Friday, 25 December 2009

Menuju Khusyuk dalam Solat

Artikel ini merupakan edisi kemas kini daripada tulisan asal saya yang pernah disiarkan sebelum ini.
.....................................................................................

Solat merupakan ibadah yang mulia dan agung. Ia telah dikurniakan kepada umat Islam kepada nabi Muhammad saw ketika satu peristiwa yang agung iaitu israk dan mikraj. Bukan setakat itu sahaja, malah majlis pengurniaan ibadah ini kepada nabi saw juga diadakan di satu tempat yang agung.Tempat yang tidak diizinkan oleh Sang Raja kepada sembarangan hamba, hanya kepada insan yang bernama Muhammad. Jibrail yang taat pun tidak diberi pas untuk masuk ke tempat itu iaitu sidratul muntaha.

Namun begitu bukan semua manusia memikirkan persoalan ini lantas menyebabkan mereka memperlakukan solat itu bukan dengan cara yang sepatutnya.

Firman Allah:
“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman.Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (surah al mukminun:1-2)

Pengisytiharan di atas telah dibuat oleh Allah kepada manusia supaya mereka mengetahui hakikat kejayaan di sisi Allah. Alangkah tenangnya hati ini seandainya dapat watikah kejayaan di sisi Raja sekelian raja. Umpama satu kejayaan yang membuka kepada manusia peluang untuk memperoleh kejayaan dalam kehidupan seharian yang lain, berjaya dalam akhlak, berjaya dalam perhubungan sesama makhluk dan berjaya dalam semua aspek kehidupan. Ya, berjaya dalam solat merupakan miftah kepada seluruh kejayaan yang lain.

Bagaimana hendak khusyuk dalam solat?

Khusyuk dalam solat ialah keadaan hati yang sentiasa ingat kepada Allah sewaktu melakukan solat sama ada ketika berdiri, rukuk, sujud dan semua gerakan dalam solat.

Sebenarnya langkah untuk mendapat nikmat khusyuk itu bermula sejak di luar solat lagi. Seseorang itu akan memilih pakaian yang baik dan suci dan memakai wangi-wangian. Dia menyedari pertemuan itu bukan sebarangan pertemuan. Jika itu ialah pertemuan dengan raja dalam sesebuah negara, sudah tentu dia akan menjaga dan memelihara semua perlakuannya.Tapi ini bukan hanya pertemuan dengan raja di kalangan manusia, lebih dari itu, pertemuan ini dengan Raja segala raja. Semua makhluk di langit dan di bumi ini tunduk berhajat kepada-Nya. Sudah tentu ada sesuatu yang penting dan hebat di sebalik ibadah ini.

Ketika menuju ke istana Raja, berjalan dengan penuh tawadhu’ dan rendah diri, memikirkan kekuasaan Allah yang maha agung. Langit yang dicipta tanpa tiang, pokok-pokok yang tumbuh menghijau. Nabi saw mengajarkan kita supaya membaca doa semasa dalam perjalanan menuju ke masjid. Secara ringkas, intipati doa tersebut mengandungi permohonan kita kepada Allah supaya dikurniakan cahaya ke dalam hati, lidah dan pada anggota-anggota yang lain.

Sampai di istana, kita mengambil wudhu. Setiap kali kita menyucikan anggota wudhu, setiap itu juga kita mengharapkan agar Allah mengampunkan dosa kita di setiap anggota yang kita kenakan. Dosa mata yang melihat benda haram, dosa mulut yang sentiasa celupar, mencela makhluk dan semua ciptaan-Nya, dosa tangan dan dosa semua anggota tubuh pinjaman ini.


Akhirnya, setelah semua persiapan diadakan, tiba saat-saat yang mendebarkan. Kita berdiri dengan penuh keinsafan. Kita sedar, kita berjumpa dengan Allah dalam keadaan membawa segunung dosa berbanding amalan yang sebakul cuma.

Menurut Imam al Ghazali, terdapat enam langkah untuk mendapatkan solat yang khusyuk:

1-Hudhurul qalb(menghadirkan hati)

Sebelum mengangkat takbiratul ihram, kita mengenang siapa yang berada di depan kita. Suatu zat yang sentiasa memberi rezeki dan pertolongan kepada kita, tetapi kita membalasnya dengan melakukan meninggalkan perintah-Nya dan melakukan larangan-Nya. Sewaktu mengangkat takbir, kita yakin bahawa semua urusan dan masalah lain ialah kecil jika dibandingkan dengan Allah yang maha Besar. Terdapat dalam sebuah hadis nabi saw, Allah swt berfirman dalam sebuah hadis kudsi yang antara lainnya menyatakan bahawa jika semua manusia di muka bumi ini tidak mahu beriman dan menyembah Allah, nescaya tidak terjejas walau sebesar zarah pun kerajaan dan kekuasaan Allah. Namun, manusia itu sendiri yang akan menanggung azab yang maha pedih.

Apabila kita menyebut kalimah Allah, keagungan dan kebesaran-Nya terus menyusup ke dalam kalbu. Lebih malu kita pada ketika itu, keagungan Allah menembusi kalbu kita yang penuh dengan karat dan kekotoran maksiat. Apabila seseorang itu tidak rasa keagungan Allah ketika menyeru nama-Nya, maka dia akan berasa kosong dengan ‘dating’ ini. Ulama membawa satu misalan, apabila seorang bayi berada di kandang harimau, apakah perasaan bayi itu? Boleh jadi dia akan meluru dan memeluk harimau tersebut. Kerana apa? Sudah tentu kerana bayi tersebut tidak tahu kegarangan dan kebuasan harimau itu. Sebaliknya jika kita yang berada di tempat bayi tersebut, kita pasti akan dalam ketakutan kerana mengenali apa itu harimau.

2-Tafahhum(memahami)

Kita berusaha untuk memahami setiap bacaan yang kita baca dengan penuh tertib dan tartil di samping berusaha untuk membaca dengan alunan yang paling indah. Kita juga memahami maksud tersirat di sebalik gerakan yang kita lakukan. Kita faham bahawa pencuri dalam solat ialah mereka yang lalai dan lagha ketika rukuk dan sujud (antaranya mengabaikan toma’ninah). Menurut sesetengah ulama, menjadi dosa buat seseorang manusia apabila mereka tidak faham apa yang dibaca dalam solat. Bahkan, lebih daripada itu, kita seharusnya memahami maksud tersirat di sebalik penggunaan setiap kalimah dan ayat dalam bacaan solat. Untuk itu, saya menyarankan kepada anda supaya mempelajari tafsir al fatihah sama ada menerusi majlis-majlis ilmu ataupun kitab-kitab terlebih dahulu.

Sungguh pelik apabila banyak dari kalangan umat Islam pada hari ini boleh mengerjakan solat tanpa memahami maksud bacaan sedari al Fatihah sehinggalah mengucapkan salam. Ibaratnya, mereka sedang memakan nasi tanpa lauk dengan penuh berselera sekali! Aneh sungguh.

3-Ta’zhim(mengagungkan Allah)

Setelah kita memahami apa maksud di sebalik solat kita, maka sudah tentu kita akan berasa takjub dengan empunya sifat yang agung itu. Apabila kita membaca doa iftitah, kita yakin bahawa hidup ini semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Sebuah aku janji yang sering dibacakan namun sering juga dinodai. Sementara itu, kita akan merasa lebih hina apabila membaca ayat-ayat yang lain pula. Alangkah malang buat sesiapa yang masih berasa riya dan ujub dengan solat yang ditunaikan sedangkan dia sedang memuji dan memuja Allah. Apabila hadir juga perasaan jahat daripada syaitan itu, maka cepat-cepatlah kita memohon ampun kepada Allah dan menghilangkan perasaan itu. Sesungguhnya keagungan ini hanyalah milik mutlak Allah swt.

Kita berdiri, berukuk dan bersujud dengan penuh kehinaan. Bahkan kita sedang dalam ketidak pastian sama ada semua aksi dalam solat itu akan diterima ataupun tidak.

4-Haibah(takut dengan kekuatan Allah)

Selepas itu, kita berasa semakin takut kepada kekuasaan Allah swt. Kita sedar bila-bila masa sahaja Dia boleh mengambil nyawa kita ataupun Dia boleh untuk menarik kembali nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Lebih ngeri daripada itu jika Allah menyiksa kita di akhirat kelak akibat kealpaan kita sewaktu menunaikan solat. Jika solat itu dikerjakan dengan sebaik-baiknya, maka ketakutan itu akan terbawa-bawa hingga ke luar solat. Ketakutan inilah yang dinamakan sebagai takwa. Takwa merupakan satu pengiktirafan Allah swt kepada hamba-hambanya yang dimuliakan.

Firman Allah, sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa dari kalangan kamu.(surah al hujurat).

Memang ramai manusia yang mahukan ijazah takwa, namun sudah berapa ramai yang kecundang sejak awal-awal lagi apabila mereka lalai dalam solatnya.

5-Haya’(malu)

Ketika mengerjakan solat, kita berasa malu kerana berhadapan dengan Allah dalam keadaan penuh dengan dosa dan kesalahan. Selepas solat pula, kita malu kerana menyedari solat yang kita lakukan tadi masih belum sempurna dengan hati yang kadang-kadang teringat kepada perkara duniawi. Alangkah malunya hati ini apabila setiap kali pertemuan, kita gagal mengawal adab dan pergerakan. Perasaan malu itu disusuli dengan ucapan astaghfirullah memohon ampun dengan kekurangan dalam solat yang ditunaikan. Sebagaimana perasaan haibah, malu juga akan mendidik manusia dalam urusan kehidupan selepas solat. Seseorang hamba itu akan malu untuk melakukan sesuatu yang dilarang Allah kerana sedar dia sedang diperhatikan. Kalau dia bersikap tidak malu, maka Allah swt akan membalasnya dengan kehinaan di dunia dan di akhirat. Terdapat dalam hadis nabi saw; “ apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa yang kamu mahu.”

6-Raja’(amat-amat berharap)

Selesai mengerjakan solat, kita berdoa dengan penuh pengharapan moga-moga Tuhan Yang Maha Penyayang menerima solat kita. Kita menyedari jika Allah tidak menerima solat kita, maka rugilah kita di dunia dan di akhirat. Kepada siapa lagi yang kita harapkan untuk membantu kita daripada azab Allah? Hanya Dia yang layak menerima solat kita. Harapan kita semoga solat kita tidak dilemparkan dengan penuh kehinaan kepada kita di akhirat kelak. Kita sedar apalah daya kita tanpa kasihan belas daripada-Nya. Kita langsung tidak layak untuk berasa puas dengan solat yang dilakukan, apatah lagi untuk berasa selesa dengan solat tersebut. Perlu diingat, kita tidak berupaya untuk mengerjakan solat sekiranya tidak diizinkan oleh Allah. Setelah kesedaran dan pengharapan itu, kita bingkas bangun dan menunaikan solat sunat ba’diyyah sebagai menampung solat yang telah ditunaikan.

Sekian…saya mengharap keampunan dan rahmat daripada Allah…

Madah MarBu…

“jika dalam solat lima waktu yang tidak sampai satu jam daripada 24 jam pun hati kita tak ingat kepada Allah… apalah nak diharapkan sangat kepada hati ini untuk sentiasa ingat kepada-nya…”

Read more...

Tuesday, 1 December 2009

Sistem Pendidikan, Makna dan Tujuan & DQ

Setiap manusia ada cita-cita, setiap keluarga ada cita-cita dan setiap kumpulan ada cita-cita. Sesebuah organisasi mempunyai visi, misi dan motonya yang tersendiri sesuai dengan kelebihan dan kedudukan yang dimiliki. Begitu juga dengan sebuah syarikat, ia memiliki wawasannya yang tersendiri dan wawasan yang dimilikinya sudah tentu tidak sembarangan. Tidak ketinggalan sesuatu kumpulan ataupun band muzik memiliki impian mreka yang tersendiri sebagaimana cita-cita Kumpulan Pop Shuvit (sebuah band dari Malaysia) yang mahu menggondol Anugerah Grammy di Amerika Syarikat dalam beberapa tahun akan datang.

Jika seseorang individu dengan cita-citanya, sesebuah syarikat dengan wawasannya, seorang politikus dengan visi dan misinya, sebuah band indie dengan impiannya, maka lebih-lebih lagi buat sesebuah institusi pendidikan. Ia mesti mempunyai cita, wawasan dan impian yang murni, lebih putih daripada susu dan lebih berkilau daripada mutiara di dasar lautan.

Mahu melahirkan masyarakat madani?

Ingin melahirkan generasi berilmu?

Berhasrat mencipta individu Muslim sepertimana diusulkan oleh al Banna?

Pelajar yang cemerlang 4.0 dalam setiap subjek yang diambil?

Insan adabi sebagaimana yang dicetuskan oleh Profesor Syed Naquib?

Ataupun generasi al Quran unik yang dilontarkan oleh Syed Qutb?

Cita-cita ini berbeza mengikut jenis institusi pendidikan, tidak sama. Tetapi ada satu impian utama dan besar yang wajib dikongsi oleh semua institusi tanpa khilaf sedikit pun. Membentuk individu yang berakidah sejahtera, ibadat yang benar dan akhlak yang mulia. Idea daripada al Banna tidak banyak beza dengan idea al Attas yang mahu membentuk insan beradab kerana adab akan terbentuk menerusi akidah dan ibadat yang haq. Begitu juga dengan idea daripada Syed Qutb kerana generasi al Quran yang diidam-idamkan beliau berakidah benar, betul ibadatnya dan cantik molek adabnya. Cuma perbezaan yang jelas ialah al Attas mengkaji isu pendidikan jauh dengan lebih halus dan teliti berbanding kebanyakan tokoh yang lain. Ini fakta.

Sekilas pandang


Eton College, Universiti al Azhar,Universiti Malaya (UM), Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Kolej Islam Kelang (kini dikenali sebagai Kisas) antara contoh yang saya ingin tampilkan dalam penulisan pada kali ini. Sebelum terlupa, satu lagi ialah Darul Quran yang merupakan tempat pengajian saya sekarang. Kepada institusi pendidikan yang tidak disebut, jangan terasa apa-apa kerana saya tidak mahu memanjangkan bicara dalam tulisan ini. Cukup bebarapa institusi sebagai misalan, yang penting objektif saya sampai.

Saya mulakan dengan menceritakan kisah Eton College ya. Begini, Eton College tidak terkenal sebagai sebuah institusi pendidikan yang melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai keputusan yang tinggi dalam setiap ujian akademik yang diadakan. Tetapi ada sesuatu yang istimewa di pusat pendidikan yang terletak di United Kingdom ini. Untuk makluman, Eton College telah berjaya mencetak 18 Perdana Menteri untuk negara Britain dan Abhisit yang menjadi Perdana Menteri berusia muda di negara Thailand juga berasal dari Eton. Ini tidak termasuk lagi dengan figur-figur hebat lain yang turut dicetak Eton College. Eton College merupakan "the chief nurse of England's statesmen" dan menjadi terkenal di seantero dunia.

Universiti al Azhar pula sebagaimana yang kita sedia maklum merupakan antara universiti yang tertua di dunia pada hari ini. Pusat pendidikan yang ditubuhkan sejak pemerintahan Kerajaan Fathimiyyah (bermazhab Syiah) ini telah dibersihkan oleh Salahuddin al Ayyubi daripada anasir Syiah dan menjadi begitu terkenal selepas itu. al Qaradawi, Muhammad al Ghazali, Mahmud Syaltut, Muhammad Abduh, Izzuddin al Qasam dan banyak lagi merupakan jiwa-jiwa yang lahir dari rahim al Azhar. Di bumi Malaysia, sejarah tidak dapat menafikan bahawa alumni institusi pendidikan ini telah banyak berjasa ke arah menggerakkan aktiviti Islam dan penentangan terhadap British satu ketika dahulu.

Sehinggakan, pihak kerajaan Mesir yang sekular sangat gusar dengan pemikiran islam yang dimiliki warga al Azhar. Bahkan, pentadbiran al Azhar seringkali diganggu oleh pihak kerajaan atas alasan supaya gerakan ekstrem pelajar dapat dibendung. Universiti al Azhar juga berjasa besar terhadap gerakan islam Ikhwanul Muslimin. Namun kini pergerakan pelajar-pelajar al Azhar agak kurang menonjol khususnya sejak dua dekad terakhir ini.

Malay College Kuala Kangsar ataupun akronimnya MCKK pula asalnya dicadangkan oleh pihak British untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu, yang terdiri daripada kerabat diRaja. Anak lelaki kelahiran kebanyakan sukar untuk mendapat tempat di sekolah ini. Selepas kebangkitan nasionalisme orang Melayu pada sekitar tahun 1947, syarat kemasukan ke sekolah ini dilonggarkan dan semakin ramai anak-anak orang kebanyakan dapat peluang untuk menuntut di sini. Kini anak Melayu yang terpilih berpeluang mengikuti pembelajaran peringkat menengah di sekolah ini.

MCKK juga berperanan mewujudkan pimpinan yang akan menjawat beberapa jawatan dalam pentadbiran British dan kerajaan. Moto sekolah tersebut, Fiat Sapientia Virtus adalah dalam Bahasa Latin, yang bermaksud Kebijaksanaan Mutu Manusia. Ternyata, sekolah ini berjaya menghasilkan produk-produk bermutu (mengikut perkiraan kebanyakan, walaupun banyak aparat sekular-liberal dilahirkan) seperti Dato Onn jaafar, Tun Abdul Razak, Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim dan pelbagai nama lagi yang cukup gah di arena tanah air khususnya. Penumpuan asal untuk melahirkan generasi pimpinan boleh dikatakan berjaya jika kita menjadikan senarai panjang nama-nama besar yang dilahirkan dari MCKK.

Sementara itu, apabila kita bercakapa soal universiti dan tanah air, menjadi satu kejanggalan jika kita tidak melibatkan Universiti Malaya (UM) sebagai salah satu pemencak utama dalam gelanggang pendidikan dan kepemimpinan. Di samping berbangga dengan beberapa mantan Naib Canselor yang hebat seperti Prof. Diraja Dr Ungku Abd Aziz dan Prof Dr Syed Hussein al Attas (khabarnya NC sekarang sudah makin melemah), UM juga berbangga dengan kejayaannya melahirkan banyak nama besar dalam tanah air.

Prof DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Prof Emeritus Datuk Dr. Hj. Mohd. Taib Osman, Prof Emeritus Dato' Dr. Khoo Kay Kim, Prof Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Hj. Abdul Karim, Prof Emeritus Dato' Dr. Osman Bakar dan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman merupakan antara individu luar biasa hebat dalam bidang akademik yang telah berjaya dilahirkan UM. Tidak cukup dengan itu, UM juga berfungsi sebagai printer kepada beberapa politikus dan pemimpin seperti Tun Abdullah Badawi, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Malah, UM juga dari dulu sehingga kini menjadi front kepada kebangkitan gerakan kemahasiswaan.

Sementara itu, Kolej Islam Kelang ataupun nama lamanya Kolej Islam Malaya dan nama terbarunya (sejak 1989) Kolej Islam Sultan Alam Syah ataupun KISAS juga memberi sumbangan yang besar terhadap negara. Kolej ini pada asalnya ialah sebuah istana yang kemudiannya diwakafkan oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Ibni Almarhum Sultan Sulaiman. Baginda amat berharap agar kolej ini dapat melahirkan para ulama' yang bertakwa kepada Allah dan seterusnya menerangi masyarakat Malaysia ini dengan ruh-ruh Islam serta dapat menghapuskan segala bentuk kekufuran dan jahiliah yang ada.

Dengan menjadikan fastaqim kama umirta sebagai syiar, KISAS bertanggungjawab menjadi pusat kelahiran tidak sedikit individu besar khususnya sejak 1970-an sehingga 1990-an. Dr Mohd Asri (mantan mufti Perlis), Saudara Faisal Tehrani (penulis prolifik), Fadzli Yusof (motivator terkenal) dan beberapa nama lagi telah menaikkan imej KISAS di mata majoriti pelajar Islam di tanah air. Kebiasaannya, badan dakwah yang wujud di KISAS menjadi teladan kepada kebanyakan skolah-sekolah yang lain di negara kita (akhir-akhir ini sudah tidak segah dahulu). Ternyata, KISAS turut memainkan peranannya memasarkan penuntut-penuntut berkualiti ke alam kampus yang sudah semestinya jauh lebih mencabar.

Tujuan dan Makna Pendidikan


Contoh-contoh di atas mewakili institusi-institusi pendidikan yang wujud di tanah air kita. Adapun institusi-institusi lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan banyak lagi juga mempunyai misalan-misalan yang tersendiri. Namun begitu, berdasarkan contoh-contoh di atas, adakah menepati makna dan tujuan sebenar pendidikan Islam?

Secara ringkasnya, sistem pendidikan Islam mahu melahikan insan adabi (manusia yang beradab) yang berupaya mengintegrasikan antara akidah, ibadat dan akhlak seseorang. Memahami tasawwur kesyumulan Islam, tanggungjawab sebagai seorang Islam, kewajipan menegakkan Islam dan sebagainya juga antara ramuan wajib dalam diri seorang muslim. Saya tidak berminat membahaskan dengan lanjut idea-idea menarik daripada al Attas khususnya, ataupun pemikir-pemikir muslim yang lain. Cukuplah saya highlightkan beberapa aspek asas yang menjadi makna dan tujuan dalam isu pendidikan.

Kecelaruan dalam hal ini mengakibatkan kita lebih ke hadapan dalam bercita-cita melahirkan good citizen(warganegara yang baik) bukannya good man(manusia yang baik). Sekali pandang nampak sama, tetapi hakikatnya berbeza. Good citizen, boleh jadi seorang pekerja yang berdedikasi walaupun tidak menjaga muamalat hariannya, boleh jadi juga seorang menteri yang negarawan walaupun sentiasa membelakangkan agama dalam setiap polisi yang dibuat ataupuna apa-apa sahaja. Yang pasti, tiada kejelasan dari sudut fundamental ataupun tapak asas. Sebaliknya bersifat nisbi dan relatif (boleh berubah-ubah). Adapun good man akan memberi kebaikan kepada semua pihak termasuk ia akan menajdi warga negara yang baik dari segala segi.

Hal ini menyebabkan pihak kerajaan yang sempit matlamatnya memanipulasi sistem pendidikan dan lebih-lebih lagi institusi pendidikan itu sendiri. Retorik mereka hanya berlegar-legar sekitar melahirkan robot-robot yang akan berabdi kepada kapitalis-kapitalis tamak haloba di luar sana. Apabila tiada kejelasan hasrat dan matlamat daripada pihak kerajaan, akibatnya pihak pentadbiran mana-mana institusi pendidikan akan terjerat sama. Cita-cita pendidikan telah menjalani materialisasi dan kapitalisasi dan perkara inilah yang menjadi penyumbang kepada berbagai-bagai masalah yang sentiasa wujud. Lebih malang lagi jika penuntut-penuntut aliran agama terjerat sama dengan kerancuan dan kecelaruan makna dan tujuan pendidikan ini.

Darul Quran

Saya merupakan salah seorang penuntut di institusi ini dan saya berpandangan bahawa Darul Quran (DQ) juga termasuk dari kalangan salah sebuah institusi yang berperanan besar dalam melakukan perubahan besar terhadap masyarakat dan negara kita. Saya menilai secara jujur, bukannya atas sebab bias terhadap mana-mana pihak.

Apa yang menjadi masalahnya ialah apabila virus 'celaru dan rancu' telah menjangkiti DQ sendiri lalu berlakunya apa yang saya istilahkan sebagai 'pembaziran huffaz' sejak bertahun-tahun. Hal ini menimbulkan satu persoalan yang aneh, semakin bertambah institusi huffaz (maahad-maahad tahfiz), semakin bertambah masalah keagamaan. Mengapa hal ini berlaku?

Pada hemat saya, kita mesti kembali kepada persoalan asas iaitu berkaitan kecelaruan dan kesilapan dalam memahami makna dan tujuan asal pendidikan Islam. Huffaz bukannya hanya sebagai seorang imam, bukan hanya sebagai pembaca doa dalam majlis-majlis rasmi, huffaz bukan hanya pada gelaran 'al hafiz' an huffaz bukan hanya untuk menjadi pegawai-pegawai agama dalam kerajaan. Itu hasrat yang kecil dan lari daripada konseptual dan maksud asal. Generasi al Quran yang unik + individu muslim + insan adabi merupakan makna dan maksud asal institusi huffaz termasuk DQ.

Sebelum DQ menjadi Universiti

Saya menyentuh persoalan ini sebagai kritikan kepada semua pihak, lebih-lebih lagi pihak atasan a.k.a pihak pentadbiran di DQ yang berada di hierarki utama dalam DQ. Pihak pentadbiran mesti meletakkan satu benchmark yang jelas berhubung produk yang macam mana ingin dilahirkan dari rahim DQ sebelum berangan-angan supaya DQ dinaik taraf sebagai salah sebuah universiti di tanah air. Untuk makluman pembaca sekalian, DQ merupakan satu tempat yang unik dan masih mempunyai keseimbangan dari sudut biah solehah berbanding tempat-tempat lain di Malaysia. Penulisan saya bertujuan mengejutkan beberapa pihak daripada comfort zone kerana warga DQ mesti dijelaskan kepada mereka siapa mereka yang sebenarnya.

Mereka merupakan harapan yang tak ternilai dalam arena tanah air bukannya sekadar sebagai pak imam ataupu pegawai agama dalam institusi kerajaan. DQ berupaya mencipta satu momentum perubahan yang hebat ke arah Malaysia yang lebih makmur dan berkebajikan atas prinsip-prinsip Islami. Yang penting, kesedaran akan hal ini mesti digerakkan terlebih dahulu. Anda boleh melihat tulisan nakib saya yang mendedahkan kecemerlangan golongan huffaz di tanah air dan permintaan yang meluas terhadap mereka sejak akhir-akhir ini di sini.

Sebelum berundur, saya mahu bertanya kepada semua pihak di DQ, lebih-lebih lagi pihak atasan DQ. Produk yang bagaimana ingin dilahirkan? Adakah sebagaimana Eton College yang menjadi pencetak notable leaders? Ataupun sebagaimana institusi-institusi pendidikan yang lain, atau DQ masih mahu kekal sebagaimana sekarang? Pelajar-pelajar hanya diingatkan bahawa mereka mesti memelihara hafazan, bukannya mereka bertanggungjawab menjadi pembela dan pejuang al Quran! (saya tak menafikan kedapatan pensyarah-pensyarah yang mengambil berat hal ini).

Sekian

p/s: Ini 'perenggan pertama', usaha untuk mengkritik secara konstruktif terhadap sistem pendidikan Darul Quran akan di teruskan kerana ini merupakan real problem, adapun usaha dakwah, kepemimpinan dan tarbiah tetap diteruskan untuk menyelesaikan present problem. InsyaAllah.

Read more...

Monday, 30 November 2009

Respon Isu Menara Masjid di Swiss

Dunia Islam mendapat khabar baru dari Switzerland dan secara tiba-tiba khabar tersebut menjadi isu hangat dalam kalangan Umat Islam yang prihatin. Sebaliknya menjadi khabar biasa buat politikus totox, puak inferiority complex, murabitun sempit, mahasiswa exam oriented dan mereka yang sewaktu dengannya.

Saya tidak dapat maklumat dan informasi yang banyak mengenai isu ini dan setelah membaca satu dialog/forum di sini, saya berhasrat untuk berkongsi dengan para pembaca sekalian. Dialog tersebut berlangsung di laman islamonline dan disertai oleh beberapa muslim dari pelbagai negara. Selain itu, saya mahu melatih diri untuk menjadi responsif terhadap isu-isu yang penting.

Isunya berkenaan pengharaman pembinaan menara masjid oleh pihak kerajaan Swiss terhadap umat Islam di sana. Ini memang mengejutkan kerana sebelum ini empat menara telah dibenarkan untuk dibina dan untuk makluman anda, semua masjid di Swiss kira-kira 200 buah dan umat Islam di sana hanya mendirikan empat menara setakat ini.

Info tersebut menunjukkan bahawa isu menara masjid bukanlah masalah dan isu utama yang mereka hendak bangkitkan. Tetapi kata mereka (Swiss), isu sebenar ialah simbol.

The attack here is against the symbol, and the symbol itself is not truly a symbol. The parties that initiated this initiative state that minarets are a symbol of Islamic "imperialism" (this word was actually used by the aforementioned parties).

Ya, menara itu sebagai simbol imperialisme Islam, nak mudah cerita, mereka mahu menyatakan menara masjid merupakan simbol keganasan. Terorisme, extremisme dan suku sakat istilah-istilah tersebut.

Teori Domino

Saya tertarik dengan pandangan seorang perempuan yang bernama Sarah dalam dialog tersebut:

"t's clear that the referendum is not about minarets but about the visibility of Islam in the country. if they win, the next ban will be on hijab (see the picture with the swiss flag full of minarets and a veil woman) and other "visible" islamic signs, maybe halal meat and so on."

So, isu ini dicetuskan antara lain sebagai langkah awal ke arah beberapa tindakan keras dan memberi ruang kepada extremist xenophobic dan kaum kerabat mereka untuk menginjak-nginjak beberapa aspek dalam Islam yang mereka sifatkan sebagai simbol imperialisme. Kalau dalam penulisan, pengharaman tersebut merupakan perenggan awal sebelum perenggan-perenggan yang seterusnya. Perenggan seterusnya sudah tentu lebih 'bertenaga'.


domino

Terdapat satu jenis permainan yang dipanggil domino. Apabila yang berada di depan jatuh, maka yang lain pun akan jatuh. Mula-mula isu menara,
selepas ini isu-isu yang lain pula dan sudah tentu isu tersebut mengguris umat Islam.

Sudah tentu mereka akan highlight perkataan 'symbol of Islamic Imperialism' dalam ucapan dan tulisan mereka selepas ini. Kemudiannya, ia akan menjadi doktrin yang simple tetapi amat berkesan terhadap warga Swiss khususnya yang masih belum mengenali apa Istu islam. Sebagaimana puak-puak kapitalis menerusi dasar kolonialisasi mereka telah membuat doktrin bahawa sosialism-marxism-communism itu jahat dan kejam sejak awal abad ke-20 lagi. Maka, dalam benak masyarakat kebanyakan pada hari ini masih gagal dibuang doktrin tersebut. (saya bukan sosialis/komunis ya, sekadar pengkaji bebas)

Nampak rancangan mereka kan? Sebagaimana mereka sanggup 'korbankan' WTC sebagai memulakan kempen memrangi keganasan dan menuduh ajaran Islam menyeru kepada keganasan. Tapi, pada kali ini mereka membuat 'helah' dengan mengadakan polling yang agak mengelirukan sebenarnya. Banyak warga Swiss yang meragui sistem pengundian untuk mengharamkan pembinaan menara tersebut. Anda boleh baca sendiri di ruangan dialog tersebut dan saya tidak mahu ulas di sini kerana saya hanya mahu memfokuskan bab strategi pihak musuh yang tak sudah-sudah mendendami Umat Islam.

Apa jadi selepas ini?


Banyak ramalan yang kita boleh buat. Antaranya, boleh jadi selepas ini akan berlaku pengeboman dan tindakan ganas yang dijustifikasikan kepada umat Islam dan hal tersebut akan menambah kebencian warga Swiss terhadap umat Islam di sana. Sedangkan umat Islam di Swiss hidup aman dan bahagia bersama masyarakat di sana sebelum ini. Selepas itu, beberapa individu muslim akan ditahan atas alasan terlibat dengan aktiviti keganasan.

Boleh jadi juga, 'simbol-simbol' ajaran islam yang lain seperti hijab, serban dan azan akan menjadi larangan di sana sebagaimana dinyatakan oleh Sarah di atas.

Yang pasti, mereka mulakan dengan isu yang simple. Itupun, kalau kita peka.

Kenapa mereka takut?

Sebagaimana kita sedia maklum, dewasa ini jumlah penganut Islam makin bertambah di benua Eropah meskipun Islam dihujani dengan pelbagai fitnah. Malah lebih mengagumkan apabila angka mereka yang menganut Islam meningkat selepas tragedi 11 September. Justeru, situasi inilah yang menggerunkan beberapa pihak yang memusuhi Islam di sana.

Saya teringat satu kata-kata daripada Bediuzzaman Said Nursi: "sesungguhnya Daulah Islamiah sedang mengandungkan benih-benih Eropah dan ia akan lahir satu hari nanti.. sedangkan Eropah sedang melahirkan benih-benih Islam dan ia akan lahir satu hari nanti.."

Semakin banyak penganut Islam di Eropah, semakin banyak yang tidak mempercayai Islam di negara umat Islam. Betul ke teori ni? Kita sama-sama fikirkan.

Dalam masa yang sama, kita masih bertelingkah sesama sendiri dalam pelbagai aspek dan bab.

Saya berundur dulu ya, hari sudah lewat. Maaf kerana penulisan pada kali ini agak berterabur.
Sekian

Read more...

Friday, 27 November 2009

Pemimpin Berilmu

Pemimpin merupakan antara mekanisme terpenting dalam kehidupan dan hal ini sendiri diperakui oleh agama Islam menerusi banyak hujah dan dalil daripada al Quran dan hadis. Saya tidak berniat bercakap soal kepemimpinan Islam secara asasi dan tuntas dalam tulisan ini. Kalau anda mahu, sila rujuk artikel saya yang lepas Tuntutan Kepemimpinan Islam atau pun yang ni, Pemimpin dan Dakwah. Pada kali ini, saya ingin menulis berkenaan kepemimpinan dan budaya ilmu. Ringkasnya, pemimpin dan ilmu.

Pemimpin dan ilmu tidak dapat dipisahkan, ini pandangan saya yang utama. Hal ini boleh dirujuk melalui firman Allah tentang pemilihan Talut sebagai pemimpin Bani Israel satu ketika dahulu, “berkata nabi mereka kepada mereka; sesungguhnya Allah telah mengutus Thalut menjadi raja untukmu. Mereka (bani Israel) berkata, bagaimanakah ia akan menjadi raja kepada kami sedang kami lebih patut menjadi raja daripadanya, dan dia tidak memiliki harta yang banyak. Berkata nabi, sesungguhnya Allah telah memilih dia antara kamu dan telah menambahkannya dengan ilmu dan tubuh yang kuat. Dan Allah mengurniakan kerajaan-Nya kepada sesiapa yang dikehendakinya dan Allah maha luas kurnia-Nya lagi maha mengetahui.” (al Baqarah: 247)

Namun begitu, kedapatan kurang dari kalangan pemimpin pada hari ini yang berjaya mengintegrasikan antara aktivisme dan intelektualisme. Kebanyakan daripada mereka hanya tertumpu kepada aktivisme dan akibat kesibukan tugasan dan gerak kerja, mereka seolah-olah bertalak dengan kuliah-kuliah ilmu, seminar, forum dan buku-buku ilmiah. Agak menyedihkan apabila kedapatan dari kalangan pemimpin yang memberi alasan 'aulawiyyat'. Aulawiyyat dirinya apabila menerima amanah kepemimpinan hanyalah gerak kerja dan pengurusan, budaya ilmu bukan lagi keutamaan. Benarkah begitu?

Saya meyakini akan kepentingan mengutamakan aktivisme dan gerak kerja apabila mempunyai sesuatu jawatan dan amanah kepemimpinan. Tetapi, saya tetap tidak dapat menerima jawapan 'kesibukan semata-mata' sebagai justifikasi kurangnya pembudayaan ilmu. Apatah lagi dalam konteks hari ini yang menyaksikan anak muda cukup diperlukan untuk berpencak sama di arena kepemimpinan. Justeru, kesibukan di usia muda dengan memimpin berperanan melayukan nilai intelektual dalam diri mereka.

Pesan Imam as Syafie

Imam as Syafie pernah memberi pesanan berharga kepada anak muda amnya dan semua pemimpin khususnya:
"anak muda yang menjadi pemimpin akan hilang peluang menambah ilmu"

Merujuk kepada kata-kata Imam Syafie di atas, kita mestilah mencari jalan keluar yang berpadanan dengan situasi pada hari ini. Situasi di mana generasi muda mudi cukup diperlukan 'pasaran gerak kerja Islam' dan sebagai kumpulan pelapis kepada pimpinan atasan gerakan dan organisasi Islam. Oleh itu, jalan keluarnya bukanlah dengan memisahkan generasi muda dengan kepemimpinan. Dalam masa yang sama, peringatan Imam Syafie mestilah direnungi dengan sebaiknya kerana seseorang pemimpin yang tandus ilmunya tidak akan bertahan lama dan berpotensi untuk menjadi boneka kepada pihak tertentu. Ini pengamatan saya daripada kata-kata Imam Syafie di atas.

Seorang pemimpin boleh sahaja mendisiplinkan dirinya untuk sentiasa bersama buku ilmiah walau di mana berada. Dengan itu, ia boleh menyelitkan kesibukannya dengan membaca tatkala waktu lapang muncul kerana waktu lapang seringkali tidak terduga kemunculannya terutamanya apabila ada sesuatu aktiviti dan program yang mengkehendaki komitmen penuh. Kedapatan banyak contoh baik oleh pemipin-pemimpin umat di luar sana. Sebagai contoh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang sentiasa bersama kitab-kitab beliau, di samping melayari laman-laman maya dengan menggunakan laptopnya.

Begitu juga dengan Anwar Ibrahim yang terus bersama buku-buku beliau apabila berkelapangan, termasuklah sewaktu beliau sedang berada di atas kapal terbang. Tidak ketinggalan Bapak Muhammad Natsir yang tidak menjustifikasikan kesibukannya beraktivisme untuk tidak bersama buku. Bapak Natsir terkenal dengan gagasannya, "mengintelektualkan ulama dan mengulamakan intelektual". Malahan, Ibnu Sina yang pernah menjadi Menteri pada zaman Khilafah Abbasiyyah tidak melepaskan waktu terluang yang muncul, bahkan diceritakan beliau mengarang sekurang-kurangnya 250 muka surat setiap malam sedangkan siangnya sungguh padat dan mampat dengan pelbagai urusan.

Pemimpin juga mestilah bersifat rajin untuk mendekati ilmuan-ilmuan apabila berkelapangan. Kuliah-kuliah ilmu dan pelbagai program yang diatur sewajarnya sentiasa berada dalam kalendar peribadinya. Soal sama ada menghadirinya atau tidak bergantung kepada kelapangan masa yang dimilikinya. Yang penting, ia mesti alert dengan tarikh-tarikh aktiviti keilmuan. Cadangan saya, sesebuah organisasi itu boleh membuat diskusi dan brainstorming ilmu yang hanya melibatkan pimpinan selain daripada mesyuarat dan aktiviti lain. Mungkin ini alternatif yang sesuai dalam konteks semasa dan terkini.

Decision maker

Antara sifat penting seseorang pemimpin ialah kemampuannya membuat keputusan pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi pada waktu yang genting. Sebagai desicion maker (pembuat keputusan) dan policy maker (pembuat dasar/polisi), maka tidak dapat tidak seseorang pemimpin itu mestilah mempunyai ilmu yang luas dan berkeupayaan membuat pertimbangan (wazan) yang baik.

Jika tidak, dibimbangi ia akan menjadi kuda tunggangan dan boneka mana-mana pihak yang berkepentingan. Perlu diingat, membuat keputusan dan polisi itu bukanlah sesuatu yang remeh dan mudah sepertimana Pak Mat dan Pak Su Leman 'berwacana' di kedai-kedai kopi. Setiap keputusan yang dipersetujui akan memberi kesan kepada semua orang bawahan seseorang pemimpin. Adapun Islam telah memberi amaran bahawa setiap pemimpin akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya.


Zikir Fikir

Zikir dan fikir antara elemen penting yang sentiasa diucapkan sewasa ini. Saya turut menyetujuinya dan berminat denga teori baik ini. Zikir merujuk kepada aktiviti kehambaan dan pendidikan hati ke arah mengenali Allah dengan sebenar-benarnya. Adapun fikir pula merupakan latihan akal dan minda yang bersumberkan fakta-fakta ilmu. Zikir dan fikir wajib berjalan serentak kerana tiada pemisahan antara mana-mana aspek kehidupan dengan keagamaan. Saya membahagikannya dalam perbincangan ini hanya sekadar usaha untuk mempermudah dari sudut kefahaman kita.

Aktiviti berzikir dan berfikir sewajarnya menjadi rutin dalam kehidupan seseorang pemimpin. Apabila pemimpin hanya berfikir tanpa elemen zikir, maka hasilnya akan memberi kerosakan kepada nilai agama. Adapun, elemen zikir difokuskan tanpa penekanan kepada fikir, maka itulah antara punca kelemahan umat Islam zaman berzaman. Menurut sebuah analisis sejarah daripada Dr Sayyid al Wakil dalam bukunya, 'Wajah Dunia Islam', salah satu kelemahan ketara umat Islam satu ketika ialah sikap silap faham dalam dalam persoalan kesufian dan kepemimpinan. Akibatnya ialah bertaburannya kumpulan sufi yang memisahkan diri daripada aktiviti keduniaan.

Sultan Abdul Hamid 2, khalifah terakhir umat Islam boleh menjadi contoh dalam konteks ini. Para sejarahwan jujur telah memuji sifat wara', berakhlak mulia dan bertakwa yang dimiliki oleh Sultan Abdul Hamid. Jamaluddin al Afghani, salah seorang pemikir Muslim pernah membuat tamsilan menarik berkenaan kebijaksanaan Sultan Abdul Hamid. Kata-katanya yang masyhur berbunyi: "Sekiranya ditimbang 40 orang cendikiawan yang diletakkan di satu bahagian, manakala Sultan Abdul Hamid di bahagian yang lain, nescaya 40 orang cendikiawan tersebut tidak dapat mengatasi kebijaksanaan Sultan Abdul Hamid dalam politik dan strategi." Kita juga boleh menemui pujian-pujian daripada ahli sejarah dan pe,merhati politik dari Barat berkenaan Sultan Abdul Hamid.

Kesimpulan

Sebagaimana dalam penulisan-penulisan saya yang lepas, saya tetap memberi penekanan bahawa aktivisme dan intelektualisme mestilah berjalan seiring. Memisahkannya merupakan tindakan paling merugikan khususnya buat mereka yang bergelar pemimpin.

sila baca: Dilema antara Intelektualisme dan Aktivisme

Read more...

Thursday, 26 November 2009

Nota Sejarah Umat (Ringkas)

Ini perkongsian ringkas daripada saya,


- Islam merupakan agama anutan nabi-nabi terdahulu sehinggalah kepada nabi saw, Muhammad bin Abdullah. Nabi saw merupakan utusan terakhir untuk seluruh umat manusia pada akhir zaman. Baginda juga berperanan sebagai pemimpin yang paling agung dalam sejarah penciptaan langit dan bumi. Baginda memacu kepemimpinan dari aspek akhlak, kenegaraan, rumahtangga dan banyak lagi. Hakikat keunggulan ini telah diisytiharkan oleh Allah dalam firman-Nya, “dan tidaklah aku mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”

- Pokok kepada segala kejayaan baginda yang telah diiktiraf oleh Pencipta ini ialah daya kepemimpinannya yang penuh berseni. Baginda yang pada mulanya hanya menjadikan isteri yang dikasihi, Khadijah sebagai pengikut ajaran wahyu telah berupaya melebarkan ajaran yang suci hingga diterima seluruh umat dari pelbagai kabilah, bangsa dan puak yang ada pada zamannya. Bahkan merentasi sempadan Arab hingga ke Rom dan Parsi.

- Baginda saw selepas kewafatannya telah meninggalkan sebuah generasi sahabat yang hebat dalam ilmu kepemimpinan. Proses kaderisasi dan tarbiyyah yang jitu telah menjadikan sahabat baginda mampu memainkan peranan sebagai duta penyelamat dunia akhir zaman. Peranan yang telah dimainkan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali telah berjaya meneguhkan pemerintahan Islam pada ketika itu. Kumpulan yang digelar sebagai Khulafa’ ur Rasyidin ini seterusnya disambung oleh khalifah-khalifah pada zaman Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan Khilafah Uthmaniyyah di samping beberapa kerajaan yang lain.

- Walaupun berlaku beberapa peristiwa yang mengakibatkan salah faham dan perpecahan dalam kalangan umat Islam ketika pemerintahan kerajaan-kerajaan tersebut, namun umat Islam masih bernaung di bawah lembayung pemerintahan yang berdaulat, menjadikan Allah sebagai matlamat dan bahagia dengan pelbagai nikmat.

- Pada zaman keemasan ini juga, ramai sarjana-sarjana Islam yang mahir dalam pelbagai lapangan dan bidang dilahirkan. Tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina(perubatan), al Khawarizmi(matematik), Imam al Ghazali(akhlak), Salehuddin al Ayyubi(ketenteraan), Ibnu Battutah(pelayaran) dan banyak lagi nama yang tidak dimuatkan dalam penulisan ini terus dikenang dan disanjung sehingga ke hari ini. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan nama-nama mereka telah menenggelamkan banyak sarjana-sarjana dari dunia barat.

- Ternyata, pemerintahan Islam melalui kekreatifan daya kepemimpinan pada saat itu terlalu perkasa sehinggakan bumi yang luas ini hampir-hampir ditawan. Islam menjadi harapan, pemimpinnya diangkat dan dijulang, keadilannya tidak pernah surut, malah sentiasa pasang. Budi dan jasa diingati seluruh golongan, tidak kira umat Islam ataupun bukan Islam. Alangkan amannya dunia pada waktu itu, semua ini dek kerana teguhnya keimanan umat, yakin terhadap konsep kepemimpinan yang diperkenalkan pembawa rahmat, dan Allah pula dijadikan matlamat.

- Sejak abad ke-11, puak-puak Kristian telah melancarkan peperangan Salib bertujuan membalas dendam dan menghina umat Islam. Paderi-paderi dan penggerak-penggerak agama Kristian telah mengisytiharkan peperangan kepada dunia Islam. Peperangan demi peperangan telah berlaku dan kemenangan bersilih ganti antara tentera Islam dan tentera Salib. Sultan Nuruddin Mahmud Zanki dan Sultan Salahuddin al Ayyubi merupakan antara watak besar yang berjasa agung dalam siri peparangan salib.

- 1187 merupakan antara tarikh keramat umat Islam apabila tentera Islam yang diketuai oleh Sultan Salahuddin al Ayyubi telah berjaya menewaskan tentera Salib di Hittin dan seterusnya mengembalikan Masjidil Aqsa ke pangkuan umat Islam. Kepemimpinan yang unggul, berkarisma dan digeruni antara sebab yang melayakkan Sultan Salahuddin menjadi hero kepada umat Islam pada saat itu. Selain itu, usaha alim ulama yang terdahulu seperti Imam al Ghazali, Imam Abd Qadir Jailani dan banyak lagi antara punca kejayaan gemilang tersebut. Formula gandingan antara pemimpin (umara’) dan ulama telah memberi keputusan cemerlang kepada umat Islam.

- Dendam tentera Salib tidak terhenti di situ sahaja. Tentera Salib terus melancarkan peperangan dan dendam mereka terhadap umat Islam. Syukur Alhamdulillah, sekali lagi umat Islam berada di puncak apabila tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Muhammad al Fatih telah berjaya menawan Kota Konstatinopel yang merupakan kubu kuat kumpulan Kristian. Kota kontatinopel telah jatuh ke tangan umat Islam pada 29 Mei 1453. Kepemimpinan Sultan Muhammad al Fatih dan sokongan daripada alim ulama telah memberi kejayaan gilang gemilang. Kejayaan itu juga telah merealisasikan satu hadis nabi saw:

“Sesungguhnya Kota Konstatinopel akan dibuka oleh seorang pemuda. Sebaik-baik panglima (pemimpin) ialah pemimpin pasukan itu dan sebaik-baik tentera ialah tentera pasukan itu.

Ternyata, jalinan erat antara pemimpin dan orang bawahan merupakan resipi utama kejayaan sesebuah organisasi.

- Kira-kira dua abad sebelum itu, iaitu pada 18 Januari 1258, telah muncul angkatan tentera bengis dan kejam dari Monggol yang diketuai oleh Hulagu Khan, cucu kepada Genghis Khan. Hulagu Khan dan angkatan tenteranya telah meruntuhkan Khilafah Bani Abbasiyyah dengan penuh biadap. Bani Abbasiyyah yang telah mengemudi kegemilangan umat Islam telah rebah terjelupuk di bumi Baghdad. Kejatuhan itu ternyata memberi kesan yang amat besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

- Namun Begitu, Sultan Saifuddin Qutuz dengan dibantu oleh Sultan Berkha Khan dan Rukunuddin beserta tentera Islam yang lain telah menyelamatkan maruah umat Islam apabila mereka berjaya menewaskan tentera Monggol di Ain Jalut. Peristiwa penting ini berlaku di Ain Jalut yang terletak berdekatan Hittin (tempat kejayaan Salahuddin al Ayyubi) dan Yarmouk (medan perang antara tentera Islam dan Rom yang dimenangi islam). Pembelaan maruah umat ini terjadi pada 1260 masihi.

- Pada 1511, Kerajaan Islam Melaka yang terletak di Tanah Melayu telah dijatuhkan oleh Portugis. Melaka merupakan antara wilayah Islam yang sangat kuat dan maju di Asia Tenggara pada waktu itu (ada yang menyatakan seolah-olah Negara Jepun pada hari ini). Selain itu, Melaka juga bernaung di bawah Khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki. Portugis yang mewakili Kristian telah berasa dendam dan iri hati dengan kejayaan ini dan seterusnya mereka berhempas pulas meruntuhkan Kerajaan Melaka. Akhirnya, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan gereja-gereja di Eropah telah membunyikan loceng tanda ‘kemenangan’ di pihak mereka. Ahli sejarah telah menyatakan, antara sebab kejatuhan Melaka ialah kepemimpinan dan kesultanan yang lemah pada waktu itu.

- Abad-abad seterusnya iaitu abad ke-17, 18 dan 19 merupakan saat-saat kesusahan dan getir bagi kepemimpinan umat Islam khasnya dan seluruh umat Islam amnya. Khilafah Islam ditentang dan menghadapi cabaran yang kuat yang datang dari golongan kristian dan pemberontak-pemberontak dari kalangan umat Islam sendiri. Namun, pimpinan umat Islam pada waktu itu masih mampu bertahan dan berjaya menghadapi segala ancaman dengan baik. Abad ke-19, musuh-musuh Islam semakin biadap dan wilayah-wilayah yang bernaung di bawah Khilafah Uthamaniyyah telah dijajah oleh kuasa-kuasa Eropah sedikit demi sedikit. Sebagai contoh Mesir, Algeria, Indonesia, Tanah Melayu dan Libya antara yang telah dijajah oleh Barat.

- “Kusangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari”. Pepatah ini amat bertepatan dengan tragedi hitam yang telah menimpa umat. Air yang pasang telah mulai surut. Detik ngeri akhirnya tiba juga. Setelah Khilafah Islamiyyah pada ketika itu (Kerajaan Uthmaniyyah) diserang dari segenap penjuru,wilayah yang diperintah Islam menjadi makin kecil, kekuasaan yang ampuh menjadi rapuh.

- Akhirnya daripada keseluruhan wilayah Islam, kini hanya tinggal Turki sebagai kubu terakhir. Bernafas dalam kelemasan, umat Islam lemas dalam tangisan, dek kerana kelemahan, musuh menunjukkan kekejaman. Akhirnya seorang yang berketurunan Yahudi Dunnama(golongan yahudi yang berpura-pura Islam) bernama Mustafa Kamal telah menakluk Turki, mimpi ngeri menjadi nyata. Islam sudah tidak berkuasa.

p/s: kalau anda rajin, sila baca buku:
Punca-punca Kejatuhan Khilafah
Khilafah Uthmaniah dan Alam Melayu
Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya al Aqsa ke Pangkuan Islam
Wajah Dunia Islam
dan beberapa buku sejarah dan ketamadunan yang lain.. baca bukannya beli dan simpan di rak buku ya!

Read more...

Lilin Berkorban dan Terkorban, Jadilah Pelita

(Untuk makluman, artikel ini telah disiarkan pada 8 Disember 2008 sempena Eid al Adha yang lepas. Saya mengulang siar artikel ini demi kebaikan bersama. Selamat membaca..)

Setelah beribu-ribu tahun kisah benar yang penuh menyayat hati antara dua watak, nabi Ibrahim as dan nabi Ismail as iaitu peristiwa pengorbanan maha besar dalam sejarah kehidupan manusia. Nabi Ibrahim as meninggalkan isteri keduanya, Siti Hajar yang sedang sarat mengandung di Makkah sendirian selepas satu pengembaraan dari Baitul Maqdis yang amat jauh jaraknya. Setelah beberapa lama, nabi Ibrahim pulang ke Makkah dan ketika itu anaknya telah besar. Tiba-tiba turun pula arahan dari langit supaya nabi Ibrahim menyembelih nabi Ismail yang dikasihi.

“Abah dah lama meninggalkan saya dan emak! Tanpa sebarang khabar berita, tiba-tiba sahaja pulang, abah nak sembelih saya. Abah gila ke?!”

Mungkin inilah jawapannya sekiranya kisah ini dilakonkan dan tak mustahil ini juga jawapannya jika peristiwa ini berlaku kepada kita yang sentiasa turun naik imannya. Tapi, nabi Ismail as tidak begitu. Tanpa sebarang soal, si anak dengan rela mentaati perintah bapanya walau kasihnya kepada si bapa setinggi awan di langit. Semuanya gara-gara ketaatan seratus peratus kepada Allah SWT.

Sehingga hari ini kisah dramatik ini masih segar dalam ingatan kita umat islam. Walau tak ditonton di depan mata, namun akidah yang bersumberkan wahyu menyebabkan kita percaya satu persatu kalimah yang keluar dari lisan suci milik insan bernama Muhammad saw. Pengajarannya diambil silih berganti, dari generasi ke generasi dan dikaitkan dengan kehidupan yang sedang diharungi oleh semua golongan sama ada pekerja, pelajar, pemimpin, penyokong, pendokong, institusi kekeluargaan dan juga para pejuang.

Apatah lagi jika kita membelek kitab Allah dan sunnah rasul-Nya, maka kita akan mendapati ayat-ayat yang menganjurkan supaya membuat pengorbanan itu terlalu banyak. Bermula dari surah al Baqarah sehinggalah ke surah-surah yang lain. Perintah supaya mengorbankan harta dan jiwa raga datang berterusan seolah-olah mengajarkan kepada umat Islam satu sifir mudah, muslim=berkorban.

Malah apabila kita membuka kitab-kitab sirah, sudah tentu kita akan menemui kisah-kisah nabi saw dan para sahabat yang berkorban tanpa mengenal erti penat lelah, ithar mereka berada pada tahap yang luar biasa. Pengorbanan Saidina Ali yang berani berada di atas tempat tidur nabi saw ketika peristiwa hijrah, pengorbanan Saidina Abu Bakar yang menginfakkan harta benda pada jalan Allah sehingga tiada apa-apa lagi bersamanya melainkan Allah dan Muhammad saw, pengorbanan para sahabat dalam peperangan Uhud yang sanggup menjadikan batang tubuh mereka sebagai perisai sewaktu tentera kuffar mahu membunuh nabi saw dan banyak lagi kisah-kisah yang tak termuat jika saya letakkan di ruangan ini.

Akan tetapi, prinsip pengorbanan seperti yang dianjurkan islam makin lama makin terhakis dan lebih parah lagi banyak yang sudah tersilap faham erti pengorbanan yang sebenar. Tulisan saya pada kali ini bukannya untuk memberi motivasi supaya kita kembali menyedari hakikat pengorbanan kerana saya percaya sudah cukup banyak individu yang memberi teguran sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan berkenaan isu ini. Sebaliknya, saya ingin mengikis satu bentuk salah faham tentang erti pengorbanan yang sebenarnya sehingga menyebabkan krisis ‘silap fahamism’ yang cukup jelas.

Mahasiswa yang terkorban


“Demi Islam, aku sanggup berkorban. Kita berjuang kerana Allah, sudah tentu Allah akan tolong kita. In tansurullah, yansurkum.”

Inilah antara hujah yang biasa didengari keluar dari bibir ‘pejuang-pejuang muda’ di peringkat kampus. Tidak mengapa jika semangat pengorbanan mereka meninggi ke langit sekalipun, namun yang mengecewakan ialah apabila apabila mereka ‘hyper-korban’ sehingga mereka ‘terkorban’ di kuliah, di hadapan buku-buku dan lebih ngerinya ialah akhirnya keputusan peperiksaan mereka terkorban juga.

Saudara Dzulkhairi, Mantan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) pernah dalam satu ucapannya, beliau menyatakan bahawa sepatutnya mereka yang terlibat dalam perjuangan di alam kampus mendapat keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan kerana mereka ternyata lebih hebat apabila melakukan dua tugas sekaligus iaitu tugas sebagai pelajar dan sebagai aktivis perjuangan.

Ustaz Hasrizal Abdul jamil pula menggelarkan fenomena ini sebagai jenayah akademik dalam kalangan mahasiswa. Bahkan, tidak semena-mena pengorbanan yang tersasar ini akan menjadi fitnah buat para mahasiswa dan sudah tentu akan menjadi ‘alasan yang berdalil’ buat mereka yang tewas sebelum berjuang.

Ketua keluarga yang terkorban

Saya teringat satu babak dalam filem Sang Murabbi iaitu sewaktu datang seorang isteri yang mengadu perihal suaminya kepada Ustaz Rahmat. Si isteri itu menyatakan suaminya terlalu sibuk dengan perjuangan dakwah sehingga mengabaikan anak-anak dan isteri. Ustaz Rahmat sebagai seorang murabbi yang cukup dihormati mendengar dengan teliti aduan tersebut.

Kesesokannya, ustaz rahmat memperbetul salah faham berhubung hal itu dalam satu kuliahnya. Bahkan, beliau sendiri menunjukkan teladan yang baik walaupun sibuk dengan perjuangan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) saban hari. Teladan dalam keluarga sama ada dengan isteri ataupun anak-anak.

Terdapat juga pejuang yang tersilap berkorban apabila menginfakkan harta bendanya kepada perjuangan sehingga menyebabkan nafkah kepada anak dan isteri terabai. Sedangkan kalau kita melihat teladan yang telah ditunjukkan oleh al Imam al Mujaddid Hasan al Banna, beliau cukup mengambil berat soal nafkah dan perbelanjaan isi rumah sebagaimana yang telah diceritakan anak beliau, Saiful Islam. Dibimbangi, pengorbanan seperti ini menyebabkan individu yang terlibat bermaksiat dalam perjuangan. Na’uzubillah.

Berkorban ala Zainab al Ghazali

Siapa tidak kenal Zainab al Ghazali, sayyidatul mujahidat yang lebih hebat dan lasak dalam mendepani perjuangan berbanding rijal-rijal bacul. Keberaniannya amat sukar ditandingi dan merupakan permata keluaran Ikhwanul Muslimin yang tak ternilai. Sudah tentu kita amat berharap muslimat pada hari ini akan mencontohi kelibat insane satu dalam seribu ini.

Namun begitu, niat yang murni sedikit terjejas apabila ‘kesilapan teknikal’ sewaktu berkorban demi Islam. Jika kisah di atas melibatkan ketua keluarga, kali ini ia berkisar pengabaian tanggungjawab oleh si isteri merangkap ibu kepada anak-anaknya. Akibatnya, institusi kekeluargaan menjadi tempang. Pengorbanan luar biasa ini tiada masalah jika si suami memahami dan sudi membantu dan merendahkan ego bekerjasama bersama-sama isteri.

Contoh yang paling jelas, Dr Lo’lo’ Ghazali, Wan Ubaidah dan Dr. Siti Mariah yang merupakan antara ikon muslimat pendokong perjuangan yang bijak bekorban tanpa mengorbankan diri sendiri.

Begitulah beberapa bentuk salah faham dalam pengorbanan. Mengapa perlu menjadi lilin, menerangi orang lain sehingga diri sendiri terkorban. Akan tetapi jadilah pelita, menerangi orang lain dan diri sendiri pun tak terkorban. Tulisan ini hanyalah pandangan peribadi saya dan tidak bermaksud menakut-nakutkan pembaca untuk berkorban selepas ini. Sebaliknya hanyalah garis panduan bersama sebelum berkorban.

Secara jujur, saya mengakui saya bukanlah insan yang layak untuk menghuraikan isu ini sementelah lagi saya sendiri yang masih di alam kampus dan belum masuk kealam rumah tangga. Semoga cetusan idea ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama dan sebarang komen dan kritikan amat dialu-alukan. Intihannya, syuh kita berkorban demi Islam, tetapi pastikan kita tak terkorban tanpa sebarang sebab.

Read more...

Wednesday, 4 November 2009

Inferiority Complex

Sekitar seminggu dua ini, antara perkara yang sering saya sentuh ialah tentang salah satu penyakit umat akhir zaman yang agak signifikan akhir-akhir ini iaitu 'inferiority complex' ataupun krisis kerendahan diri yang melampau sehingga berasa malu dengan keizzahan Islam yang dimiliki. Paradoks sama sekali dengan kata-kata Saidina Umar al Khattab:

"Kita ialah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam, apabila kita mencari kemuliaan selain daripada jalan Islam, nescaya Allah akan menghina kita"

Saya mengulang-ulang istilah ini apabila berpeluang bercakap di hadapan, semasa berdiskusi dan ketika berbual bersama-sama teman. Saya membuka buku-buku dan cuba mendapatkan jawapan yang bernilai akademik daripada tokoh-tokoh ilmuan akan persoalan ini. Penyakit yang nampak simple tetapi cukup berbahaya kerana pesakitnya bukan insan 'biasa-biasa' sahaja, malah individu yang telah melanjutkan pengajian ke tahap yang tinggi hingga ke tahap Phd juga berpotensi dihinggapi penyakit ini. Lalu tidak hairanlah apabila kedapatan banyak 'Dr', 'Ir', Profesor dan pelbagai gelaran lagi menyatakan sikap yang dingin mengenai Islam. Mereka terlalu silau dengan Barat dan konco-konco mereka, lebih suka dengan ideologi-ideologi moden berbanding saranan daripada agama yang dianuti.

Kesan Inferiority Complex

Penyakit ini juga telah menyebabkan dasar sekularisasi berleluasa di pelbagai aspek kehidupan. Sistem politik yang relatif nilainya, sistem kekeluargaan yang tempang sifatnya, sistem perundangan yang dipandang jumud pada syariahnya dan sistem pendidikan yang dualisme prinsipnya. Raksasa sekularisme ternyata semakin mudah untuk bergerak apabila semakin ramai umat Islam menghidapi iferiority complex. Sebagaimana yang terdapat dalam falsafah Aristotelianisme berkenaan ketuhanan, maka hal demikianlah yang meningkatkan semangat Ali Abdul Raziq untuk menghasilkan kitab 'al Islam wa Usul al Hukm' yang sangat sinikal sewaktu menghuraikan persoalan politik dan agama. Inferiority complex juga yang menyebabkan banyak 'anak buah' Khilafah Uthmaniyyah menjemput kuasa imperialis Barat supaya membebaskan mereka daripada wilayah kekhilafahan.

Dalam soal emansipasi dan feminisme pula, inferiority complex telah meragut kesucian world view Islam perihal kewanitaan. Qasim Amin, Taha Husein, Huda Sya'rawi dan Sister In Islam (SIS) antara pengkagum kepada liberalisme yang telah dipopularkan secara serius oleh John Locke satu ketika. Kelompok Islam liberal pula ternyata teruja dengan kejayaan kumpulan Protestan yang diketuai oleh Martin Luther dalam mempertikaikan kebanyakan ajaran Kristian Katholik. Lalu lahirlah insan-insan seperti Muhammad Arkoun, Hasan Hanafi, Fazlur Rahman, Lutfi asy Syaukani dan banyak lagi yang memperjuangkan hermeneutika dalam memahami al Quran.

Muhammad Arkoun dan Hasan Hanafi gemarkan rekonstruksi dan dekonstruksi terhadap Islam dan mereka tidak segan silu mengambil pandangan Derrida mengenai falsafah hermeneutika. Krisis keyakinan diri mereka sudah mencapai tahap kronik! Fazlur Rahman pula meskipun banyak jasanya terhadap umat Islam, namun beliau agak terpengaruh dengan falsafah hermeneutika apabila beliau menyatakan al Quran merupakan gabungan perkataan Allah dan Muhammad, bukannya kalamullah secara mutlak.

Di tanah air kita, Dr Mahathir antara yang menjadi silau dek terang benderang ketamadunan Barat. Beliau cukup skeptikal dengan hukum hakam Islam dan golongan konservatif dalam Islam. Tidak hairanlah apabila gagasan beliau dipengaruhi oleh kuasa luar seperti 'Dasar Pandang ke Timur' yang dipengaruhi Jepun dan 'Wawasan 2020' yang lebih terkesan dengan modenisasi. Beliau tiada keberanian untuk melancarkan gagasan yang memandang Islam sebagai solusi.

Zainah Anwar memimpin satu pasukan 'wanita muslim' yang menuntut hak persamaan yang kononnya dinodai legislatif Islamis di negara ini. SIS semakin berani mencabar kemutlakan hukum yang terkandung dalam al Quran dengan mendatangkan pandangan-pandangan daripada individu seperti Qasim Amin (penulis al Mar'ah al Jadidah dan Tahrir al Mar'ah) dan Amina Wadud. SIS tidak keseorangan apabila badan-badan seperti Majlis Peguam dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga cenderung untuk bersetuju dengan mereka. Akhirnya SIS terpedaya dengan inferiority complex yang mereka sendiri sedang hidapi.

Dalam mazhab pluralisme pula, kita dapat melihat bagaimana logik akal manusia telah memanipulasi sifat Allah yang maha mengasihani. Lalu, pendokong aliran ini menyatakan bahawa Islam, Yahudi, Nasrani, Zoroaster, Buddha dan pelbagai agama lagi ibarat dahan dan ranting yang berasal daripada akar yang sama iaitu Allah. Penganut pluralisme lebih senang menggunakan pandangan John Hick dalam menghuraikan persoalan eksklusivisme, inklusivisme, pluralisme dan lain-lain. Mereka seolah-olah hilang jati diri dan keyakinan terhadap keunggulan Islam mengatasi yang lain.

Kita juga pasti akan mendapati penyakit ini juga menimpa dalam bidang dan aspek yang lain termasuklah ekonomi, kekeluargaan, pendidikan dan sebagainya.

Kalau anda mahu memahami dengan lebih mendalam tentang isu-isu Islam liberal, sila rujuk buku Dr Ugi Suharto, buku terbaru keluaran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ataupun buku karangan Dr Khalifa Muammar (yang jauh lebih berat isinya). Tentang isu-isu lain yang saya sebut di atas,anda boleh buka majalah Dewan Ekonomi, Dewan Masyarakat, buku tentang Ketamadunan di samping kertas-kertas kerja tulisan tokoh-tokoh akademik dan juga 'Syeikh wikipedia'. Yang penting, jangan malas untuk mengkaji dan membaca!

Yang pasti, saya tidak berharat mahu mengulas secara deeply berkenaan feminisme, liberalisme, pluralisme, kapitalisme, sosialisme dan berbagai-bagai fahaman dan ideologi yang lain dalam tulisan ini, tetapi nota ringkas di atas hanyalah sebagai perkaitan dan isu dalam perbincangan kita pada kali ini iaitu tentang penyakit inferiority complex. Penyakit yang telah membarah dalam kalangan umat Islam. Ya, penyakit ini sungguh berbahaya.

Merawat Inferiority Complex

Prof. Dr Syed Naquib al Attas sewaktu memberi pandangan mengenai kewujudan umat Islam yang skeptikal dan menghadapi krisis keyakinan dengan kejituan agama sendiri telah mencadangkan supaya umat Islam mempelajari ketamadunan dan sejarah kegemilangan umat Islam. Beberapa aspek major khususnya mengenai kehebatan ketamadunan Islam mestilah dihighlight dalam pemikiran mereka. Hal ini demikian disebabkan umat Islam menghadapi peperangan minda yang cukup dahsyat, justeru mereka memerlukan satu tasawwur fundamental dan asasi yang cukup ampuh. Prof Dr Wan Mohd Nor dan Prof Dr Sidek Baba antara Melayu Muslim yang menuntut di negara Barat tetapi tidak tercedera dengan senjata pemikiran sewaktu berada di luar negara.

Sementara itu, Dr Yusuf al Qaradawy dalam buku beliau (Tamadun Islam: Alternatif Masa Depan) telah mengajak umat Islam mengahayati perbezaan yang ketara antara pemikiran dan ketamadunan Islam berbanding apa yang sedang dilaksanakan di Barat. Fakta-fakta empirikal yang dinyatakan oleh al Qaradawy benar-benar memberi kesan terhadap diri kita. Pandangan tokoh dari Barat sendiri seperti Dr Alexis dan Dr Renan (kedua-duanya merupakan penerima anugerah Nobel) yang mengkritik tamadun moden yang wujud pada hari ini seolah-olah telah mengiyakan bahawa semua pihak sedang merindui satu tamadun yang mengintegrasikan kerohnian dan material. Hal ini sudah tentu berbeza sama sekali dengan khurafat dan mitos yang sedang mencengkam minda segelintir umat Islam iaitu kelompok yang menghidapi penyakit inferirority complex.

Pada hemat saya, langkah lain yang boleh diambil dalam menangani inferiority complex selain cadangan daripada al Attas dan al Qaradawy ialah kepentingan memiliki tokoh dan figur yang menjadi contoh. Para sahabat pada zaman nabi saw memiliki keyakinan dan identiti yang jelas disebabkan mereka melihat ketokohan baginda saw. Justeru, umat Islam sepatutnya melakukan perkara yang sama iaitu memiliki tokoh yang menjadi idaman dan kegemaran supaya boleh dicontohi. Lebih baik lagi sekiranya kita memiliki banyak tokoh sama ada dari generasi terdahulu mahupun public figure era kontemporari. (Boleh rujuk artikel saya yang sebelum ini)

Selain itu, kaedah pengajian bab keimanan dan tauhid juga mestilah diambil perhatian supaya tidak terlalu menjaga prinsip tanpa keanjalan. Maksud saya, bukan hanya membicarakan bab-bab yang terdapat dalam kitab tanpa menyesuaikannya dengan realiti. Jujur saya katakan, kedapatan terlalu sedikit pengkuliah dan penceramah yang menekankan persoalan 'Meyakini Bahawa Masa Depan Dunia Milik Islam' ataupun 'Keyakinan Bahawa Umat Muhammad akan Memimpin Dunia'. Natijahnya, umat Islam seolah-olah menjadi spesies yang berjiwa kecil dan melihat sumber lain sebagai the best catalyst untuk mencapai kemajuan, bukannya al Quran dan Hadis.

Dalam surah al Baqarah, Allah swt telah menyatakan bahawa al Quran itu merupakan petunjuk buat golongan yang bertakwa. Manakala dalam ayat yang lain, Allah swt menyatakan bahawa kesudahan bumi ini milik umat yang bertakwa. Susun puzzle dalam minda kita dengan optimis, jauhi pesimis dan katakan tidak kepada inferiority complex. Kita merupakan generasi pemenang!

Sekian,
02:25 am

Read more...

Sunday, 25 October 2009

Miliki Tokoh

Salah satu soalan yang saya sentiasa bertanya kepada rakan-rakan saya ialah berkenaan 'siapakah tokoh' dan 'apa cita-cita'. Dalam masa yang sama, kedua-dua unsur itulah yang sentiasa menjadi bahan motivasi paling berharga terhadap diri saya.

Saya pernah menyatakan kepada sahabat saya bahawa saya tidak menggemari buku-buku motivasi dan berasa 'rugi' disebabkan banyak lagi isu-isu berat yang saya belum terokai. Tetapi dalam masa yang saya, saya mestilah sentiasa bermotivasi tinggi dan untuk itu saya sangat meminati buku-buku yang menceritakan pemikiran figur-figur besar. Malik ben Nabi, al Fatih, al Ghazali, al Ayyubi, Hasan al Banna, Hamka, Bapak Natsir dan Said Nursi merupakan antara senarai figur yang saya cukup kagumi. Dua tokoh terbaru yang saya sempat terokai pemikiran mereka ialah Bapak Natsir dan Bediuzzaman Said Nursi.

Bapak Natsir ialah seorang produk dari Nusantara yang cukup gah sehinggakan al Malik Faisal pernah menyatakan: "M. Natsir bukannya pemimpin umat Islam Indonesia sahaja tetapi beliau merupakan pemimpin umat Islam seluruh dunia." Kecintaan saya terhadap beliau menyebabkan saya tidak sabar mahu membedah buku Capita Selecta dan Islam dan Negara yang sinonim dengan beliau. Sebagaimana saya pernah membedah pemikiran Malik ben Nabi dan seterusnya membaca karyanya yang bertajuk 'Krisis Intelektual Muslim' (sungguh memberati minda). Manakala kehebatan Said Nursi pula menyebabkan saya teruja untuk membaca Rasail Nur yang berperanan menyelamatkan akidah umat Islam di Turki daripada raksasa sekularisme. Kisah penulisan Rasail Nur yang penuh 'mencemaskan' dan kontroversial lagilah mengangkat martabat kitab unggul itu.

Kalaulah satu ketika dahulu para sahabat mempunyai tokoh maksum yang bernama Muhammad saw menyebabkan mereka boleh menjadi generasi yang terunggul dalam sejarah, maka kita juga begitu. Seboleh-bolehnya kita mempunyai banyak tokoh dan mengambil iktibar daripada sejarah hidup dan pemikiran mereka.

Semasa berada dalam kereta api menuju ke Kuala Lumpur (mahu ke Pustaka Mukmin dan MPH di Mid Valley), persoalan inilah yang saya bualkan bersama-sama Razif. Kita mesti mengambil pengajaran kehebatan tokoh dan keiltizaman mereka dengan visi yang jelas untuk menghadapi krisis inferiority complex yang sedang dialami oleh kebanyakan umat Islam sedari abad ke-19. Umat Islam menghadapi penyakit merendah diri yang keterlaluan hingga akhirnya mereka silau dengan kemajuan Barat. Penyakit ini juga menyebabkan lahirnya kelompok yang memandang sinikal secara bulat-bulat terhadap Barat dan bagi mereka, tiada manfaat yang boleh diambil dari Barat.

Profesor Dr Sidek Baba dalam bukunya Pendidikan Rabbani mengulang-ulang kepentingan ilmu mengurus diri (keagamaan) dan ilmu mengurus sistem (ilmu-ilmu moden) dalam memastikan umat Islam dapat bangkit kembali dari rebah yang terlalu lama. Dalam bahasa lain disebut pengintegrasian ilmu. Inilah juga yang pernah diperjuangkan oleh Said Nursi yang cukup bersungguh mahu menubuhkan Madrasah az Zahra' di Turki sejak pemerintahan Sultan Abd Hamid sehinggalah kerajaan beralih tangan kepada sekularis. Beliau setia dengan pandangan beliau bahawa konsep integrasi ilmu akan memberi manfaat yang besar terhadap umat Islam. Inilah juga yang ingin disampaikan oleh Kaum Muda di alam Melayu pada satu ketika seperti Syed Syeikh al Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin.

Selain itu, dengan meneliti pemikiran-pemikiran tokoh juga akan menyebabkan kita berjiwa besar dan menyegarkan motivasi. Lihat sahaja Syeikh Muhammad Abduh yang melahirkan anak buah yang bukan calang-calang seperti Rasyid Redha. Rasyid Redha menjadikan Muhammad Abduh sebagai tokoh beliau, begitu juga dengan kebanyakan pejuang islah di seluruh dunia termasuklah di tanah air kita termasuklah Said Nursi yang turut terkena tempias pemikiran Muhammad Abduh. Ibnu Qayyim tertumpah daripada pemikiran Ibnu Taimiah. Begitu juga dengan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, al Qaradhawi dan banyak lagi sarjana Islam yang lain. Prof. Dr Naquib al Attas menjadikan al Ghazali, ar Raniri dan lain-lain sebagai tokoh yang dikagumi beliau dan hal itu menjadikan jalur pemikiran beliau sungguh menarik dan kritikal.

Banyak lagi contoh yang saya ingin kemukakan. Tapi cukup sekadar ini perkongsian buat masa ini kerana ada urusan yang saya ingin selesaikan sekarang. Ini pun, sekadar melepaskan rindu di alam maya.

Sebelum beredar, saya ingin bertanya, siapakah tokoh anda?

Sekian.

Read more...

Mencabar Persepsi 3

1) Terdapat hadis nabi saw yang menyatakan perihal mencegah kemungkaran dengan menggunakan tangan, lisan dan hati. Hadis ini sangat masyhur dan dikenali kebanyakan. Persoalannya, benarkan tangan, lisan dan hti itu merupakan step ataupun maratib pencegahan kemungkaran? Yakni, hendaklah dimulakn dengan tangan ataupun kuasa, kemudian lisan dan seterusnya hati? Terdapat ulama yang menyatakan hadis ini bermaksud terbalik dan menegaskan pencegahan kemungkaran bermula dengan hati, kemudian lisan dan akhirnya barulah tangan dan kuasa. Dan hal ini sendiri tidak berlawanan dengan akal kita. Yang pasti, saya tidak menyatakan akal mesti didahulukan mengatasi wahyu.

2) Pernahkah anda mendengar satu hadis nabi saw yang menyatakan terdapat tujuh golongan yang akan dinaungi pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan-Nya semata-mata? Sudah tentu pernah kan. Kita sering mendengar tafsiran 'hari yang tidak ada naungan melainkan naungan-Nya' ialah hari kiamat. Tetapi, pada kali ini saya ingin berkongsi pandangan Bapak Natsir yang menafsirkan hadis tersebut bukannya merujuk kepada hari kiamat semata-mata sebaliknya zaman kita yang sungguh kelam dengan fitnah ini juga termasuk sama. Zaman ini tiada lagi naungan keadilan, bahkan bergelombang kezaliman. Justeru, Bapak Natsir berpendapat, untuk menyelamatkan keadaan, kita memerlukan tujuh golongan tersebut seperti pemuda yang bercinta dengan masjid, hartawan (sedekah), cendikiawan dan sebagainya. Menarik bukan?

3) Sabda nabi saw: "Islam itu bermula dengan dagang (ghuraba') dan akan berakhir dengan dagang sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dagang." Terdapat banyak ulama yang menceritakan bahawa golongan ghuraba' merupakan golongan yang sangat beruntung berdasarkan mafhum hadis ini. Sudah tentu saya bersetuju. Cuma, saya ingin menarik perhatian anda seketika khususnya yang menyatakan bahawa kita sedang berada pada zaman ghuraba' dan sentiasa meratib bahawa kitalah ghuraba' sebagaimana yang disebutkan dalam hadis. Bagaimana kalau saya nyatakan kita tidak lagi berada pada zaman ghuraba'? Zaman ghuraba' nabi saw ialah zaman permulaan Islam dan perjalanan dakwah pada waktu itu sungguh memeritkan laksana seorang penjual yang sedang mempromosikan produk yang belum dikenali. Lalu saya berpendapat, zaman Islam baru hendak dikenali (ghuraba') itu ialah pada zaman awal kebangkitan Islam iaitu zaman Hasan al Banna, Syeikh Muhammad Abduh dan lain-lain dan kita tidak lagi berada pada zaman ghuraba' kerana ghuraba' bukannya berlaku setiap zaman. Sebaliknya, Islam sudah menjadi terkenal dan makin diminati di mana-mana sahaja. Semakin ramai golongan yang mahu memperjuangkan Islam dan kita sedang menuju puncak kegemilangan. Saya ingatkan sekali lagi yang saya tidak ingin mencabar hadis nabi saw yang suci, sebaliknya hanya mahu mencabar persepsi anda dalam memahami hadis.

Kalau anda mempunyai pandangan yang berbeza, saya mengalu-alukan.

bersambung...

Read more...

Wednesday, 14 October 2009

Mencabar Persepsi 2

1) Kebanyakan anak muda Muslim pada hari ini hanya mengikuti kisah-kisah para pimpinan Islam yang terlibat dalam gerakan Islam. Lalu, apabila ditanya kepada mereka tentang siapakah tokoh yang dikagumi, majoriti daripada mereka akan menyebut beberapa nama seperti Imam Hasan al Banna, Hassan Hudhaibi, Syed Qutb, al Maududi dan tokoh-tokoh yang seangkatan dengan mereka. Hal ini seolah-olah mereka tidak mengiktiraf ketokohan alim ulama sbelum daripada figur-figur yang dinyatakan di atas. Sudah tidak kedengaran lagi nama al Ghazali, as Syafie, Ibnu Taimiah, Muhammad al Fatih dan sebagainya. Adakah kerana kehidupan kita pada era yang penuh bermasalah terutamanya sejak 1900 dan ke atas mempengaruhi hal ini? Ataupun kesilapan para fasilitator program kepemimpinan yang hanya mempromosikan tokoh-tokoh haraki abad moden menyebabkan secara automatik minda kita hanya tergambar wajah-wajah pejuang kebangkitan era moden? Saya tidak pasti, mungkin juga kerana kita terlalu asyik dengan aktiviti persatuan dan harakah menyebabkan tokoh-tokoh yang mainstream dalam bidang keilmuan direhatkan daripada minda kita. Anda ada jawapan?

2) Apakah wala' itu? Apa pula ketaatan? Bagaimana pula dengan beradab dengan pimpinan? Mahu jawapan saya? Ini jawapan saya: Wala itu tidak bermakna kita tidak boleh bersoal jawab dengan pimpinan dan tidak berlaku wala selagi apa yang dinyatakan pimpinan hanyalah berbentuk cadangan. Terpulang kepada kita sama ada mahu menyambut dan bersetuju dengan cadangan pimpinan ataupun mengemukakan pandangan yang berbeza dengan mereka. Yang pasti wala dan ketaatan itu hanya berlaku setelah menerima arahan. Adapun beradab dengan pimpinan, sebelum dan selepas menerima arahan.

3) Kita menghentam golongan yang tersilap faham dengan Islam (sama ada betul-betul tersilap faham ataupun buat-buat tak faham) seperti penganut Islam Liberal,Sister In Islam (SIS) dan Jemaah al Qurani (anti hadis) dan mengatakan mereka tidak merujuk kepada sumber yang sahih. Maknanya, mereka berhadapan dengan kita dengan tanpa adab. Tetapi, tanpa disedari kebanyakan kita bertabiat sedemikian rupa apabila kita juga tidak merujuk buku dan bahan rujukan mereka. Saya tidak bermaksud mengagungkan sumber keparat mereka itu, tapi untuk memahami dengan baik apakah sebenarnya yang bermain di benak mereka. Sebaliknya kita lebih suka menghentam puak-puak ini dengan hanya berbekalkan sifir yang simplistik. Akibatnya, tidak ramai ilmuan Muslim yang berani menyahut cabaran mereka untuk berdebat.

4) Sewaktu berhadapan dengan kelompok liberal dan skeptikal terhadap Islam, tanpa disedari kita hampir terpedaya dengan permainan mereka. Sebagi contoh dalam isu jihad peperangan. Kebanyakan kita menyatakan bahawa umat Islam berperang hanya untuk mempertahankan diri, tidak lebih daripada itu. Mengapa kita semacam teragak-agak dalam menentukan sikap kita? Syed Qutb pernah menegur dalam 'Maalim fit Toriq' bahawa jihad peperangan bukan hanya untuk mempertahankan diri, sebaliknya termasuk untuk memperluas keadilan Islam dengan menawan negara-negara bukan Islam. Tetapkan pendirian kita, jangan menjadi pragmatis semata-mata hendak melayan kerenah liberalis sekularis!

5) Dato' Harussani Zakaria, Dato' Jamil Khir, Ust Ridhwan Tee, Uthman el Muhammady dan banyak lagi. Anda pernah dengar nama-nama tadi? Apakah pandangan anda mengenai mereka? Akhir-akhir ini, banyak yang mengecam Dato' Harussani seolah-olah beliau tidak mempunyai jasa terhadap Islam sedangkan sebelum ini beliaulah yang menyedarkan kita tentang realiti fenomena murtad di Malaysia. Uthman el Muhammady pula merupakan antara yang pakar dalam ilmu ketamadunan termasuklah seorang yang berjaya memahami Kitab Muqaddimah Ibnu Khaldun dengan baik. Jamil Khir dan Ridhwan Tee pula pendakwah bebas yang telah berjaya menerangkan Islam kepada rakyat kebanyakan. Mengapa kita memandang kesemua mereka dari satu sudut sahaja? Saya ingin bertanya, siapakah yang mahu menjadi Menteri Agama dalam Kerajaan Barisan Nasional? Sila angkat tangan. Jamil Khir telah melakukannya. Tidak sedikit perkara yang saya tidak bersetuju dengan mereka tetapi saya terlalu malu dengan kekurangan saya berbanding kelebihan mereka. Anda bagimana? Jangan terlalu skeptikal!

bersambung...

p/s: jangan lupa, ini slot mencabar persepsi!

Read more...

Mencabar Persepsi 1

1) Kita sanggup berjalan ataupun berkenderaan dalam jarak yang jauh semata-mata untuk menghadiri demonstrasi dan program-program kepolitikan. Namun, jarang kita ‘meringankan’ batang tubuh kita untuk memenuhi dewan-dewan seminar, wacana ataupun majlis-majlis ilmu yang lain. Bagi yang berpersatuan dan berorganisasi, para pimpinan kebiasaannya akan memberi arahan supaya turun ke jalan raya untuk meramaikan demonstran ataupun mewakili organisasi untuk ke program-program kepolitikan. Entah, bilakah arahan supaya ahli memenuhi program-program keilmuan akan menjadi kebiasaan kepada pimpinan dan ahli. Melakukan gerak kerja Islam itu hanya difahami secara fizikal, sebaliknya si alim yang sedang membuat penulisan tidak dianggap melakukan gerak kerja Islam.

2) Sahabat saya berkata, “kenapa diriuhkan isu yang miskin terus miskin dan yang kaya terus kaya? Sepatutnya isu yang alim terus alim dan yang jahil terus jahil yang diberatkan.” Memang itu watak kita, kita menuduh pihak sebelah sana sebagai materialistic tetapi dalam masa yang paradigma kita juga dihuni materialistik. Mereka melihat harta dan kekayaan sebagai solusi kepada pemasalahan dan begitu juga kita, melihat material sebagai solusi. Akhirnya, kita menjadi rabun bahawa yang sepatutnya diambil berat ialah persoalan ilmu. Jika dalam ‘mazhab’ materialism wujud kelompok kapitalisme (yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin), maka begitu juga dengan ‘mazhab’ keilmuan (yang alim makin alim dan angkuh, sementara yang jahil berterusan dengan kejahilan tanpa pembelaan). Tetapi, pesanan saya ialah jangan lupa bahawa kemiskinan itu membawa kepada kekufuran.

3) Dalam kalangan huffaz yang menghafal al Quran, antara pesanan berharga yang sentiasa diulang-ulang ialah sebuah hadis nabi saw: “sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al Quran dan mengajarkannya.” Lalu, bersungguh-sungguhlah huffaz mempelajari al Quran dan mengajarkannya. Timbul persoalan, mengapa dinilai hadis tersebut secara literal semata-mata? Bukankah mempelajari al Quran itu luas dan mengambil kira ilmu-ilmu yang terdapat dalamnya? Sementara mengajar pula tidak tertutup kepada aspek-aspek yang difahami secara superficial kerana semua yang terkandung dalam al Quran merupakan ilmu. Tidakkah begitu?

bersambung..

Read more...

Monday, 12 October 2009

Dilema Antara Intelektualisme dan Aktivisme

Berikut ialah komentar daripada sahabat saya, Fuad Syazwan berhubung kritikan saya terhadap mahasiswa yang hanya bersungguh-sungguh turun ke jalan raya sewaktu berdemo, tetapi bersikap 'malu-malu' untuk memahami sesuatu isu secara mendasar.
-------------------------------------------------------------------------------------

jangan lupa syeikh... yang turun berdemo di jalan raya tu menzahirkan kemarahan, kebencian, kepada musuh Islam... yang ini yang menimbulkan gerun di hati musuh...

yang duduk dalam seminar, duduk dalam kutub khannah tu, musuh pun tak tahu apa dibuat...

jangan diperlekeh orang yang berdemo...

tak tau dari A sampai Z tentang musuh tak menjatuhkan martabat orang berdemo...

kalau nak tunggu tahu semua benda pasal musuh sampai "mampus" pun Islam tak menang...

musuh dah depan pintu pagar, tapi kita masih dalam istana membuat diskusi...

cairkan otak yang beku berseminar dengan turun ke jalan raya...

wallahua'lam...


Pandangan saya:

Kepada saudara Fuad, terima kasih atas komentar menarik tersebut dan sememangnya saya cukup menantikan komen yang sebegitu rupa daripada seorang mahasiswa yang tidak taqlid buta, masih bertenaga dan mempunyai paradigma perjuangan yang jelas sesuai dengan status mahasiswa yang dimiliki.

Ternyata antara point penting yang wujud dalam kritikan Fuad ialah hubungan antara intelektualisme dan aktivisme beserta realiti dalam kancah kemahasiswaan pada hari ini.

Formula saya

Intelektualisme tanpa aktivisme = KAKU

Aktivisme tanpa intelektualisme = KELU

Integrasi antara intelektualisme dan aktivisme = PADU



Realiti dalam gelanggang mahasiswa dan politik hari ini


Sekiranya kita meneliti dengan sebaiknya hakikat yang sedang berlaku pada hari ini, maka terbukti bahawa nilai perjuangan hanya tertumpu kepada dua kelompok yang besar di samping satu kelompok ghuraba' yang tersisih dan masih belum diangkat sebagai pilihan utama para pejuang.

Dua kelompok besar tersebut ialah:

1) Kelompok yang memandang bahawa hanya dengan melakukan gerak kerja Islam, matlamat perjuangan Islam akan berjaya dicapai. Akibatnya, mereka seolah-olah rabun dengan keberkesanan intelektualisme dalam memacu perubahan. Mereka juga seolah-olah memandang skeptikal terhadap golongan yang berjuang di medan ilmu lantas menyifatkan mereka sebagai hanya pandai berteoretikal tanpa bersama-sama melukis praktikal. Kedapatan segelintir daripada kelompok ini yang terlalu malas dengan perjuangan ilmu tetapi sanggup berletihan di medan demonstrasi dan tunjuk perasaan.

Antara dalil yang digunakan oleh mereka sebagai hujah ialah:

- Firman Allah: "Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad pada jalan Allahdengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta benda dan jiwanya ke atas orang-orang yang duduk satu darjat. Kepada masing-masing Allah menjanjikan pahala yang baik dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad ke atas orang-orang yang duduk dengan pahala yang besar." (an Nisa: 95)

-Kisah Imam Ibnu Taimiah yang bersama-sama dengan tentera Islam yang lain dalam satu peperangan.

2) Kelompok yang memandang bahawa kegemilangan umat akan kembali dijulang sekiranya kita kembali kepada faktor asas iaitu ilmu. mereka akan berhujah dengan petunjuk daripada sejarah bahawa hampir semua tamadun yang gah telah wujud disebabkan keilmuan yang dijulang. Tetapi, tanpa disedari mereka terlalu asyik dengan intelektualisme sehingga mengenepikan beberapa aspek praktikal. Segelintir daripada mereka berhujah dengan tindakan Imam al Ghazali yang masih asyik di medan ilmu menganalisis dan diagnosis terhadap umat Islam dan tidak turun ke peperangan salib pada zaman beliau.

Dalil dan hujah kelompok ini pula ialah:

- firman Allah: "Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang beriman pergi semuanya ke medan peperangan. Hendaklah ada dari setiap golongan itu sekumpulan yang memperdalam ilmu pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka telah kembali kepada mereka (dari medan ilmu) supaya kaum mereka berhati-hati."
(at Taubah: 122)

- Kisah Imam al Ghazali yang terus beruzlah dengan mengkaji ilmu dan tidak bersama-sama turun ke medan perang menentang tentera salib.

Kelompok Ghuraba'

Sementara itu, kelompok ghuraba' yang saya maksudkan ialah kelompok yang mengintegrasikan antara intelektualisme dan aktivisme. Mereka bijak mengimbangkan antara pengkajian ilmu dan tuntutan untuk menjadi amilin (aktivis). Mereka berdiskusi,berseminar dan berpencak secara serius di gelanggang intelek tetapi dalam masa yang sama bersama-sama turun ke jalan raya, melakukan gerak kerja Islam dan sebagainya. Pada hemat saya, inilah kelompok bijaksana dan bertepatan dengan saranan daripada al Quran di atas.

Hujah yang menggunakan tindak-tanduk Imam al Ghazali pada waktu itu tidak kuat untuk merelakan segelintir pihak memisahkan diri daripada aktivisme. Bukankah sandaran al Quran, hadis dan sebagainya lebih kuat daripada fi'il Imam al Ghazali tersebut? Dan adakah sama situasi dan waqie yang dihadapi Imam al Ghazali dengan situasi kita pada hari ini?

Adapun tindakan untuk menjadi amilin semata-mata juga bukanlah tindakan yang bijak. Perlu difahami, untuk menjadi amilin yang baik itu mestilah dengan memiliki ilmu dan kedapatan terlalu banyak ayat dalam al Quran yang menyatakan "orang yang beriman dan beramal soleh". Amal soleh itu antaranya ialah perbuatan kita sendiri yang terpantul menerusi iman yang dimiliki dan untuk memiliki tingkatan iman yang tinggi itu sudah semestinya dengan ilmu.

Firman Allah:
"Sesungguhnya orang yang benar-benar takut kepada Allah ialah ulama (yang memiliki ilmu).."

Selain itu, tuntutan semasa pada hari ini yang melibatkan serangan pemikiran yang cukup dahsyat terhadap umat Islam hanya boleh diatasi dengan ilmu. Kewujudan Islam liberal, pencemaran sistem kehidupan seperti ekonomi, politik dan sosial dan segala kekalutan yang berlaku juga disebabkan pencemaran ilmu. Adalah satu kehinaan kepada kita sekiranya kita diperbodohkan dengan aktivisme sedangkan musuh-musuh Islam berhilai tawa terhadap kita disebabkan kecuaian kita dengan ilmu.

Ingatlah, Muhammad saw itu lebih tinggi tarafnya berbanding seorang intelektual dan lebih cemerlang amalannya daripada seorang aktivis sepanjang masa.

lihat artikel ini, Politik vs Intelektual: Contohi Anwar

p/s: maaf jika penulisan ini agak berterabur. Kalau berkesempatan, saya akan menyusunnya semula.

Read more...

Saturday, 26 September 2009

Kita Persis Si Anak Nakal



Si anak nakal, hidupnya beragam-ragam
Tiada difikirkan lagi apabila hati sudah berkenan
Buat itu, buat ini, pergi ke situ, pergi ke sana
Aksinya langsung tak berperaturan

Si anak nakal, keluar pada waktu pagi, pulang pula selepas petang
Lebih gemar bermain-main di pinggiran, meniti titian usang
Apabila hujan, ia bermandi-manda tanpa curiga
Baju yang awalnya bersih akan berkotoran, kadang-kadang berkoyakan

Si anak nakal mahu mencuba segala-galanya
Asalkan hati puas, biarpun diri sudah mengadu lelah
Api itu tampak menarik di mata sebelum ia tahu bahananya
Air bah mempesonakan nubari sebelum tenggelam diarak arus

Si anak nakal, tak tampak kesal kendati dimarah-marah
Ibunya menegur, menjeling dan kekadang merotan
Tiada sesalan, ia masih setia di daerah lama
Umpama melukis di awan biru

Si anak nakal, tak tahu erti malu
Tahu dirinya berbuat silap, tapi menjelang senja tetap pulang ke rumah
Kadang-kadang tengah hari, tika perut terasa lapar
Sambil telinganya menahan leteran bonda berjasa

Si anak nakal persis kita
Berperilaku mungkar, berlumuran dengan najis noda
Melawan arahan, tidak mengendahkan panduan
Mahukan kebebasan, tidak ingin hidup berundang-undang

Benar, si anak nakal itu persis kita, sifatnya serupa
Suka berjalan di pinggiran, padahal hidayah sudah benderang
Tetap mahu mencuba membuat nista, walhal kesudahannya mendapat neraka
Saban hari menghitamkan atma, seringkali juga rasa sesal kepada-Nya

Jika si anak nakal tidak segan untuk pulang ke rumah, begitu juga kita
Tatkala dipanggil Bilal, kita menapak kaki ke rumah-Nya
Melangkah dengan kaki kotor, gara-gara lapar daripada pahala
Sambil menahan perasaan malu, lutut pula terketar-ketar

Sungguh, kita persis si anak nakal
Hari ini merengek memohon ihsan
Hari esok terus bermain di taman larangan

MarBu si anak nakal,
7 Syawal 1430/17:20

Read more...

Friday, 18 September 2009

Kuasa Ilmu Memacu Perubahan: Satu Analisis Ringkas

Manusia telah diciptakan oleh Allah swt dengan sifatnya yang cenderung kepada perubahan. Sejarah peradaban umat manusia sejak berkurun-kurun seakan-akan merestui bahawa manusia sememangnya menggemari perubahan. Berubah daripada baik kepada yang lebih baik. Malah, Allah swt sendiri telah menganugerahkan syariat yang berbeza-beza kepada para nabi-Nya, bukannya statik dan tidak berubah walaupunpun semua syariat tersebut memberi natijah kepada penyerahan diri (Islam)kepada Allah swt.

Sementara itu, apabila kita mengamati sebab-sebab yang membawa kepada kewujudan fahaman dan ideologi dalam kalangan manusia sama ada kapitalisme, sosialisme, positivisme termasuklah liberalisme, maka kita akan menemui jawapannya ialah disebabkan reaksi dan tindak balas manusia yang mahukan perubahan yang diyakini sebagai bermanfaat menurut akal mereka. Sosialisme memberi reaksi kepada kebobrokan sistem kapitalisme manakala terdahulu daripada itu, borjuis-borjuis (fasis-kapitalis) memberi reaksi kepada kekejaman sistem feudalisme. Adapun kita meyakini bahawa perubahan itu akan sentiasa gagal selagi tidak disandarkan kepada khabar wahyu.

Ilmu sebagai pemangkin perubahan

Malik ben Nabi, salah seorang pemikir Islam yang aktif memberikan pandangan tentang hal ehwal umat Islam pada awal abad yang ke-20 telah menyatakan terdapat tiga tahap pertumbuhan sesuatu peradaban dan tamadun. Tahap yang pertama ialah menerusi pimpinan ruh (peringkat kebangkitan), kedua ialah pimpinan akal (kemuncak sesuatu tamadun) dan yang ketiga pula ialah pimpinan naluri (period kehancuran). Beliau menyatakan, kewujudan tamadun umat Islam yang hebat pada satu ketika sebenarnya bermula menerusi peringkat kebangkitan iaitulah sebaik sahaja ayat pertama surah al Alaq (“bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan”)diwahyukan oleh Allah kepada rasulullah saw.

Ibnu Khaldun juga pernah menyatakan hal yang hampir sama dengan pandangan Malik ben Nabi di atas iaitu: “kerajaan-kerajaan yang sangat berkuasa dan memiliki kuasa kedaulatan yang hebat mempunyai asal-usulnya yang berteraskan agama sama ada ia berpunca daripada kenabian ataupun seruan melakukan kebenaran (ahli falsafah etc)”. Kita dapat melihat kebenaran kenyataan di atas dari sudut sejarah kewujudan tamadun dan peradaban pada satu ketika dahulu.

Tamadun Rom dan Yunani sebagaimana semua sedia maklum tidak dapat dipisahkan dengan kehebatan pengkajian pengetahuan oleh ahli-ahli falsafah pada waktu itu seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Malahan, Alexander The Great yang dicatatkan pernah menakluk sejumlah besar bumi pada waktu dahulu merupakan hasil sentuhan dan didikan Aristotle sendiri. Selain kekuatan armada tentera, kelebihan dari sudut ilmu sudah tentu merupakan hakikat yang tidak boleh dinafikan lagi.

Daripada kejahilan kepada kekuasaan

Berbalik kepada ayat pertama surah al Alaq yang telah dikaitkan oleh Malik ben Nabi sebagai pemangkin kepada kebangkitan tamadun gemilang umat Islam. Ayat tersebut telah diturunkan kepada nabi saw di Tanah Arab yang tidak dipengaruhi ketamadunan Yunani, Rom dan Parsi. Bermula daripada detik itu, secara perlahan-lahan umat Islam akhirnya keluar daripada wilayah kejahilan dan menuju kepada keagungan. Tahap pimpinan ruh (kebangkitan) diteruskan dengan pimpinan akal (kemuncak ketemadunan). Umat Islam telah mencapai kehebatan ilmu yang sungguh luar biasa apabila banyak sarjana telah dilahirkan dan menerokai pelbagai lapangan ilmu.

Nama-nama seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibnu Nadim, al Farabi dan banyak lagi seolah-olah satu fenomena biasa pada waktu itu. Ditambah pula dengan penubuhan baitul hikmah yang menjadi mercu tanda fenomena keilmuan yang amat mengagumkan dunia. Ternyata, tamadun Islam telah dibina dengan batu asas ilmu. Umat telah berhijrah (berubah) dengan pimpinan oleh ilmu.

Tercatat dalam sejarah mengenai kewujudan seorang individu dari Eropah yang bernama Charlemagne. Beliau telah hidup sewaktu Eropah sedang dan masih lagi berada pada zaman kegelapan dan kejahilan (dark ages). Pada abad yang kesembilan, beliau pernah mencuba untuk membebaskan Eropah daripada lembah kegelapan dengan berpaksikan ilmu tetapi kurang mendapat sambutan oleh masyarakat Eropah pada waktu itu dan akhirnya beliau terkubur bersama-sama cita-citanya.

Percubaan demi percubaan untuk mengeluarkan Barat daripada zaman gelap diteruskan sehinggalah mereka berjaya keluar daripada kemiskinan ilmu sekitar abad yang ke-14. Eropah telah berhutang jasa yang telalu banyak kepada dunia Islam. Mereka akhirnya mengenal pasti bahawa kunci kepada sesuatu kegemilangan ialah ilmu itu sendiri. Ilmulah yang akan mengubah keadaan diri mereka, bukannya sihir dan jampi serapah. Eropah keluar dari pintu kegelapan dan telah membuka pintu renaissance dan kemodenan.

Di sebalik revolusi ialah para intelektual

Ekspedisi manusia yang menggemari perubahan terus berada dalam catatan sejarah. Atas nama revolusi dan reformasi, umat manusia dari pelbagai tempat terus menyuarakan suara keramat mereka. Revolusi Amerika (1775-1784), revolusi Perancis (1789-1799) dan revolusi Islam Iran (1979) ialah antara siri revolusi yang telah menghangatkan pentas dunia.

Revolusi Amerika yang berlaku pada separuh abad yang ke-18 telah berlaku disebabkan masyarakat Amerika pada waktu itu bersungguh-sungguh mahu memerdekakan tanah air mereka daripada British. Selain itu, satu demi satu kekejaman dan penindasan British juga telah meluap-luapkan kemarahan rakyat Amerika untuk melancarkan respon secara kekerasan dan pemberontakan.

Menurut sejarah, revolusi ini juga dipengaruhi oleh idea liberalisme oleh John Locke, seorang intelektual Eropah yang terkenal. Di samping itu, pihak gereja Protestan (paderi-paderi) juga telah menyemarakkan semangat perjuangan umat Amerika dengan memberikan ucapan-ucapan semangat kepada mereka supaya menjatuhkan ego British. Yang penting, konklusinya ialah gabungan pandangan pemikir Eropah (John Locke) dan pihak gereja ternyata telah menyebabkan British telah mengiktiraf kemerdekaan Amerika pada 1783.

Sementara itu, revolusi Perancis 1789 juga telah meruntuhkan sistem monarki mutlak (feudalisme) yang telah diperintah oleh King Louis XVI pada waktu itu. Masalah kewangan, penindasan dan pemerintahan King Louis yang dipengaruhi oleh isterinya, Maria Antoinette dan bangsawan-bangsawan di istana telah melukakan hati rakyat kebanyakan pada zaman itu. Pemikir-pemikir enlightment Perancis seperti Jean Jacques Rousseau, Montesquieu, Voltaire, dan Denis Diedrot yang amat dipengaruhi oleh falsafah John Locke telah memainkan peranan di sebalik projek revolusi yang terpengaruh dengan revolusi Amerika ini. Mereka memperjuangkan hak semula jadi manusia sebagai prinsip utama pemikiran. Sekali lagi, kerjasama antara ilmu dan perjuangan telah membuahkan hasil buat rakyat Perancis.

Pada 1979 pula, telah berlaku revolusi Islam Iran dengan pimpinan daripada Khomeini. Rakyat Iran yang telah muak dan bosan dengan pemerintahan Shah Iran telah bersatu menjatuhkan Shah Iran. Namun begitu, terdapat seseorang yang telah menyebarkan pemikirannya sebelum terjadinya revolusi tersebut. Individu itu ialah Dr Ali Syariati, seorang tokoh pemikir Islam moden Iran. Pemikiran matang dan bernilai tinggi beliau telah menyebabkan ketekutan kepada Shah Iran lantas menyebabkan beliau telah dibunuh menerusi satu konspirasi. Apa yang pasti, di sebalik kejayaan revolusi Islam Iran 1979 itu, telah berdiri beberapa intelektual di belakang perjuangan rakyat.

Mahasiswa dan intelektualisme

Mahasiswa merupakan golongan yang terlibat secara langsung dalam bidang keilmuan dalam masyarakat kita. Tanpa disedari, mereka sebenarnya merupakan antara kumpulan yang paling layak untuk memimpin perubahan disebabkan ilmu yang dimiliki.namun begitu, saya tidak begitu pasti sejauh manakah pembudayaan ilmu telah didarah dagingkan dengan kemahasiswaan. Apa yang begitu jelas kelihatan sekarang ialah mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan aktivisme berbanding intelektualisme.

Lebih malang apabila kewujudan banyak mahasiswa yang telah menjadi hamba kepada sistem peperiksaan. Mereka tidak lagi mencintai ilmu, mereka tidak lagi ghairah untuk mendapat jawapan kepada beberapa persoalan di benak fikiran, sebaliknya mereka hanya bersungguh untuk merangkul sebanyak-banyaknya ‘A’ dan mengejar pointer tanpa memahami apa sebenarnya yang mereka sedang pelajari. Prof. Wan Mohd Nor pernah menyatakan: “Budaya peperiksaan dalam sistem pendidikan negara telah menggantikan budaya ilmu.Para pelajar memang giat belajar tetapi kebanyakannya bukan untuk memahami dan mencungkil makna daripada apa yang dipelajari tetapi untuk menghafalnya cukup untuk masa dua tiga minggu tempoh peperiksaan .Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan terbesar murid-murid tidak ingat lagi perkara-perkara yang gigih dipelajarinya sebaik sahaja peperiksaan tamat.Para guru pula memang giat mengajar tetapi penumpuannya lebih kepada untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan mencapai kecemerlangan peperiksaan.”

Begitu juga apabila kita memperkatakan soal budaya membaca dan mahasiswa, hasilnya masih lagi miskin. Pendedahan oleh Dato Noh Omar pada satu ketika agak mengejutkan para pemerhati apabila dinyatakan bahawa menurut kajian hanya 12 buah buku yang dibaca oleh mahasiswa selama tiga tahun pengajian berbanding Brunei (26 buah), Thailand (56 buah), India (130 buah), Indonesia (94 buah) dan Australia (180 buah). Jadi, di manakah lagi nilai intelektualisme mahasiswa di Malaysia? Adakah mereka boleh diharap untuk memimpin perubahan dan menjadi pemimpin masa hadapan ataupun itu hanyalah slogan dan retorik kosong semata-mata?

Walau bagaimanapun, sejarah telah merakamkan bahawa kuasa ilmu telah memacu perubahan umat manusia pada satu ketika. Kalau ada yang mahu mencuba dengan kuasa yang lain silakan.

Firman Allah: “Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan orang-orang yang dikurniakan ilmu dengan beberapa darjat..” (surah al Mujadalah)

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP