Saturday, 22 November 2008

Mobilasi..Pengajaran daripada az Zabaih




Dalam proses membina sebuah pasukan yang cemerlang dan mantap, semua anggota pasukan mestilah menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan. Skop tugasan yang diberikan tidak dapat tidak, wajib dilaksanakan sebaik mungkin. Allah SWT telah berfirman: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (as Saff:4)





Allah SWT telah memperumpamakan sesebuah barisan dan pasukan itu laksana sebuah bangunan kukuh. Semua ‘pihak’ memainkan peranan masing-masing sama ada atap, dinding, tiang dan lain-lain lagi. Cuba anda bayangkan jika semua komponen dalam bangunan tersebut memainkan peranan masing-masing kecuali atap. Apa yang akan terjadi?


Contoh lain pula ialah sebuah pasukan bola sepak mempunyai pemain-pemain yang sudah tentu mempunyai posisi masing-masing. Tidak wujud istilah ‘kau-kau’, ‘aku-aku’ ataupun, “kemenangan ini disebabkan aku seorang je.” Masing-masing memainkan peranan, gol dan dijaringkan ialah gol pasukan bukannya gol peribadi semata-mata. Pasukan bola sepak yang mantap terbentuk daripada pemain-pemain yang berada di posisi yang sesuai dengan potensi yang dimiliki.

‘Berada di posisi yang sesuai dengan potensi yang dimiliki’ ialah takrif mudah untuk konsep mobilasi. Tapi, kenapa saya kaitkannya dengan az zabaih (penyembelihan)?

“Malik, boleh enta terangkan kat ana apa maksud mobilasi dan kaitannya dengan penyembelihan?” Saya membuka bicara usai ia’adah (mengulang) hafazan al Quran pada suatu pagi.

“erm, mobilasi tu letak seseorang kat jawatan yang sesuai dengannya. Kaitannya dengan sembelihan?” Malik menjawab dan bertanya balik kepada saya. Saya tersenyum dan bersemangat untuk berkongsi idea baru yang saya dapat iaitu, zabaih dan mobilasi.

“mobilasi bermaksud kenal pasti potensi seseorang dan letak dia di posisi yang sesuai kan. Enta ingat tak hadis tentang ihsan?” saya mengulang balik jawapan yang diberikan Malik dan bertanya dia berkenaan hadis yang saya ingin kaitkan.

“an ta’budallaha ka’annaka tarahu….?” Malik menyebut hadis tentang ihsan sewaktu nabi saw disoal oleh Malaikat Jibril yang menyerupai seorang lelaki.

“bukan hadis tu, tapi hadis tentang ihsan dalam sembelihan dan pembunuhan.” Saya cepat-cepat memintas Malik sambil membaca hadis yang saya maksudkan.

Hadis tersebut bermaksud, “sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam semua perkara, apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhan dan apabila kamu menyembelih, maka elokkanlah penyembelihan. Dan hendaklah salah seorang daripada kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah ia melapangkan (merehatkan) binatang sembelihan.” (Muslim)

Hadis ini berada dalam kitab matan arbai’in al Imam Nawawi rahimahullah. Hadis ini juga pernah disyarahkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al Qaradawi dalam satu kuliahnya yang menyeru umat Islam berusaha dan bangkit menjadi pereka dan pembuat, bukan hanya sebagai pengguna.

“cuba enta tengok hadis ni dan kaitkannya dengan konsep mobilasi.” Saya menerangkan kepada Malik sambil menyatakan signifikan dalam hadis tersebut.

Signifikan yang saya gunakan untuk mengaitkannya dengan konsep mobilasi ialah, “Dan hendaklah salah seorang daripada kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah ia melapangkan (merehatkan) binatang sembelihan.”

“binatang sembelihan tu mestilah berada dalam keadaan yang selesa dan pisau hendaklah ditajamkan. Sudah tentu binatang tu nanti tak tersiksa dan lebih baik kualitinya.” Saya cuba meringkaskan ‘kuliah jalanan’ pada pagi itu memandangkan masa terlalu mencemburui kami. Sekarang masanya untuk bersiap untuk ke kuliah pula. Malik menunjukkan tanda faham dan setuju dengan idea baru itu sambil saya tersenyum puas dapat berkongsi ilmu baru dengan seorang rakan yang juga merupakan pemimpin sebuah organisasi yang mantap.








Kisah Abu Dzar dan mobilasi






Apabila kita membelek kitab-kitab sirah, maka kita akan menemui bahawa nabi saw dan para sahabat amat menekankan persoalan mobilasi ini sebagaimana kisah Abu Dzar al Ghifari. Sewaktu sedang ‘menawarkan’ sebuah jawatan kepada para sahabat, lantas Abu Dzar dengan sukarela menawarkan dirinya untuk jawatan tersebut. Namun nabi saw dengan kasih dan tegas telah bersabda, “wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah sedangkan ini ialah amanah dan ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat kecuali kepada sesiapa yang menunaikannya dengan sebenar-benarnya”

Abu Dzar al Ghifari merupakan seorang figur yang cukup hebat, kental imannya dan bersemangat dalam mentaati perintah Rasulullah saw. Akan tetapi itu bukannya jawapan dan syarat utama untuk memiliki sesebuah jawatan kerana masa depan diri sendiri di akkhirat kelak dan masa depan orang bawahan bergantung penuh kepada pelaksanaan kita terhadap sesuatu amanah tersebut. Perit kan.


Kisah Talut dan Mobilasi

Dalam al Quran, Allah SWT telah menukilkan sebuah kisah pemilihan seorang pemimpin pada zaman bani Israel iaitu Talut untuk memimpin sebuah bala tentera dalam satu peperangan dengan pasukan Jalut.


Firman Allah: “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: "Bagaimana Dia mendapat Kuasa memerintah Kami sedang Kami lebih berhak Dengan Kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.” (al Baqarah:247)

Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah menjelaskan sendiri sebab pemilihan Talut sebagai pemimpin kepada bani Israel pada waktu itu iaitu dari sudut kelebihan ilmu dan kekuatan tubuh badan meskipun Talut bukanlah seorang yang berharta. Hal ini berbeza sekali dengan majoriti manusia pada hari ini yang melihat aspek luar sahaja walaupun hakikatnya ia seorang yang berkudis dari sudut ilmu, iman dan pengalaman kepemipinan. Kita boleh lihat situasi ini dalam satu ‘drama’ di PWTC pada bulan Mac tahun depan. Pembahagian tender jawatan. Pelik bukan.



Islam Menekankan Prinsip Mobilasi


Islam merupakan sebuah agama yang amat menitikberatkan persoalan kepemimpinan dan mobilasi merupakan salah satu aspek yang diberi perhatian oleh Islam dalam usaha mewujudkan satu umat yang memimpin dunia. Sebelum ahli-ahli fikir Barat membuat ‘kitab-kitab’ untuk menghuraikan aspek mobilasi, Islam terlebih dahulu memperkatakannya dan telah lama dipraktikkan oleh baginda saw dan pemimpin-pemimpin Islam selepasnya.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (an Nisa’:58)

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP