkakala daripada malaikat Israfil ini sungguh mencabar dan menduga iman. Semua perkara yang baik akan mengundang kepelikan bahkan kekadang dipandang dengan penuh sindiran. Tapi, apa boleh buat, hidup mesti diteruskan selagi ‘lampu amaran’ belum menyala tajam. Senario yang sungguh menyedihkan, namun akan membuahkan kemanisan iman yang benar-benar ‘menggiurkan’ jika kena pada caranya. Setuju?


Kalau tak setuju pun tiada masalah kerana perbezaan pendapat itu merupakan rahmat terbesar buat kita dan akan menyuburkan lagi pelbagai idea yang cukup menarik. Lagipun, insyaAllah saya seorang yang demokratik dan memandang positif sebarang kritikan yang membina. Usah dibiarkan kejumudan menyelimuti kita, tetapi contohilah ulama-ulama kita yang terdahulu. Mereka tepu dengan kekhilafan pendapat.


Kembali kepada tajuk di atas, saya membuat kenyataan bahawa umat Islam sebenarnya simbiosis, sedari dahulu lagi dan telah diperakui oleh nabi saw melalui kalam mulia baginda: “Kamu melihat orang mukmin itu pada kasih sayang mereka seperti satu jasad. Apabila salah satu anggota badan sakit, nescaya seluruh jasad turut sama merasai dengan berjaga malam dan demam. (al Bukhari & Muslim)


Memanglah dalam hadis di atas tak disebut perkataan simbiosis, tapi anda semua boleh memahami kan. Baiklah, buat yang masih belum faham kita tengok dulu apakah yang dimaksudkan dengan simbiosis. Simbiosis dalam bahasa yang mudah ialah hubungan sesama organisme hidup yang saling memerlukan antara satu sama lain. Nak mudah faham lagi kita teliti contoh di bawah.



Haiwan-haiwan herbivor memerlukan pepohon untuk dijadikan makanan dan pepohon juga memerlukan najis haiwan herbivor sebagai baja penyubur. Contoh kedua pula ialah burung gembala kerbau mencari makanan di atas belakang kerbau dan kerbau juga memerlukan burung itu bagi membuang parasit di atas belakangnya. Jadi kesimpulannya, kedua-duanya saling memerlukan.


Anda dah nampak kan apa yang saya maksudkan. Seperti aur dengan tebing. Aur merupakan sejenis pokok yang boleh menahan hakisan yang akan berlaku terhadap tebing. Aur memerlukan tebing kerana ia hanya boleh hidup di kawasan-kawasan yang berair. Tebing sungai pula memerlukan aur untuk melindungi ‘dirinya’ daripada hakisan dan kerosakan. Jadi, aur perlukan tebing, tebing pun perlukan aur. Ada faham?






Baiklah, oleh itu sepertimana yang saya katakan di atas, umat Islam itu simbiotik iaitu saling memerlukan antara satu sama lain. Bahkan semua manusia pun saling memerlukan. Tak gitu? Akan tetapi, penulisan saya pada kali ini menumpukan kepada ‘kesimbiotikan’ ( betul tak istilah ni?) umat Islam itu sendiri.


Namun disebabkan wabak egoistik, lalu mereka menjadi individualistik dan akhirnya keindahan Islam hanya menjadi seperti bahan kosmetik. Hasilnya menyedihkan. Seperti yang kita lihat di depan mata kita pada hari ini. Berat untuk diungkapkan dengan lidah.


Umat islam menjadi angkuh dan suka bersaing secara tidak sihat apabila berhadapan dengan ‘anggota badan’ sendiri. Baginda saw telah memberi amaran tentang bahaya sifat ego ini melalui satu hadis sahih: “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang mempunyai walau sebesar zarah sifat takabur dalam hatinya.”

Apabila kita merujuk kepada sirah, maka kita akan menemui satu peristiwa besar dalam sejarah umat islam iaitu peristiwa penukaran kiblat dari Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram yang mana di dalamnya terdapat Kaabah di Mekah. Peristiwa ini berlaku setelah 16 bulan Rasulullah saw dan para sahabat bermastautin di Madinah. Menurut ulama, peristiwa ini berlaku pada hari Isnin, setelah tergelincirnya matahari pada pertengahan bulan Rejab, iaitu kira-kira dua bulan sebelum peperangan Badar. Pertukaran kiblat ini berlaku di Masjid Bani Salamah yang kemudiannya lebih masyhur dengan nama Masjid Qiblatain sebagai memperingati peristiwa bersejarah ini.






Firman Allah: “Kerap kali Kami melihat Engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat Yang Engkau sukai. oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. dan Sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui Bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah Yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang mereka lakukan.”
(al Baqarah:144)


Sebagaimana yang kita sedia maklum, sebelum itu umat Islam berkongsi kiblat dengan orang-orang Yahudi. Justeru, pengisytiharan penuh bersejarah dan ditunggu-tunggu oleh baginda saw ini merupakan satu manifestasi kesatuan hati, akidah, ibadat, ukhuwwah, fikrah dan semua aspek kehidupan. Umat Islam mempunyai identiti dan cara hidup mereka sendiri. Mereka wajib bangkit senada dan seirama bagi membela dan memperjuangkan agama dan mereka tidak boleh berkiblatkan Yahudi mahupun musuh-musuh yang lain dalam keseluruhan aktiviti hidup.

Rasulullah saw mengukuhkan lagi hakikat ini menerusi sabdanya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia bukan dari kalangan umat Islam.”


Malah, penurunan ayat tersebut yang hanya dua bulan sebelum perang Badar jelas menunjukkan bahawa penukaran arah kiblat itu merupakan peniupan semboyan awal sebelum berlakunya perang tersebut. Umat Islam diisyaratkan bahawa mereka mesti membebaskan Masjidil Haram yang suci daripada jajahan kaum Musyrikin Quraisy. Semangat umat Islam dibakar menerusi asas yang utama, iaitu mereka mesti mempunyai kesatuan yang jitu. Mereka mesti mempunyai kesedaran bekerja dalam satu pasukan kerana mereka simbiosis.


Namun begitu, virus egoistik dan individualistik cukup kuat mencengkam kehidupan umat islam pada hari ini menyebabkan perbalahan sesama sendiri tidak sudah-sudah. Lahirnya ‘kanibal moden’ yang membuat umpatan dan berita fitnah kepada saudara mereka sendiri menjadikan situasi makin parah. Perebutan kuasa, dengki mendengki , fitnah-memfitnah dan pelbagai lagi perlakuan buruk telah menajisi landskap indah milik umat Islam. Sedang pasukan ahzab moden pula ‘standing ovation’ sambil hilai yang kuat.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita membebaskan diri daripada pengaruh negatif ini. Kita runtuhkan binaan buruk dan hanyir ini, dan kita bina di atasnya satu bangunan baru yang tersergam indah dan akan menaungi dan merahmati seluruh alam ini. Syaratnya, hidupkan ‘kesimbiotikan’ itu dan hindarilah egoistik, moga-moga akan lahirlah generasi islamik yang karismatik dan akan mewarisi bumi yang hampir kiamat ini.


Cetusan minda,
Selepas Isyak
Isnin/13 Syawal 1429 (13 Oktober 2008)

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP