Tuesday, 31 March 2009

Jernihkan Minda, Menuju Khilafah

“Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah….”

Kata-kata motivasi di atas merupakan sebahagian daripada pesanan nabi saw kepada umat Islam. Sebuah ucapan perangsang bernilai tinggi dalam menggerakkan umat yang lena dan sentiasa alpa. Himpunan kalimat yang meluncur jujur keluar dari bibir baginda saw yang mulia.

Siapakah mukmin yang kuat? Apakah ciri-cirinya? Mungkin ini antara persoalan yang timbul apabila hadis ini dikemukakan. Apa tidaknya, perkataan ‘al qawiyyu’ yang bermaksud lemah boleh diwakili dengan bermacam-macam makna. Antara pandangan ulama berhubung tafsiran ‘al quwwah’ tersebut ialah:

- Mukmin yang mempunyai fizikal dan tubuh badan yang kuat dan mantap.

- Mukmin yang mempunyai keimanan yang teguh.

- Mukmin yang kuat mengerjakan amal yang soleh.

- Mukmin yang mempunyai kekuatan akal dan kemahuan (cita-cita) yang tinggi.

- Dan banyak lagi. (sila rujuk pandangan-pandangan ulama tradisionalis dan kontemporari.)

Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang tentang pelbagai tafsiran ulama berhubung istilah tersebut, cukuplah untuk kita memahami bahawa Islam mahukan kita menjadi seorang mukmin yang berkredibiliti, hebat dan berbeza dengan graduan-graduan daripada madrasah agama dan ideologi yang lain. Lagipun, saya bukanlah seorang yang fakih untuk menghuraikan satu persatu pandangan para ulama berhubung hadis tersebut.
Seperti biasa, penulisan saya bermisi untuk membuka minda para pembaca dan membuat kritikan-kritikan yang dirasakan perlu. Kritikan yang konstruktif bukannya deskruktif. Begitu juga dengan anda, supaya anda mengkritik penulisan dan pandangan saya. Ya, marilah kita menjadikan kritikan sebagai rakan karib kita supaya kita dapat menjadi individu muslim yang unggul.

Cukup makan isme

Umat Islam pada hari ini cukup terkenal dengan idea ‘cukup makan isme’nya. Mereka terperangkap dengan istilah redha, qanaah, tawakkal dan pelbagai lagi istilah-istilah yang lain. Akhirnya, lahirlah individu muslim yang bertaklid buta dalam setiap perbuatannya, gagal melontarkan ideanya sendiri, menjadi ustaz yang ‘copy and paste’ dan lebih parah lagi menunggu buah gugur ke bumi tanpa ada sebarang usaha untuk memanjat pokok tersebut ataupun sekurang-kurangnya bertindak mengait buah yang berada di pokok.

Mereka mengharapkan nusrah (pertolongan) daripada Allah, namun tiada sebarang usaha untuk memenuhi syarat-syaratnya. Yang lebih kritikal, terdapat golongan yang membuat teknik penyelesaian mudah iaitu; “kita tunggu Imam Mahdi je, biar baginda dan nabi Isa bunuh Dajal dan musuh-musuh Islam.”

Adakah dinamakan redha jika kita hanya mengangguk tanda setuju dengan permainan kotor golongan musuh tanpa sebarang usaha untuk menentang (siasah) dan memberi penerangan (dakwah) kepada mereka? Apakah layak dinisbahkan qanaah dengan sikap bercukup-cukup dengan kejayaan yang diterima sedangkan kita masih jauh ketinggalan dalam pelbagai lapangan dan bidang? Ataupun benarkah tawakkal itu ialah berserah diri bulat-bulat kepada Allah tanpa sebarang usaha dan praktikal demi mencapai satu cita-cita. Jawapannya ialah, tidak sama.

“kita jangan gusar, orang yang belajar agama ni insyaAllah rezekinya di mana-mana. Habis belajar nanti akan ada tawaran pekerjaan.

“kita mesti mempertingkatkan usaha, bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. InsyaAllah rezeki kita akan dikurniakan-Nya.

Cuba anda lihat kedua-dua ayat di atas. Nampak tak perbezaan antara ayat yang pertama dan ayat yang kedua? Hakikatnya, inilah yang sedang berlaku dalam kalangan umat islam. Ayat yang pertama itu sentiasa diucapkan kepada mereka yang menuntut dalam bidang agama khususnya. Saya memahami bahawa nasihat itu diberikan untuk memberi satu keyakinan kepada orang muda bahawa rezeki di tangan Allah dan bukan sebaliknya. Tetapi, tanpa kita sedari dan boleh jadi kita sudah menyedarinya, penerima nasihat tersebut akan berminda ‘cukup makan isme’ apabila ‘keyakinan’ itu sentiasa menziarahi gegendang telinganya.

Berbeza dengan ayat yang kedua, satu bentuk motivasi yang menjamin keyakinan buat pendengar. Bukan hanya jaminan keyakinan tanpa motivasi supaya bersungguh-sungguh.

Contoh di atas nampak agak ringkas kan. Akan tetapi sedarilah, perkara tersebut menyebabkan akan membiak umat yang tidak bercita-cita tinggi dan lemah, paradoks dengan status khalifah yang sudah dianugerahkan kepada keturunan Adam. Bagaimana mungkin puncak agung khilafah akan berjaya ditawan sekiranya kita hanya ‘qanaah’ berkaki ayam. Ingat saudara, gunung khilafah cukup licin dan penuh dengan duri!

Teodhor Hertzel dan Israel

Siapa tidak kenal seorang figur global yang bernama Dr Teodhor Hertzel? Beliau merupakan seorang tokoh Yahudi yang cukup berpengaruh dan berminda futuristic. Beliaulah yang bertanggungjawab menghimpunkan kira-kira 300 orang cendikiawan Yahudi di Bassel, Switzerland pada 29 Ogos 1897. Beliaulah yang telah mengajak orang-orang Yahudi dari seluruh dunia berkongres buat kali pertama. Wal hasilnya, 24 protokol yahudi telah berjaya dicipta dan teori zionisme dipraktikkan.

Sejarah telah mencatatkan bahawa Hertzel pernah berkata; “Aku telah mendirikan negara yahudi di bassel.”

Satu kenyataan yang menunjukkan bahawa si bedebah ini cukup tinggi imaginasi dan mempunyai cita-cita yang memuncak untuk memartabatkan agamanya. Barangkali Hertzel menghayati satu kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud:

“Gantung dan simpanlah cita-citamu di atas awan supaya tiada sesiapa yang boleh mengganggunya.” (sesiapa yang mempunyai kata-kata penuh beliau, sila nyatakan.)

Dan kesudahannya, pada 15 Mei 1948 iaitu kira-kira 51 tahun selepas kongres pertama Yahudi di bassel, negara haram Israel telah berjaya didirikan.

Saya tidak berniat untuk mengagung-agungkan Hertzel, tetapi cukuplah kita mengagumi kekentalan visi dan cita-citanya. Sentiasa berminda positif dan tidak memandang halangan di depan sebagai ancaman, sebaliknya sebagai peluang.

Islam kaya dengan motivasi

Saya mengambil contoh mudah iaitu peristiwa Sultan Muhammad al Fatih yang telah berjaya menawan Kota Kontantinople. Kejayaan agung itu sebenarnya didorong oleh satu keyakinan yang telah dibawa oleh baginda saw menerusi salah satu sabdanya yang masyhur iaitu;

“Kontantinople akan dibuka (ditawan) oleh seorang pemuda. Sebaik-baik panglima ialah penglima itu dan sebaik-baik tentera ialah tentera itu.”

Hadis di atas telah dijadikan visi oleh al Fatih dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Cita-cita tinggi yang dimiliki beliau itu telah menyebabkan beliau berjaya melaksanakan misi ajaib dengan mengatasi halangan yang berada di hadapan beliau dan tentera-tenteranya. Malah, sikap tidak berputus asanya setelah tiga usaha beliau dalam peperangan tersebut gagal akhirnya membawa kejayaan yang luar biasa hebat menerusi misi keempatnya.

Al Fatih dan bala tenteranya telah memindahkan 70 buah kapal Uthmaniah dari Selat Bhosporus ke Tanjung Emas melalui sebuah bukit dengan jarak lebih 3 batu dalam tempoh satu malam. Subhanallah, cukup ajaib.

Bahkan, dek kerana penangan motivasi nabi saw itu juga menyebabkan banyak individu yang telah mendahului al Fatih dalam melaksanakan misi besar itu dengan didahului oleh Abu Ayyub al Ansari, salah seorang sahabat nabi saw.

Begitu juga dengan kisah Suraqah bin Malik yang telah dimotivasikan oleh nabi saw bahawa beliau akan dipakaikan gelang kebesaran Raja Parsi yang cukup berkuasa pada waktu itu. Dan benarlah janji baginda saw itu apabila pada zaman Saidina Umar al Khattab, kerajaan Parsi telah berjaya ditumbangkan. Malahan, banyak lagi tasyji’ yang terkandung dalam agama Islam termasuklah motivasi berbentuk dosa pahala dan syurga neraka.

Hiasilah diri kita dengan bercita-cita tinggi!

Mungkin jarang orang yang menyatakan bahawa bercita-cita tinggi itu ialah perhiasan. Biar saya yang katakan, inilah salah satu perhiasan yang tidak ternilai milik umat Islam! Kitalah umat yang paling layak untuk mempunyai jiwa yang besar. Terdapat satu pepatah yang menyebut; “diri manusia itu kecil, tetapi dalam dirinya itu terdapat satu alam yang besar.”

Letakkan visi, siapkan misi dan pandanglah ke hadapan. Imaginasi dan berilusi itu penting, tetapi jangan kita lupa untuk melaksanakan pelan-pelan yang telah dirangka untuk sampai ke destinasi yang reality. Dalam kita sibuk berteoretikal, luangkan masa untuk melakukan praktikal.

Einstein pernah menyebut: “Imagination is more important than knowledge. Knowledge is limited. Imagination encircles the world.”

Lupakah kita bahawa Allah telah mengiktiraf kita?

“Dan janganlah kamu berasa hina dan janganlah kamu berdukacita kerana kamu mulia dan tertinggi (berbanding yang lain) sekiranya kamu benar-benar beriman.” (Aali Imran : 139)

Read more...

Friday, 20 March 2009

Buatlah Persiapan

“Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang Telah kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafa'at (hari kiamat). dan orang-orang kafir Itulah orang-orang yang zalim.”
(al Baqarah : 254)

Ayat di atas merupakan salah satu daripada pesanan-pesanan yang menyuruh manusia supaya mereka bersiap sedia dengan bekalan amal soleh sebelum datangnya hari kiamat. Setiap detik mesti difikirkan oleh manusia bahawa mati itu pasti, syurga dan neraka sedang menanti. Hukumnya, ‘tidak dapat tidak’.

Beberapa hari ini, ahli rumah saya agak sibuk dengan persiapan-persiapan sebelum kenduri perkahwinan salah seorang daripada kakak saya dan saya sendiri tidak terkecuali dalam menyumbangkan tenaga dan masa. Persiapan last minute. Mungkin ini merupakan salah satu kebiasaan umat manusia yang payah untuk dibuang, namun kerap kali persiapan dalam minit-minit akhir seperti ini menyebabkan banyak perubahan berjaya dilakukan. Dari buruk kepada baik dan dari baik kepada yang lebih baik.

Malah, dalam membuat persiapan majlis walimah ini, banyak ilmu-ilmu baru yang saya pelajari, Alhamdulillah. Secara jujur, saya kurang pandai bersosial dalam masyarakat di kampung saya, dan mungkin juga semasa berada di kampus Darul Quran. Keadaan ini menyebabkan banyak segmen-segmen asas sebagai seorang ‘anak kampung’ tidak berjaya dikuasai saya. Tetapi, penglibatan saya sebagai salah seorang ‘ajk persiapan tempat dan teknikal’ telah banyak mengajar saya.

“Alangkah baiknya kalau kita dapat membuat persiapan menghadapi hari kiamat sebagaimana kita membuat persiapan menghadapi SPM.” Ujar saya dalam satu kuliah Subuh kepada rakan-rakan sewaktu di tingkatan lima dahulu.

Suasana di sekolah saya sewaktu saat-saat peperiksaan SPM makin menghampiri sungguh sibuk dengan pelajar-pelajar yang tidur tak berjadual, study group sehingga awal pagi, solat hajat setiap malam dan buku yang sentiasa berada di sisi.

Saya merenung, “Soalan Padang Mahsyar juga satu yang pasti dan mati juga makin menghampiri.”

Saya berfikir dan cuba mengaitkan persoalan itu dengan gaya hidup kita yang sentiasa mahu lekas dan melipat ganda usaha apabila kita mengetahui apa event besardalam waktu yang terdekat dan apa pula nasib kita. Saya berzikir mengimbas kembali ‘kejayaan’ menyiapkan tempat jamuan, tempat fotografi pengantin, meja tempat kedua-dua mempelai bersantap dan jamuan yang sungguh enak. Ya, persiapan ini berjaya kerana kita meyakini majlis itu akan berlaku tidak lama lagi. Kita membuat persiapan kerana tidak mahu membuat ‘persembahan buruk’ kepada para tetamu dipamerkan pada hari itu.

“Dalam satu malam, tempat ini dah berubah (makin cantik).” Kata salah seorang coordinator program Seminar Pendidikan Islam Kontemporari Malaysia semasa mengulas ‘perubahan wajah’ Maahad Tahfiz wat Tarbiah (MTT) yang menjadi venue berlangsungnya seminar tersebut.

Saya mengangguk tanda bersetuju.

Memang sudah menjadi tabiaat kita, kita lebih meyakini apabila kita melihat sesuatu yang pasti dari segi zahir. Kita akan lebih berhati-hati sekiranya kita mengetahui untung rugi nasib yang akan menimpa kita. Kita sentiasa mahukan kebaikan supaya manusia lain berpuas hati terhadap segala usaha yang telah kita lakukan.
Mungkin inilah sebabnya Allah SWT meletakkan keimanan dan keyakinan yang sebenar-benarnya terhadap perkara yang ghaib sebagai prasyarat yang penting sebelum kita bregelar muttaqin.

Firman Allah:
“Alif laam miim. Kitab(Al Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezki yang kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang Telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang Telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka Itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”

Yang dimaksudkan dengan perkara ghaib itu bukan sahaja tentang kewujudan jin dan malaikat. Malah, yang lebih penting ialah meyakini persoalan dosa dan pahala dan syurga neraka. Menginsafi kewujudan azab kubur dan kesyadidan Mungkar Nakir lebih signifikan berbanding sekadar membahaskan keajaiban awan yang membentuk kalimah Allah. Mengakui dan mengingati kebenaran pertemuan dengan Izrail itulah sebaik-baik senjata untuk melembutkan hati yang keras. Kerana semua itu pasti.

Kita sudah diberi peluang membuat persiapan, semoga kita tidak bertemu Allah dengan berwajah yang sangat buruk. Naudzubillah.

Read more...

Monday, 16 March 2009

M.A.S.A.

“Kewajipan itu lebih banyak daripada waktu (seharian).” Kata-kata ini diungkapkan oleh Imam Hasan al Banna, salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam dunia Islam dan telah disifatkan oleh kebanyakan ulama sebagai mujaddid (pembaharu) agama abad ke 20. Pepatah Arab juga ada menyebut, “masa itu seperti pedang, sekiranya engkau tidak memotongnya (masa) maka ia akan memotongmu.” Bahkan jika kita melihat kepada figur-figur hebat di seluruh dunia sama ada yang masih hidup ataupun yang telah berpindah ke alam yang lain, maka kita akan menemui pesanan mereka betapa pentingnya masa dalam kehidupan kita. Masa jauh lebih bernilai daripada intan permata.

Apabila kita menelusuri kehidupan insan-insan berpengaruh yang pernah wujud, kita pasti akan mendapati bahawa rahsia terbesar kejayaan mereka hanyalah satu iaitu disiplin yang teguh dengan masa. Sedetik masa disia-siakan, tidak terbayar kerugian yang dialami. Begitulah sifir agung mereka.

Masa: Sunnah Yang Terabai


“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran.” (al Asr : 1

Islam amat mementingkan soal berdisiplin terhadap masa. Penekanan ini tidak hanya bersifat retorik, bahkan dibuktikan apabila satu surah khusus tentang masa diturunkan di samping pelbagai ayat yang lain memberi penekanan terhadap masa. Namun begitu, penekanan ini kurang diberi perhatian oleh kebanyakan umat Islam pada hari ini sedangkan berdisiplin terhadap masa ini merupakan salah satu sunnah terbesar yang ditinggalkan nabi saw.

Kita beretorik terhadap istilah sunnah apabila kita lebih gemar mendahulukan sunnah-sunnah yang kecil daripada sunnah yang besar. Put first things first. Keadaan ini menjadikan umat Islam sebagai umat yang tiada prinsip, terkebelakang, hanya berangan-angan dan dalam masa yang sama diketawakan oleh bangsa-bangsa yang lain. Apa ertinya sekiranya kita hanya berbangga dengan sunnah menerusi berpakaian dan dalam masa yang sama sentiasa berlengah-lengah dalam persoalan masa?

Keberkatan masa

Pada suatu hari, Imam al Ghazali telah bertanya kepada anak muridnya lima soalan. Salah satunya ialah:

“tahukah kamu apakah yang paling jauh dengan kita?” Tanya Imam al Ghazali

“China, bulan, matahari, bintang………..” anak murid beliau menjawab dengan penuh yakin.

“Ya, semua jawapan kamu tepat tetapi jawapan yang sebenarnya ialah masa yang telah berlalu. Tiada seorang pun yang boleh undur kembali kepada masa yang telah berlalu.” Hujjatul Islam menerangkan dengan lebih lanjut.

Pasti kita tidak akan lupa dengan salah seorang khalifah yang terkenal dalam dunia Islam iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz. Keunggulan baginda menyebabkan Imam as Syafie menggelarkannya sebagai khulafa’ ur rasyidin yang kelima. Apa yang menarik ialah baginda berkhidmat sebagai khalifah dalam jangkamasa yang singkat tidak seperti pemimpin-peminpin yang lain. Namun begitu, pemerintahan baginda yang singkat telah menyebabkan wilayah yang dipimpin mencapai kegemilangan yang luar biasa dan diingati dalam sejarah sehingga ke hari ini. Tidak seperti sesetengah pemimpin yang hanya berbangga dengan satu dua kejayaan yang diperbesarkan.

Begitu juga apabila kita melihat karya alim ulama terdahulu yang masih kekal menjadi rujukan primer sehingga ke hari ini. Tanpa peralatan yang moden, mereka Berjaya menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi untuk sebagai warisan kepada umat manusia. Masa mereka diuruskan dengan baik, siang malam mereka bergelumang dengan ilmu. Tidak seperti kita, siang malam kita seperti membelek buku dan berlalu begitu sahaja.

Memotong masa

Saya yakin anda pernah mendengar kisah arnab dan kura-kura kan. Kura-kura yang lembab telah berjaya menewaskan arnab yang pantas dalam satu pertandingan lumba lari. Kelebihan kura-kura ialah apabila ia berjaya mengeksploitasi masa yang dimilikinya tanpa mensia-siakannya walau sedetik pun. Adapun arnab, ia membazirkan masanya dengan tidur sedangkan arnab boleh tiba lebih awal ke garisan penamat dan memenangi pertandingan itu.

Buat remaja Islam, bersedialah untuk menerima baton daripada senior-senior kita kerana selepas ini kitalah yang akan meneruskan pecutan yang sudah sekian lama berlangsung ini. Persoalannya, sudahkan kita bersedia? Jangan hanya tunggu dan lihat tetapi tunggulah dengan bersiap siaga. Semoga panji khilafah akan berkibar megah.

Read more...

Tuesday, 10 March 2009

Profesionalisme

Sewaktu berehat sambil menjamah sedikit jamuan usai sahaja slot ‘Muhasabah Maulidur Rasul’ , banyak perkara yang sempat saya, Syed Haashim, Hasbullah dan Majid sentuh pada tengah malam yang hening itu. Persoalan siapakah profesionalis, apabila haraki mendahului tarbiah, ikhtilat ahli jemaah, masalah anak-anak muda pada hari ini sehinggalah kepada gerakan kemahasiswaan dan survival Parti Islam Se-Malaysia apabila berhadapan dengan realiti politik pada hari ini. Diskusi di atas kerusi batu itu hidup dengan pelbagai hujah yang menarik, berfakta dan futuristic yang dilontarkan masing-masing.

Walaupun agak banyak topic yang menemani kami pada malam itu, namun saya lebih berminat untuk memberikan pandangan berhubung siapakah sebenarnya yang layak mendapat gelaran profesionalis. Saya kira, topic yang dimulakan oleh Syed Haasyim ini amat menarik dan sesuai untuk dikongsi bersama-sama pembaca.

“pada pandangan entum, siapakah orang professional yang sebenarnya?” Syed menimbukan satu persoalan.

Sekiranya kita melihat beberapa pandangan tentang hal ini pada hari ini. Rata-ratanya berpandangan bahawa profesionalis itu hanyalah gelaran buat mereka yang terlibat dalam ‘bidang fardhu kifayah’ seperti perubatan, kejuruteraan, arkitek dan lain-lain Ada yang mengatakan professional itu bukan sahaja sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang pada hari ini. Semua layak dengan gelaran tersebut, lebih-lebih lagi ilmuan dalam bidang agama ataupun lebih dikenali sebagai ulama. Ada pula yang mencipta satu istilah baru iaitu ‘protaz’ yang merupakan gabungan perkataan professional dan ustaz. Pendek kata, macam-macam ada.

Apabila saya merujuk kepada takrifan yang dinyatakan dalam kamus, maka secara mudahnya professional itu ialah:

- Berkerjaya

- Perwatakan/sifat yang menyenangkan

- Professional, atlet yang menjadikan sukan sebagai sumber utama pendapatan.

- Bidang professional, seperti bidang undang-undang dan lain-lain.

Pengaruh bahasa


Bahasa berperanan memberi kesan kepada pemikiran dan kefahaman kita. Istilah professional tidak terkecuali apabila kita dapat melihat pandangan seseorang akan berubah apabila istilah ini dikenakan pada sesuatu individu, bidang ataupun perkara.

“engkau jangan layan sangat dia tu, tak professional langsung.” Ujar pak najib sambil menunjuk ke arah Ustaz Yazid.

“saya bercita-cita hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang professional.” Amin menyatakan impiannya.

“kita bercita-cita untuk melahirkan generasi professional yang bergelar al hafiz.”
Kata pengarah dalam ucapan perasmiannya.

Namun begitu, terdapat segelintir manusia yang mengkategorikan orang yang berkot dan bertali leher sebagai professional dan sebaliknya bagi golongan yang berjubah dan berserban. Berbahasa Inggeris itu lebih professional berbanding mereka yang hanya mahir berbahasa Melayu dan Arab. Mungkin ini juga penyebab para pemimpin negara kita menjunjung tinggi bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek sains dan matematik. Entahlah, saya cuma mengagak.

Liberalisme melalui linguistik


“Ana berpandangan, semua orang boleh digelar professional. Asalkan dia terbuka dan tidak jumud dalam melakukan sesuatu. Sebagai contoh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.” Saya memberikan pandangan.

“Malangnya terdapat banyak yang terpengaruh dengan idea liberalism dengan hanya mengiktiraf mereka yang ‘nampak profesional’ dan memperendah ulama-ulama melalui nilaian luaran. Ini cukup bahaya kerana menghormati ulama itu juga termasuk dalam persoalan akidah.” Saya menambah, kali ini nada saya lebih tegas.

Semua menyetujui hujah yang saya kemukakan pada malam itu sambil menambah pandangan masing-masing. Kenapakah saya tiba-tiba mengaitkan isu liberalisme dengan isu seremeh istilah professional? Saya berpandangan demikian kerana kedapatan sudah banyak pelajar-pelajar yang terlalu teruja dengan idea ‘anti-jumud’ lantas dengan mudah menuduh agamawan-agamawan yang tidak dipersetujui mereka sebagai jumud ataupun captive mind. Perkara ini agak bahaya disebabkan menghormati ulama itu sebahagian daripada wasiat terpenting nabi saw kerana ulama itu pewaris anbia’. Sifirnya cukup mudah.

Jadi, saya berpandangan agenda golongan orientalis telah berjaya sedikit demi sedikit melalui isu bahasa. Bahasa berperanan memberi gambaran terhadap sesuatu perkara sama ada ia baik ataupun tidak. Sebagai contoh ayat ini:

1) Ir Nizar berhasrat merampas semula pemerintahan kerajaan Perak Darul Ridzuan.

2) Ir Nizar berhasrat mengambil alih semula pemerintahan kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Perkataan ‘merampas’ dan ‘mengambil alih’ berbeza walaupun nampak sama apabila kita. Ini pandangan saya, jika anda tidak setuju tidak mengapa.

“takkanlah kita semua hanya nak dengar ceramah daripada orang macam Ustaz Hasrizal, fasih tiga bahasa.” Saya meneruskan memberi hujah saya.

Kesilapan menilai istilah ini dibimbangi akan menyebabkan orang-orang agama hanya akan melalui proses ‘pemilihan tanpa kesopanan’ barulah akan diambil pengajaran daripada pandangannya. Kebimbangan ini berasas apabila melihat bibit-bibit situasi ini mulai kelihatan dewasa ini. Lihat sahajalah pengakuan Ustaz hasrizal dalam salah satu artikelnya yang menceritakan pengalamannya berdialog dengan salah seorang remaja yang meminati beliau dek kerana kefasihannya berbahasa Inggeris. Itu tandanya remaja tersebut menilai professional itu menerusi kemampuan berbahasa semata-mata, bukannya menerusi kefakihan dalam sesuatu ilmu.

Siapakah sebenarnya yang professional?

Jawapan yang akan dinyatakan oleh setiap orang pasti berbeza kerana persoalan ini subjektif sifatnya. Akan tetapi, saya secara peribadi berpendapat professional itu bermaksud berpemikiran, berpendekatan dan berperwatakan terbuka dan disenangi ramai. Apabila seseorang itu muslim, maka sudah tentu keterbukaan itu berprinsip. Thabat dan murunah. Fundamental dan fleksibel.

InsyaAllah saya seorang yang professional, bagaimana dengan anda? Saya meminta izin untuk merehatkan jari jemari untuk seketika ya.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP