Friday, 20 March 2009

Buatlah Persiapan

“Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang Telah kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafa'at (hari kiamat). dan orang-orang kafir Itulah orang-orang yang zalim.”
(al Baqarah : 254)

Ayat di atas merupakan salah satu daripada pesanan-pesanan yang menyuruh manusia supaya mereka bersiap sedia dengan bekalan amal soleh sebelum datangnya hari kiamat. Setiap detik mesti difikirkan oleh manusia bahawa mati itu pasti, syurga dan neraka sedang menanti. Hukumnya, ‘tidak dapat tidak’.

Beberapa hari ini, ahli rumah saya agak sibuk dengan persiapan-persiapan sebelum kenduri perkahwinan salah seorang daripada kakak saya dan saya sendiri tidak terkecuali dalam menyumbangkan tenaga dan masa. Persiapan last minute. Mungkin ini merupakan salah satu kebiasaan umat manusia yang payah untuk dibuang, namun kerap kali persiapan dalam minit-minit akhir seperti ini menyebabkan banyak perubahan berjaya dilakukan. Dari buruk kepada baik dan dari baik kepada yang lebih baik.

Malah, dalam membuat persiapan majlis walimah ini, banyak ilmu-ilmu baru yang saya pelajari, Alhamdulillah. Secara jujur, saya kurang pandai bersosial dalam masyarakat di kampung saya, dan mungkin juga semasa berada di kampus Darul Quran. Keadaan ini menyebabkan banyak segmen-segmen asas sebagai seorang ‘anak kampung’ tidak berjaya dikuasai saya. Tetapi, penglibatan saya sebagai salah seorang ‘ajk persiapan tempat dan teknikal’ telah banyak mengajar saya.

“Alangkah baiknya kalau kita dapat membuat persiapan menghadapi hari kiamat sebagaimana kita membuat persiapan menghadapi SPM.” Ujar saya dalam satu kuliah Subuh kepada rakan-rakan sewaktu di tingkatan lima dahulu.

Suasana di sekolah saya sewaktu saat-saat peperiksaan SPM makin menghampiri sungguh sibuk dengan pelajar-pelajar yang tidur tak berjadual, study group sehingga awal pagi, solat hajat setiap malam dan buku yang sentiasa berada di sisi.

Saya merenung, “Soalan Padang Mahsyar juga satu yang pasti dan mati juga makin menghampiri.”

Saya berfikir dan cuba mengaitkan persoalan itu dengan gaya hidup kita yang sentiasa mahu lekas dan melipat ganda usaha apabila kita mengetahui apa event besardalam waktu yang terdekat dan apa pula nasib kita. Saya berzikir mengimbas kembali ‘kejayaan’ menyiapkan tempat jamuan, tempat fotografi pengantin, meja tempat kedua-dua mempelai bersantap dan jamuan yang sungguh enak. Ya, persiapan ini berjaya kerana kita meyakini majlis itu akan berlaku tidak lama lagi. Kita membuat persiapan kerana tidak mahu membuat ‘persembahan buruk’ kepada para tetamu dipamerkan pada hari itu.

“Dalam satu malam, tempat ini dah berubah (makin cantik).” Kata salah seorang coordinator program Seminar Pendidikan Islam Kontemporari Malaysia semasa mengulas ‘perubahan wajah’ Maahad Tahfiz wat Tarbiah (MTT) yang menjadi venue berlangsungnya seminar tersebut.

Saya mengangguk tanda bersetuju.

Memang sudah menjadi tabiaat kita, kita lebih meyakini apabila kita melihat sesuatu yang pasti dari segi zahir. Kita akan lebih berhati-hati sekiranya kita mengetahui untung rugi nasib yang akan menimpa kita. Kita sentiasa mahukan kebaikan supaya manusia lain berpuas hati terhadap segala usaha yang telah kita lakukan.
Mungkin inilah sebabnya Allah SWT meletakkan keimanan dan keyakinan yang sebenar-benarnya terhadap perkara yang ghaib sebagai prasyarat yang penting sebelum kita bregelar muttaqin.

Firman Allah:
“Alif laam miim. Kitab(Al Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezki yang kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang Telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang Telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka Itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”

Yang dimaksudkan dengan perkara ghaib itu bukan sahaja tentang kewujudan jin dan malaikat. Malah, yang lebih penting ialah meyakini persoalan dosa dan pahala dan syurga neraka. Menginsafi kewujudan azab kubur dan kesyadidan Mungkar Nakir lebih signifikan berbanding sekadar membahaskan keajaiban awan yang membentuk kalimah Allah. Mengakui dan mengingati kebenaran pertemuan dengan Izrail itulah sebaik-baik senjata untuk melembutkan hati yang keras. Kerana semua itu pasti.

Kita sudah diberi peluang membuat persiapan, semoga kita tidak bertemu Allah dengan berwajah yang sangat buruk. Naudzubillah.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP