Monday, 27 April 2009

Analisis Isu : Huffaz era Moden



-Huffaz sekarang dilabelkan tiada bezanya dengan orang yang tidak menghafal al Quran malah kekadang lebih teruk.

-Huffaz yang suka hafal al Quran tanpa mempedulikan masalah ummah.

-Ada yang menggunakan title ‘al hafiz’ untuk mencari makan di luar.


Kenyataan-kenyataan di atas antara pandangan yang masyhur dalam kalangan pemerhati dunia keagamaan atau lebih sesuai lagi sebagai komentar sekilas pandang terhadap realiti kehidupan para penghafal al Quran akhir-akhir ini. Secara peribadi, apabila kenyataan di atas dihantar kepada saya, respon ringkas saya ialah;

- Dalam banyak-banyak beras ada juga antahnya. Ini fenomena biasa.

- Dalam banyak-banyak beras, lagi banyak antahnya. Ini luar biasa tetapi hakikatnya ia merupakan panorama yang sedang berlaku.

Al Quran merupakan kitab terbilang dan teragung sepanjang zaman yang dipenuhi dengan variasi hikmah yang cukup menarik. Terdapat hadis nabi saw yang menyatakan bahawa nabi saw menanggung bebanan setiap kali menerima wahyu daripada Rabbul Jalil sehinggakan baginda saw berpeluh pada satu musim dingin. Maksudnya, proses menerima bicara daripada Allah swt merupakan detik yang penting dalam meneruskan agenda mewahyukan seluruh aspek kehidupan umat manusia.

Sehinggakan Muhammad Asad ataupun nama sebelum Islamnya Leopold Weiss pernah menyarankan kepada kita supaya merasakan bahawa kitalah yang menerima wahyu daripada Allah swt dalam usaha menanamkan perasaan lebih bertanggungjawab untuk melaksanakan setiap titah perintah yang terkandung. Idea yang dikemukakan oleh Muhammad Asad ini sangat wajar dipraktikkan oleh umat Islam masa kini agar al Quran yang berada di depan mata bukan hanya dijadikan bahan bacaan tetapi sebagai dustur untuk diperjuang.

Saya bersetuju dengan komentar di atas tetapi saya meyakini bahawa bukan semua berada dalam kategori sebagaimana yang terdapat di atas.

Kenapa begini?


Timbul persoalan, mengapakah fitnah ini berlaku terhadap penghafal satu-satunya mukjizat yang masih kekal? Cuba anda jawab dengan sejujurnya. Tidak kira sama ada anda merupakan penghafal al Quran ataupun tidak.

Pada pandangan saya, sebab perdana yang menyebabkan kewujudan ketiga-tiga golongan di atas ialah apabila niat yang tidak jernih sedari awal. Kedapatan dalam kalangan mereka yang menjadikan institut-institut hafalan al Quran merupakan pilihan kedua, ketiga ataupun sebagai jalan terakhir sekiranya tidak mendapat sebarang tawaran lain untuk menyambung pendidikan. Tindakan ini merupakan satu penghinaan awal yang dilakukan menyebabkan perasaan bersungguh-sunguh dan ‘ghairah’ untuk menjadi huffaz yang luar biasa hebat terkubur sama sekali.

Bagi golongan yang pertama, mereka cukup bosan dengan disiplin kehidupan sebagai seorang huffaz yang dirasakan cukup ‘poyo’ dan berlawanan dengan proses kemandirian ataupun kematangan yang mereka sedang alami. Lantas perasaan meluat ini diluahkan apabila mereka terbebas daripada disiplin sementara yang dilaksanakan di pusat pengajian mereka. Lalu, sekatan-sekatan berlandaskan syarak yang sedia wujud di pusat-pusat tahfiz dinodai dengan penuh rakus. Disiplin yang tidak dianggap sebagai proses mendidik menyebabkan mereka mencari kebebasan yang diidam-idamkan.

Golongan kedua pula merupakan kumpulan yang hanya berada di dunia indah milik mereka. Janji syurga di tangan kanan, keizinan memberi syafaat kepada ahli keluarga pula digenggam erat di tangan kiri. Lalu, ‘berbahagialah’ mereka di sebuah bilik yang dicipta khas untuk beruzlah, mengasingkan diri daripada isu-isu massa. Akan tetapi tanpa disedari mereka telah terjebak dalam jenayah yang sungguh tragis iaitu membiarkan virus buta agama berleluasa dan berjangkit kepada masyarakat. Sungguh kasihan apabila mereka terperangkap di penjara yang disangkakan sebagai syurga dek kerana indahnya penjara itu.

Adapun golongan yang ketiga kebiasaannya desperado disebabkan hanya diajar ilmu-ilmu yang berada dalam sukatan tanpa mengetahui ilmu-ilmu bantu (soft skill) di samping tiada masa untuk menghayati kehidupan sebenar sebagai seorang pejuang al Quran disebabkan sibuk menghafal nota-nota peperiksaan. Ketika di pusat pengajian, mereka menganggap kerja-kerja kemasyarakatan cukup membuang masa dan tenaga berbanding ‘bertapa’ di bilik semata-mata. Lalu, kehendak asasi sebagai ketua keluarga menyebabkannya mengiklankan status al hafiz untuk ditukar dengan wang ringgit. Namun begitu terdapat juga yang jernih niatnya untuk menyatakan kepada massa bahawa mereka merupakan penghafal al Quran agar dikenali umum dan tidak tertipu dengan ‘pseudo-hafiz’ yang lain.

Akibat tahfiz ‘diexam oriented’kan

Ini masalah utama yang membelenggu semua yang bergelar pelajar pada abad ke-21 ini termasuk para huffaz itu sendiri. Belajar semata-mata untuk peperiksaan.

Akibatnya, lahir robot-robot yang sekadar menghafal dan tidak mampu merungkai pemasalahan yang lebih kritikal dan di luar orbit hafalan mereka. Pandangan mereka, tiada masa untuk bersosial dan mempraktikkan ilmu untuk maslahah umat.

Justeru, saya berpandangan proses input dan output yang dilaksanakan oleh warga pendidik sebelum ini hendaklah diteliti semula supaya dialog yang horizontal dan vertikal dapat dipraktik. Selitkan unsur-unsur untuk memanusiakan para pelajar yang rata-ratanya terhimpit di balik tirani exam oriented.

Begitu juga dengan persatuan pelajar yang wujud di pusat-pusat pengajian. Program-program dan sistem usrah mestilah diperjelas matlamatnya supaya ia menjadi medan yang paling efisyen untuk membentuk para pengganti kepemimpinan ummah.

Puisi: Huffaz, Bebaskan Dirimu dari Penjara Syurga!!

2 comments:

SAKINAH 30 April 2009 at 01:00  

Assalamualaikum..

Pelajar-pelajar pengajian Islam di tempat saya kebanyakannya tak bertudung
yang lelaki pun kebanyakan selekeh

mungkin mengambil kursus ni setakat memenuhi syarat "mesti belajar"

sizuyu 8 May 2012 at 13:03  

Assalamualaikum...
untuk penyataan saudara di atas.. ada bukti dri sumber yang kuat tak?

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP