Wednesday, 24 December 2008

Put First Things First: Apakah Keutamaan Kita Yang Sebenarnya? (2)



Put first things first: Mahasiswa yang terpenjara di syurga

Ini isu lama dan sentiasa diulang-ulang. Sikap terlalu mementingkan akademik sehingga seolah-olah membiarkan dirinya terpenjara di dalam syurga yang dilihat indah. Apatah lagi mereka yang mengambil Islamic study, terasa seolah-olah diri mereka maksum. Berada di taman-taman syurga. Individualistic yang kononnya bersyariat.

Walhal, mereka sebenarnya tertipu dengan diri sendiri. Mana mungkin dinamakan kebaikan sekiranya hal ehwal rakan, jiran, masyarakat dan umat Islam terabai. Kata mereka, inilah aulawiyyatnya. Kata saya, di mana signifikan aulawiyyat tersebut? Sebab sikap ini berlawanan dengan hadis nabi saw: “barangsiapa yang tak mengambil berat urusan umat Islam, maka ia bukan dari kalangan umat Islam”

Memang kita nampak seakan-akan baik amalan tersebut. Akan tetapi perlu diingat, jangan menyangka apa yang baik di mata kita, maka ia baik di sisi Allah.

Sebagaimana firman Allah: ”Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. “ (al Baqarah: 216)

Keupayaan syaitan yang diizinkan oleh Allah SWT untuk menghias sesuatu amalan buruk itu dilihat baik menyebabkan kita tertipu. Terpenjara di dalam ‘syurga’. Kita tertipu, umat tersadai tanpa pembelaan. Strategi syaitan sudah hampir berjaya. Kelalaian kita semuanya nampak indah belaka.

“Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan. “ (al An’am:43)

Put first things first: Apa yang hendak dicapai dalam program?

Setelah kita berfikir, merancang dan membuat strategi dengan sebaiknya, setelah melalui proses begin with the end in mind. Kita tahu visi dan misi, sebab dan akibat, tentatif dan objektif. Maka tindakan seterusnya ialah memastikan program berjalan dengan lancar sebagaimana dirancang. Apa modul dan pengisian yang menjadi priority dalam program. ‘Semangat berpasukan’? ‘Jihad dan pengorbanan’? ‘Tuntutan kepemimpinan Islam’?

Atau hanya sekadar provokasi yang retorik dan langsung tidak realistik ataupun ragging dan ‘penderaan’ yang menguasai hampir 90% sepanjang program berlangsung?

Tidak salah provokasi, malah ini ialah antara teknik terbaik dalam mencungkil keberanian, keyakinan, ketawadukan dan keupayaan berfikiran bombastik. Asalkan provokasi itu realistik. Sifirnya mudah, provokasi+realistik=bombastik. Manakala provokasi+tidak realistik=retorik.

Begitu juga ragging dan ‘penderaan fizikal’ atau dalam bahasa yang lebih sopan ujian ketahanan fizikal. Bukannya satu dosa. Apabila kita mampu bersabar menghadapi ‘penderaan’ fizikal, insyaAllah tandanya kita mampu bersabar apabila berhadapan dengan ‘penderaan’ jiwa. Tapi masih mengikut kesesuaian program. Apa temanya, siapa pesertanya dan apakah corak kursus ataupun program ini. Mesti relevan. Kalau tidak, maka hasilnya makin parah malah akan membarah.

Namun begitu, jangan pula menjadikan ragging ini sebagai ‘menu’ dan agenda utama dalam sesuatu program. Itu tandanya hati kita sedang bergolak dengan matlamat sebenar. Maka natijahnya akan bergolak juga. Para peserta hanya akan turun egonya kepada fasilitator, tapi masih angkuh dengan Yang Maha Esa. Lalu akhirnya, peserta yang diharapkan untuk meneruskan perjuangan inilah yang paling awal futur dan kecundang dalam medan yang sebenar. Nauzubillah.

Put first things first: Sikap kita yang memulakannya

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (ar Ra’du:11)

Sikap mempunyai pengaruh terbesar dalam sesuatu tindakan dan berperanan major sebagai decision maker. Sikap kitalah yang meletakkan solat berjemaah, tazkirah, usrah, berbudi, berlapang dada dan sebagainya sebagai pasir-pasir yang tak bernilai. Sikap kita juga yang menyebabkan amalan menonton televisyen (yang tak berfaedah), cinta songsang, melepak, sembang kosong, membuang masa dan lain-lain menjadi begitu bernilai dalam kehidupan kita. Kaca yang dianggap permata.

Sikap inilah juga yang menyebabkan ketewasan para pendakwah, kegilaan untuk win-lose dalam menyampaikan dakwah bukannya win-win. Mad’u hanya terlopong dengan dada yang berkecamuk selepas kesalahannya dikecam. Daie pula tersenyum girang kononnya menjadi juara dengan dakwah yang langsung tak berhikmah. Worthless.

Sikap Rasulullah saw dalam perjanjian Hudaibiah

Rasulullah saw mempamerkan sikap beliau yang menitik beratkan soal priority ini dalam peristiwa perjanjian Hudaibiah. sewaktu sedang berunding dengan Suhail bin Amru dalam perjanjian itu, tiba-tiba Suhail bin Amru membantah penggunaan kalimah ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dan menyuruh Rasulullah saw menukarnya. Saidina Ali yang berada di sisi baginda pada waktu itu naik marah dan enggan melayan permintaan tersebut. Akan tetapi Rasulullah saw mengarahkan Saidina Ali menukar kalimah itu kepada ‘Bismikallahumma’ dan kemudiannya ditukar.

Seterusnya Suhail bin Amru yang mewakili pihak musyrikin Mekah membantah penggunaan title Rasulullah pada nama baginda saw. Beliau menganggap tindakan itu seolah-olah menunjukkan beliau redha Muhammad bin Abdullah sebagai Rasulullah saw. Kali ini, Saidina Ali bertambah berang dan tidak mahu memadam title tersebut. Akhirnya, baginda saw sendiri yang memadamkan title itu sekalipun baginda merupakan Rasulullah saw.

Iktibar daripada sirah ini ialah baginda dengan penuh bijaksana memilih yang mana keutamaan berdasarkan situasi pada waktu itu. Meskipun baginda berprinsip, tapi baginda saw tidak jumud dan memandang masa depan umat baginda menerusi perjanjian yang cukup penting itu. Bagaimana pula dengan kita?


Kisah Deborah mencari outer success
Pengarang buku ‘Men Are from Mars, Women Are from Venus’, John Gray dalam buku beliau, ‘How to Get What You Want and Want What You Have’ menceritakan beberapa kisah di awal buku tersebut.

Salah satunya ialah kisah seorang wanita yang bernama Deborah yang bekerja keras untuk mencapai outer success sehingga dia cuai akan dirinya sendiri dan gagal mendapat ketenangan dan kebahagiaan (inner success). Deborah terlalu sibuk dan masih belum mempunyai suami.

Akhirnya, Deborah tersedar kesilapannya menilai yang mana satu keutamaan lantas menukar ‘cara hidup’nya dan menemui kebahagiaan yang sebenar. Dia berkahwin dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bahagia.

Berdasarkan kisah-kisah di atas, menunjukkan pemilihan keutamaan itu berada di dalam genggaman kita. Maksud ‘dalam genggaman kita’ dalam diari seorang muslim sudah tentu masih tak terkeluar daripada orbit qadha’ dan qadar dan akidah yang suci.

Jadi penyelesaiannya juga sudah pasti bermula dari dalam diri kita. Kita sewajibnya menilai balik apakah keutamaan yang menjadi rempah dan rencah dalam kehidupan kita selama ini. Adakah kita hanya memakan nasi yang dicampur dengan kunyit tanpa garam? Ataupun ayam goreng yang tak disembelih menurut syariat?

Muhasabah ini amat diperlukan kerana sikap kita yang meletakkan sesuatu perkara sebagai keutamaan akan menghasilkan kesan yang besar. Persoalannya, apakah keutamaan kita selama ini? Jawablah di dunia ini dahulu sebelum kita ditanya di hadapan Allah satu hari nanti.


Cetusan minda,
MarBu,
23:54,
Selasa (23 Disember 2008)

Read more...

Put First Things First: Apakah Keutamaan Kita Yang Sebenarnya?(1)

Sewaktu sedang mengemaskan beg untuk dibawa pulang sempena cuti pertengahan semester dua baru-baru ini, saya berhasrat untuk hanya membawa pulang sebuah beg yang cukup hanya dibawa dengan tangan. Tidak terlalu berat dan bukannya ringan tanpa sebarang isi. Apatah lagi emak sudah berpesan supaya jangan membawa balik terlalu banyak pakaian memandangkan musim tengkujuh sedang bertamu di Terengganu.

Maka sudah semestinya saya perlu bijak memilih apa yang perlu dibawa pulang dan apa yang boleh dibiarkan untuk menghuni bilik yang berkatil dua ini selama kira-kira sembilan hari cuti. Beberapa helai baju,seluar, kopiah, cadar untuk ditukar, beberapa buah buku di samping menggalas untuk beg yang berisi laptop. ‘Menu’ lain yang dirasakan tidak perlu, eloklah jika ditinggalkan sahaja.

Sebelum bertolak menaiki bas yang akan membawa semua siswa dan siswi yang berasal dari Terengganu, saya meneliti sekali lagi supaya barang-barang yang sudah dikemas elok tidak tertinggal. Kalau tertinggal, alamaknya saya perlu menunggu sehingga seminggu kemudian kerana kampus sudah bercuti dan jarak antara tempat tinggal saya dan kampus DQ pula jauh.

Ketika itulah saya terfikir dengan satu buku yang saya beli di Kedai Buku MPH, Mid Valley kira-kira dua bulan yang lalu. ‘The Seven Habit of Highly Effective People’ karangan Stephen R. Covey. Buku yang telah mengalami translation kepada berpuluh-puluh bahasa di seluruh dunia ini cukup signifikan buat diri saya yang sedang mencari kaedah terbaik untuk memahami manusia dan membina personality diri.

Dalam buku ini, Covey meletakkan habit ataupun tabiat Put first things first sebagai tabiat yang ketiga selepas be proactive dan begin with the end in mind. English proverb ada menyebut iaitu first important priority manakala orang kita popular dengan kata-kata ‘utamakan yang lebih penting’. Dalam bahasa Arab pula, konsep ini dikenali sebagai aulawiyyat.

Berbalik kepada cerita di atas, ia lebih menjurus kepada kemahiran saya dalam memastikan beberapa perkara yang saya anggap sebagai keutamaan dan penting mestilah dibawa pulang sekali. Sebagai contoh, saya menganggap laptop saya sebagai barang terpenting dan ‘wajib’ dibawa pulang bersama-sama. Begitu juga external hard disk yang menjadi pilihan saya untuk menyimpan maklumat-maklumat, bukannya internal hard disk. Kelalaian saya meni nggalkan kedua-dua alat canggih ini secara peribadinya akan mengecewakan saya. Walaupun cerita ini agak simple, namun tersirat pelbagai pengajaran untuk kita dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim.

“Cuba anda bayangkan, ini bekas yang berisi air manakala di luarnya pula batu-batu besar dan kecil serta pasir-pasir halus. Bagaimana caranya kalau kita nak pastikan kesemuanya dapat dimuatkan dalam bekas tersebut?” saya menimbulkan persoalan ini sewaktu ‘berlagak’ sebagai seorang kaunselor semasa sesi ‘public speaking’ ketika tiba giliran saya dalam matapelajaran Kaunseling.

“Cara terbaik ialah kita masukkan batu-batu besar terlebih dahulu, kemudian batu-batu kecil dan seterusnya pasir-pasir yang halus. Sebaliknya, kalau kita utamakan pasir-pasir halus dahulu, kemudian batu-batu kecil dan seterusnya batu-batu besar sebagai ‘bahan terakhir’, maka kemungkinan beberapa batu besar akan tercicir kerana tak termuat.” Saya menambah dengan penuh yakin.

Adakah kita terfikir, bagaimana sekiranya batu-batu besar yang tercicir itu ialah solat berjemaah, usrah, jemaah, pelajaran, taat kepada ibu bapa dan masa bersama keluarga? Manakala batu-batu kecil yang menjadi muatan awal itu pula ialah menonton televisyen, melepak, bermain game dan bersembang yang bukan-bukan? Bukankah itu satu kerugian yang nyata?

Persoalannya ialah, apakah yang menjadi keutamaan kita? Solat berjemaah? Menonton televisyen? Menghadiri konsert? Chatting? Couple? Dakwah? Study? Kita bermuhasabah sejenak dan merenung apa keutamaan kita selama ini. Adakah pasir-pasir halus yang kadang-kadang langsung tak bernilai merupakan priority kita selama ini? Sila bertanya kepada diri, kemudian jawablah dengan jujur.

Jika anda ingin menikmati air batu campur, maka bahan-bahan asas seperti ais, susu dan sirap mestilah diutamakan. Kalaulah ketiadaan nata de coco,jagung dan nanas, maka ia tidaklah menjadi masalah. Because the important ingredients in the making of abc are ice, syrup and milk. The absence of the others like ice cream, cherry and nata de coco is not a problem.


Put first things first: Pendakwah yang gagal


Yang menjadi masalah ialah apabila kita mengutamakan sesuatu yang kurang dari sudut kepentingannya berbanding keutamaan lain yang kita telah remeh temehkan. Things which matter most must never be at the mercy of things which matter least, ini kata-kata Goeter sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Covey sebelum memulakan diskusi mengenai habit yang ketiga ini. Sebaliknya, kita meletakkan benda yang penting itu ke belakang berbanding sesuatu yang kurang penting. Meaningless.

Seperti kisah pendakwah yang sanggup meninggalkan dakwah semata-mata tak mahu menanggalkan serban yang merupakan sunnah. Saya tak berniat memandang kecil sunnah memakai serban ini, tapi sebaik-baiknya kita bijak memilih mana yang lebih aula. Apa salahnya kita menyimpan buat seketika waktu serban daripada membiarkan umat terus dalam kejahilan. Menyimpan jubah buat sementara lebih utama daripada membiarkan rancangan- rancangan agama ‘dipaneliskan’ oleh ahli-ahli panel yang hanya pandai berhikayat, merapu dengan kisah-kisah israeliyyat. Cadangan ini jika serban dan jubah menjadi fobia dalam kalangan masyarakat ataupun menjadi prasyarat sebelum menjadi ahli panel dalam mana-mana rancangan.




Begitu juga perihal pendakwah yang telah mencemarkan imej orang-orang agama apabila wujud golongan yang keluar atas nama dakwah selama berpuluh-puluh hari sedangkan anak isteri di rumah kebuluran dan terbiar. Ini dakwah ke dakyah? Tidak mengapa outstation demi dakwah, tetapi pastikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga tak terabai. Contoh-contoh seperti Imam Hasan al Banna, Almarhum Ustaz Rahmat Abdullah, Almarhum Ust Fadhil Noor dan banyak lagi menunjukkan keseimbangan dan kekreatifan dalam persoalan ini. Isteri memahami, suami pula tak terlebih faham.

Read more...

Monday, 8 December 2008

Berkorban Jangan Sampai Terkorban




Setelah beribu-ribu tahun kisah benar yang penuh menyayat hati antara dua watak, nabi Ibrahim as dan nabi Ismail as iaitu peristiwa pengorbanan maha besar dalam sejarah kehidupan manusia. Nabi Ibrahim as meninggalkan isteri keduanya, Siti Hajar yang sedang sarat mengandung di Makkah sendirian selepas satu pengembaraan dari Baitul Maqdis yang amat jauh jaraknya. Setelah beberapa lama, nabi Ibrahim pulang ke Makkah dan ketika itu anaknya telah besar. Tiba-tiba turun pula arahan dari langit supaya nabi Ibrahim menyembelih nabi Ismail yang dikasihi.

“Abah dah lama meninggalkan saya dan emak! Tanpa sebarang khabar berita, tiba-tiba sahaja pulang, abah nak sembelih saya. Abah gila ke?!”

Mungkin inilah jawapannya sekiranya kisah ini dilakonkan dan tak mustahil ini juga jawapannya jika peristiwa ini berlaku kepada kita yang sentiasa turun naik imannya. Tapi, nabi Ismail as tidak begitu. Tanpa sebarang soal, si anak dengan rela mentaati perintah bapanya walau kasihnya kepada si bapa setinggi awan di langit. Semuanya gara-gara ketaatan seratus peratus kepada Allah SWT.

Sehingga hari ini kisah dramatik ini masih segar dalam ingatan kita umat islam. Walau tak ditonton di depan mata, namun akidah yang bersumberkan wahyu menyebabkan kita percaya satu persatu kalimah yang keluar dari lisan suci milik insan bernama Muhammad saw. Pengajarannya diambil silih berganti, dari generasi ke generasi dan dikaitkan dengan kehidupan yang sedang diharungi oleh semua golongan sama ada pekerja, pelajar, pemimpin, penyokong, pendokong, institusi kekeluargaan dan juga para pejuang.

Apatah lagi jika kita membelek kitab Allah dan sunnah rasul-Nya, maka kita akan mendapati ayat-ayat yang menganjurkan supaya membuat pengorbanan itu terlalu banyak. Bermula dari surah al Baqarah sehinggalah ke surah-surah yang lain. Perintah supaya mengorbankan harta dan jiwa raga datang berterusan seolah-olah mengajarkan kepada umat Islam satu sifir mudah, muslim=berkorban.

Malah apabila kita membuka kitab-kitab sirah, sudah tentu kita akan menemui kisah-kisah nabi saw dan para sahabat yang berkorban tanpa mengenal erti penat lelah, ithar mereka berada pada tahap yang luar biasa. Pengorbanan Saidina Ali yang berani berada di atas tempat tidur nabi saw ketika peristiwa hijrah, pengorbanan Saidina Abu Bakar yang menginfakkan harta benda pada jalan Allah sehingga tiada apa-apa lagi bersamanya melainkan Allah dan Muhammad saw, pengorbanan para sahabat dalam peperangan Uhud yang sanggup menjadikan batang tubuh mereka sebagai perisai sewaktu tentera kuffar mahu membunuh nabi saw dan banyak lagi kisah-kisah yang tak termuat jika saya letakkan di ruangan ini.

Akan tetapi, prinsip pengorbanan seperti yang dianjurkan islam makin lama makin terhakis dan lebih parah lagi banyak yang sudah tersilap faham erti pengorbanan yang sebenar. Tulisan saya pada kali ini bukannya untuk memberi motivasi supaya kita kembali menyedari hakikat pengorbanan kerana saya percaya sudah cukup banyak individu yang memberi teguran sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan berkenaan isu ini. Sebaliknya, saya ingin mengikis satu bentuk salah faham tentang erti pengorbanan yang sebenarnya sehingga menyebabkan krisis ‘silap fahamism’ yang cukup jelas.

Mahasiswa yang terkorban

“Demi Islam, aku sanggup berkorban. Kita berjuang kerana Allah, sudah tentu Allah akan tolong kita. In tansurullah, yansurkum.”

Inilah antara hujah yang biasa didengari keluar dari bibir ‘pejuang-pejuang muda’ di peringkat kampus. Tidak mengapa jika semangat pengorbanan mereka meninggi ke langit sekalipun, namun yang mengecewakan ialah apabila apabila mereka ‘hyper-korban’ sehingga mereka ‘terkorban’ di kuliah, di hadapan buku-buku dan lebih ngerinya ialah akhirnya keputusan peperiksaan mereka terkorban juga.

Saudara Dzulkhairi, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) pernah dalam satu ucapannya, beliau menyatakan bahawa sepatutnya mereka yang terlibat dalam perjuangan di alam kampus mendapat keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan kerana mereka ternyata lebih hebat apabila melakukan dua tugas sekaligus iaitu tugas sebagai pelajar dan sebagai aktivis perjuangan.

Ustaz Hasrizal Abdul jamil pula menggelarkan fenomena ini sebagai jenayah akademik dalam kalangan mahasiswa. Bahkan, tidak semena-mena pengorbanan yang tersasar ini akan menjadi fitnah buat para mahasiswa dan sudah tentu akan menjadi ‘alasan yang berdalil’ buat mereka yang tewas sebelum berjuang.

Ketua keluarga yang terkorban

Saya teringat satu babak dalam filem Sang Murabbi iaitu sewaktu datang seorang isteri yang mengadu perihal suaminya kepada Ustaz Rahmat. Si isteri itu menyatakan suaminya terlalu sibuk dengan perjuangan dakwah sehingga mengabaikan anak-anak dan isteri. Ustaz Rahmat sebagai seorang murabbi yang cukup dihormati mendengar dengan teliti aduan tersebut.

Kesesokannya, ustaz rahmat memperbetul salah faham berhubung hal itu dalam satu kuliahnya. Bahkan, beliau sendiri menunjukkan teladan yang baik walaupun sibuk dengan perjuangan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) saban hari. Teladan dalam keluarga sama ada dengan isteri ataupun anak-anak.

Terdapat juga pejuang yang tersilap berkorban apabila menginfakkan harta bendanya kepada perjuangan sehingga menyebabkan nafkah kepada anak dan isteri terabai. Sedangkan kalau kita melihat teladan yang telah ditunjukkan oleh al Imam al Mujaddid Hasan al Banna, beliau cukup mengambil berat soal nafkah dan perbelanjaan isi rumah sebagaimana yang telah diceritakan anak beliau, Saiful Islam. Dibimbangi, pengorbanan seperti ini menyebabkan individu yang terlibat bermaksiat dalam perjuangan. Na’uzubillah.

Berkorban ala Zainab al Ghazali


Siapa tidak kenal Zainab al Ghazali, sayyidatul mujahidat yang lebih hebat dan lasak dalam mendepani perjuangan berbanding rijal-rijal bacul. Keberaniannya amat sukar ditandingi dan merupakan permata keluaran Ikhwanul Muslimin yang tak ternilai. Sudah tentu kita amat berharap muslimat pada hari ini akan mencontohi kelibat insane satu dalam seribu ini.

Namun begitu, niat yang murni sedikit terjejas apabila ‘kesilapan teknikal’ sewaktu berkorban demi Islam. Jika kisah di atas melibatkan ketua keluarga, kali ini ia berkisar pengabaian tanggungjawab oleh si isteri merangkap ibu kepada anak-anaknya. Akibatnya, institusi kekeluargaan menjadi tempang. Pengorbanan luar biasa ini tiada masalah jika si suami memahami dan sudi membantu dan merendahkan ego bekerjasama bersama-sama isteri.

Contoh yang paling jelas, Dr Lo’lo’ Ghazali, Wan Ubaidah dan Dr. Siti Mariah yang merupakan antara ikon muslimat pendokong perjuangan yang bijak bekorban tanpa mengorbankan diri sendiri.

Begitulah beberapa bentuk salah faham dalam pengorbanan. Mengapa perlu menjadi lilin, menerangi orang lain sehingga diri sendiri terkorban. Akan tetapi jadilah pelita, menerangi orang lain dan diri sendiri pun tak terkorban. Tulisan ini hanyalah pandangan peribadi saya dan tidak bermaksud menakut-nakutkan pembaca untuk berkorban selepas ini. Sebaliknya hanyalah garis panduan bersama sebelum berkorban.

Secara jujur, saya mengakui saya bukanlah insan yang layak untuk menghuraikan isu ini sementelah lagi saya sendiri yang masih di alam kampus dan belum masuk kealam rumah tangga. Semoga cetusan idea ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama dan sebarang komen dan kritikan amat dialu-alukan. Intihannya, ayuh kita berkorban demi Islam, tetapi pastikan kita tak terkorban tanpa sebarang sebab.

Read more...

Monday, 1 December 2008

HUFFAZ, BEBASKAN DIRIMU DARI PENJARA SYURGA!! (version II)

HUFFAZ, BEBASKAN DIRIMU DARI PENJARA SYURGA!!

Mengharungi dunia yang makin renta
Menuntut kita bijak waspada
Kerna banyak penghuninya buta dan alpa
Buta ditusuk jarum maksiat karat-karat dosa
Alpa, terhantuk dinding usang disangka istana

Tika ini,
Banyak yang terkorban
Mereka ditanam
Dikebumikan di kuburan
Sangka mereka, itulah syurga
Lalu gembiralah mereka di singgahsana fatamorgana
Laksana raja tanpa takhta

Berapa ramai yang menderita
Sengsara dengan noda dunia
Musnah kerna murtad
Hancur kerna nifak
Hilang bahagia dan aman
Dalam hati-hati peneraju dunia

Ini kata-kata Muhammad yang mulia
Si kafir bersenang dengan dunia
Minindas golongan bertauhidkan Pencipta
Bergembira melihat mereka
Golongan pencinta Rabb esa menderita
Kerna bagi mereka
Pendengki kebenaran ini
Dunia adalah syurga
Sedang kelak di sana, tanpa sedari
Terpenjara mereka tanpa kembali

Hei Huffaz!
Kau penyelamat dunia
Bangkitlah dirimu dari lena
Usah terpedaya dengan sogokan mimpi tak beraplikasi
Sampai bila
Kau harus tertipu
Tak mampu membeza
Antara intan dengan kaca




Hei Huffaz!
Mengapa harus kau terpenjara di syurga dunia
Mengapa sanggup kau seksa batinmu
Dengan menjadi seekor kakak tua
Yang hanya tahu menuturkan kalimah
Dengan lenggok suara merdu
Namun hakikatnya
Tafsiran kalam itu
Gagal kau zahirkan dengan amalanmu

Hei Huffaz!
Jangan kau angankan ibadahmu itu
Hadiahnya pahala
Barangkali sangkaan pahalamu itu adalah celaka
Gara-gara
Kau hanya tersimpuh abid, berwirid di tikar solatmu
Sedang dunia memerlukanmu
Seiring sabda Nabimu, Nabiku jua,
Bukan dari umatku
Golongan tak cakna
Dengan urusan dunia

Hei Huffaz!
Adakah kau tahu masyarakatmu terseksa?
Terseksa kerna kurangnya petunjuk beragama!
Apakah kau biarkan mereka terus derita?
Tersasar terus dari perjalanan menuju Tuhan!
Apakah kau pernah membacakan ayat-ayatNya kepada mereka?
Atau kau hanya dengan duniamu yang sepi dari manusia?
Tepuk dada, Tanya imanmu!

Hei Huffaz!
Jangan kau terus jumud
Kau bukan sekadar terhangguk-hanguk khusyuk dengan alunan Kalam-Nya
Di ceruk-ceruk penjuru masjid
Tapi kaulah perevolusi dunia
Kau bukan sekadar penghafal kalimah-Nya
Tapi kau penterjemah pekerti akhlaknya
Kau bukan sekadar pemerhati tulisan Kitab-Nya
Tapi kaulah pengkaji ayat-ayatNya







Hei Huffaz!
Andai diri kau sehebat Abu Bakar
Andai diri kau seteguh Khadijah
Andai dirimu setegas Umar
Dan andai diri kau secerdas Aisyah
Nescaya
Dunia ini akan kembali dikuasai
Dengan gemaan
Alunan ayat-ayat yang kau baca
Sehari-hari

Hei Huffaz!
Kau harus punya jiwa merdeka
Bebaskan dirimu dari jiwa sengsara
Terazab dek jumud
Derita dek sempitnya cara kau memahami
Ayuh
Kita sederap bersama-sama
Senada seirama
Campakkan sarap yang menyekat
Laluanmu yang sepatutnya
Agar tidak kau terus tergendala
Perit derita azab.
Jadikan sekelumit ilmumu sebagai senjata
Secebis amal sebagai perisai panglima
Kita beraksi
Menawan kembali keadilan pusaka
Menuntut redha-Nya

Hei Huffaz!
Katakanlah
Selamat Tinggal Derita Jumud
Aku bebas dari penjara syurga dunia
Kerna aku
Huffaz yang beragama!


Nukilan : MarBukh & Hafs Hasbi

Read more...

Mahasiswa, Revolusi Untuk Kepemimpinan Mendatang

Mahasiswa, Revolusi Untuk Kepemimpinan Mendatang

Sudah lama jari ini menggigil kerana tidak dapat menekan papan kekunci laptop untuk mencurahkan idea-idea untuk kita sama-sama berkongsi atas dasar komitmen yang perlu ditumpukan sepenuhnya untuk peperiksaan.

Salam sayang kepada seluruh pemuda pemudi harapan bangsa, yang bakal mewacanakan kepemimpinan masa sekarang untuk masa depan.Alhamdulillah, dalam kesempatan masa yang lapang yang diberikan oleh Allah ini, eloklah jikalau kita memulakan perbincangan mengenai satu topik yang cukup relevan untuk dikaitkan dengan status kita sebagai mahasiswa, iaitu “Siapakah Mahasiswa dari sudut Kepemimpinan Negara?” Sebelum kita memulakan perbincangan mengenai topik ini, seeloknya kita perlu membuang jauh-jauh sebarang anasir mahupun doktrin agar penulisan artikel ini tidak disalahtafsirkan berpihak kepada mana-mana parti, tetapi, sebaliknya, biarlah kesudahan pembacaan artikel ini akan memberikan satu inspirasi kepada kita untuk memahami apakah yang dinamakan sebagai politik dalam Negara.

Saya cukup optimis bahawa para pembaca sudah tahu siapakah John Tylor Hammons.Tetapi untuk lebih menguatkan fakta, eloklah jikalau saya memperincikan sedikit mengenai beliau. Satu kepelikan mengenai beliau (komparatif dengan Malaysia), dalam usia 19 tahun telah dilantik menjadi seorang Datuk Bandar di Muskoge di Oklahama! Beliau merupakan seorang mahasiswa yang cukup berdedikasi. Sebagai bukti, apabila ditanyakan kepada beliau mengenai perjalanan hidupnya sebagai seorang Datuk Bandar ditambah pula dengan bebanan pembelajaran akademik, satu jawapan yang cukup mudah dijawab oleh beliau “Tiada pemisahan antara dunia akademik dan politik kemahasiswaan.” Itu mahasiswa negara orang, kita?

Ramai daripada kita menganggap zaman kemahasiswaan adalah satu zaman untuk menumpukan sepenuhnya perhatian kepada pelajaran semata-mata tanpa ada pembabitan sedikitpun dalam persatuan mahupun politik kampus. Kita sengaja menjumudkan diri kita dalam hal ini. Benar, kita dapat lahirkan ramai graduan, tetapi, berapa banyak graduan yang kita lahirkan itu mempunyai kualiti yang benar-benar terjamin terutama dari sudut ilmu bantu (soft skill)? Contohnya, berapa ramai doktor keluar dari universiti dengan segulung ijazah tetapi apabila berhadapan dengan situasi sebenar, dikatakan doktor ini biadab, tak pernah senyum, pendiam dan tak mesra pesakit? Kita kena sedar ilmu bantu tidak akan didapati dalam kelas pengajian tetapi sebaliknya didapati melalui kegiatan berpersatuan dan berpolitik. Apa itu ilmu bantu? Ilmu Bantu ialah ilmu yang berkaitan dengan kemahiran insaniah merangkumi kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berpasukan, kemahiran pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral dan kemahiran kepemimpinan. Kemahiran-kemahiran inilah nanti yang menjadi kulit untuk isi buah-buah ilmu yang kita pelajari.

Seterusnya, elok juga jikalau kita memerhati peristiwa-peristiwa global untuk menjadi satu suntikan motivasi kepada kita. Kenal Mahmud Ahmadinejad? Beliau merupakan antara tokoh pemimpin yang lahir saat zaman Revolusi Mahasiswa Iran berlaku bagi meruntuhkan empayar kediktatoran Shah Iran untuk menyediakan masyarakat kepada sebuah masyarakat yang harmonis. Kesannya sekarang, beliau merupakan seorang presiden yang bersuara lantang, menjadi seolah-olah seekor singa yang bisa menerkam sesiapa yang cuba mengacah Iran.

Begitu juga tentang Revolusi Afghanistan. Mahasiswalah yang memainkan peranan yang cukup besar menghambat Rusia keluar dari bumi Afghanistan pada tahun 1989 iaitu 10 tahun selepas pencerobohan negara komunis itu. Gulbuddin Hekmatyar, seorang pemimpin kampus Universiti Kabul menyeru peperangan jihad kepada teman-teman kampusnya. Ini, suara dan tindakan mahasiswa luar negara, kita? Golongan mahasiswa yang didodoikan dengan hedonisme yang melampau, itulah mahasiswa kita.

Mungkin ada yang tak berpuas hati sekiranya negara yang saya tonjolkan hanyalah negara Arab. Baik, kita ambil contoh yang lain. Revolusi Thai pada 24 Jun 1932 telah menyaksikan kebangkitan anak muda membuka dimensi pemikiran yang lebih luas.
Bayangkan, golongan mahasiswa ini mampu melakukan satu revolusi menggelegak tanpa pertumpahan darah dengan anak-anak muda menjadi kerajaan sementara bagi meletakkan Thai sebagai Negara baru yang menggunakan konsep raja berpelembagaan ala Barat. Ini baru betul mahasiswa! Mahasiswa sebagai orang yang memberi nafas baru untuk kerajaan.

Mungkin kita tidak perlu radikal berbanding mahasiswa negara lain, kerana situasi negara kita yang mengamalkan DEMOKRASI. Apa yang perlu, kita hanya perlu memastikan sistem demokrasi ini benar-benar telus tanpa ada pengaruh kepartian kerana perjuangan kita, mahasiswa bukan atas dasar fanatik, tetapi atas dasar faham dan kebenaran. Kita ingin lihat mahasiswa yang berbeza bahasanya mampu disatukan di bawah satu kebenaran kerana mereka ini sebagaimana disebut oleh Dr Hactor sebagai OPINION MAKER FOR FUTURE. Hidupkan suara mahasiswa!!

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP