Friday, 24 April 2009

Tidak sama Air batu Campur dan Air Batu Cendol


ummph, bestnya..

Air batu campur (ABC) dan air batu cendol merupakan antara menu terkenal rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Bak kata ‘bakal Tun’, falsafah satu Malaysia. Di mana-mana sahaja kita boleh menemui menu ini sama ada di hotel-hotel besar, restoran, kedai-kedai makan sehinggalah gerai-gerai kecil di pasar malam mahupun di tepi-tepi jalan. Cuba anda bayangkan, semangkuk ABC yang sungguh menyelerakan. Umph, memikat.

ABC (baca; air batu campur) juga mengalami modifikasi sebagaimana perkara-perkara lain di dunia ini. Sebagaimana busana muslim dan muslimah yang tidak mengalah dengan arus moden, ABC juga begitu. ABC pada zaman 50-an berbeza dengan ABC pada zaman 70-an dan lagilah jauh bezanya dengan ABC era milenium. Seperti prinsip yang terdapat dalam ilmu usul fiqh, “perubahan sesuatu hukum bergantung kepada perubahan zaman dan makaan (tempat).”

Jika ABC pada zaman Tun Husein Onn hanya disertai ais, sirap, susu dan sedikit tambahan seperti jagung dan cendol. ABC pada zaman Tun Lah pula merupakan integrasi antara ais, sirap, susu, cendol, jagung, nanas, nata de coco, laici ais krim, barli dan banyak lagi seiring dengan kepesatan industri pemakanan nasional. Namun, jika kita meneliti dengan sebaik-baiknya bahan asas ABC iaitu ais, sirap dan susu tetap ‘dipertahankan’ walau zaman sudah jauh berubah. Canggih betul ABC ya, ciri-ciri khususinya antara lain ialah thabat wa murunah. Fundamental dan fleksibel.

Apa akan jadi jika ais ditiadakan, sirap diganti dengan bahan lain hanya susu yang kekal. Jika dikekalkan air batu dan ditambah dengan laici, boleh jadi laici kang (jika silap ejaan, sila perbetulkan) manakala jika dikekalkan ais, susu tapi ditukar sirap kepada perasa jagung, maka jadilah ia air batu jagung (ABJ). Tidak boleh dipanggil ABC lagi. Lagilah jika hanya ais dikekalkan, ditambah dengan air nisan dan cendol beserta sedikit pulut, maka jawapannya ialah air batu cendol. Masakan sama.

Formula ABC


Lihat formula di bawah:

Ais + sirap + susu + bahan-bahan yang dirasakan sesuai = air batu campur

Ais + laici + bahan-bahan yang dirasakan sesuai = laici kang

Ais + air nisan + cendol + pulut = air batu cendol

Ais + perasa jagung + jagung = air batu jagung

Macam cikgu lah pula saya kan. Siap ada formula lagi.

Baiklah, itu cerita ABC. Begitu juga dengan Islam. Islam merupakan sebuah agama yang sesuai sepanjang zaman. Tiada masalah untuk kita cuba menyesuaikan islam mengikut zaman dan juga tiada masalah jika kita masih mahu mengamalkan Islam sebagaimana diamalkan datuk moyang kita. Namun, menyesuaikan Islam berdasarkan zaman yang ditempuhi tanpa menggadaikan prinsip itu lebih baik dan digalakkan nabi saw.

Luas dan sempit


Lihat sahaja hadis baginda saw yang memberi petunjuk bahawa setiap seratus tahun akan diutuskan mujaddid yang bertanggungjawab memperbaharui Islam. Petunjuk itu juga mengkehendaki kita berfikiran ala mujaddid dan cintakan pembaharuan dengan syarat tidak menyalahi prinsip-prinsip asas Islam. 1400 tahun lalu, nabi saw sudah menunjukkan teladan bahawa baginda saw tidak menyenangi golongan yang jumud dan rigid. Tapi, sikap manusia, bila sudah dibuka, mereka mahu membuka lagi.
Sekali lagi saya membawakan prinsip asas fiqh iaitu, ‘apabila sempit sesuatu perkara, maka perluaskanlah dan jika luas sesuatu perkara maka sempitkanlah’ (idza dhaqal amru ittasa’ wa idzat tasa’al amru dhaqa). Bak kata nakib saya, berprinsip tapi tidak jumud dan terbuka tapi tidak hanyut.

Islam membuka keharusan mengumpat kepada pemimpin zalim, tetapi segelintir daripada kita membuka keharusan tersebut sehingga kebenaran itu sudah terkoyak. Begitu juga Islam membenarkan muamalat antara dua gender apabila berpersatuan, tapi sesetengah daripada kita terus membukanya sehingga keharusan itu dipalit kekotoran.

Contoh dari sisi yang lain Islam menyuruh kita mentaati pimpinan, tapi kita terus menyempitkan kewajipan itu sehingga tiada yang berani membuat kritikan dan menegur pimpinan sebagaimana telah ditunjukkan Habbab al Munzir sewaktu dalam peperangan Badar, berani menegur pandangan nabi saw. Ini yang susahnya kita, apabila dah diberi keharusan nak buka lagi. Sebaliknya apabila diwajibkan Islam, langsung tidak bertindak walau diberi ruang. Thiqah dan wala’ difahami dengan penuh sempit. Berprinsip dan jumud, terbuka dan hanyut. Naudzubillah.

Jangan gelojoh bermodifikasi

Seterusnya, kita dapat melihat kelompok yang terlalu cintakan perubahan secara gradually bersalahan dengan tuntutan asal Islam. Mereka masih menggunakan nama Islam tetapi hakikatnya sudah berbeza. Sebagaimana Air Batu Campur dan Air Batu Cendol. Ais masih dikekalkan, tetapi segmen-segmen lain sudah terhapus. Akhirnya lahirlah pelbagai firqah dan aliran seperti liberalisme, feminisme dan pelbagai ‘isme’ yang lain.

Individu seperti Zainah Anwar (pejuang feminisme, orang kuat Sister In Islam), Khalid Jaafar (penganut Islam liberal yang bertanggungjawab memasukkan buku Islam dan pemerintahan* ke Malaysia) dan banyak lagi nama antara yang tersilap langkah dalam melakukan perubahan. Manakala dua orang tuan guru, Dr Asri dan Ust Zaharuddin merupakan contoh terbaik individu berprinsip tapi tidak menyalahi selera umat masa kini. Kahirul umuri ausathuha (sebaik-baik urusan ialah di pertengahan)

Pandangan saya, tidak salah memakai kot dan tie tetapi jangan biarkan minda dan hati kita juga berkot dan bertie.

Namun begitu berwaspadalah, jangan kerana kita terlalu bercita-cita untuk melakukan perubahan dan mahu melaksanakan inqilabiah, tetapi akhirnya menetas jahiliah baru selepas jahiliah lama disembelih.

Saidina Umar berpesan: “Akan terungkai satu persatu islam dari seorang yang lahir membesar sdalam islam tetapi tidak mengenali jahiliah.”

Kenalilah jahiliah supaya kita tidak terjebak sama menegakkannya kembali setelah diruntuhkan.

Ini hanya pandangan aktor kecil dalam dunia dakwah dan siasah buat adik-adik, abang-abang dan politikus-politikus di luar sana. Setakat itu sahaja, ABC special saya sudah siap. Saya makan dulu ya.

*Buku Islam dan Pemerintahan karangan Syeikh Ali Abdul Razik. Buku ini menyatakan bahawa Islam dan pemerintahan selamanya tiada jodoh. Selepas terhasil tulisan ini, Ali Abdul Razik dipecat daripada senarai ulama Azhar. Dibawa masuk ke Malaysia oleh Institut Kajian Dasar (IKD) yang diketuai oleh Khalid Jaafar. IKD merupakan think tanker kepada PKR. Wallahua’lam.

ABC, Ayam Golek dan Neslo

1 comments:

aini mardhiyah 25 April 2009 at 08:57  

analogi yang sangat menarik!~

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP