Sunday, 26 April 2009

Inqilabiah, Membina Minda Negarawan



Umat akhir zaman merupakan umat yang cukup beruntung meskipun sentiasa dirundung malang. Semakin berkecamuk badai fitnah, terselit jua segmen-segmen yang ampuh buat umat yang terang dalam gelap dan gelap dalam terang ini. Nur dan zulumat sentiasa bergilir-gilir mengisi kekosongan. Kita beruntung kerana walau dalam kegelapan, Allah taala mempermudah kita dengan teknologi yang cukup canggih. Buat mereka yang beriman, kecanggihan ini merupakan satu nikmat dan peluang ke arah taqarrub billah. Semoga kita dalam kalangan mereka yang mendapat pahala di alam moden yang serba canggih ini.

Sebentar tadi, saya menonton video figur-figur yang saya gemari di Malaysia pada masa kini seperti Dr Abu Hassan Hasbulah dan Dr Siddiq Fadhil. Saya cukup teruja mendengar buah-buah idea daripada mereka di samping kritikan-kritikan yang bernas dan ‘mengancam’. Begitu juga dengan pandangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi tentang kerajaan perpaduan yang sungguh brilliant. Saya hampir karam sewaktu menganalisis pemikiran mereka yang cukup tajam bak seorang tokoh negarawan.

Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini minda saya seakan-akan meronta mahu saya berfikiran makin kritis dan mengkaji banyak segmen sebagai seorang huffaz yang intelek walau agak berlainan dengan pengkhususan yang saya sedang ambil iaitu Tahfiz dan Syariah. Saya meyakini bahawa status saya sebagai seorang penghafaz al Quran ‘mewajibkan’ saya lebih banyak membaca, menyelidik dan berfikir. Selama hampir 23 tahun nabi saw menanggung beban menerima wahyu yang bermacam-macam jenis, takkan saya hanya mahu menjadi seperti sang kakak tua yang bijak menghafaz tanpa memahami. Nauzubillah.

Saya yakin bahawa banyak dari kalangan kita yang sudah fasih berkenaan ciri-ciri khususi Islam. Malahan, boleh menghurai dengan panjang lebar pula kan. Namun begitu, pada kali ini, saya ingin membawa kepada anda satu pandangan dari sisi yang berlainan tentang salah satu daripada ciri-ciri khususi Islam iaitu ciri inqilabiah.

Sebagaimana yang kita fahami, inqilabiah bermaksud menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliah. Betapa sucinya Islam sehinggakan Islam tidak boleh ditempel-tempel dengan sebarang unsur-unsur jahiliah yang lain kendatipun atas nama apa seperti liberalisme, feminisme dan pelbagai ideologi-ideologi berkurap yang lain. Islam itu Islam. Kita berjuang menentang kezaliman demi menegakkan keadilan sejati bukannya berjuang menentang kezaliman kerana dendam pernah dizalimi.

Meruntuh dan Membina


Kalau kita lihat, falsafah yang terdapat dalam ciri inqilabiah ialah ‘meruntuh’ dan ‘membina’. Kita meruntuhkan jahiliah kemudian kita menegakkan Islam. Simple. Namun begitu, tanpa kita sedari falsafah ini sungguh hebat kerana membina minda kita supaya berfikiran laksana seorang negarawan yang futuristik.

Apabila kita melihat sejarah, kita pasti akan menemui bahawa banyak negarawan yang pernah bermukim di planet bumi berpegang dengan falsafah ini. Mereka merupakan individu yang bertanggungjawab menghalau penjajah dan memerdekakan tanah air mereka kemudiannya menjadi pemerintah bukannya diperintah.

Contoh yang paling dekat ialah Tunku Abdul Rahman dan Sukarno. Tunku diangkat oleh rakyat Malaysia sebagai Bapa Kemerdekaan dek kerana kesungguhannya mahu negara ini bebas daripada penjajah. Dan akhirnya pada 31 Ogos 1957 Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada British (saya tidak ingin berbahas soal ‘siapa pejuang sebenar’ di ruangan ini). Ternyata, beliau berjaya meruntuhkan menara egoistik imperialis jahat tersebut. Namun, tercatat juga bahawa beliau gagal mengisi kemerdekaan tersebut dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah kepada rakyat. Nampaknya beliau berjaya meruntuh tetapi gagal membina.


Begitu juga dengan Sukarno yang pernah digelar sebagai ‘The best revolutionary leader’ oleh para penyokongnya. Pidatonya cukup hebat, seruannya kepada rakyat Indonesia untuk menumbangkan penjajah disambut baik oleh para marhaenis dan golongan berada pada waktu itu. Akhirnya Indonesia mendapat kemerdekaan dan Sukarno diangkat sebagai Presiden Indonesia. Akan tetapi, zaman pemerintahannya bukan lagi zaman penjajahan yang merupakan era kegemilangannya. Sukarno dikritik hebat lantaran kegagalannya mengisi kemerdekaan di Indonesia. Sukarno hanya mampu meruntuh, tetapi tidak mampu membina.

Meruntuh dan membina cara islam

Sewaktu dalam fatrah perjuangan nabi saw, baginda bersungguh-sungguh mahu meruntuhkan jahiliah yang telah terbina sekian lama dan akhirnya baginda saw berjaya. Kemudian, proses membina juga berjaya dilaksanakan baginda saw apabila tertegaknya negara Islam Madinah dan kemuncaknya menerusi peristiwa fathul Makkah. (Saya tidak berniat hendak bercerita panjang, anda boleh merujuk buku-buku sirah)

Begitu juga Sultan Muhammad al Fatih yang telah meruntuhkan Konstantinopel lantas menegakkan keadilan Islam di atas kecurangan maharaja sebelumnya. Hasilnya, penduduk Konstantinopel cukup berpuas hati dan bersyukur dapat berada di bawah pemerintah Islam. Kehebatan beliau menyebabkan kematiannya diraikan gereja-gereja di Eropah. Sungguh, Sultan Muhammad merupakan penakluk yang berminda negarawan dengan proses tajarrud luar biasa hebat yang beliau lalui sepanjang ditarbiah Syamsuddin al Wali.

Malahan banyak lagi kisah menarik negarawan-negarawan muslim dek kerana penghayatan terhadap konsep inqilabiah.

Minda merentas zaman


Selain itu, lebih mengkagumkan apabila falsafah inqilabiah juga mendidik kita untuk berminda jauh ke hadapan mengatasi zaman. Sekiranya kita melihat, era meruntuh dan era membina merupakan zaman yang jauh berbeza.

Sukarno hanya gah pada eranya, tetapi karam tatkala berada di tengah-tengah era yang memerlukan beliau melaksanakan segala retorik yang dinyatakan sepanjang kempen sebelum kemerdekaan. Nabi saw menunjukkan contoh yang lebih jelas tentang minda brilliant ini apabila baginda sentiasa meniup semangat umat Islam pada zaman itu untuk meruntuhkan jahiliah di samping menjanjikan pengisian yang hebat setelah berjaya mengalahkan puak-puak musyrikin pada waktu itu.

Wal hasilnya sebagaimana yang tercatat di buku-buku sirah. Satu demi satu apa yang diujarkan baginda sawberjaya dilaksanakan. Malahan, janji yang penuh retorika juga berjaya ‘dicetak’ seperti pembukaan Kota Mekah, jatuhnya Kerajaan Kisra, kemenangan ke atas Rom dan lain-lain. Sah dan terang lagi bersuluh bahawa insan yang dipandu dengan wahyu ini merupakan negarawan terulung. Berfikir merentas zaman.

Pepatah Inggeris ada berkata,

“Politicians think for the next election, statesman thinks for the next generation.”

Timbul persoalan, bagaimana dengan kita yang makin hampir dengan kemenangan menjatuhkan kerajaan jahiliah moden abad ini? Sudah bersiapkah kita dengan pengisian yang bakal dilaksanakan? Jangan sampai neo-jahiliah akan menetas setelah kejayaan kita menyembelih jahiliah dek kerana kegagalan kita membuat persiapan rapi dari perlbagai sudut seperti hiburan dan seni budaya, sistem pendidikan dan ekonomi.

Ayuh sama-sama kita berfikir.

2 comments:

Hasanhusaini 26 April 2009 at 11:32  

go go...get the better, then the best..leader are reader...and d't frgt, 'sharpen the saw'...

MarBu 26 April 2009 at 15:19  

syukran bang..
ana brsyukur sbb telah mengalami pencerahan sepanjang berada dlm usrah ghuraba'..
doakan semua berjaya..

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP