Monday, 4 May 2009

Mahasiswa dan Budaya Membaca

Satu ketika dahulu tokoh terkenal dari Perancis, Napoleon Bonaparte pernah berkata; “read, you will conquer the world.” Kata-kata ini terpacul keluar dari mulut seorang individu yang hidup pada era imperialisme dan peperangan di seluruh dunia. Beliau melihat bahawa kunci untuk menguasai dunia ialah melalui budaya membaca. 14 abad sebelum itu, nabi besar kita Muhammad saw telah menerima arahan ‘iqra’ sebagai wahyu yang pertama daripada Allah swt. Arahan ini cukup besar signifikannya buat manusia yang mahu meningkatkan potensi diri sebagai seorang muslim yang luar biasa hebat.

Apabila kita menelusuri sejarah, kita pasti akan menemui kisah para ilmuan terdahulu yang menjadikan amalan membaca dan mengkaji sebagai si jantung hati. Sebagai contoh,Imam Syafie yang terkenal sebagai individu yang rajin membaca sehinggakan kitab al Muwatto’ karangan Imam Malik dihafalnya dari kulit ke kulit. Bahkan tercatat kisah salah seorang ilmuan Islam pada satu zaman yang meninggal dunia di dalam perpustakaan dek kerana dihempap buku-buku yang terjatuh dari rak di hadapannya. Bagi mereka, waktu merehatkan minda ialah dengan membuka kitab-kitab dari pelbagai segmen bidang ilmu sama ada berbentuk fardhu ain ataupun fardhu kifayah.

Para sejarahwan sama ada yang beragama Islam ataupun bukan Islam bersepakat bahawa zaman pemerintahan Khilafah Abbasiyyah merupakan antara tamadun yang meletakkan Islam di tempat yang selayaknya. Setelah diteliti, didapati bahawa sebab primer lahirnya zaman tersebut ialah budaya ilmu yang sungguh luar biasa dipraktikkan. Gerakan penterjemahan yang begitu hebat dalam pelbagai bidang ilmu ke dalam bahasa Arab berlaku dan disokong oleh pemerintah pada zaman itu. Ilmu-ilmu itu juga telah diIslamkan dengan berteraskan prinsip akidah Islamiyyah. Dalam masa yang sama, Barat pada waktu itu masih lagi berada pada zaman gelap.

Mahasiswa dan Budaya Membaca

Dalam agenda menegakkan kembali tamadun Islam yang bersifat rahmatan lil alamin, maka golongan yang melibatkan diri dalam keilmuan sewajarnya menggiatkan amalan membaca dan mengkaji sebagaimana dipraktikkan oleh individu-individu hebat seluruh dunia. Mahasiswa juga termasuk dalam kalangan arkitek yang bertanggungjawab dalam agenda murni ini.

Menurut Datuk Noh Omar, berdasarkan satu kajian, jumlah buku yang dibaca oleh para pelajar selama tiga tahun pengajian ialah:
- Australia ialah 180 buah
- Indonesia (94 buah)
- India (130 buah)
- Thailand (56 buah)
- Brunei (26 buah)
- Malaysia 12 buah buku

Manakala jumlah buku yang dibeli oleh pelajar untuk tiga tahun pengajian (enam semester) ialah sebagaimana berikut;
- Australia ialah 160 buah
- Indonesia (43 buah)
- Thailand (31 buah)
- India (75 buah)
- Brunei (15 buah)
- Malaysia 4 buah

Nah, kita boleh melihat betapa kita sedang ketinggalan jauh di belakang para pelajar dari negara lain. Keadaan ini berlawanan sekali dengan slogan-slogan yang sering dilaungkan. Lebih mengecewakan apabila majalah-majalah yang mengetengahkan subjek-subjek picisan seperti hiburan dan tahyul menjadi pilihan utama segelintir pelajar. Hal ini jauh bertentangan dengan konsep intelektualisme yang sepatutnya terpahat di minda para pelajar.

Menurut Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Pensyarah Usuludin dan Perbandingan Agama di UIAM yang juga merupakan anak didik Prof Syed Naqib al-Attas, soal disiplin pembacaan buku mesti tinggi jika benar mahasiswa mahu mendaulatkan tradisi "aktivis intelek" dalam rentak tari politiking mereka. Katanya lagi, 30 minit dalam satu hari sebelum tidur sudah memadai.

Persoalannya, apakah status kita pada ketika ini? Amat berlawanan dengan misi besar kita sekiranya budaya membaca ini masih lemah dipraktikkan lebih-lebih lagi buat huffaz yang bercita-cita menyahut cabaran sebagai ‘generasi al Quran yang unik’ sebagaimana dinyatakan oleh almarhum Syed Qutb rahimahullah.

Intelektualisme memacu gelombang perubahan

Abad ke 20 menyaksikan pelbagai revolusi sosial yang unik. Antara keunikan tersebut ialah penglibatan kumpulan anak-anak muda yang berstatus mahasiswa untuk melakukan perubahan. Fenomena ini bersifat global apabila beberapa tempat yang berbeza iklim dan budaya menjadi saksi kesungguhan mereka untuk bergerak maju menuntut keadilan bersama-sama pejuang-pejuang yang lain.

Antara contoh perjuangan masyarakat yang ditunjangi mahasiswa ialah gerakan Mei 1968 di Perancis, revolusi islam Iran 1979 dan gerakan reformasi yang telah menjatuhkan Suharto pada 1998. Ternyata keberanian mereka menzahirkan naluri cintakan perubahan membawa hasil lumayan terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.

Justeru, bersiap siagalah dengan pelbagai persiapan terutamanya persiapan ilmu kerana orang-orang terdahulu sudah hampir tamat lariannya dan kitalah yang akan menerima ‘baton’ demi meneruskan satu misi suci. InsyaAllah dengan izin-Nya satu hari nanti golongan intelek yang terisi al Quran di dalam dadanya akan mewarisi bumi yang hampir kiamat ini. Ayuh, kita isytiharkan kepada mereka di luar sana, nantikan kemunculan kami!

Saya menutup perkongsian ini dengan kata-kata daripada saudara Dulkhairi Mohd Noor (Presiden GAMIS 2007-2009); “Kebangkitan gerakan mahasiswa Islam sudah tiba masanya dan kita sendiri sudah tidak sabar untuk mempamerkan wajah kita yang sebenar.”

4 comments:

Anonymous,  10 August 2009 at 20:36  

Mari kita atur satu diskusi, kita selusuri perjuangan Sister in Islam..camne nak hadapi golongan yang menulis, yang mampu memesongkan orang yang tak faham..

Anonymous,  18 August 2009 at 14:29  

Betul dan saya sokong kita perlu memikirkan masa hadapan kilafah islam....., tetapi adakah dengan hanya memikirkan masa hadapan dan kita KURANG memikirkan tahap keSABARan diri dan meMAHAMi diri orang lain dapat membina satu tamadun yang diimpi-impikan.... pointnye sejauh mana tahap EGO kita... adakah sudah BERSEDIA... jangan sampai ianya menjadi FITNAH pada ISLAM itu sendiri...... teruskan perjuangan saudaraku.....

MarBu 18 August 2009 at 18:31  

di mana? atur tempat/masa/ tajuk, insyaAllah ana bersedia utk berdiskusi..

Anonymous,  23 August 2009 at 01:00  

salam ramadhan..
ana stuju ngan tajuk diskusi ttg sister n islam sbbnye yg menganggotai sis tu ialah org2 yg tlh mengkaji al-quran(xsilap la)..
dan lagi stu ttg perhimpunan br ni iaitu mansuhkan isa,
bncg ttg knp ditubuhkan? kelebihan n kekurangannya...???
sbb ade yg kt knp nk mansuhkan isa sedagkan isa mem'protect' org melayu...
minta tunjuk ajar semua..
syukran..

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP