Tuesday, 10 March 2009

Profesionalisme

Sewaktu berehat sambil menjamah sedikit jamuan usai sahaja slot ‘Muhasabah Maulidur Rasul’ , banyak perkara yang sempat saya, Syed Haashim, Hasbullah dan Majid sentuh pada tengah malam yang hening itu. Persoalan siapakah profesionalis, apabila haraki mendahului tarbiah, ikhtilat ahli jemaah, masalah anak-anak muda pada hari ini sehinggalah kepada gerakan kemahasiswaan dan survival Parti Islam Se-Malaysia apabila berhadapan dengan realiti politik pada hari ini. Diskusi di atas kerusi batu itu hidup dengan pelbagai hujah yang menarik, berfakta dan futuristic yang dilontarkan masing-masing.

Walaupun agak banyak topic yang menemani kami pada malam itu, namun saya lebih berminat untuk memberikan pandangan berhubung siapakah sebenarnya yang layak mendapat gelaran profesionalis. Saya kira, topic yang dimulakan oleh Syed Haasyim ini amat menarik dan sesuai untuk dikongsi bersama-sama pembaca.

“pada pandangan entum, siapakah orang professional yang sebenarnya?” Syed menimbukan satu persoalan.

Sekiranya kita melihat beberapa pandangan tentang hal ini pada hari ini. Rata-ratanya berpandangan bahawa profesionalis itu hanyalah gelaran buat mereka yang terlibat dalam ‘bidang fardhu kifayah’ seperti perubatan, kejuruteraan, arkitek dan lain-lain Ada yang mengatakan professional itu bukan sahaja sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang pada hari ini. Semua layak dengan gelaran tersebut, lebih-lebih lagi ilmuan dalam bidang agama ataupun lebih dikenali sebagai ulama. Ada pula yang mencipta satu istilah baru iaitu ‘protaz’ yang merupakan gabungan perkataan professional dan ustaz. Pendek kata, macam-macam ada.

Apabila saya merujuk kepada takrifan yang dinyatakan dalam kamus, maka secara mudahnya professional itu ialah:

- Berkerjaya

- Perwatakan/sifat yang menyenangkan

- Professional, atlet yang menjadikan sukan sebagai sumber utama pendapatan.

- Bidang professional, seperti bidang undang-undang dan lain-lain.

Pengaruh bahasa


Bahasa berperanan memberi kesan kepada pemikiran dan kefahaman kita. Istilah professional tidak terkecuali apabila kita dapat melihat pandangan seseorang akan berubah apabila istilah ini dikenakan pada sesuatu individu, bidang ataupun perkara.

“engkau jangan layan sangat dia tu, tak professional langsung.” Ujar pak najib sambil menunjuk ke arah Ustaz Yazid.

“saya bercita-cita hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang professional.” Amin menyatakan impiannya.

“kita bercita-cita untuk melahirkan generasi professional yang bergelar al hafiz.”
Kata pengarah dalam ucapan perasmiannya.

Namun begitu, terdapat segelintir manusia yang mengkategorikan orang yang berkot dan bertali leher sebagai professional dan sebaliknya bagi golongan yang berjubah dan berserban. Berbahasa Inggeris itu lebih professional berbanding mereka yang hanya mahir berbahasa Melayu dan Arab. Mungkin ini juga penyebab para pemimpin negara kita menjunjung tinggi bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek sains dan matematik. Entahlah, saya cuma mengagak.

Liberalisme melalui linguistik


“Ana berpandangan, semua orang boleh digelar professional. Asalkan dia terbuka dan tidak jumud dalam melakukan sesuatu. Sebagai contoh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.” Saya memberikan pandangan.

“Malangnya terdapat banyak yang terpengaruh dengan idea liberalism dengan hanya mengiktiraf mereka yang ‘nampak profesional’ dan memperendah ulama-ulama melalui nilaian luaran. Ini cukup bahaya kerana menghormati ulama itu juga termasuk dalam persoalan akidah.” Saya menambah, kali ini nada saya lebih tegas.

Semua menyetujui hujah yang saya kemukakan pada malam itu sambil menambah pandangan masing-masing. Kenapakah saya tiba-tiba mengaitkan isu liberalisme dengan isu seremeh istilah professional? Saya berpandangan demikian kerana kedapatan sudah banyak pelajar-pelajar yang terlalu teruja dengan idea ‘anti-jumud’ lantas dengan mudah menuduh agamawan-agamawan yang tidak dipersetujui mereka sebagai jumud ataupun captive mind. Perkara ini agak bahaya disebabkan menghormati ulama itu sebahagian daripada wasiat terpenting nabi saw kerana ulama itu pewaris anbia’. Sifirnya cukup mudah.

Jadi, saya berpandangan agenda golongan orientalis telah berjaya sedikit demi sedikit melalui isu bahasa. Bahasa berperanan memberi gambaran terhadap sesuatu perkara sama ada ia baik ataupun tidak. Sebagai contoh ayat ini:

1) Ir Nizar berhasrat merampas semula pemerintahan kerajaan Perak Darul Ridzuan.

2) Ir Nizar berhasrat mengambil alih semula pemerintahan kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Perkataan ‘merampas’ dan ‘mengambil alih’ berbeza walaupun nampak sama apabila kita. Ini pandangan saya, jika anda tidak setuju tidak mengapa.

“takkanlah kita semua hanya nak dengar ceramah daripada orang macam Ustaz Hasrizal, fasih tiga bahasa.” Saya meneruskan memberi hujah saya.

Kesilapan menilai istilah ini dibimbangi akan menyebabkan orang-orang agama hanya akan melalui proses ‘pemilihan tanpa kesopanan’ barulah akan diambil pengajaran daripada pandangannya. Kebimbangan ini berasas apabila melihat bibit-bibit situasi ini mulai kelihatan dewasa ini. Lihat sahajalah pengakuan Ustaz hasrizal dalam salah satu artikelnya yang menceritakan pengalamannya berdialog dengan salah seorang remaja yang meminati beliau dek kerana kefasihannya berbahasa Inggeris. Itu tandanya remaja tersebut menilai professional itu menerusi kemampuan berbahasa semata-mata, bukannya menerusi kefakihan dalam sesuatu ilmu.

Siapakah sebenarnya yang professional?

Jawapan yang akan dinyatakan oleh setiap orang pasti berbeza kerana persoalan ini subjektif sifatnya. Akan tetapi, saya secara peribadi berpendapat professional itu bermaksud berpemikiran, berpendekatan dan berperwatakan terbuka dan disenangi ramai. Apabila seseorang itu muslim, maka sudah tentu keterbukaan itu berprinsip. Thabat dan murunah. Fundamental dan fleksibel.

InsyaAllah saya seorang yang professional, bagaimana dengan anda? Saya meminta izin untuk merehatkan jari jemari untuk seketika ya.

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP