Tuesday, 5 May 2009

Kritik!



Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah menyatakan bahawa sekiranya di Kelantan Parti Islam Se-Malaysia ditakdirkan berjaya menawan keseluruhan negeri itu tanpa seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional sebagai pembangkang, maka beliau berpandangan sewajarnya diupah beberapa orang untuk menjadi pembangkang di negeri itu. Inilah pandangan seorang ulama haraki dan futuristik yang memahami bahawa kritikan merupakan teman rapat bagi seseorang, sesebuah organisasi dan persatuan dalam usaha memastikan potensi dan kejayaan sentiasa mekar. Kritikan yang konstruktif akan bertindak sebagai ‘check and balance’ buat sesebuah badan dan pertubuhan.

Otak brilliant tapi tawadhuk

Rasulullah saw menunjukkan peribadi mulia baginda dalam persoalan ini. Pernah satu ketika dalam peperangan Badar, baginda bersama para sahabat yang lain menuju ke mata air badar untuk menguasai tempat tersebut. Mereka telah berhenti di kawasan yang paling dekat dengan mereka, lalu Habbab bin Munzir radiallahu anhu bertanya adakah pemilihan tempat itu merupakan wahyu ataupun sekadar pandangan peribadi baginda saw. Setelah diketahui bahawa pemilihan lokasi tersebut hanyalah pendapat peribadi baginda saw, lalu Habbab menyatakan pandangannya dan strategi yang dicadangkan Habbab diterima oleh baginda saw dan secara automatik pandangan baginda saw terbatal.

Habbab mencadangkan supaya memilih kolam air yang paling dekat dengan tempat musuh sebagai markas dan dirosakkan kolam-kolam air yang lain supaya musuh terputus bekalan. Kita juga boleh melihat ketawadhukan Rasulullah saw mengutamakan pandangan dan komen daripada para sahabat yang lain seperti dalam peperangan Ahzab meskipun status baginda saw sebagai kekasih Allah swt.

Saidina Umar al Khattab radiallahu anhu pernah ditegur oleh seorang perempuan dalam satu majlis ekoran pendapat Umar untuk mengurangkan nilai mahar perkahwinan bagi perempuan pada waktu itu. Lalu perempuan tersebut memberikan pandangannya sebaik sahaja Umar ra menghabiskan ucapan. Sebagai seorang khalifah yang berjiwa rakyat dan merendah diri, Umar naik semula ke mimbar dan memberitahu hadirin pada waktu itu bahawa perempuan itu benar dan beliau tersilap. Dari pandangan oposisi, perempuan itu menunjukkan keberaniannya memperjuangkan hak gender selagi tidak bertentangan dengan Islam walaupun sedang berdepan dengan seorang khalifah yang terkenal dengan kegarangannya.

Begitu juga apabila kita membelek sejarah Sultan Muhammad al Fatih yang telah berjaya menawan Kota Konstantinopel. Pernah pada suatu hari sewaktu Sultan Muhammad sedang bermesyuarat, kebetulan salah seorang pengawal bertaraf biasa turut berada di dalam bilik mesyuarat. Tiba-tiba pengawal itu berasa terpanggil untuk memberikan pendapat beliau dalam satu topik dan dengan penuh penghormatan Sultan Muhammad dan ahli mesyuarat yang lain menerima pandangan tersebut. Komunikasi yang horizontal dan vertikal.

Tidak ketinggalan yang terbaru ialah penarikan balik cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan (unity government) oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Cadangan yang sungguh ajaib itu sudah cukup menggambarkan ketekunan beliau memahami siasah dan istilah politik semasa. Malangnya idea futuristik ini muncul di tengah-tengah sebahagian ahlinya yang berminda primitif. Lantas, dengan penuh merendah diri, beliau menarik balik cadangan tersebut demi maslahah yang lebih besar.

Sedikit maklumat tambahan, sebagai Presiden, sebenarnya beliau berhak memberi apa-apa cadangan. Namun, segelintir ahli Pas tersilap memahami dengan bidang tugas Mursyidul Am dan Presiden. Tiada masalah untuk Presiden meneruskan idea tersebut meskipun bertentangan dengan pandangan Mursyidul Am, namun nilai ketawadhukan yang beliau miliki mengatasi segala-galanya. Tuan Guru Presiden juga membuat kritikan pedas kepada segelintir pimpinan dan ahli Pas yang lain bahawa mereka ketinggalan membaca istilah-istilah politik semasa. Satu tamparan hebat yang mesti diterima.

Berpada-pada dalam mengkritik

Dalam kita teruja membuat kritikan-kritikan, jangan kita lupa untuk memahami adab-adabnya. Kedapatan banyak yang mengkritik dengan semberono sehinggakan melupakan jasa-jasa yang pernah dilakukan oleh insan mahupun organisasi yang dikritik.
Saya ingin menarik perhatian pembaca sekalian dengan isu yang sedang popular pada hari ini iaitu berhubung isu ‘kumpulan pro muqabalah dan pro muzakarah’. Saya tidak ingin mengulas sebagai seorang penganalisis politik kerana memang saya bukan berkemahiran dalam analitikal yang bersifat politikal. Akan tetapi saya ingin memberi pesanan kepada sebilangan kecil yang cenderung kepada salah satu kumpulan ini supaya tidak terlalu tajam membuat kritikan sehinggakan seolah-olah mereka lebih mulia di medan perjuangan.

Kekadang, jasa dan bakti kedua-dua kumpulan seolah-olah tiada langsung. Apalah sangat jika hendak dibandingkan kita Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Presiden, Naib-naib Presiden dan para pimpinan yang lain. Mereka bergelumang dengan sepak terajang perjuangan sudah sekian lama berbanding kita.

Begitu juga dalam soal berjemaah. Saya pernah memberi penegasan dalam satu program bahawa kita membincangkan soal taadud jemaah untuk mengkaji dan memilih yang terbaik. Bukannya untuk menghukum mana betul, mana salah kerana semuanya benar dan membawa Islam. Lupakah kita dengan ayat ini?

“dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada sesiapa yang menyeru kepada Allah dan berbuat amal soleh dan ia berkata, seseungguhnya aku dari kalangan orang islam.”

Apabila kita berdiskusi, bermujadalah, berjuang ataupun berpolemik, jangan kita bersikap syok sendiri sehingga menyangka hanya kita yang berfikir masalah umat ataupun hanya kita yang melakukan gerak kerja Islam. Kita marah dengan kritikan pihak yang lain terhadapm kita tetapi dalam masa yang sama sesetengah daripada kita menanam perasaan benci kepada pihak yang lain.

Namun begitu, jangan pula dek kerana kesungguhan menjaga adab-adab mengkritik, kita menjadi takut untuk memberi komentar dan kritikan yang oposisi. Teruskan mengkritik dan perbanyakkan kritikan yang membina kerana itulah yang terbaik dalam usaha menjahit beberapa koyakan pada diri sesorang ataupun pada batang tubuh sesebuah organisasi.

Pesan nakib saya; “apabila enta mengkritik, jangan lupa untuk mencatat supaya satu hari nanti enta tak lupa untuk membuat pembaharuan sebagaimana yang dimahukan.

Manakala Abang Khairi pula berpesan; “apabila kita berada di bawah, banyak kritikan-kritikan yang kita nak bagi kepada orang yang berada di atas. Tapi, apabila kita berada di atas, barulah kita tahu betapa susahnya hendak melaksanakan apa yang kita kritik sebelum ini.”

Pada saya, kita pasti tidak akan termampu untuk merealitikan semua kritikan yang kita lontarkan sebelum ini. Namun itu bukan alasannya untuk kita tidak mengkritik, sekurang-kurangnya ada juga yang akan diambil perhatian oleh apara pimpinan dan jangan kita lupa untuk mencuba untuk melaksanakan agenda perubahan apabila kita diberi peluang berada di posisi yang sesuai.

Mengkritiklah dalam keadaan kita berpuas hati, jangan membiasakan diri kita untuk mengkritik dalam keadaan kita tidak berpuas hati.

Saya sedang mencari idea untuk memperbanyak kritikan konstruktif!

1 comments:

Anak Pendang Sekeluarga 7 May 2009 at 10:53  

Allah swt dah janji akan anugerahkan khalifah/dunia ini kepada org mukmin..dan org yang jaga amal soleh..tp asbab kelemahan saya,,org mukmin dan amal soleh belum wujud lagi,,,maka Allah akan bagi pd org kafir,,biar org kafir tindas org Islam...org islam sibuk dengan syurga org kafir,sebab itu org kafir marah dan tindas org Islam...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP