Friday, 28 November 2008

Ayam Golek, ABC & Neslo

“abg ihsan, petang ni ade iftar jam’ie usrah ghuraba’ di bilik ana,” saya menghantar mesej kepada naqib usrah sebagai makluman supaya semua dapat hadir iftar untuk puasa sunat hari Khamis. Inilah salah satu aktiviti mingguan usrah kami.


“ana nak makan ayam golek, abc dan neslo,” abang ihsan membalas mesej saya dengan gurauan ringkas.


Apabila masuk sahaja waktu berbuka, kami terus menjamah hidangan yang diisi di dalam talam walaupun tanpa pesanan sebentar tadi. Keesokannya, sewaktu berehat bersama-sama dengan ahli usrah yang lain usai mendirikan solat Asar, abang Ihsan cuba mendapatkan respon saya berkenaan kaitan antara menu yang dipesan semalam dengan dakwah yang sedang dijalankan pada hari ini. Agak payah saya hendak membuat tafsiran. Begitu juga dengan ‘adik-beradik’ saya yang lain.


“Boleh abang Ihsan terangkan?” Saya meminta jawapan daripada persoalan yang ditimbulkan.


“Cuba enta terangkan kat ana tentang proses bagaimana kita nak membuat ayam golek,” abang Ihsan menjawab sambil menyoal.


“Mula-mula, kita bersihkan dahulu ayam tu, cucikan ayam tu dari dalam dan luar,” Saya menjawab ringkas sambil dapat mengagak kaitannya dengan tajuk dakwah.


“Lepas tu?”, abang Ihsan bertanya lanjut.

“Kemudian, kita gaulkan ayam tu dengan rempah-ratus dan perap beberapa lama, lepas tu kita bakar.” Saya bercerita dengan penuh yakin.

“Baiklah, biar ana terangkan apa kaitannya dengan kehidupan sebagai seorang pendakwah. Mula-mula, kita bersihkan dahulu ayam tu. Maksudnya ialah proses tazkiatunnafsi hendaklah kita praktikkan dalm kehidupan ini. Sebagaimana kita membuang semua kekotoran di dalam ayam tu, begitu juga kita buang dan bersihkan segala kekotoran dalam diri kita.” Ujar nakib usrah ghuraba’ itu dengan penuh yakin.


“Kemudian kita gaulkan ayam tu dengan rempah-ratus yang pelbagai. Maksudnya di sini ialah seseorang itu wajib menambah nilai dirinya dengan ilmu dan pengalaman dari pelbagai bidang dan cabang. Proses memerap pula, kalau kita nak ayam tu lebih sedap, ia mesti berjalan sekurang-kurangnya satu hari. Kaitannya, kita mesti mendidik diri untuk istikamah dalam melakukan sesuatu. Selepas tu pula, ayam dibakar dan sedia dihidangkan.” Abang Ihsan menamatkan cerita tentang ayam golek.


“Alangkah enaknya hidangan ini untuk ‘santapan’ mad’u di luar.” Saya bermonolog sendirian.


Pada hari ini, kita dapat melihat wujud banyak ‘pendakwah bidan terjun’ yang tidak melalui proses sebagaimana ayam golek. Hasilnya cukup-cukup mengecewakan menyebabkan. Hanya kerana nilai setitik, susu sebelanga tercemar juga. Institusi dakwah dipandang rendah. Sifir popular yang meniti di bibir orang ramai pada hari ini ialah pendakwah=jumud, pendakwah=tradisional, pendakwah=ekstrem dan pelbagai lagi.
ABC


“ABC pulak, apa kaitannya?” Selesai sahaja penerangan tentang ayam golek, saya tak sabar-sabar nak tahu perihal menu kegemaran ramai itu dan kaitannya dengan dakwah.
“Cuba enta bagitau ana, apa bahan yang diletak dalam abc? Versi dulu dan sekarang.” Abang Ihsan menyoal kembali.


“ABC dulu simple je, sekarang pulak ditambah dengan ‘isi-isi’ lain. Macam nanas, nata de coco dan lain-lain.” Saya bercerita ringkas.
“tapi kita masih kekalkan bahan-bahan asasnya kan, contohnya ais dan sirap.” Abang ihsan menambah.


“kaitannya, dalam menjalankan dakwah ialah kita mestilah bijak menggerakkan dakwah berdasarkan zaman. Kepelbagaian yang berprinsip. Manhaj dan dasar kita masih kekalkan.” Ujar abang Ihsan.

Saya teringat satu kata-kata daripada mantan presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), almarhum Ustaz Fadhil Nor yang berbunyi, “kita mestilah kontemporari dalam tindakan, fundamental dari segi prinsip dan futuristik pada perancangan.”
Begitu juga al allamah Abu Ali Hasan an Nadwi pernah menyatakan, “al jam’u bainal qadiimis solihi wa biljadiidin nafi’I” (integrasi antara perkara lama yang baik dan penemuan baru yang bermanfaat) .

Alangkah baiknya sekiranya para pendakwah pada hari ini bertindak dengan penuh kebijaksanaan dalam memahami waqi,zaman dan suasana. Islam itu terlalu indah, terpulang kepada kita yang mempromosikan Islam kepada orang ramai. Etika kita, personality, penyampaian dan segala yang bersangkut paut dengan tugas kita sebagai promoter mestilah dititik beratkan supaya masyarakat menerima baik penjelasan kita. Kalaupun mereka tidak membeli produk kita, sekurang-kurangnya mereka faham dan tahu hakikat produk itu.


Dalam proses memutuskan sesuatu hukum, antara prinsip yang dipandang berat oleh para ulama ialah “taghayyurul ahkami bitaghayyuriz azmaani” (perubahan hukum berdasarkan perubahan zaman). Prinsip ini sangat jelas signifikannya dengan ABC. Betul tak?

NESLO


“Macam mana pulak dengan neslo? Apa kaitannya dengan dakwah?” saya meneruskan munaqasyah yang menarik pada petang itu dengan penuh minat.


“Neslo tu diperbuat daripada dua jenis perisa iaitu nescafe dan milo kan. Hasilnya, ramai orang tertarik dengan minuman ni walaupun rasanya taklah best sangat.” Nakib yang bergelar Along dalam usrah ghuraba’ ini membuat penjelasan menarik.


Intipati dalam Islam sudah tentu banyak yang ‘berperisa’ milo, nescafe dan lain-lain, bahkan jauh lebih lazat berbanding perisa-perisa yang disebutkan. Kemampuan kita untuk memvariasi penyampaian dakwah sudah tentu akan memberi natijah yang cemerlang dan menarik minat mad’u. Kita mesti kreatif, jangan hanya bergantung kepada satu sumber sahaja.


Usah kita mengecilkan skop dakwah semata-mata kerana kejahilan kita sendiri, jalan dakwah terlalu luas, produknya pula amat indah, pelanggannya di sana-sini. Terserah kepada kebijaksanaan kita. Selamat berdakwah dalam dimensi yang lebih luas. Anda mampu mengubahnya!!

3 comments:

~::sya_mujahidah::~ 20 December 2008 at 20:51  

salam...
suker artikel ni..
menarik..
mudah faham dalam konsep yg santai dan ringan

mujahidmarwan 20 December 2008 at 22:00  

santai n ringan...itulah kegemaran remaja pd hari ini...kita tambah pngisian...= santai+ringan+pengisian...berhikmahlah dalam berdakwah

Erma Fatiha 23 September 2010 at 22:51  

salam..suka artikel ini.minta izin untuk produce isi yg sama tetapi dalam bentuk yg berbeza.salam taaruf

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP