Saturday, 14 February 2009

Tajdid Minda, Dare To Change!!

Para nabi dan rasul alaihimussalatu wassalam telah dibangkitkan untuk melakukan revolusi dan reformasi dalam semua aspek kehidupan pada zaman dan tempat masing-masing. Mereka memainkan peranan sebagai reformis dan revolusioner yang membawa misi besar, meruntuhkan berhala-berhala yang wujud di luar dan dalam diri manusia, menanam dalam-dalam sistem politeisme kepada manhaj monoteisme yang bertauhidkan Allah swt Rabbul Jalil. Mereka juga bertindak memodifikasikan corak dan pola kehidupan bermasyarakat kaum mereka ke arah yang lebih teratur dan memberi keadilan sejagat bersumberkan ajaran wahyu dari langit.

“Ani’budullah wajtanibut thagut!!” Begitulah misi agung setiap rasul yang diutus. Meskipun misi mereka sama, namun begitu perancangan dan kaedah yang digunakan berbeza antara satu sama lain. Hal ini boleh diumpamakan dengan beberapa orang yang mahu ke bandar, tetapi kenderaan yang digunakan tidak sama dan berbeza. Sebagai agen perubah kepada kaum masing-masing, ketulenan cita-cita mereka dibantu oleh keanjalan teknik dan cara. Tidak sama. Masakan tidak, mereka dibangkitkan kepada kaum yang berbeza budaya, berlainan zaman dan tempat. Kalaupun diutuskan ke tempat yang sama, teknik yang digunakan tetap berlainan berbanding yang sebelumnya.

Begitulah gambaran yang telah ditunjukkan oleh Allah swt kepada para hamba-Nya. Usah mengikuti tradisi semata-mata, tetapi jadikan tradisi sebagai panduan bukannya sebagai ikut-ikutan. Apatah lagi dalam minit-minit terakhir umur dunia ini, sudah tentu masalah dan halangan yang sedang meniarap di depan kita jauh berbeza dengan apa yang telah berlaku berdekad-dekad sebelumnya, malah berabad-abad sebelumnya. Berbeza sama sekali.

Namun begitu, sudah menjadi kegemaran para pendakwah pada hari ini untuk menjunjung tinggi tradisi yang telah ditinggalkan oleh generasi sebelum ini. Mereka menghadapi krisis yang besar apabila daya keberanian untuk melakukan ‘ijtihad’ beku sama sekali. Ijtihad yang saya maksudkan di sini ialah melihat+mentafsir=mencipta/mereka. Bukannya ijtihad dalam persoalan hukum kerana ijtihad jenis itu terlalu sulit melainkan buat mereka benar-benar layak.

Adapun ijtihad yang saya sedang sarankan ini ialah keupayaan kita untuk membuat perubahan dan mencipta sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada generasi umat akhir zaman ini. Hal ini demikian kerana sikap sesetengah daripada kita yang terlalu patuh dengan praktikal tradisi peninggalan orang-orang sebelum kita akan menyukarkan misi dakwah dan tarbiah yang makin mencabar.

Malahan, apabila terdapat sasaran dakwah yang bertanya asal-usul tindakan yang penuh bertradisi, maka jawab mereka; “beginilah sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang-orang terdahulu.” Ataupun jika ditanya peserta program; “apa yang kami buat ni baru sedikit. Saya sendiri telah menerima tarbiah yang lebih berat oleh abang-abang sebelum ini.” Ataupu begini; “takkan kita sanggup nak ubah apa yang abang-abang telah tinggalkan.”

Inilah sikap kita. Kita menjadi begitu penakut apabila berhadapan dengan sesuatu perkara meskipun kita tahu sekiranya modifikasi dapat dilaksanakan, pasti akan menemui jalan yang lebih terang.

Taksub bertradisi membawa kelemahan



Allah swt telah berfirman: 104. “Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul". mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya". dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?. ( al Maidah: 104)

Mungkin ada dalam kalangan anda yang tidak bersetuju apabila saya membawakan ayat ini. Jangan silap memahami, saya bukannya ingin menyatakan apa yang telah dibawa oleh orang-orang dulu semuanya kufur dan tidak berguna kerana ayat ini dikhususkan buat mereka yang mahu berpaling dari kebenaran. Akan tetapi, saya ingin mengajak kita mengambil iktibar bahawa sikap taksub mematuhi tradisi tidak menggambarkan keilmuan kita. Kalaulah air batu campur pun kita berani membuat modifikasi dan hasilnya umphh..., apalah salahnya kita berusaha melakukan ijtihad mencari jalan keluar kepada masalah-masalah yang dihadapi tanpa keluar daripada bekas islam yang suci.

Berprinsip dan fleksibel



Apabila kita mempelajari ilmu usul fiqh, antara prinsip pertama yang kita akan temui ialah; “perubahan hukum-hukum berdasarkan perubahan pada zaman dan tempat (taghayyurul ahkami bi taghayyuril azmaan)”. Kaedah ini diguna pakai oleh semua ulama dan ia membawa maksud bahawa setiap hukum yang akan dijatuhkan mestilah diteliti dari pelbagai sudut termasuklah zaman dan tempat dengan syarat-syarat tertentu.

Saya teringat satu kata-kata daripada mantan presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), almarhum Ustaz Fadhil Nor yang berbunyi, “kita mestilah kontemporari dalam tindakan, fundamental dari segi prinsip dan futuristik pada perancangan.”

Begitu juga al allamah Abu Ali Hasan an Nadwi pernah menyatakan, “al jam’u bainal qadiimis solihi wa biljadiidin nafi’I” (integrasi antara perkara lama yang baik dan penemuan baru yang bermanfaat) .

Alangkah baiknya sekiranya para pendakwah pada hari ini bertindak dengan penuh kebijaksanaan dalam memahami waqi,zaman dan suasana. Islam itu terlalu indah, terpulang kepada kita yang mempromosikan Islam kepada orang ramai. Etika kita, personality, penyampaian dan segala yang bersangkut paut dengan tugas kita sebagai promoter mestilah dititik beratkan supaya masyarakat menerima baik penjelasan kita. Kalaupun mereka tidak membeli produk kita, sekurang-kurangnya mereka faham dan tahu hakikat produk itu.

Selimut jumud

Kedapatan banyak dari kalangan kita yang mudah mendakwa setiap kritikan itu desktruktif dan berorientasikan primitif. Alangkah hebatnya kita, setiap tingkah laku kita benar dan tepat. Teguran dan kritikan yang bersifat inskrutif hanya dipandang sebelah mata.

Tindakan itu kemudiannya dituruti tanpa sebarang persoalan oleh generasi pewaris perjuangan mereka. Sekiranya kita menyingkap sejarah, kita pasti akan menemui kisah keintelektualan ‘reformis’ Imam Ibnu Taimiah, Imam Ibnu Qayyim al jauzi, Jamaluddin al Afghani, Syeikh Muhammad Abduh, Rasyid Redha dan banyak lagi.

Mereka berani membuang selimut jumud dan berminda kritis. Ibn Taimiyah seorang reformis dalam bidang keagamaan. Beliau memiliki pandangan-pandangan yang tajam dan berani. Maka muridnya yang lahir hasil tarbiahnya juga berani seperti Ibn Qayyim dan Ibn Kathir. Salur-galur pemikiran Ibn Taimiyah meresap dalam pemikiran dan gaya hidup mereka. Apabila kita membuka kitab pengantar syariah, pasti kita akan menemui kisah keberanian Imam Ibnu Taimiah, Ibnu Qayyim dan lain-lain yang menongkah arus apabila bertindak di luar daripada tradisi dan meneruskan ijtihad yang telah mengalami kebekuan berabad-abad sebelum itu.

Begitu juga reformis Jamaluddin al-Afghani. Beliau banyak polemik tersendiri, maka cara pemikiran dan gaya hidupnya juga tumpah ke Syeikh Muhammad Abduh dan Rasyid Redha. Mereka berani meneruskan gagasan ‘dare to change’ kendatipun dipandang serong oleh segelintir alim ulama. Tidak ketinggalan Imam al Ghazali yang berjiwa besar dan telah mengarang kitab Ihya’ Ulumiddin yang kemudiannya ‘minda al Ghazali’ yang tersebar jauh telah melahirkan seorang individu benama Salahuddin al Ayyubi, antara panglima tentera terhebat dalam sejarah Islam.

Orang muda berjiwa besar, gemarkan perubahan

Abad ke 20 menyaksikan pelbagai revolusi sosial yang unik. Antara keunikan tersebut ialah penglibatan kumpulan anak-anak muda yang berstatus mahasiswa untuk melakukan perubahan. Fenomena ini bersifat global apabila beberapa tempat yang berbeza iklim dan budaya menjadi saksi kesungguhan mereka untuk bergerak maju menuntut keadilan bersama-sama pejuang-pejuang yang lain.

Antara contoh perjuangan masyarakat yang ditunjangi mahasiswa ialah gerakan Mei 1968 di Perancis, revolusi islam Iran 1979 dan gerakan reformasi yang telah menjatuhkan Suharto pada 1998. Ternyata keberanian mereka menzahirkan naluri cintakan perubahan membawa hasil lumayan terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.

Malahan tsunami politik yang melanda Malaysia dua tiga tahun belakangan ini juga membawa kepada kesimpulan bahawa kuasa orang muda yang cintakan kebenaran dan berani untuk berubah. Sebaliknya ‘orang-orang lama’ masih setia dengan kapal yang sudah remuk dan hanya menunggu masa untuk karam.

Tarbiah bertradisi=lemah


Sejak akhir-akhir ini kedapatan segolongan yang masih mempertahankan tradisi dalam pelaksanaan tarbiah sama ada usrah, dakwah ataupun latihan kepemimpinan. Saya berpandangan tarbiah berjenis ini akan menatijahkan lemah kerana kecenderungan untuk mendapat kejayaan masih ada dan insyaAllah selamanya ada.

Berjaya kerana janji Allah yang akan mempertahankan agama-Nya walau apa pun berlaku. Gagal kerana sunnatullah yang menuntut kebijaksanaan kita menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman, keadaan dan situasi barulah akan menghasilkan kejayaan. Agak mendukacitakan apabila tarbiah telah diikat kaki dan tangannya dengan tali tradisi. Lalu, mangsanya ialah jundi-jundi muda yang lahir pada zaman yahoo messenger, 3G dan astro.

Silibus-silibus usrah masih lagi menggunakan kitab-kitab keluaran 80-an dan 90-an. Modul-modul kem kepemimpinan masih tidak berubah. Atas alasan mempertahankan prinsip, menu makan minum sewaktu berprogram pun dipertahankan zaman-berzaman. Alahai tarbiah, dikau pun menjadi tahanan penjara tradisi!

Berani untuk berubah!!


Sejarah telah mengajar kita bahawa kejayaan umat-umat terdahulu bertitik tolak daripada keberanian mereka untuk melakukan perubahan. Bermula dengan revolusi minda dan seterusnya revolusi menerusi tindakan. Saudara Mahfuz Omar pernah berkata dalam satu ceramah beliau, “zaman revolusi minda sudah berakhir, sekarang ialah zaman revolusi bertindak.”

Jadi, ayuh pemuda! Beranilah untuk berubah. Saya tinggalkan anda dengan sepotong firman Allah:

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka Itulah orang-orang yang benar-benar beriman. mereka memperoleh ampunan dan rezki (nikmat) yang mulia.” (al Anfaal: 74)

4 comments:

sha 10 May 2010 at 19:15  

walaupun post ni dh lame,tp harap2 anda dpt tgk ape yg sy komen,bole x kecilkn skit skop dgn memberi contoh kpd ape yg nk disampaikn,sbb bole jd ape yg anda smpikn x terjangkau oleh fikiran yg baru mahu memahami tarbiyyah ni...

nyways,1 penulisan yg mantap diusia yg sgt muda...keep up the good deeds...jazakallah

Anonymous,  4 January 2012 at 07:00  

Bagus artikel ni.
Saat artikel ini ditulis,umur ana juga brusia 18thn dn blum brani mnyentuh bku2 berat. Usia 19tahun,bku maza yakni bru berani dihadapkn. Mgkn jika ana menemui artikel ini swaktu ana berusia 18tahun, kefahaman tntg apa y ingin dsampaikan cuma 5peratus.

Nak menjadi sama hebat atau lbih hebat dr pnulis y bru berusia 18tahun ktika artikel ini dtulis,mgkn brtahun2 lamanya.

Perubahan itu lebih baik scr tadarruj atau drastik?

Marwan Bukhari 4 January 2012 at 21:30  

Berubahlah secara drastik, namun bersifat tadarruj.

Drastik kerana kita sudah tiada masa utk berlengah. Tadarruj kerana hanya perubahan yg tersusun dan penuh kesabaran akan membuahkan kejayaan.

Semoga berjaya!

Anonymous,  7 January 2012 at 11:52  

Baru membaca artikel karangan penulis ini dan sangat bersetuju dengan tema dan kandungannya.

Meng'quote' kata-kata penulis,

"Berubahlah secara drastik, namun bersifat tadarruj.
Drastik kerana kita sudah tiada masa utk berlengah. Tadarruj kerana hanya perubahan yg tersusun dan penuh kesabaran akan membuahkan kejayaan."

Even apa yang digariskan-pandukan oleh Al-Imam Hassan Al-Banna dalam maratib amal bahawa bermula dari titik yang paling asas dibina dan dibangunkan sehinggalah Islam menjadi standard kepada dunia.Ini menandakan bahawa perubahan tidak boleh berlaku sekelip mata tetapi dengan kerja yang bersungguh dan bersifat konstruktif dan terpandu. Tiada instant atau hentam keromo dalam isu membina. Dalam setiap maratib amal itu, setiap satu terkandung makna yang sangat mendalam dan tidak dipandangn sebagai satu statement sahaja.

Jadi, tarbiyyah itu perlulah bersifat membina peribadi muslim yang progresif dari segala aspek.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP