Friday, 5 June 2009

Komentar Berhubung 'One Man Show'

Komen ini diberikan oleh sahabat baik saya dari Universiti Teknologi Petronas, Harith Hasyimi. Teruskan perjuangan wahai si jantung hatiku demi memartabatkan ekonomi umat Islam pada masa hadapan. Ana tidak akan melupakan janji kita di bumi waqafan SMKA Tok Jiring satu ketika dahulu untuk tampil membantu mengesat air mata umat satu hari nanti, insyaAllah.
------------------------------------------------------------------------------------

Salam buat sahabatku yang InsyaAllah dicintai Allah dan makhluk di langit dan dibumi,

Berkaitan dengan artikel anta tentang one man show, ana rasakan ianya memang amat releven dan memang sesuai pada masa kini. Satu pendedahan yang bagus mengenai keta’suban sesuatu jemaah untuk mendapatkan sesuatu hasil dalam masa yang singkat tetapi tidak memikirkan natijahnya pada masa hadapan.

Dalam pentarbiyahan Tuhan pencipta alam kepada hambanya sendiri, yakni manusia;

Allah telah melaksanakan suatu pendekatan secara beransur-ansur bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaan dan kesan. Apabila diturunkan syariat Al-Quran secara berperingkat, maka setiap satu dari hukumnya dapat diterima dengan baik dan diamalkan dengan teguh oleh setiap makhluk. Sehinggakan keberkesanannya memberi satu momentum kepada syariat yang seterusnya. Momentum demi momentum yang terhasil memberi satu impak positif yang dipanggil kejayaan penghasilan yaitu ketaatan yang sebenarnya kepada Allah.

Merujuk balik kepada tajuk dan isi anta mengenai setiap tokoh mempunyai sumbangannya yang tersendiri untuk memberi kekuatan kepada kejayaan sesuatu perkara. Tokoh dan sumbangan ini boleh dikatakan momentum kepada setiap peringkat yang mampu memberi kesan yang positif kepada peringkat yang seterusnya. Kejayaan yang dicapai pula membawa erti kehampiran kita dalam mendekati dan mentaati perintah Allah. Setiap peringkat ini dilalui satu persatu demi memastikan hasilnya sama seperti kain yang teguh yang dijalin satu persatu. Tanpa meninggalakan atau membuang yang sebelumya.

Sekarang kita pegi kepada perkara yang dilaksanakan pada masa kini yang kita dapat sama-sama lihat, pengejaran dan pemburuan terhadap kepentingan peribadi dan matlamat yang terlalu singkat. Mungkin kerana dosa yang dilakukan sehingga tidak mampu untuk melihat terus kehadapan. Dan hanya berbangga dengan apa yang dapat dicapai dan bukannya apa yang disumbangkan. (Individualism vs Collectivism, Geerd Hofstede Model’s of National Culture). Natijahnya, impak yang diharapakan hanya memberi kesan yang sementara dan tidak tahan lama. Maka perancangan yang teliti dan tidak mementingkan nama sendiri amat diperlukan bagi memastikan kejayaan yang berkekalan dan berpanjangan.

Kebenaran yang tidak berperancangan mampu dikalahkan oleh kebatilan yang berpanjangan.
(Saidina Ali)

Wallahua’lam.
Sekadar meberikan pandangan dan sokongan kepada sahabat seperjuangan.
-------------------------------------------------------------------------------------

Buat semua pembaca blog ini, saya mencadangkan anda supaya memperbanyak lagi bahan bacaan dan disusuli dengan tafkir/berfikir secara kreatif dan kritis. Beruzlah bersama buku itu cukup menarik.

Saya tidak sabar-sabar nak membuat satu pengisytiharan kepada semua pembaca tentang teori huffaz. Generasi al Quran yang unik akan menawan Malaysia dalam waktu terdekat dan insyaAllah bom demografi Quranic akan meletup! Saya terpaksa banyak 'berpuasa' daripada menulis kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Banyak lagi idea dan pandangan yang sedang meronta-ronta untuk dikeluarkan laksana anak kecil yang menerajang perut ibunya sewaktu dalam kandungan.

Jumpa lagi. Saya mahu menziarahi muktamar para pencinta Islam di Shah Alam pulak!

Read more...

Monday, 1 June 2009

Bukan 'One Man Show'

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.”
(Aali Imran : 190-191)

Sejarah dengan penuh jujur telah mencatatkan bahawa kemunculan generasi hebat yang silih berganti dalam dunia Islam bertitik tolak daripada beberapa fasa. Berbeza dengan kemunculan para rasul yang mendapat tarbiah dan wahyu secara langsung daripada Allah swt, individu luar biasa hebat yang membuat penampilan pada zaman-zaman tertentu lahir dari rahim tarbiah yang telah disucikan terlebih dahulu. Mereka bukannya insan ajaib ataupun al muntazhar (yang dinanti-nantikan kemunculannya) sebaliknya merupakan produk yang dilahirkan setelah berhempas-pulas selama beberapa dekad, bahkan beberapa abad.

Salahuddin al Ayyubi

Ramai dalam kalangan kita yang mengagumi Salahuddin al Ayyubi lantaran tinta emas yang telah dinukilkan oleh beliau dalam sejarah Islam. Pembukaan Kota Jerusalem setelah menang dalam peperangan di Hittin pada tahun 1187 telah member kredit yang cukup besar buat Salahuddin. Malah, kehebatannya menjadi igauan zaman berzaman sehinggakan semasa Jeneral Gouro mengalahkan tentera Islam di Mislun (suatu kawasan di luar Damsyik), beliau terus ke kubur Salahuddin dan menendang kubur itu sambil berkata: “wahai Salahuddin, ini kami, kami telah datang semula ke sini.” Jelas, Salahuddin yang belum pernah dilihatnya cukup digeruni dan didendami oleh para keparat dari Barat.

Dr. Majid Irsan Kaylani dalam bukunya, ‘Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya al Aqsa ke Pangkuan Islam’ telah mendedahkan hasil kajian beliau bahawa Salahuddin al Ayyubi merupakan klimaks kepada hempas-pulas yang telah dilakukan oleh al Imam al Ghazzali kira-kira satu abad sebelum itu. Pemikiran Imam Ghazzali yang telah melakukan analisis dan diagnosis terhadap masalah umat Islam pada zamannya menghasilkan impak yang cukup besar. Agenda reformasi pemikiran, pendidikan, sosial dan politik beliau telah mempengaruhi iklim tarbiah pada waktu itu dan diteruskan oleh alim ulama selepas kewafatannya. Hasilnya, figure yang bernama Najmuddin bin Yusuf ini lahir menyelamatkan umat Islam pada zamannya.

Berikut ringkasan kaedah reformasi oleh Imam Ghazzali:

1) Menyebarkan risalah islam ke seluruh alam.
2) Tanggungjawab menyebarkan misi perubahan ke seluruh alam.
3) Diagnosis dan pengubatan pemasalahan yang timbul.

Imam Hasan al Banna

Beliau merupakan antara yang disebut-sebut sebagai tokoh mujaddid abad yang ke-14 hijrah. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1903 iaitu sewaktu Khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki sedang cedera parah dan sedang menunggu masa untuk disembelih. Akhirnya pada Mac 1924 tiada lagi khilafah dalam dunia Islam dan Imam Hasan al Banna telah mengambil inisiatif melakukan reformasi dalam pemikiran umat Islam pada waktu itu dengan menubuhkan Ikhwanul Muslimin dalam usaha menggerakkan dakwah dan siasah. Sebagaimana figure-figur yang lain, bintang beliau bersinar terang dalam sejarah Islam abad moden dan cukup dicemburui oleh musuh Islam pada waktu itu.

Natijahnya beliau telah syahid pada 1949 menerusi satu konspirasi jahat dek kerana kebimbangan musuh terhadap aura kebangkitan Islam yang dibawanya. Gelombang pemikirannya supaya umat Islam berjuang menentang thaghut berkembang luas ke serata dunia termasuklah Tanah Melayu pada waktu itu. Sehingga hari ini, Imam Hasan al Banna terus dikenang dan dikagumi oleh umat Islam.

Namun begitu, saya mahu mengajak anda memandang dari oposisi yang berbeza sebagaimana fakta yang dikemukakan di atas mengenai Salahuddin al Ayyubi. Kelibat istimewa yang menyebabkan kelahiran Imam Hasan al Banna ialah Syeikh Jamaluddin al Afghani. Madrasah pemikiran yang kritis, reformisme dan politicking yang dibawa oleh al Afghani telah mempengaruhi Syeikh Muhammad Abduh sehingga idea pan-Islamisme tersebar luas. Kemudian, anak murid Syeikh Muhammad Abduh iaitu Rasyid Redha telah meneruskan misi besar itu dan menggerakkan gelombang semangat perubahan yang tinggi. Dan klimaksnya apabila Imam Hasan al Banna berjaya melengkapkan puzzle yang bernilai tinggi itu.

Fasa-fasa Tarbiah

Contoh yang saya kemukakan di atas tidak berniat untuk mengecilkan keunggulan mana-mana tokoh. Salahuddin dan al Banna merupakan permata yang sukar untuk dicari ganti sehingga kini. Namun saya ingin mengajak para pembaca sekalian untuk mengkaji dengan lebih mendalam bahawa penampilan tokoh-tokoh penyelamat Islam bukannya heroisme ataupun ‘one man show’, sebaliknya telah melalui beberapa fasa yang penting.

Pada pandangan saya, tindakan kita mengagungkan Salahuddin, al Banna, Sultan Muhammad al Fatih dan banyak lagi tokoh tanpa mengkaji fasa-fasa yang telah dilalui mereka sebelum membuat penampilan merupakan satu kesilapan yang besar. Hal ini juga menyebabkan kebanyakkan program tarbiah yang diadakan tidak meletakkan objektif untuk melahirkan pemimpin masa depan yang hebat dalam jangka masa yang panjang, sebaliknya kelahiran yang mengelegak buat seketika. Tidak lebih seperti ‘semangat’ gas air berkarbonat.

Hayatilah tadarruj dalam tarbiah supaya kelak pemimpin yang dilahirkan bukan hanya gah di kampus tetapi gagal sewaktu membuat kemunculan di arena masyarakat. Persoalannya, apakah fasa-fasa yang kita mahu sediakan? Persiapan mesti dilakukan secepat mungkin supaya generasi kebangkitan akan terus membiak, walau kelahiran mereka ketika kita sudah memejamkan mata!

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP