Thursday, 19 February 2009

Meroboh Berhala, Merdeka Jiwa




“Sebaik sahaja Salahuddin berpindah ke Mesir, dunia keseronokan sudah luput dari hatinya. Dia berpaling dari keseronokan dunia lalu memilih hidup dengan penuh pengabdian kepada Allah.” Inilah kata-kata seorang sarjana sejarah Arab, Shaddad. Beliau menyatakan bahawa satu transformasi pemikiran dan penghayatan keimanan telah menjadikan Salahuddin sebagaimana yang seluruh umat manusia mengenalinya. Salahuddin yang digeruni lawan, dikasihi teman, dirahmati Tuhan dan ‘diazab’ oleh syaitan. Ya, Salahuddin al Ayyubi rahimahullah telah menjadi dirinya yang sebenar setelahmenjalani proses tajdid ruhiyyah, akliyyah dan ilmiah.

Segala macam berhala yang wujud dalam dirinya telah diruntuhkan dan dibenam ke dasar sedalam-dalamnya. Berhala materialistic, berhala individualistic, berhala hipokrasi dan berhala ‘munafikisme’.

“As’ad, ana dapat satu idea untuk membina diri manusia yang hebat.” Saya membuka bicara sewaktu sedang berehat selepas solat Isyak.

“Apa dia?” As’ad bertanya ringkas.

“Kita ambil pengajaran daripada peristiwa fathul Makkah. Semasa mula-mula nabi saw memasuki Kota Mekah, baginda membersihkan kaabah daripada berhala-berhala. Kita cuba kaitkan dengan diri manusia.” Saya mengulas lebar.

Beberapa hari sebelum itu, nakib usrah saya memberi nasihat bahawa kita mesti membuang berhala materialistic yang berada di dalam diri kita. Sebagaimana kita sedia maklum, terlalu banyak ibrah (pengajaran) yang boleh diambil melalui pengajian sirah termasuklah peristiwa pembukaan Kota Mekah. Dan pengajaran itu tidak sewajarnya hanya diambil bulat-bulat tanpa mengaitkan dengan pelbagai aspek dan cabang kehidupan kerana ibrah itu amat mahal nilainya. Tajamkan minda dalam menghayati ibrah!

Arahan merobohkan berhala-berhala


Allah swt berfirman: “ Maka ambillah (Kejadian itu) untuk menjadi pengajaran wahai orang-orang yang mempunyai mata hati.” (al Hasyr: 2)

Dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah, Imam Bukhari meriwayatkan daripada Usamah, beliau berkata: “Bahawa Rasulullah saw tidak memasuki Kaabah, selepas dikeluarkan semua patung berhala yang terdapat di dalamnya.”

Jabir ra pula meriwayatkan: “Ketika Rasulullah saw tiba di Bat-ha (satu tempat di pinggir Mekah), baginda telah mengarahkan Umar ibnul Khattab supaya membuang patung berhala serta membersihkan lukisan gambar-gambar yang terdapat di dinding Kaabah.” (Abu Daud)

Rasulullah saw telah member arahan tegas kepada umat Islam pada waktu itu supaya membuang patung berhala dan gambar-gambar yang terdapat di dinding Kaabah termasuklah gambar nabi Ibrahim as yang entah dari mana mereka mendapat ilhamnya. Inilah antara arahan pertama baginda saw dalam misi membangunkan Kota Mekah yang telah ditawan setelah bertahun-tahun berada di Madinah sebelum itu.

Arahan membuang berhala diberi kerana berhala merupakan salah satu elemen major dalam mekanisme syirik. Sedangkan syirik itu pula merupakan penghalang gergasi dalam membersihkan jiwa, minda dan fitrah seorang manusia. Syirik=akidah berkurap. Walhal, mana mungkin manusia yang mempunyai akidah yang berkurap bisa mempunyai satu pandangan alam (world view) dan universal selari dengan salah satu ciri agung Islam iaitu alamiyyah. Akidah yang jitulah yang telah menjadikan umat Islam sebagai umat yang masyhur satu ketika dahulu. Akidah yang padulah yang telah melahirkan panglima-panglima dan sultan-sultan yang disegani kawan dan lawan.

Merobohkan berhala-berhala


Saya tidak berminat menghurai lanjut berkenaan peristiwa bersejarah tersebut kerana anda boleh mengikutinya dengan membelek buku-buku sirah yang banyak terdapat di pasaran. Saya cuma ingin mengaitkan upacara pembersihan Kaabah daripada berhala-berhala sebagai signifikan buat kita tentang perlunya satu upacara merobohkan berhala-berhala yang wujud dalam diri kita dijalankan secara serius. Dibimbangi, lambat laun makin banyak zuriat yang penuh dengan najis akan lahir dek kerana kesuburan berhala-berhala yang galak berasmaradana di dalam diri kita.

Ya, kita wajib meruntuhkan berhala-berhala itu satu demi satu. Transformasi ke arah peningkatan iman hanya akan berlaku sekiranya kita bersungguh-sungguh melakukan usaha ini. Mujahadah yang istikamah.

Rub’I bin ‘Amir pernah berkata: “Sesungguhnya Allah swt mengutuskan kami untuk membebaskan manusia dari mengabdikan diri kepada sesama makhluk kepada mengabdikan diri kepada Allah. Dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat dan daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan islam.”

Cita-cita agung ini dinukilkan beliau sewaktu menemui panglima perang Parsi yang bernama Rustam. Hasrat ini hanya boleh tercapai apabila kita berjaya menjadi diri kita yang hakiki. Memerdekakan jasad dan ruh kita dari belenggu imperialis-imperialis curang yang bersarang dalam diri. Imperialis reality yang disangka ilusi.

World view


Begin with the end in mind. Mulakan sesuatu perkara dengan titik terakhir dalam minda kita. Fikir selumat-lumatnya. Sebagai seorang muslim, sudah tentu wawasan kita ialah wawasan akhirat. Justeru, kita akan melakukan sesuatu perkara dengan memikirkan dosa pahala dan syurga neraka serta mengambil kira neraca syarak. Semua ini hanya akan bernatijah dengan akidah yang absah.

“Tiada yang disembah melainkan Allah, segala urusan mestilah berpandukan perlembagaan Allah, segala rezeki ditentu dan dikurniakan Allah, hidup mati diputuskan oleh Allah dan tiada hukum melainkan daripada Allah.”

Itulah tuntutan dan pengertian yang lahir daripada ikrar tauhid, ‘la ilaha illallah’. Iqrar ini boleh disebut dalam bahasa mudah pada hari ini sebagai revolutionary kerana ia mentajdid seluruh pemikiran manusia dan mengubah diri manusia itu sendiri dalam semua tindak-tanduknya.

Jika sebelum itu manusia melihat kepada nature dan segala macam benda yang disangka mempunyai kekuasaan seperti api, bukit, gunung, berhala, akal dan pelbagai lagi. Akan tetapi apabila mereka menerima ikrar ajaib ini, semua perkara bernajis tersebut ditolak secara total dan dibuat satu rombakan besar-besaran. Revolusi secara menyeluruh berlaku.

Raja dalam diri manusia secara automatic akan memasuki Islam diikuti seluruh ‘rakyat-rakyatnya’ yang terdiri daripada anggota-anggota tubuh yang lain. Tajarrud. Semuanya kini bebas daripada belenggu imperialis dan secara tidak langsung satu paradigma baru akan wujud dalam bentuk yang lebih luas. Cita-cita dan impian yang melangit seakan-akan tidak menjadi masalah kerana ketauhidan yang tulus sudah bertapak kukuh dalam diri setiap manusia. Kita meyakini bahawa seseungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kemenangan pasti akan menemui para pencinta kebenaran!

Firman Allah:
“Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, Masuklah ke dalam syurga-Ku.” (al Fajr: 27-30)

Read more...

Saturday, 14 February 2009

Tajdid Minda, Dare To Change!!

Para nabi dan rasul alaihimussalatu wassalam telah dibangkitkan untuk melakukan revolusi dan reformasi dalam semua aspek kehidupan pada zaman dan tempat masing-masing. Mereka memainkan peranan sebagai reformis dan revolusioner yang membawa misi besar, meruntuhkan berhala-berhala yang wujud di luar dan dalam diri manusia, menanam dalam-dalam sistem politeisme kepada manhaj monoteisme yang bertauhidkan Allah swt Rabbul Jalil. Mereka juga bertindak memodifikasikan corak dan pola kehidupan bermasyarakat kaum mereka ke arah yang lebih teratur dan memberi keadilan sejagat bersumberkan ajaran wahyu dari langit.

“Ani’budullah wajtanibut thagut!!” Begitulah misi agung setiap rasul yang diutus. Meskipun misi mereka sama, namun begitu perancangan dan kaedah yang digunakan berbeza antara satu sama lain. Hal ini boleh diumpamakan dengan beberapa orang yang mahu ke bandar, tetapi kenderaan yang digunakan tidak sama dan berbeza. Sebagai agen perubah kepada kaum masing-masing, ketulenan cita-cita mereka dibantu oleh keanjalan teknik dan cara. Tidak sama. Masakan tidak, mereka dibangkitkan kepada kaum yang berbeza budaya, berlainan zaman dan tempat. Kalaupun diutuskan ke tempat yang sama, teknik yang digunakan tetap berlainan berbanding yang sebelumnya.

Begitulah gambaran yang telah ditunjukkan oleh Allah swt kepada para hamba-Nya. Usah mengikuti tradisi semata-mata, tetapi jadikan tradisi sebagai panduan bukannya sebagai ikut-ikutan. Apatah lagi dalam minit-minit terakhir umur dunia ini, sudah tentu masalah dan halangan yang sedang meniarap di depan kita jauh berbeza dengan apa yang telah berlaku berdekad-dekad sebelumnya, malah berabad-abad sebelumnya. Berbeza sama sekali.

Namun begitu, sudah menjadi kegemaran para pendakwah pada hari ini untuk menjunjung tinggi tradisi yang telah ditinggalkan oleh generasi sebelum ini. Mereka menghadapi krisis yang besar apabila daya keberanian untuk melakukan ‘ijtihad’ beku sama sekali. Ijtihad yang saya maksudkan di sini ialah melihat+mentafsir=mencipta/mereka. Bukannya ijtihad dalam persoalan hukum kerana ijtihad jenis itu terlalu sulit melainkan buat mereka benar-benar layak.

Adapun ijtihad yang saya sedang sarankan ini ialah keupayaan kita untuk membuat perubahan dan mencipta sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada generasi umat akhir zaman ini. Hal ini demikian kerana sikap sesetengah daripada kita yang terlalu patuh dengan praktikal tradisi peninggalan orang-orang sebelum kita akan menyukarkan misi dakwah dan tarbiah yang makin mencabar.

Malahan, apabila terdapat sasaran dakwah yang bertanya asal-usul tindakan yang penuh bertradisi, maka jawab mereka; “beginilah sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang-orang terdahulu.” Ataupun jika ditanya peserta program; “apa yang kami buat ni baru sedikit. Saya sendiri telah menerima tarbiah yang lebih berat oleh abang-abang sebelum ini.” Ataupu begini; “takkan kita sanggup nak ubah apa yang abang-abang telah tinggalkan.”

Inilah sikap kita. Kita menjadi begitu penakut apabila berhadapan dengan sesuatu perkara meskipun kita tahu sekiranya modifikasi dapat dilaksanakan, pasti akan menemui jalan yang lebih terang.

Taksub bertradisi membawa kelemahan



Allah swt telah berfirman: 104. “Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul". mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya". dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?. ( al Maidah: 104)

Mungkin ada dalam kalangan anda yang tidak bersetuju apabila saya membawakan ayat ini. Jangan silap memahami, saya bukannya ingin menyatakan apa yang telah dibawa oleh orang-orang dulu semuanya kufur dan tidak berguna kerana ayat ini dikhususkan buat mereka yang mahu berpaling dari kebenaran. Akan tetapi, saya ingin mengajak kita mengambil iktibar bahawa sikap taksub mematuhi tradisi tidak menggambarkan keilmuan kita. Kalaulah air batu campur pun kita berani membuat modifikasi dan hasilnya umphh..., apalah salahnya kita berusaha melakukan ijtihad mencari jalan keluar kepada masalah-masalah yang dihadapi tanpa keluar daripada bekas islam yang suci.

Berprinsip dan fleksibel



Apabila kita mempelajari ilmu usul fiqh, antara prinsip pertama yang kita akan temui ialah; “perubahan hukum-hukum berdasarkan perubahan pada zaman dan tempat (taghayyurul ahkami bi taghayyuril azmaan)”. Kaedah ini diguna pakai oleh semua ulama dan ia membawa maksud bahawa setiap hukum yang akan dijatuhkan mestilah diteliti dari pelbagai sudut termasuklah zaman dan tempat dengan syarat-syarat tertentu.

Saya teringat satu kata-kata daripada mantan presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), almarhum Ustaz Fadhil Nor yang berbunyi, “kita mestilah kontemporari dalam tindakan, fundamental dari segi prinsip dan futuristik pada perancangan.”

Begitu juga al allamah Abu Ali Hasan an Nadwi pernah menyatakan, “al jam’u bainal qadiimis solihi wa biljadiidin nafi’I” (integrasi antara perkara lama yang baik dan penemuan baru yang bermanfaat) .

Alangkah baiknya sekiranya para pendakwah pada hari ini bertindak dengan penuh kebijaksanaan dalam memahami waqi,zaman dan suasana. Islam itu terlalu indah, terpulang kepada kita yang mempromosikan Islam kepada orang ramai. Etika kita, personality, penyampaian dan segala yang bersangkut paut dengan tugas kita sebagai promoter mestilah dititik beratkan supaya masyarakat menerima baik penjelasan kita. Kalaupun mereka tidak membeli produk kita, sekurang-kurangnya mereka faham dan tahu hakikat produk itu.

Selimut jumud

Kedapatan banyak dari kalangan kita yang mudah mendakwa setiap kritikan itu desktruktif dan berorientasikan primitif. Alangkah hebatnya kita, setiap tingkah laku kita benar dan tepat. Teguran dan kritikan yang bersifat inskrutif hanya dipandang sebelah mata.

Tindakan itu kemudiannya dituruti tanpa sebarang persoalan oleh generasi pewaris perjuangan mereka. Sekiranya kita menyingkap sejarah, kita pasti akan menemui kisah keintelektualan ‘reformis’ Imam Ibnu Taimiah, Imam Ibnu Qayyim al jauzi, Jamaluddin al Afghani, Syeikh Muhammad Abduh, Rasyid Redha dan banyak lagi.

Mereka berani membuang selimut jumud dan berminda kritis. Ibn Taimiyah seorang reformis dalam bidang keagamaan. Beliau memiliki pandangan-pandangan yang tajam dan berani. Maka muridnya yang lahir hasil tarbiahnya juga berani seperti Ibn Qayyim dan Ibn Kathir. Salur-galur pemikiran Ibn Taimiyah meresap dalam pemikiran dan gaya hidup mereka. Apabila kita membuka kitab pengantar syariah, pasti kita akan menemui kisah keberanian Imam Ibnu Taimiah, Ibnu Qayyim dan lain-lain yang menongkah arus apabila bertindak di luar daripada tradisi dan meneruskan ijtihad yang telah mengalami kebekuan berabad-abad sebelum itu.

Begitu juga reformis Jamaluddin al-Afghani. Beliau banyak polemik tersendiri, maka cara pemikiran dan gaya hidupnya juga tumpah ke Syeikh Muhammad Abduh dan Rasyid Redha. Mereka berani meneruskan gagasan ‘dare to change’ kendatipun dipandang serong oleh segelintir alim ulama. Tidak ketinggalan Imam al Ghazali yang berjiwa besar dan telah mengarang kitab Ihya’ Ulumiddin yang kemudiannya ‘minda al Ghazali’ yang tersebar jauh telah melahirkan seorang individu benama Salahuddin al Ayyubi, antara panglima tentera terhebat dalam sejarah Islam.

Orang muda berjiwa besar, gemarkan perubahan

Abad ke 20 menyaksikan pelbagai revolusi sosial yang unik. Antara keunikan tersebut ialah penglibatan kumpulan anak-anak muda yang berstatus mahasiswa untuk melakukan perubahan. Fenomena ini bersifat global apabila beberapa tempat yang berbeza iklim dan budaya menjadi saksi kesungguhan mereka untuk bergerak maju menuntut keadilan bersama-sama pejuang-pejuang yang lain.

Antara contoh perjuangan masyarakat yang ditunjangi mahasiswa ialah gerakan Mei 1968 di Perancis, revolusi islam Iran 1979 dan gerakan reformasi yang telah menjatuhkan Suharto pada 1998. Ternyata keberanian mereka menzahirkan naluri cintakan perubahan membawa hasil lumayan terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.

Malahan tsunami politik yang melanda Malaysia dua tiga tahun belakangan ini juga membawa kepada kesimpulan bahawa kuasa orang muda yang cintakan kebenaran dan berani untuk berubah. Sebaliknya ‘orang-orang lama’ masih setia dengan kapal yang sudah remuk dan hanya menunggu masa untuk karam.

Tarbiah bertradisi=lemah


Sejak akhir-akhir ini kedapatan segolongan yang masih mempertahankan tradisi dalam pelaksanaan tarbiah sama ada usrah, dakwah ataupun latihan kepemimpinan. Saya berpandangan tarbiah berjenis ini akan menatijahkan lemah kerana kecenderungan untuk mendapat kejayaan masih ada dan insyaAllah selamanya ada.

Berjaya kerana janji Allah yang akan mempertahankan agama-Nya walau apa pun berlaku. Gagal kerana sunnatullah yang menuntut kebijaksanaan kita menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman, keadaan dan situasi barulah akan menghasilkan kejayaan. Agak mendukacitakan apabila tarbiah telah diikat kaki dan tangannya dengan tali tradisi. Lalu, mangsanya ialah jundi-jundi muda yang lahir pada zaman yahoo messenger, 3G dan astro.

Silibus-silibus usrah masih lagi menggunakan kitab-kitab keluaran 80-an dan 90-an. Modul-modul kem kepemimpinan masih tidak berubah. Atas alasan mempertahankan prinsip, menu makan minum sewaktu berprogram pun dipertahankan zaman-berzaman. Alahai tarbiah, dikau pun menjadi tahanan penjara tradisi!

Berani untuk berubah!!


Sejarah telah mengajar kita bahawa kejayaan umat-umat terdahulu bertitik tolak daripada keberanian mereka untuk melakukan perubahan. Bermula dengan revolusi minda dan seterusnya revolusi menerusi tindakan. Saudara Mahfuz Omar pernah berkata dalam satu ceramah beliau, “zaman revolusi minda sudah berakhir, sekarang ialah zaman revolusi bertindak.”

Jadi, ayuh pemuda! Beranilah untuk berubah. Saya tinggalkan anda dengan sepotong firman Allah:

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka Itulah orang-orang yang benar-benar beriman. mereka memperoleh ampunan dan rezki (nikmat) yang mulia.” (al Anfaal: 74)

Read more...

Monday, 2 February 2009

Aku Mahu Membelah Dadaku

Aku mahu membelah dadaku
Kemudian akan kuambil gumpalan darah itu
Agar dapat kucuci sebersih-bersihnya
Akan kuhilangkan kekotoran yang melekat
Aku mahu menanggalkan karat-karat maksiat
Juga luka-luka jahiliah yang masih berparut

Aku mahu membelah dadaku
Kemudian akan kuambil gumpalan darah itu
Pasti aku akan membawanya ke klinik
Supaya penyakitnya dapat diubati
Najis ego yang membarah
Wabak iri hati yang menyeksakan
Kanser riya’, ujub, sum’ah yang makin melarat

Aku mahu membelah dadaku
Kemudian akan kuambil gumpalan darah itu
Akan kucabut duri-duri yang melekat
Duri yang menghijabi hubunganku dengan-Nya
Duri yang merencatkan akhlak karimah
Duri yang meracuni gejolak nafsuku
Arghh…Sungguh, tak dapat kutahan lagi
Duri itu maha tajam

Aku mahu membelah dadaku
Kemudian akan kuambil gumpalan darah itu
Nescaya akan kuhias ia seindah-indahnya
Aku akan menyiramnya dengan wangi-wangian yang semerbak
Biar ia tampak anggun dan menggiurkan
Harumannya memikat jiwa yang tenang
Semoga dapatlah aku menawan cinta-Nya

Aku mahu membelah dadaku!!

Firman Allah:
“Hari yang mana harta benda dan anak pinak sudah tidak bermanfaat lagi. Melainkan sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.”

Sabda nabi saw:
“Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh manusia itu ada seketul daging, apabila baik daging itu nescaya akan baiklah seluruh jasad. Sebaliknya, jika buruk daging itu nescaya akan buruklah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.”

MarBu,
15:52
2 Februari 2009 (Isnin)

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP