Thursday, 16 April 2009

Memberi dan Menerima

Pada pandangan anda? Manakah yang lebih baik antara memberi dan menerima? Saya kira, jika kita hanya melihat kepada istilah sahaja sudah tentu memberi itu lebih baik daripada menerima. Betul kan? Akan tetapi sebenarnya memberi dan menerima itu kedua-duanya merupakan elemen penting dalam pembinaan seorang manusia hebat, malah luar biasa hebat. Memberi sebagai tanda bakti yang dicurahkan, manakala menerima untuk membina diri. Ini mukadimah saya untuk penulisan pada kali ini.

Memberi untuk mengenali Dia, menerima untuk mengenali Kita

Kita memberi sebagai medan untuk kita mengenali Allah swt sebagai pencipta manakala kita menerima pula sebagai usaha untuk mengenali diri kita sendiri dan seterusnya mengenali Allah al Khaliq. Kata ulama (bukan hadis); “barangsiapa mengenali dirinya sendiri maka ia akan mengenali tuhannya.”

Antara contoh amalan memberi ialah memberi sedekah, memberi senyuman, menyampaikan tazkirah dan menyatakan penghargaan. Adapun antara contoh menerima pula ialah menerima hadiah, ucapan tahniah, mendengar tazkirah dan menerima sedekah.

Jika kita hanya merasai nikmat sebagai pemberi, dibimbangi kita mudah lupa diri dan takjub akan diri sendiri. Manakala sekiranya kita hanya sebagai penerima, dibimbangi sifat pasif dan terlalu merendah diri pula akan menghinggapi diri. Ini pandangan saya.

Sebaliknya proses sebagai seorang pemberi dan penerima mestilah menjadi tema hidup kita. Kita memberi tazkirah dan kita juga menerima tazkirah. Kita memberi bantuan dan kita juga mesti menerima bantuan. Kita memberi salam dan kita menjawab salam. Sifir ini mudah dan merupakan apa yang kita sentiasa lalui dalam kehidupan seharian.

Berhubung dengan kenyataan saya di atas bahawa amalan memberi merupakan medan kita untuk mengenali Allah manakala amalan menerima merupakan sesi kita untuk bermuhasabah, mengenali diri sendiri. Kenapa ya? Jawabnya kerana apabila kita memberi, seolah-olah kita hanya berurusan dengan Dia, jarang seseorang itu melihat akan halnya semasa dia sedang memberi. Itu juga sebagai bukti membenarkan iman kita dalam mengenali-Nya.

Sementara itu, ketika kita menerima akan lahir satu perasaan merendah diri dengan kelemahan yang sedia wujud dalam diri kita. Hal ini demikian kerana sewaktu kita menerima, seolah-olah seseorang sedang menjahit koyakan pada pakaian kita. Maksudnya, ‘mencukupkan’ kekurangan kita. Apabila kita mendengar kuliah, kita akan merasa kekurangan tatkala kita mendapat ilmu baru. Ketika kita menerima bantuan, kita menginsafi kekuraangan sebagai seoraang hamba. Dan secara automatik, sesi muhasabah akan berjalan. Setuju?

Nabi saw juga menerima dan memberi

Proses input dan ouput ini juga berjalan lancar kepada nabi saw. Kita dapat melihat hal ini menerusi tanggungjawab baginda saw sebagai penyampai dan dalam masa yang sama baginda saw menerima wahyu daripada Allah swt.

Memberilah, dan terimalah kerana erti hidup bukan hanya pada memberi.

Sekadar perkongsian pandangan peribadi.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (surah al Asr)

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP