Friday, 28 November 2008

Ayam Golek, ABC & Neslo

“abg ihsan, petang ni ade iftar jam’ie usrah ghuraba’ di bilik ana,” saya menghantar mesej kepada naqib usrah sebagai makluman supaya semua dapat hadir iftar untuk puasa sunat hari Khamis. Inilah salah satu aktiviti mingguan usrah kami.


“ana nak makan ayam golek, abc dan neslo,” abang ihsan membalas mesej saya dengan gurauan ringkas.


Apabila masuk sahaja waktu berbuka, kami terus menjamah hidangan yang diisi di dalam talam walaupun tanpa pesanan sebentar tadi. Keesokannya, sewaktu berehat bersama-sama dengan ahli usrah yang lain usai mendirikan solat Asar, abang Ihsan cuba mendapatkan respon saya berkenaan kaitan antara menu yang dipesan semalam dengan dakwah yang sedang dijalankan pada hari ini. Agak payah saya hendak membuat tafsiran. Begitu juga dengan ‘adik-beradik’ saya yang lain.


“Boleh abang Ihsan terangkan?” Saya meminta jawapan daripada persoalan yang ditimbulkan.


“Cuba enta terangkan kat ana tentang proses bagaimana kita nak membuat ayam golek,” abang Ihsan menjawab sambil menyoal.


“Mula-mula, kita bersihkan dahulu ayam tu, cucikan ayam tu dari dalam dan luar,” Saya menjawab ringkas sambil dapat mengagak kaitannya dengan tajuk dakwah.


“Lepas tu?”, abang Ihsan bertanya lanjut.

“Kemudian, kita gaulkan ayam tu dengan rempah-ratus dan perap beberapa lama, lepas tu kita bakar.” Saya bercerita dengan penuh yakin.

“Baiklah, biar ana terangkan apa kaitannya dengan kehidupan sebagai seorang pendakwah. Mula-mula, kita bersihkan dahulu ayam tu. Maksudnya ialah proses tazkiatunnafsi hendaklah kita praktikkan dalm kehidupan ini. Sebagaimana kita membuang semua kekotoran di dalam ayam tu, begitu juga kita buang dan bersihkan segala kekotoran dalam diri kita.” Ujar nakib usrah ghuraba’ itu dengan penuh yakin.


“Kemudian kita gaulkan ayam tu dengan rempah-ratus yang pelbagai. Maksudnya di sini ialah seseorang itu wajib menambah nilai dirinya dengan ilmu dan pengalaman dari pelbagai bidang dan cabang. Proses memerap pula, kalau kita nak ayam tu lebih sedap, ia mesti berjalan sekurang-kurangnya satu hari. Kaitannya, kita mesti mendidik diri untuk istikamah dalam melakukan sesuatu. Selepas tu pula, ayam dibakar dan sedia dihidangkan.” Abang Ihsan menamatkan cerita tentang ayam golek.


“Alangkah enaknya hidangan ini untuk ‘santapan’ mad’u di luar.” Saya bermonolog sendirian.


Pada hari ini, kita dapat melihat wujud banyak ‘pendakwah bidan terjun’ yang tidak melalui proses sebagaimana ayam golek. Hasilnya cukup-cukup mengecewakan menyebabkan. Hanya kerana nilai setitik, susu sebelanga tercemar juga. Institusi dakwah dipandang rendah. Sifir popular yang meniti di bibir orang ramai pada hari ini ialah pendakwah=jumud, pendakwah=tradisional, pendakwah=ekstrem dan pelbagai lagi.
ABC


“ABC pulak, apa kaitannya?” Selesai sahaja penerangan tentang ayam golek, saya tak sabar-sabar nak tahu perihal menu kegemaran ramai itu dan kaitannya dengan dakwah.
“Cuba enta bagitau ana, apa bahan yang diletak dalam abc? Versi dulu dan sekarang.” Abang Ihsan menyoal kembali.


“ABC dulu simple je, sekarang pulak ditambah dengan ‘isi-isi’ lain. Macam nanas, nata de coco dan lain-lain.” Saya bercerita ringkas.
“tapi kita masih kekalkan bahan-bahan asasnya kan, contohnya ais dan sirap.” Abang ihsan menambah.


“kaitannya, dalam menjalankan dakwah ialah kita mestilah bijak menggerakkan dakwah berdasarkan zaman. Kepelbagaian yang berprinsip. Manhaj dan dasar kita masih kekalkan.” Ujar abang Ihsan.

Saya teringat satu kata-kata daripada mantan presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), almarhum Ustaz Fadhil Nor yang berbunyi, “kita mestilah kontemporari dalam tindakan, fundamental dari segi prinsip dan futuristik pada perancangan.”
Begitu juga al allamah Abu Ali Hasan an Nadwi pernah menyatakan, “al jam’u bainal qadiimis solihi wa biljadiidin nafi’I” (integrasi antara perkara lama yang baik dan penemuan baru yang bermanfaat) .

Alangkah baiknya sekiranya para pendakwah pada hari ini bertindak dengan penuh kebijaksanaan dalam memahami waqi,zaman dan suasana. Islam itu terlalu indah, terpulang kepada kita yang mempromosikan Islam kepada orang ramai. Etika kita, personality, penyampaian dan segala yang bersangkut paut dengan tugas kita sebagai promoter mestilah dititik beratkan supaya masyarakat menerima baik penjelasan kita. Kalaupun mereka tidak membeli produk kita, sekurang-kurangnya mereka faham dan tahu hakikat produk itu.


Dalam proses memutuskan sesuatu hukum, antara prinsip yang dipandang berat oleh para ulama ialah “taghayyurul ahkami bitaghayyuriz azmaani” (perubahan hukum berdasarkan perubahan zaman). Prinsip ini sangat jelas signifikannya dengan ABC. Betul tak?

NESLO


“Macam mana pulak dengan neslo? Apa kaitannya dengan dakwah?” saya meneruskan munaqasyah yang menarik pada petang itu dengan penuh minat.


“Neslo tu diperbuat daripada dua jenis perisa iaitu nescafe dan milo kan. Hasilnya, ramai orang tertarik dengan minuman ni walaupun rasanya taklah best sangat.” Nakib yang bergelar Along dalam usrah ghuraba’ ini membuat penjelasan menarik.


Intipati dalam Islam sudah tentu banyak yang ‘berperisa’ milo, nescafe dan lain-lain, bahkan jauh lebih lazat berbanding perisa-perisa yang disebutkan. Kemampuan kita untuk memvariasi penyampaian dakwah sudah tentu akan memberi natijah yang cemerlang dan menarik minat mad’u. Kita mesti kreatif, jangan hanya bergantung kepada satu sumber sahaja.


Usah kita mengecilkan skop dakwah semata-mata kerana kejahilan kita sendiri, jalan dakwah terlalu luas, produknya pula amat indah, pelanggannya di sana-sini. Terserah kepada kebijaksanaan kita. Selamat berdakwah dalam dimensi yang lebih luas. Anda mampu mengubahnya!!

Read more...

Saturday, 22 November 2008

Kisah Lucu Berwawasan...Jundullah in Progress


~Kisah ini saya ambil dari blog nakib usrah Ghuraba' iaitu abang Ihsan. Untuk tatapan teman-teman sekalian. Semoga dapat mengambil pengajaran. Indahnya ukhuwwah, bahagianya berusrah, demi kemajuan ummah. Terimalah, di suatu malam, apabila ahli Ghuraba' Corporation bermesyuarat....~


Malam ini, usrah sekali lagi berlangsung dalam bilik saya. Sembang-sembang dakwah, makan-makan ukhuwah dengan sedikit cerita-cerita dari penglipulara.


Saya cuba berkongsi pengalaman membeli laptop baru dengan skim baru, bayar jarang-jarang. Namun atas budi bicara sahabat baik, semuanya berjalan lancar. Akhirnya laptop BENQ yang paling sejuk ini menjadi milik saya.


Jundullah dalam pembinaan.

“ As’ad, minat nta apa?”
“ Eleh Abg Ihsan buat-buat tanya, macam tak tahu pulak..”
“ Ok, cita-cita nta apa..”

“ Ana ingat nak jadi pakar dalam bidang ICT. Kalau boleh, ana nak mahir dari sebesar-besar hardware sehing kepada sekecil-kecil software” , Jelas A’sad panjang tentang minatnya yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat.

“ Nanti kita buat kerjasama, nta jadi manager, ana jadi pereka grafik..tu memang minat ana kan Abg Ihsan..?”Amirul pula mencelah menyatakan minatnya sejak kecil. Bidang lukisan.

“ Lepas tu kita buat kerjasama, kita buka syarikat garfik tau...” gurau As’ad lagi.


Jauh imaginasi mereka. Biarpun jauh, ianya imaginasi yang cemerlang. Perangkaan awal yang bakal menjurus ke arah itu tanpa sedar. Insyaallah, aku akn menjadi pemangkinnya.

“ Alang-alang tubuh syarikat, biar terus jadi syarikat yang besar, buatlah ghuraba’ corp-( nama usrah).” Saya cuba memprovokasi.
Semuanya tergelak.

“ nta Marwan..?”
“ Ana macam Abg Ihsan tengok la.. tapi ana nak ikut ikon ana, Us Zaharuddin dan Tok Guru..” jelas Marwan. Minatnya mendalam dalam bidang syariah dan usul fiqh, juga ekonomi.

“ Wah, ni dah boleh jadi penasihat syariah Ghuraba’ Corp ni..” gurau As’ad lagi.
Sekali lagi tawa berderai.

“ Fakhri!”. “ Nta nak jadi apa..?”
Fakhri yang sedikit pemalu itu agak tersipu untuk menjawab persoalan saya.

“ Ana nak jadi orang biasa jah..ermm, nak jadi peguam syar’ie” tak jadi untuk waqaf di perkataan ‘biasa’ bila membulatkan mata tanda ‘provokasi’ lagi.

“ Haa, yang ni pulak bakal menjadi penasihat undang-undang Ghuraba’ Corp.” Ramai-ramai menyambung.

“ Habis tu, ana nak pegang apa..? saya bertanya.

“ Abang pegang ketua Guard... macam pak guard DQ..” As’ad berseloroh.
Sekali lagi tawa berderai.

Saya tersenyum puas. Biarpun hanya dikurniakan pangkat pak guard kepada Wisma Ghuraba’ nanti.Mereka ada matlamat hidup yang jelas. Saya hanya perlu membentuk dan menggilap karekter mereka. Bukan membunuh karekter atas alasan dakwah.

Insyaallah, Jundullah Thaqafatan W Akhlaqan bakal menggegar dunia.

Read more...

Mobilasi..Pengajaran daripada az Zabaih




Dalam proses membina sebuah pasukan yang cemerlang dan mantap, semua anggota pasukan mestilah menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan. Skop tugasan yang diberikan tidak dapat tidak, wajib dilaksanakan sebaik mungkin. Allah SWT telah berfirman: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (as Saff:4)





Allah SWT telah memperumpamakan sesebuah barisan dan pasukan itu laksana sebuah bangunan kukuh. Semua ‘pihak’ memainkan peranan masing-masing sama ada atap, dinding, tiang dan lain-lain lagi. Cuba anda bayangkan jika semua komponen dalam bangunan tersebut memainkan peranan masing-masing kecuali atap. Apa yang akan terjadi?


Contoh lain pula ialah sebuah pasukan bola sepak mempunyai pemain-pemain yang sudah tentu mempunyai posisi masing-masing. Tidak wujud istilah ‘kau-kau’, ‘aku-aku’ ataupun, “kemenangan ini disebabkan aku seorang je.” Masing-masing memainkan peranan, gol dan dijaringkan ialah gol pasukan bukannya gol peribadi semata-mata. Pasukan bola sepak yang mantap terbentuk daripada pemain-pemain yang berada di posisi yang sesuai dengan potensi yang dimiliki.

‘Berada di posisi yang sesuai dengan potensi yang dimiliki’ ialah takrif mudah untuk konsep mobilasi. Tapi, kenapa saya kaitkannya dengan az zabaih (penyembelihan)?

“Malik, boleh enta terangkan kat ana apa maksud mobilasi dan kaitannya dengan penyembelihan?” Saya membuka bicara usai ia’adah (mengulang) hafazan al Quran pada suatu pagi.

“erm, mobilasi tu letak seseorang kat jawatan yang sesuai dengannya. Kaitannya dengan sembelihan?” Malik menjawab dan bertanya balik kepada saya. Saya tersenyum dan bersemangat untuk berkongsi idea baru yang saya dapat iaitu, zabaih dan mobilasi.

“mobilasi bermaksud kenal pasti potensi seseorang dan letak dia di posisi yang sesuai kan. Enta ingat tak hadis tentang ihsan?” saya mengulang balik jawapan yang diberikan Malik dan bertanya dia berkenaan hadis yang saya ingin kaitkan.

“an ta’budallaha ka’annaka tarahu….?” Malik menyebut hadis tentang ihsan sewaktu nabi saw disoal oleh Malaikat Jibril yang menyerupai seorang lelaki.

“bukan hadis tu, tapi hadis tentang ihsan dalam sembelihan dan pembunuhan.” Saya cepat-cepat memintas Malik sambil membaca hadis yang saya maksudkan.

Hadis tersebut bermaksud, “sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam semua perkara, apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhan dan apabila kamu menyembelih, maka elokkanlah penyembelihan. Dan hendaklah salah seorang daripada kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah ia melapangkan (merehatkan) binatang sembelihan.” (Muslim)

Hadis ini berada dalam kitab matan arbai’in al Imam Nawawi rahimahullah. Hadis ini juga pernah disyarahkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al Qaradawi dalam satu kuliahnya yang menyeru umat Islam berusaha dan bangkit menjadi pereka dan pembuat, bukan hanya sebagai pengguna.

“cuba enta tengok hadis ni dan kaitkannya dengan konsep mobilasi.” Saya menerangkan kepada Malik sambil menyatakan signifikan dalam hadis tersebut.

Signifikan yang saya gunakan untuk mengaitkannya dengan konsep mobilasi ialah, “Dan hendaklah salah seorang daripada kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah ia melapangkan (merehatkan) binatang sembelihan.”

“binatang sembelihan tu mestilah berada dalam keadaan yang selesa dan pisau hendaklah ditajamkan. Sudah tentu binatang tu nanti tak tersiksa dan lebih baik kualitinya.” Saya cuba meringkaskan ‘kuliah jalanan’ pada pagi itu memandangkan masa terlalu mencemburui kami. Sekarang masanya untuk bersiap untuk ke kuliah pula. Malik menunjukkan tanda faham dan setuju dengan idea baru itu sambil saya tersenyum puas dapat berkongsi ilmu baru dengan seorang rakan yang juga merupakan pemimpin sebuah organisasi yang mantap.








Kisah Abu Dzar dan mobilasi






Apabila kita membelek kitab-kitab sirah, maka kita akan menemui bahawa nabi saw dan para sahabat amat menekankan persoalan mobilasi ini sebagaimana kisah Abu Dzar al Ghifari. Sewaktu sedang ‘menawarkan’ sebuah jawatan kepada para sahabat, lantas Abu Dzar dengan sukarela menawarkan dirinya untuk jawatan tersebut. Namun nabi saw dengan kasih dan tegas telah bersabda, “wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah sedangkan ini ialah amanah dan ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat kecuali kepada sesiapa yang menunaikannya dengan sebenar-benarnya”

Abu Dzar al Ghifari merupakan seorang figur yang cukup hebat, kental imannya dan bersemangat dalam mentaati perintah Rasulullah saw. Akan tetapi itu bukannya jawapan dan syarat utama untuk memiliki sesebuah jawatan kerana masa depan diri sendiri di akkhirat kelak dan masa depan orang bawahan bergantung penuh kepada pelaksanaan kita terhadap sesuatu amanah tersebut. Perit kan.


Kisah Talut dan Mobilasi

Dalam al Quran, Allah SWT telah menukilkan sebuah kisah pemilihan seorang pemimpin pada zaman bani Israel iaitu Talut untuk memimpin sebuah bala tentera dalam satu peperangan dengan pasukan Jalut.


Firman Allah: “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: "Bagaimana Dia mendapat Kuasa memerintah Kami sedang Kami lebih berhak Dengan Kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.” (al Baqarah:247)

Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah menjelaskan sendiri sebab pemilihan Talut sebagai pemimpin kepada bani Israel pada waktu itu iaitu dari sudut kelebihan ilmu dan kekuatan tubuh badan meskipun Talut bukanlah seorang yang berharta. Hal ini berbeza sekali dengan majoriti manusia pada hari ini yang melihat aspek luar sahaja walaupun hakikatnya ia seorang yang berkudis dari sudut ilmu, iman dan pengalaman kepemipinan. Kita boleh lihat situasi ini dalam satu ‘drama’ di PWTC pada bulan Mac tahun depan. Pembahagian tender jawatan. Pelik bukan.



Islam Menekankan Prinsip Mobilasi


Islam merupakan sebuah agama yang amat menitikberatkan persoalan kepemimpinan dan mobilasi merupakan salah satu aspek yang diberi perhatian oleh Islam dalam usaha mewujudkan satu umat yang memimpin dunia. Sebelum ahli-ahli fikir Barat membuat ‘kitab-kitab’ untuk menghuraikan aspek mobilasi, Islam terlebih dahulu memperkatakannya dan telah lama dipraktikkan oleh baginda saw dan pemimpin-pemimpin Islam selepasnya.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (an Nisa’:58)

Read more...

Saturday, 8 November 2008

Hei Huffaz, Bebaskan Dirimu Dari Penjara Syurga!!


Mengharungi dunia yang makin renta
Menuntut kita bijak berwaspada
Kerna banyak penghuninya buta dan alpa
Buta ditusuk jarum hanyir penuh dosa
Alpa dek kerana terhantuk di dinding usang yang disangka istana


Tika ini, banyak yang sudah terlena
Seakan-akan mereka kini ditanam di pusara
Anggapan mereka,, pusara itu ialah syurga
Lalu bergembiralah mereka di singgahsana
Laksana raja tanpa takhta


Syurga itu bukannya seperti yang dimiliki si bedebah durjana
Sebagaimana dinyatakan Muhammad yang mulia
Si Kafir bersenang dengan kejahatan berwajah dosa
Sedang mereka pula tenang dengan kejahatan disangka pahala
Aduhai mereka tertipu dengan pesona nista


Hei huffaz penyelamat dunia
Bangkitlah dirimu dari lena
Usah terpedaya dengan sepinggan pahala berulamkan dosa
Demi sebutir permata berharga
Yang terselindung di celah-celah kaca


Hei huffaz yang terpenjara di syurga
Sedarilah, sulaman indah itu sebenarnya dosa
Jangan angankan ibadahmu itu bernatijah pahala
Barangkali yang disangka pahala itu hakikatnya celaka
Gara-gara lauk ibadahmu tanpa menghiraukan urusan dunia
Kerna baginda ada bersabda:
“Barangsiapa yang tak mengendahkan urusan muslimin,
maka ia bukan dari kalangan umatku”
Justeru,bebaskan dirimu dari penjara syurga


Hei huffaz berjiwa merdeka
Ayuh kita berderap bersama-sama
Satu nada, satu irama
Jadikan sekelumit ilmumu sebagai senjata
Secebis amal pula sebagai perisai panglima
Kita beraksi menawan kembali keadilan pusaka
Supaya kelak kita tak dimurkai-Nya


MarBu,
Usai Zuhur, 14:18
Ahad, 2 November 2008

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP