Tuesday, 7 April 2009

Hampir Sahaja Dia Menjadi Rasul



“Aku mengadu kepada guruku, Waki’ tentang kelemahan hafazanku. Maka Waki’ mengajarku supaya meninggalkan maksiat, kerana ilmu itu cahaya. Sedang cahaya Allah tidak akan memberi hidayah kepada pembuat maksiat.” – Imam as Syafei (semoga Allah merahmatinya)

Satu catatan yang sudah berkurun-kurun, tetapi memberi manfaat buat generasi turun temurun. Insan bernama Muhammad bin Idris as Syafei, dengan perasaan sedih mengadu kepada guru yang dikasihinya tentang masalah pelajarannya dek kerana cintanya yang tidak berbelah bahagi kepada ilmu. Lalu pesanan mewangi keluar dari bibir Waki’, tanda kasih seorang guru kepada muridnya. Sungguh ‘romantis’ kisah perjuangan menuntut ilmu ilmuan-ilmuan terdahulu.

Apabila kita mengenang kisah-kisah orang dulu-dulu, pasti banyak pengajaran yang boleh diambil. Lagilah banyak segmen berbentuk muhasabah yang akan wujud sekiranya kita membandingkan dengan zaman yang kita sedang lalui dewasa ini. Bergulung-gulung benang yang kita perlukan untuk menjahit koyakan-koyakan yang rabak di merata-rata ‘pakaian adab’ manusia. Sehinggakan ada yang hampir-hampir telanjang, cebisan kain menutup akhlak yang sudah kiamat pada diri mereka.

Kisah di atas milik Imam as Syafei, saya bertambah sayu apabila mengenang betapa tingginya nilai akhlak yang dimiliki generasi terdahulu. Ada yang memberi khidmat kepada guru-guru mereka tanpa sebarang bayaran, cukuplah ilmu yang bermanfaat menjadi ganti. Kelibat ar Rabi’, murid Imam as Syafei seolah-olah sedang ditonton oleh dua indera penglihatan ini.

Kata-katanya sungguh menusuk ke dalam hati gelap ini; “Berkata Rabi', murid dan rakan Imam Syafie, aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Syafie sedang memandang ke arahku, merasakan kehebatannya."

Guru menjadi subjek sindiran


“Engkau ingat tak dengan Mr Azmi tu. Dia berjalan macam pondan, mengalahkan ratu cantik.” Kata Muiz sambil disambut dengan hilaian keras oleh rakan-rakannya.

“Cuba engkau tengok Puan Salmah tu, dah tua nak mampus tapi bersolek bapak tebal.” Karim menyindir gurunya, sewaktu pensyarahnya sedang mengajar di depan.

“Alaa Sir, saya bukan sengaja pun. Sir ni nak mengarah saya macamlah saya ni kuli pulak.” Leman menjawab, ‘hangin’ apabila ditanya pensyarahnya tentang kerja yang diberikan.

Sedih, jiwa berkecamuk pedih melihat gelagat anak muda pada hari ini yang galak membicarakan aib si guru. Dari segi namanya, cara berjalan, cara mengajar sehinggalah ke seluruh kehidupannya seharian. Semuanya diumpat, dibicarakan dengan penuh sinikal oleh penuntut-penuntut seolah-olah batang tubuh guru itu bahan buangan kilang yang mencemarkan alam sekitar. Langsung tidak bernilai.

Pilu, ‘perdu budiman’ terurai kasar, kebiadapan anak muda tidak menghormati guru mencapai klimaks. Kisah guru ditendang pelajar, sekolah diserang dan variasi kisah kecurangan pelajar-pelajar pada hari ini tersiar di dada-dada akhbar. Tidak termasuk lagi kisah-kisah yang tidak dihebohkan kepada media-media massa.

Balakah ini?

Akibatnya sungguh mengerikan apabila lahirnya individu-individu berilmu tetapi bersikap curang terhadap ilmunya. Istilah ‘jenayah kolar putih’ sudah jelas menunjukkan bahawa kakitangan kerja yang mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang turut memiliki ‘persatuan kongsi gelap’ mereka sendiri. Jenayah yang kelihatan lebih terhormat, dilakukan di bilik-bilik berhawa dingin dan menggunakan alat-alat elektronik yang canggih.

Tidak ketinggalan gelaran ustaz, professor, doctor dan pelbagai lagi hanya menjadi pakaian yang indah hanya pada luaran bagi segelintir pihak. Masyarakat yang dahagakan ilmu dan pimpinan daripada para ilmuan akhirnya ditarik sama ke jurang neraka.

Menggerunkan, jika satu hari nanti mereka akan saling menyalahkan antara satu sama lain.

Hormatilah selayaknya

Seekor anjing yang menemui sebutir permata tidak akan teruja dan bersyukur dengan penemuan tersebut. Sebaliknya seorang manusia itu akan mengetahui betapa berharganya permata tersebut, membiarkannya pastinya satu kerugian yang nyata.

Begitu juga dengan kita, hormatilah guru dengan selayaknya. Layak dengan kedudukan kita yang bergelar manusia, juga layak dengan kedudukan mereka yang memanusiakan manusia.

"Ya Allah, tutuplah aib guruku dari penglihatanku dan janganlah hilangkan berkat ilmunya dariku"

2 comments:

joegrimjow 9 April 2009 at 10:54  

ilmu allah ada dimana2
masih lagi mencari
dan
sama2 lah mencari

senikehidupan 10 April 2009 at 01:56  

It's a fact that people are so arrogant nowadays think as if they are knowledgeable enough to embarking on diversity, underestimate their teachers.

Why is this so?

Because the don't have the discipline to learn enough. They skipped lesson, jump to farther topic then they ought to master by steps.

But to understand learning discipline we must master first the definition discipline itself.

Discipline is rather a term of doing particular things, in ethical an manner.

Are we?

That's the question.

I'm speaking to myself before others.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP