Wednesday, 24 December 2008

Put First Things First: Apakah Keutamaan Kita Yang Sebenarnya? (2)



Put first things first: Mahasiswa yang terpenjara di syurga

Ini isu lama dan sentiasa diulang-ulang. Sikap terlalu mementingkan akademik sehingga seolah-olah membiarkan dirinya terpenjara di dalam syurga yang dilihat indah. Apatah lagi mereka yang mengambil Islamic study, terasa seolah-olah diri mereka maksum. Berada di taman-taman syurga. Individualistic yang kononnya bersyariat.

Walhal, mereka sebenarnya tertipu dengan diri sendiri. Mana mungkin dinamakan kebaikan sekiranya hal ehwal rakan, jiran, masyarakat dan umat Islam terabai. Kata mereka, inilah aulawiyyatnya. Kata saya, di mana signifikan aulawiyyat tersebut? Sebab sikap ini berlawanan dengan hadis nabi saw: “barangsiapa yang tak mengambil berat urusan umat Islam, maka ia bukan dari kalangan umat Islam”

Memang kita nampak seakan-akan baik amalan tersebut. Akan tetapi perlu diingat, jangan menyangka apa yang baik di mata kita, maka ia baik di sisi Allah.

Sebagaimana firman Allah: ”Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. “ (al Baqarah: 216)

Keupayaan syaitan yang diizinkan oleh Allah SWT untuk menghias sesuatu amalan buruk itu dilihat baik menyebabkan kita tertipu. Terpenjara di dalam ‘syurga’. Kita tertipu, umat tersadai tanpa pembelaan. Strategi syaitan sudah hampir berjaya. Kelalaian kita semuanya nampak indah belaka.

“Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan. “ (al An’am:43)

Put first things first: Apa yang hendak dicapai dalam program?

Setelah kita berfikir, merancang dan membuat strategi dengan sebaiknya, setelah melalui proses begin with the end in mind. Kita tahu visi dan misi, sebab dan akibat, tentatif dan objektif. Maka tindakan seterusnya ialah memastikan program berjalan dengan lancar sebagaimana dirancang. Apa modul dan pengisian yang menjadi priority dalam program. ‘Semangat berpasukan’? ‘Jihad dan pengorbanan’? ‘Tuntutan kepemimpinan Islam’?

Atau hanya sekadar provokasi yang retorik dan langsung tidak realistik ataupun ragging dan ‘penderaan’ yang menguasai hampir 90% sepanjang program berlangsung?

Tidak salah provokasi, malah ini ialah antara teknik terbaik dalam mencungkil keberanian, keyakinan, ketawadukan dan keupayaan berfikiran bombastik. Asalkan provokasi itu realistik. Sifirnya mudah, provokasi+realistik=bombastik. Manakala provokasi+tidak realistik=retorik.

Begitu juga ragging dan ‘penderaan fizikal’ atau dalam bahasa yang lebih sopan ujian ketahanan fizikal. Bukannya satu dosa. Apabila kita mampu bersabar menghadapi ‘penderaan’ fizikal, insyaAllah tandanya kita mampu bersabar apabila berhadapan dengan ‘penderaan’ jiwa. Tapi masih mengikut kesesuaian program. Apa temanya, siapa pesertanya dan apakah corak kursus ataupun program ini. Mesti relevan. Kalau tidak, maka hasilnya makin parah malah akan membarah.

Namun begitu, jangan pula menjadikan ragging ini sebagai ‘menu’ dan agenda utama dalam sesuatu program. Itu tandanya hati kita sedang bergolak dengan matlamat sebenar. Maka natijahnya akan bergolak juga. Para peserta hanya akan turun egonya kepada fasilitator, tapi masih angkuh dengan Yang Maha Esa. Lalu akhirnya, peserta yang diharapkan untuk meneruskan perjuangan inilah yang paling awal futur dan kecundang dalam medan yang sebenar. Nauzubillah.

Put first things first: Sikap kita yang memulakannya

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (ar Ra’du:11)

Sikap mempunyai pengaruh terbesar dalam sesuatu tindakan dan berperanan major sebagai decision maker. Sikap kitalah yang meletakkan solat berjemaah, tazkirah, usrah, berbudi, berlapang dada dan sebagainya sebagai pasir-pasir yang tak bernilai. Sikap kita juga yang menyebabkan amalan menonton televisyen (yang tak berfaedah), cinta songsang, melepak, sembang kosong, membuang masa dan lain-lain menjadi begitu bernilai dalam kehidupan kita. Kaca yang dianggap permata.

Sikap inilah juga yang menyebabkan ketewasan para pendakwah, kegilaan untuk win-lose dalam menyampaikan dakwah bukannya win-win. Mad’u hanya terlopong dengan dada yang berkecamuk selepas kesalahannya dikecam. Daie pula tersenyum girang kononnya menjadi juara dengan dakwah yang langsung tak berhikmah. Worthless.

Sikap Rasulullah saw dalam perjanjian Hudaibiah

Rasulullah saw mempamerkan sikap beliau yang menitik beratkan soal priority ini dalam peristiwa perjanjian Hudaibiah. sewaktu sedang berunding dengan Suhail bin Amru dalam perjanjian itu, tiba-tiba Suhail bin Amru membantah penggunaan kalimah ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dan menyuruh Rasulullah saw menukarnya. Saidina Ali yang berada di sisi baginda pada waktu itu naik marah dan enggan melayan permintaan tersebut. Akan tetapi Rasulullah saw mengarahkan Saidina Ali menukar kalimah itu kepada ‘Bismikallahumma’ dan kemudiannya ditukar.

Seterusnya Suhail bin Amru yang mewakili pihak musyrikin Mekah membantah penggunaan title Rasulullah pada nama baginda saw. Beliau menganggap tindakan itu seolah-olah menunjukkan beliau redha Muhammad bin Abdullah sebagai Rasulullah saw. Kali ini, Saidina Ali bertambah berang dan tidak mahu memadam title tersebut. Akhirnya, baginda saw sendiri yang memadamkan title itu sekalipun baginda merupakan Rasulullah saw.

Iktibar daripada sirah ini ialah baginda dengan penuh bijaksana memilih yang mana keutamaan berdasarkan situasi pada waktu itu. Meskipun baginda berprinsip, tapi baginda saw tidak jumud dan memandang masa depan umat baginda menerusi perjanjian yang cukup penting itu. Bagaimana pula dengan kita?


Kisah Deborah mencari outer success
Pengarang buku ‘Men Are from Mars, Women Are from Venus’, John Gray dalam buku beliau, ‘How to Get What You Want and Want What You Have’ menceritakan beberapa kisah di awal buku tersebut.

Salah satunya ialah kisah seorang wanita yang bernama Deborah yang bekerja keras untuk mencapai outer success sehingga dia cuai akan dirinya sendiri dan gagal mendapat ketenangan dan kebahagiaan (inner success). Deborah terlalu sibuk dan masih belum mempunyai suami.

Akhirnya, Deborah tersedar kesilapannya menilai yang mana satu keutamaan lantas menukar ‘cara hidup’nya dan menemui kebahagiaan yang sebenar. Dia berkahwin dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bahagia.

Berdasarkan kisah-kisah di atas, menunjukkan pemilihan keutamaan itu berada di dalam genggaman kita. Maksud ‘dalam genggaman kita’ dalam diari seorang muslim sudah tentu masih tak terkeluar daripada orbit qadha’ dan qadar dan akidah yang suci.

Jadi penyelesaiannya juga sudah pasti bermula dari dalam diri kita. Kita sewajibnya menilai balik apakah keutamaan yang menjadi rempah dan rencah dalam kehidupan kita selama ini. Adakah kita hanya memakan nasi yang dicampur dengan kunyit tanpa garam? Ataupun ayam goreng yang tak disembelih menurut syariat?

Muhasabah ini amat diperlukan kerana sikap kita yang meletakkan sesuatu perkara sebagai keutamaan akan menghasilkan kesan yang besar. Persoalannya, apakah keutamaan kita selama ini? Jawablah di dunia ini dahulu sebelum kita ditanya di hadapan Allah satu hari nanti.


Cetusan minda,
MarBu,
23:54,
Selasa (23 Disember 2008)

1 comments:

superior 12 February 2009 at 17:55  

Although there are differences in content, but I still want you to establish Links, I do not
fashion jewelry

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP