Friday, 23 January 2009

Ilmu Psikologi Bekalan Utama Pendakwah


Tuan Guru Nik Abdul Aziz sewaktu mengunjungi Restoran Amy

Terdapat sebuah kata-kata yang berbunyi, “perkecilkan perkara yang kecil”. Satu simple byword yang dianggotai oleh empat perkataan, namun mempunyai makna yang cukup besar malah boleh dijadikan sebuah kitab untuk dihuraikan. Inilah hebatnya bahasa, boleh menawan jiwa, menyesakkan dada jua. Anda pun pasti pernah ditawan oleh bahasa kan?

Apabila kita mengharungi kehidupan seharian, kita pastinya akan menemui pelbagai jenis watak, variasi ragam manusia, semua segmen akhlak dan moral. Tatkala itu, perasaan kita secara automatic juga akan bertukar mengikut jenis manusia yang kita temui. Adakalanya gembira, sedih, terasa, cemburu, prasangka (baik atau buruk) dan banyak lagi. Betul tak?

Secara peribadi, saya meyakini perasaan yang saya sebutkan di atas akan wujud dan hadir mengikut situasi. Bukan kerana syok sendiri dalam membuat tekaan, tetapi al Quran dan hadis nabi saw secara jelas telah memberi beberapa tunjuk ajar kepada manusia supaya setiap perasaan yang lahir dalam diri kita tidak membawa ke arah kebinasaan. Allah swt sebagai pencipta manusia Maha Mengetahui jenis-jenis hambanya dan Dia Yang Maha Bijaksana juga telah memberi panduan supaya setiap perasaan itu akan membawa kebahagiaan. Contoh-contohnya ialah seperti berikut:

Manusia yang suka berprasangka:“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari purba-sangka itu dosa.” (al Hujurat: 12)

Manusia yang suka mencari keburukan orang lain:
“Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah membuat ghibah antara satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (al Hujurat: 12)

Manusia yang suka menurut nalurinya sendiri:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (al Baqarah: 216)

Manusia yang berasa gembira apabila dibantu:
“Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan)mu, dan agar tenteram hatimu karenanya. Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (aali Imran: 126)

Manusia yang sedih apabila ditinggalkan keseorangan:
“Tuhanmu tiada meninggalkan kamu (wahai Muhammad) dan tiada (pula) benci kepadamu” (adh Dhuha:03) * Maksudnya: ketika turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w. terhenti untuk sementara waktu, orang-orang musyrik berkata: "Tuhannya (Muhammad) telah meninggalkannya dan benci kepadanya." Maka turunlah ayat ini untuk membantah perkataan orang-orang musyrik itu.*

Manusia yang suka berbangga (takabbur):
“tidak akan masuk syurga sesiapa yang mempunyai walau sebesar biji sawi sifat kibr”
(Maksud hadis)

Manusia yang sukakan perkara yang diingini syahwat:
“14. Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” (Aali Imran: 14)

Malahan banyak lagi ayat-ayat dan hadis nabi saw yang menerangkan tentang psikologi manusia bahkan diajarkan juga teknik untuk menyelesaikannya. Nabi saw dibangkitkan dengan penuh sempurna. Baginda juga amat pakar dalam ilmu memahami manusia ataupun lebih dikenali dalam dunia moden pada hari ini sebagai ilmu psikologi. Buktinya kita boleh melihat melalui setiap tindakannya yang sentiasa berbeza mengikut jenis manusia yang ditemui.

Berbeza sewaktu memberikan pendapat kepada orang Badwi (orang ‘ulu’), pembesar, golongan yang lemah, orang beriman dan orang musyrik. Begitu juga apabila baginda berdakwah kepada golongan kanak-kanak. Teknik dakwah baginda saw fleksibel namun terikat dengan prinsip yang teguh. Visi dan misi baginda saw jelas, dasar pembawaan yang terang dan kaedah yang berbeza-beza.

Contoh mudah yang saya boleh kemukakan dalam tulisan ini ialah sewaktu baginda saw ditanya berkenaan Islam dan muslim yang baik. Dalam satu hadis, baginda saw bersabda, al muslimu man salimal muslimuna min lisaanihi wa yadihi (seorang muslim itu ialah sesiapa yang menyelamatkan orang Islam yang lain daripada lidahnya dan daripada tangannya. Manakala dalam hadis yang lain, baginda bersabda: “seorang muslim itu saudara kepada muslim yang lain. Ia tidak menzaliminya dan tidak mendedahkannya kepada kebinasaan......(hingga akhir hadis).




Begitu juga apabila kita melihat apabila ada dari kalangan sahabat yang bertanya, “ayyul a’maala afdol” (apakah amalan yang paling afdal). Maka kita akan menemui jawapan yang berbeza diberikan oleh baginda saw. Misal-misal di atas menunjukkan nabi cukup mengira latar belakang mad’u baginda.

Jika ada orang bertanya mengapa perkara ini berlaku, jawapannya sudah tentu kerana persoalan psikologi manusia merupakan satu perkara asas dalam menyampaikan dakwah. Dan psikologi ini juga merupakan salah satu daripada cabang hikmah yang agak besar. Atas sebab yang ampuh ini juga, wujud banyak individu dari barat yang mengkaji manusia secara mendalam malah berjaya menulis berpuluh-puluh buku yang mengalami translation kepada pelbagai bahasa.

Nama-nama seperti Stephen R. Covey, John Gray, Maxwell, Carl Roger dan Abraham Maslow cukup signifikan dalam dunia psikologi manusia dan menjadi rujukan utama. Bahkan apabila kita membaca tulisan-tulisan mereka, seolah-olah mereka membawa kita kepada pengkajian sosok tubuh insan spiritual agung iaitu Muhammad saw. Cuma terdapat beberapa peratus kecil yang agak menyalahi syariat islam sebagaimana terdapat dalam buku How to Get What You want and Want What You Have (John Gray) sewaktu bercakap soal kebaikan tuhan (diselitkan sedikit unsur pluralisme).

Intihannya, ilmu psikologi itu merupakan salah satu bekalan yang paling utama buat para pendakwah. Mereka (ahli psikologi Barat) sudah menguasainya, kita bila lagi?

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP