Monday, 1 December 2008

HUFFAZ, BEBASKAN DIRIMU DARI PENJARA SYURGA!! (version II)

HUFFAZ, BEBASKAN DIRIMU DARI PENJARA SYURGA!!

Mengharungi dunia yang makin renta
Menuntut kita bijak waspada
Kerna banyak penghuninya buta dan alpa
Buta ditusuk jarum maksiat karat-karat dosa
Alpa, terhantuk dinding usang disangka istana

Tika ini,
Banyak yang terkorban
Mereka ditanam
Dikebumikan di kuburan
Sangka mereka, itulah syurga
Lalu gembiralah mereka di singgahsana fatamorgana
Laksana raja tanpa takhta

Berapa ramai yang menderita
Sengsara dengan noda dunia
Musnah kerna murtad
Hancur kerna nifak
Hilang bahagia dan aman
Dalam hati-hati peneraju dunia

Ini kata-kata Muhammad yang mulia
Si kafir bersenang dengan dunia
Minindas golongan bertauhidkan Pencipta
Bergembira melihat mereka
Golongan pencinta Rabb esa menderita
Kerna bagi mereka
Pendengki kebenaran ini
Dunia adalah syurga
Sedang kelak di sana, tanpa sedari
Terpenjara mereka tanpa kembali

Hei Huffaz!
Kau penyelamat dunia
Bangkitlah dirimu dari lena
Usah terpedaya dengan sogokan mimpi tak beraplikasi
Sampai bila
Kau harus tertipu
Tak mampu membeza
Antara intan dengan kaca




Hei Huffaz!
Mengapa harus kau terpenjara di syurga dunia
Mengapa sanggup kau seksa batinmu
Dengan menjadi seekor kakak tua
Yang hanya tahu menuturkan kalimah
Dengan lenggok suara merdu
Namun hakikatnya
Tafsiran kalam itu
Gagal kau zahirkan dengan amalanmu

Hei Huffaz!
Jangan kau angankan ibadahmu itu
Hadiahnya pahala
Barangkali sangkaan pahalamu itu adalah celaka
Gara-gara
Kau hanya tersimpuh abid, berwirid di tikar solatmu
Sedang dunia memerlukanmu
Seiring sabda Nabimu, Nabiku jua,
Bukan dari umatku
Golongan tak cakna
Dengan urusan dunia

Hei Huffaz!
Adakah kau tahu masyarakatmu terseksa?
Terseksa kerna kurangnya petunjuk beragama!
Apakah kau biarkan mereka terus derita?
Tersasar terus dari perjalanan menuju Tuhan!
Apakah kau pernah membacakan ayat-ayatNya kepada mereka?
Atau kau hanya dengan duniamu yang sepi dari manusia?
Tepuk dada, Tanya imanmu!

Hei Huffaz!
Jangan kau terus jumud
Kau bukan sekadar terhangguk-hanguk khusyuk dengan alunan Kalam-Nya
Di ceruk-ceruk penjuru masjid
Tapi kaulah perevolusi dunia
Kau bukan sekadar penghafal kalimah-Nya
Tapi kau penterjemah pekerti akhlaknya
Kau bukan sekadar pemerhati tulisan Kitab-Nya
Tapi kaulah pengkaji ayat-ayatNya







Hei Huffaz!
Andai diri kau sehebat Abu Bakar
Andai diri kau seteguh Khadijah
Andai dirimu setegas Umar
Dan andai diri kau secerdas Aisyah
Nescaya
Dunia ini akan kembali dikuasai
Dengan gemaan
Alunan ayat-ayat yang kau baca
Sehari-hari

Hei Huffaz!
Kau harus punya jiwa merdeka
Bebaskan dirimu dari jiwa sengsara
Terazab dek jumud
Derita dek sempitnya cara kau memahami
Ayuh
Kita sederap bersama-sama
Senada seirama
Campakkan sarap yang menyekat
Laluanmu yang sepatutnya
Agar tidak kau terus tergendala
Perit derita azab.
Jadikan sekelumit ilmumu sebagai senjata
Secebis amal sebagai perisai panglima
Kita beraksi
Menawan kembali keadilan pusaka
Menuntut redha-Nya

Hei Huffaz!
Katakanlah
Selamat Tinggal Derita Jumud
Aku bebas dari penjara syurga dunia
Kerna aku
Huffaz yang beragama!


Nukilan : MarBukh & Hafs Hasbi

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP