Saturday, 23 May 2009

Lagi Mengenai Dare To Change

Rasulullah saw telah meninggalkan sebuah generasi sahabat yang cukup hebat dalam semua aspek kehidupan. Memang layak jika baginda saw memberi pengiktirafan bahawa para sahabatnya laksana bintang di langit di samping satu lagi penghormatan baginda saw kepada para sahabatnya yang masyhur iaitu;

“Sebaik-baik kurun ialah kurunku, kemudian generasi selepasnya, kemudian generasi selepasnya.”

Antara kehebatan para sahabat baginda saw yang tidak boleh dinafikan ialah keberanian untuk berijtihad dan melakukan perubahan dalam aspek-aspek yang dirasakan perlu mengikut kesesuaian tempat dan zaman. Malah Saidina Ali ra sendiri pernah berpesan kepada umat Islam supaya mendidik anak-anak mengikut zaman yang mereka sedang lalui, bukannya zaman ibu bapa yang sudah jauh berbeza. Pesanan Saidina Ali ini dijadikan salah satu prinsip oleh para ahli psikologi dalam memahami manusia.

Khulafa’ ur Rasyidin dan Dare to Change

Apabila kita menelusuri keagungan pemerintahan Khulafa’ ur Rasyidin, pasti kita akan mengagumi keberanian keempat-empat khalifah yang dijanjikan syurga itu untuk memperkenalkan idea-idea baru dan melakukan perubahan meskipun kekadang dicedok dari kaum dan bangsa yang lain. Mereka tepu dengan gagasan berani untuk berubah kerana itulah yang diajar oleh al Quran al Karim dan teladan yang ditunjukkan oleh baginda saw.

Abu Bakar ra berani menongkah arus kefahaman umat Islam pada waktu itu apabila beliau telah melancarkan perang terhadap golongan yang enggan membayar zakat. Umat Islam pada waktu itu berpendirian bahawa mana-mana orang Islam yang masih bersyahadah dan menunaikan solat tidak boleh diperangi. Namun Abu Bakar mengemukakan hujah beliau dan akhirnya dipersetujui oleh para sahabat dan umat Islam yang lain.

Umar al Khattab ra dikenali sebagai salah seorang sang reformis yang berjiwa besar dan berkarisma. Beliau mengada dan memperbaiki system pentadbiran dan pengurusan yang belum pernah dilakukan sebelumnya. Bagi masyarakat Arab pada waktu itu, apa yang telah dilakukan oleh Umar itu merupakan perkara baru dan luar biasa. Transformasi dalam pentadbiran dan pemerintahan menjadikan pemerintahan pada zaman beliau sistematik dan efektif.

Bukti yang paling jelas ialah apabila misi ‘dialog politik’ melalui perluasan kuasa semasa pemerintahan beliau berjalan baik dan berkembang dengan cepat. Minda dare to change Umar sungguh unik apabila beliau bijak mengaplikasikan tatacara pentadbiran Empayar Parsi yang berpengalaman dalam hal-hal pentadbiran Negara. Agenda tajdid Umar al Khattab sungguh luar biasa hebat.

Sementara itu, Uthman bin Affan pula dikenangi dalam sejarah Islam apabila beliau membina empangan bagi mengawal arus banjir yang besar dan menyusun pembahagian air ke kota-kota. Beliau juga membina jalan-jalan, jambatan-jambatan dan masjid-masjid termasuklah mempeluaskan masjid Nabawi di Mekah. Beliau juga meneruskan usaha mengumpul dan menulis mushaf al Quran dan disempurnakan sehingga berjaya. Mungkin kehebatan beliau lebih menonjol dalam bidang pembangunan negara.

Adapun pada zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib, setelah mengambil alih pemerintahan beliau telah memecat para gabenor yang dilantik pada zaman Saidina Uthman kecuali Muawiyah bin Abi Sufyan yang merupakan Gabenor Syiria. Beliau berani membuat perubahan secara besar-besaran sedemikian rupa kerana percaya bahawa kecuaian para gabenor yang menyebabkan berlakunya pemberontakan pada zaman Uthman bin Affan. Zaman yang digelar sebagai zaman ‘al fitnah al kubra’ itu memerlukan keberanian luar biasa Saidina Ali untuk membuat transformasi memandangkan implikasi besar yang bakal dihadapi beliau. Beliau bukan sahaja dare to change, malah dare to fail!

Begitulah sekilas pandang kisah para pemimpin ajaib yang telah mewarnai dunia umat Islam pada satu ketika dahulu. Sayangnya, apabila kedapatan banyak dari kalangan kita yang tidak memandang dan menilai keberanian utuk melakukanperubahan itu dengan penuh jujur dan bermisi. Kita masih takut dan fobia untuk berubah.

Makin moden, makin terkebelakang

Saya berasa cukup sedih apabila mengenangkan hal ini berlaku secara besar-besaran dalam kalangan duat yang akan memimpin ummah dengan agenda murni dari langit. Kita menawarkan produk dakwah yang sudah kurang nilainya dan lebih menyedihkan apabila kita hanya pandai mengentam dan ‘mencari masalah’ dengan segelintir yang menawarkan produk dakwah yang sedikit tercarik sehingga menampakkan ‘aurat’. Ya, kita mesti tegas dalam mempertahankan iklim dan biah tetapi lebih cantik sekiranya kita bersedia menyediakan alternative dan cadangan yang lebih baik.
Keterbukaan dan keberanian memperkenalkan sesuatu yang baru dalam dakwah merupakan satu minda yang mesti digiatkan latihannya. Jangan kita hanya melaungkan slogan variasi dalam bidang dakwah ataupun strategis dalam pentarbiahan tetapi hambar dalam pelaksanaan.

Bahkan lebih merugikan jika kita beralasan rapuh apabila mendengar sesuatu idea ataupun cadangan baru. “hormati orang dulu-dulu”, “kaedah ini paling berjaya setakat ini” dan “bimbang generasi akan datang akan lebih berani untuk berubah” menjadi jawapan setelah mendengar idea daripada insan yang datang dengan penuh harapan. Tidak mengapa jika tidak bersetuju kerana pandangan yang dikemukakan tidak semestinya terbaik tetapi cubalah untuk memahami dan jangan memotong minda yang sedang giat berlari!

Dibimbangi jika perbuatan memotong minda yang sedang giat berlari akan menatijahkan kerugian besar buat perjuangan Islam. Malah sebolehnya sejarah yang sudah berlalu tidak akan berulang lagi. Individu seperti Dato’ Mahmood Zuhdi dan Nakhaie Ahmad merupakan golongan pemikir dan sentiasa berkeyakinan dengan idea-idea baru yang brilliant. Namun, kondisi dan zaman mereka yang masih belum bersedia menerima idea-idea mereka disebut-sebut sebagai antara sebab mereka beralih dari medan perjuangan Islam yang diperjuangkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Adapun Dato’ Fadhil Noor, dua orang Tuan Guru, Ustaz Harun Taib dan banyak lagi para pimpinan antara mereka yang banyak bersabar menghadapi segelintir para penyokong yang berminda primitive.

Justeru, bersedia dan beranilah untuk berubah demi kelangsungan dakwah dan tarbiah. Buangkan selimut jumud itu kerana zaman ini sudah berbeza. Maafkan saya jika ada yang terasa dan sekali lagi saya ingin memohon maaf kerana memang saya ingin anda terasa.

Jika ada yang bertanya saya apa misi besar saya di Darul Quran, maka saya akan menjawab bahawa misi besar saya ialah memacu perubahan minda generasi pewaris perjuangan!

InsyaAllah, saya akan berfikir laksana seorang panglima dan akan bertindak sebagai seorang tentera.

“Apabila kita tiada keberanian untuk berubah, itu tandanya zaman kemenangan meronta-ronta meminta dilepaskan. Zaman kekalahan pula sedang bertepuk tangan.” - MarBu

Tajdid Minda, Dare To Change

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP