Monday, 16 March 2009

M.A.S.A.

“Kewajipan itu lebih banyak daripada waktu (seharian).” Kata-kata ini diungkapkan oleh Imam Hasan al Banna, salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam dunia Islam dan telah disifatkan oleh kebanyakan ulama sebagai mujaddid (pembaharu) agama abad ke 20. Pepatah Arab juga ada menyebut, “masa itu seperti pedang, sekiranya engkau tidak memotongnya (masa) maka ia akan memotongmu.” Bahkan jika kita melihat kepada figur-figur hebat di seluruh dunia sama ada yang masih hidup ataupun yang telah berpindah ke alam yang lain, maka kita akan menemui pesanan mereka betapa pentingnya masa dalam kehidupan kita. Masa jauh lebih bernilai daripada intan permata.

Apabila kita menelusuri kehidupan insan-insan berpengaruh yang pernah wujud, kita pasti akan mendapati bahawa rahsia terbesar kejayaan mereka hanyalah satu iaitu disiplin yang teguh dengan masa. Sedetik masa disia-siakan, tidak terbayar kerugian yang dialami. Begitulah sifir agung mereka.

Masa: Sunnah Yang Terabai


“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran.” (al Asr : 1

Islam amat mementingkan soal berdisiplin terhadap masa. Penekanan ini tidak hanya bersifat retorik, bahkan dibuktikan apabila satu surah khusus tentang masa diturunkan di samping pelbagai ayat yang lain memberi penekanan terhadap masa. Namun begitu, penekanan ini kurang diberi perhatian oleh kebanyakan umat Islam pada hari ini sedangkan berdisiplin terhadap masa ini merupakan salah satu sunnah terbesar yang ditinggalkan nabi saw.

Kita beretorik terhadap istilah sunnah apabila kita lebih gemar mendahulukan sunnah-sunnah yang kecil daripada sunnah yang besar. Put first things first. Keadaan ini menjadikan umat Islam sebagai umat yang tiada prinsip, terkebelakang, hanya berangan-angan dan dalam masa yang sama diketawakan oleh bangsa-bangsa yang lain. Apa ertinya sekiranya kita hanya berbangga dengan sunnah menerusi berpakaian dan dalam masa yang sama sentiasa berlengah-lengah dalam persoalan masa?

Keberkatan masa

Pada suatu hari, Imam al Ghazali telah bertanya kepada anak muridnya lima soalan. Salah satunya ialah:

“tahukah kamu apakah yang paling jauh dengan kita?” Tanya Imam al Ghazali

“China, bulan, matahari, bintang………..” anak murid beliau menjawab dengan penuh yakin.

“Ya, semua jawapan kamu tepat tetapi jawapan yang sebenarnya ialah masa yang telah berlalu. Tiada seorang pun yang boleh undur kembali kepada masa yang telah berlalu.” Hujjatul Islam menerangkan dengan lebih lanjut.

Pasti kita tidak akan lupa dengan salah seorang khalifah yang terkenal dalam dunia Islam iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz. Keunggulan baginda menyebabkan Imam as Syafie menggelarkannya sebagai khulafa’ ur rasyidin yang kelima. Apa yang menarik ialah baginda berkhidmat sebagai khalifah dalam jangkamasa yang singkat tidak seperti pemimpin-peminpin yang lain. Namun begitu, pemerintahan baginda yang singkat telah menyebabkan wilayah yang dipimpin mencapai kegemilangan yang luar biasa dan diingati dalam sejarah sehingga ke hari ini. Tidak seperti sesetengah pemimpin yang hanya berbangga dengan satu dua kejayaan yang diperbesarkan.

Begitu juga apabila kita melihat karya alim ulama terdahulu yang masih kekal menjadi rujukan primer sehingga ke hari ini. Tanpa peralatan yang moden, mereka Berjaya menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi untuk sebagai warisan kepada umat manusia. Masa mereka diuruskan dengan baik, siang malam mereka bergelumang dengan ilmu. Tidak seperti kita, siang malam kita seperti membelek buku dan berlalu begitu sahaja.

Memotong masa

Saya yakin anda pernah mendengar kisah arnab dan kura-kura kan. Kura-kura yang lembab telah berjaya menewaskan arnab yang pantas dalam satu pertandingan lumba lari. Kelebihan kura-kura ialah apabila ia berjaya mengeksploitasi masa yang dimilikinya tanpa mensia-siakannya walau sedetik pun. Adapun arnab, ia membazirkan masanya dengan tidur sedangkan arnab boleh tiba lebih awal ke garisan penamat dan memenangi pertandingan itu.

Buat remaja Islam, bersedialah untuk menerima baton daripada senior-senior kita kerana selepas ini kitalah yang akan meneruskan pecutan yang sudah sekian lama berlangsung ini. Persoalannya, sudahkan kita bersedia? Jangan hanya tunggu dan lihat tetapi tunggulah dengan bersiap siaga. Semoga panji khilafah akan berkibar megah.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP