Wednesday, 29 April 2009

Siapa Yang Sudi Tolong Saya?



Sabda nabi saw: “Tidak akan lepas kedua-dua kaki anak Adam pada hari akhirat di hadapan tuhannya sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara; tentang umurnya, ke mana dia habiskan. Tentang masa mudanya, ke mana dia gunakan. Tentang hartanya, dari mana dia dapatkannya dan ke mana ia gunakan. Dan apakah yang dia buat dengan ilmu yang dimilikinya."
(Riwayat Tirmidzi)

Satu hari nanti, saya akan didatangi oleh Izrail yang akan meragut nyawa saya pada bila-bila masa sahaja. Saat itu pastinya memeritkan. Kata nabi saw, laksana disiat-siat kulit kita kesakitannya manakala Saidina Ali pula menyatakan lebih sakit daripada ditikam dengan pedang beratus-ratus kali. Aduh, siapa boleh tolong saya pada waktu itu?

Selepas itu saya akan dibawa ke liang lahad dan di dalamnya saya akan disoal siasat oleh Munkar dan Nakir dan kemungkinan besar saya akan dipukul setiap kali gagal menjawab dengan baik. Saya dimaklumkan, saya juga akan dihimpit tanah sehingga rusuk kanan bertemu rusuk kiri. Astaghfirullah, siapa boleh tolong saya?

Keadaan itu berterusan sehingga Allah swt membangkitkan manusia menuju ke padang mahsyar. Hadis nabi saw terngiang-ngiang di telinga saya.

“Apabila seorang kamu telah mati, dibentangkan tempat tinggalnya di pagi dan petang hari, sekiranya ia dari kalangan ahli syurga, maka ia akan menikmati tempat tinggal seperti ahli syurga, sekiranya ia dari kalangan ahli neraka, nescaya ia akan merasakan tempat duduk ahli neraka dan dikatakan kepada mereka : Inilah tempat tinggal kamu sehinggalah kamu akan dibangkitkan di hari kiamat kelak (Riwayat Bukhari dan Muslim)”

Saya tak sanggup! Saya tak mampu! Kalau saya termasuk dalam kalangan ahli syurga tidak mengapa. Tetapi, jika sebaliknya saya terseksa menahan bahang neraka sedari kematian sehinggalah datangnya hari kiamat. Argh, siapa yang boleh tolong saya?

Kemudian saya akan dibangkitkan oleh Allah swt menuju ke padang mahsyar. Semua manusia akan dibangkitkan menurut amalan masing-masing dan bergantung sejauh mana dia mentaati perintah Allah ketika di dunia. Ada yang berjalan, ada yang menaiki kenderaan, ada yang berjalan dengan muka, ada yang berwajah binatang, ada yang dibangkit dalam keadaan buta dan ada juga yang dibangkit dalam keadaan bersinar-sinar. Saya takut jika saya termasuk yang berjalan dengan wajah. Tak terfikir betapa sakitnya diri saya sementelah dengan perjalanan yang jauh dan ditambah pula dengan matahari yang hanya sejengkal di atas kepala. Memang saya tidak akan mampu, siapa yang boleh tolong saya?

Dalam keadaan penuh menyeksakan dan cukup lama, saya menunggu giliran untuk diadili di hadapan rabbul Jalil. Bayangkan, saya akan berdiri beribu-ribu tahun tanpa makan dan minum. Saya hanya mengharap belas kasihan daripada Allah swt untuk menyelamatkan saya.

Seterusnya, saya akan diadili di mahkamah akhirat. Pada hari itu, mata, lidah, kaki, tangan, kemaluan, kulit dan seluruh anggota badan saya akan bercakap menjadi saksi atas setiap kelakuan saya di dunia. Bukan itu sahaja, malaikat Ratib dan Atid juga akan menjadi saksi kepada saya di hadapan Allah. Segala catatan amalan sepanjang usia saya di dunia akan dibentangkan di hadapan Allah. Malah, bumi yang saya berpijak akan memberitahu satu persatu apa yang saya perbuat setiap kali melangkah di atas mereka.

MasyaAllah, bagaimana agaknya saya akan menjawabnya. Siapa yang boleh tolong saya? Selain itu, setiap perkara yang saya lakukan akan ditayangkan di hadapan semua manusia termasuk ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan saya. Malunya saya pada hari itu jika amalan buruk saya ditayang sama di hadapan mereka.

Kemudian segala keputusan dan hukuman akan dinyatakan. Hanya dua, sama ada neraka ataupun syurga. Berapa kerat sangat amalan saya untuk membolehkan saya mendapat tiket ke syurga? Lagipun nabi saw ada menyatakan bilangan umat akhir zaman yang berjaya masuk ke syurga terlalu sedikit berbanding umat sekitar zaman hayat baginda saw. Jadi keputusannya? Tidak!! Saya tidak mampu menahan bahang api neraka. Masakan boleh, besi yang panas pun saya tidak berupaya menahannya.

Siapa boleh tolong saya pada hari itu? Saya difahamkan ibu, ayah, adik beradik dan rakan baik saya tidak kan melayan saya pada hari itu sebab mereka juga sibuk dengan urusan sendiri seperti saya.

Sudikah awak menolong saya?

1 comments:

Ibnu Omar al-Madani 19 February 2011 at 08:40  

Soalan:Sudikah awak menolong saya?
Jawapannya:Tiada siapa yang boleh tolong anda termasuk diri saya sendiri... cuma yang boleh saya tolong adalah memberi ingatan iaitu gunakanlah apa yang Allah kurnia kepada kita, kaki, tangan, mata, mulut, lidah, kemaluan, telinga, hati, hidung, dan lain-lainnya pada jalan Allah... insya Allah anggota ini akan membela kita apabila kita gunakannya pada jalan Allah tetapi jika kita gunakan pada jalan maksiat kepada Allah maka anggota ini akan jadi musuh kepada yang empunya diri itu sendiri... maka dengan ini tiada siapa pun yang boleh tolong kita dan apabila hendak minta tolong, minta tolonglah ketika hidup di dunia ini dan bukannya ketika nyawa sudah dicabut...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP