Thursday, 2 April 2009

Mendaki Gunung, Berkaki Ayam

Kamil, seorang anak muda yang berjiwa besar dan sentiasa peka terhadap sesuatu isu yang muncul. Beliau hidup pada satu zaman yang penuh dengan masalah. Sepinggan masalah yang berulamkan kehidupan. Menurut orang-orang lama yang tinggal satu kampung dengan Kamil iaitu Kampung Kamal Mustafa (KKK), ada satu cara yang paling berkesan dalam misi mengamankan kehidupan mereka.

Di kawasan petempatan mereka, terdapat sebuah mutiara ajaib yang terletak di puncak sebuah gunung. Jika mereka berjaya mendapatkan mutiara tersebut, maka kehidupan mereka akan disinari cahaya keadilan dan kegemilangan. Bahkan cahaya tersebut akan menjadi sebuah gelombang yang akan menyelamatkan petempatan dan kampung-kampung yang lain. Jika tidak, raksasa yang bernama Sekularisa akan menjadi bertambah ganas menyerang mereka dan rakan-rakan mereka di kampung yang behampiran.

Kamil merupakan seorang yang mempunyai fizikal yang kuat, berkarisma dan dihormati penduduk-penduduk yang lain. Pak Aziz, ketua KKK telah melantik Kamil untuk menjadi pemimpin kepada 12 orang pemuda yang lain yang akan bersama-sama dengan Kamil dalam satu misi besar, mendapatkan mutiara ajaib di puncak Gunung Istanbul.

Hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan demi bulan Kamil mengepalai briged Kamilisme dengan latihan-latihan yang padat. Sehinggalah tiba satu masa, briged Kamilisme bersedia untuk memulakan satu perjalanan yang agung, demi mencapai satu misi besar iaitu menyelamatkan kampung mereka dan petempatan-petempatan yang lain. Mendaki Gunung Istanbul, mendapatkan sebuah mutiara.

Ketika mendaki, peristiwa yang tidak diingini telah berlaku apabila satu demi satu ahli briged Kamilisme telah terjatuh sewaktu pendakian termasuklah Kamil. Walhal, mereka baru mendaki kira-kira 10 meter. Rupa-rupanya, mereka hanya berkaki ayam dan didapati Gunng Istanbul itu cukup licin, tinggi dan penuh dengan duri. Alahai, misi menyelamat masih belum berjaya. Makan besarlah Sekularisa nampaknya.

Mendaki Puncak Khilafah

Saya meyakini, anda semua telah fasih dan sentiasa beratib dengan ahdaaful dakwah kita kan. Teori khilafah sudah lumat dalam minda kita. Bermula dengan individu Islam (fardul Muslim), rumahtangga Islam (baitul Muslim), Masyarakat Islam (mujtama’ Muslim), Negara Islam (daulah Islamiah) dan cita-cita teragung kita para pencinta Islam sudah tentu Khilafah Islamiah (rangkaian negara-negara Islam yang bernaung di bawah seorang khalifah).

Teori ini sungguh hebat dan simple, namun hakikatnya kita masih gagal untuk mencapainya sehinggalah pada hari ini. Ya, tidak dinafikan banyak yang sudah mendapat sijil individu muslim, baitul muslim dan juga mujtama’ muslim. Akan tetapi, kejayaan itu hanya terhenti di situ sahaja.

Kita masih kempunan untuk mengulangi sejarah gemilang mencapai status khilafah. Kita terus tersenyum dan kekadang tertawa apabila mengenangkan keunggulan khilafah Islamiah satu ketika dahulu meskipun realitinya kini, daulah Islamiah pun masih belum wujud. Inilah juga hidangan yang sentiasa disuap kepada para peserta kem kepemimpinan Islam di mana-mana sahaja. Alangkah excitednya kita dengan falsafah yang hebat ini.

“Kita mahu mencapai daulah, khilafah, tetapi kita lupa dengan status kita sebagai fardul muslim.” Ujar Abang Ihsan dalam satu usrah sebelum ini.

Benar, inilah yang berlaku pada hari ini. Apabila kita terlalu ghairah mahu mendapatkan daulah, kita tertinggal dan alpa dengan tuntutan dan taklifat yang dipikul kita sebagai individu muslim

Maka wujudlah petugas pilihanraya yang menjamakkan solat Subuh dengan solat sunat dhuha.

Lahirlah pimpinan yang tidak menjaga akhlak apabila berhadapan dengan pihak lawan yang merupakan mad’u kita. Mereka menampar kita sekali, tapi kita membalasnya dengan dua kali pukulan.

Membiaklah generasi yang tidak mengutamakan solat berjemaah, qiyamullail dan amalan-amalan sunat yang lain.

Jemaah bertambah kaya dengan ahli-ahli yang hanya berminat dengan ceramah-ceramah politik dan kuliah haraki berbanding degan kuliah-kuliah ilmu yang lain.

Mahasiswa-mahasiswa hanya mengenali buku-buku keluaran Dewan Pustaka Fajar (DPF) dan buku tulisan Ust Ridhwan Muhd Noor.

Individu Muslim

Saya tidak menafikan kepentingan kita mengikuti ceramah-ceramah politik dan haraki, tetapi jangan kita bersikap bias terhadap ilmu-ilmu lain yang lebih dituntut oleh agama. Saya juga menggemari buku-buku keluaran DPF dan hasil karya Ust Ridhwan, tetapi jangan kita ketinggalan dengan pelbagai segmen besar ilmu yang lain dalam misi melahirkan future leader.

Apakah ciri-ciri individu muslim?

- mempunyai akidah yang sejahtera dan teguh.

- Ibadah yang sahih, tidak terjerumus dalam masalah bidaah dhalalah

- Akhlak yang halus, unggul dan mulia. Sama ada ketika bersama dengan kawan mahu pun lawan.

- Ilmu yang luas. Memahami ilmu-ilmu teras Islam dan juga ilmu-ilmu yang lain menerusi konsep islamisasi dan desekularisasi ilmu. Membaca menjadi hobi yang paling signifikan dengan dirinya.

- Bercita-cita tinggi. Yakin dengan ketuanan Islam.


Saya bukanlah seorang contoh individu muslim yang baik, tapi secara jujur saya cukup gusar dan bimbang dengan ‘permainan’ yang sedang berlaku pada hari ini. Sama ada di kalangan mahasiswa pengajian Islam atau pun bidang-bidang yang lain. Lagilah saya bimbang dengan segelintir golongan huffazul quran yang seolah-olah sedang terpenjara di syurga. Lagilah saya gerun apabila melihat pentaklid-pentaklid yang berstatus ahli jemaah kampus. Tanpa disedari, taklid buta mereka kepada permainan politik di luar boleh membantutkan kemenangan Islam.

Muhasabah

Cuba pandang di sekeliling kita, tanya pada diri apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Sudah berpuluh-puluh tahun, bahkan hampir satu abad kita berjuang untuk menuntut khilafah. Apa yang berlaku ialah seolah-olah khilafah itu makin menjauhkan dirinya daripada kita.

Memang, kita wajib bersabar dan memahami bahawa perjuangan ini sangat panjang. Tetapi wajarkah jika hanya saranan supaya ‘bersabar’ menjadi zikir di bibir kita tanpa memikirkan di mana silapnya? Dan apabila kita berfikir di mana silapnya, pasti kita akan mengatakan silapnya ialah pihak lawan yang khianat dan menyalahgunakan harta kerajaan. Sebagaimana kita telah menuduh Mustafa Kamal attaturk sebagai watak utama yang menyebabkan keruntuhan kerajaan Uthmaniyyah.

Saya mengakui bahawa agenda sesat Kamal telah mensekularkan Turki tetapi saya ingin katakan bahawa kejatuhan khilafah terakir itu bukan hanya salah Mustafa Kamal!!

Kamal watak antagonis, tetapi beliau bukan watak utama.

Bermuhasabahlah…

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP