Monday, 6 July 2009

Berpencak di Gelanggang Intelektualisme

“Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan mau’izah (pengajaran) yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik....” (an Nahlu : 125)

Apabila kita membelek dan mendalami setiap peristiwa yang terdapat dalam al Quran, kita pasti akan mengerti bahawa mujadalah ataupun perdebatan menjadi sunnah setiap nabi. Mereka berdebat dan berbahas secara intelek dan berpandukan wahyu meskipun kebanyakan hujah yang dikemukakan oleh kaum mereka lebih menurut hawa nafsu, emosional dan tiada nilai ilmu. Begitu juga apa yang telah dihadapi oleh nabi Muhammad saw tatkala berhadapan dengan kaumnya. Baginda saw dan para sahabat bijak menjawab dan mematikan hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh kaum musyrikin dan kuffar.

Selanjutnya, mari kita melihat pula kepada sejarah dan sunnah umat Islam yang terdahulu. Kewujudan puak muktazilah yang menyanjung tinggi akal mereka mengatasi wahyu telah mengakibatkan salah faham dalam beragama yang serius pada satu ketika. Wasil bin Atha yang telah keluar dari halaqah Hasan al Basri merupakan pengasas kepada aliran ini. Lalu, para ulama pada waktu itu berhempas pulas mempersiapkan diri mereka untuk berpencak dengan para pendokong dan penyokong pemikiran liberalisme pada zaman tersebut. Para alim ulama seperti Hasan al Basri, Abu Hasan Asyaari, Ahmad bin Hanbal dan banyak lagi telah terlibat secara langsung dalam dialog dan wacana ilmiah yang diatur pada waktu itu.

Terdapat juga para alim ulama yang bermujadalah menerusi penulisan-penulisan mereka. Sebagai contoh polemik yang tercatat dalam sejarah ialah karya Imam al Ghazali iaitu ‘Tahafut al Falasifah’ yang membuat kritikan terhadap ahli-ahli falsafah yang terpengaruh dengan pemikiran ahli falsafah dari Yunani secara berleluasa pada zamannya. Kitab beliau tersebut telah dikritik oleh Ibnu Rusyd yang juga merupakan salah seorang ahli falsafah muslim yang terkenal, beliau menulis sebuah kitab yang bertajuk ‘Tahafut at Tahafut’.

Neo-muktazilah

Beberapa contoh di atas merupakan hujah konkrit bahawa amalan berpencak di gelanggang intelektualisme dijadikan sebagai salah satu wasilah dalam usaha menyebarkan dan mempertahankan agama. Jika pedang yang digunakan musuh, maka lawannya ialah pedang juga, manakala jika lisan dan tulisan yang digunakan, maka lisan dan tulisan hendaklah diutamakan pembalasannya.

Sejak akhir-akhir ini, kedapatan banyak yang bising dengan kebiadapan aktivis-aktivis yang kononnya menuntut keadilan gender. Gerakan feminisme ini telah menggelarkan organisasi mereka sebagai Sister In Islam (SIS). Mereka telah menyalak sejak 90-an lagi dan atas prinsip ‘istikamah’, maka mereka masih belum berhenti daripada menuntut equality supaya dapat keluar daripada halaman Islam. SIS merupakan duta pemikiran Islam liberal yang diperkuatkan keanggotaannya menerusi anak-anak orang besar di negara malaysia.

Di negara Indonesia, kewujudan suku sakat SIS lebih berani dan teratur. Sebagai contoh gerakan sekularis liberalis yang bernama Jaringan Islam Liberal (JIL) telah berjaya mempengaruhi sebilangan besar umat Islam di sana. Isu-isu yang dikemukakan mereka secara serius seperti pluralisme, al Quran edisi kritis (QEK), hermeneutika dan feminisme telah berjaya menggongcangkan akidah umat Islam di luar sana. Antara pemuka JIL ialah Nurcholis Majid (sudah meninggal), Ulil Basya Abdalla dan Taufik Adnan Amal. Pendokong-pendokong JIL juga telah berjaya menjadi tenaga pengajar di beberapa universiti Islam di Indonesia.

Bersediakah kita?

Setelah membaca buku Pemikiran Islam Liberal yang merupakan himpunan kertas kerja yang pernah dibentangkan oleh Dr. Ugi Suharto, saya bertambah yakin bahawa kita masih kekurangan penghujah yang boleh menjawab persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh pengikut neo-muktazilah ini. Cukuplah saya bertanya kepada anda, adakah anda betul-betul memahami apakah itu hermeneutika dan QEK yang diperjuangkan oleh penganut fahaman ini?

Dr. Ugi Suharto yang juga merupakan anak didik Prof. Dr. Syed Naqib al Attas telah menerangkan beberapa isu sentral yang selalunya ditimbulkan oleh penganut pemikiran Islam liberal dengan baik. Saya cukup mengagumi Dr. Ugi yang telah terlibat secara langsung dalam usaha mempertahankan kesucian agama Islam daripada belitan hujah oleh golongan neo-muktazilah. Lihat sahaja hujahnya sewaktu berpolemik menerusi emel dengan orang kuat JIL iaitu Taufik Adnan Amal dalam membahaskan persoalan hermeneutik.

Baiklah, kita tutup dahulu isu pemikiran Islam liberal ini. Saya ingin terus melontarkan persoalan ini kepada anda, bagaimana pula kita mahu menjawab persoalan kapitalisme dan sosialisme dan beberapa isu sentral ekonomi pada hari ini? Saya mengakui yang saya juga tidak mempunyai persiapan dan ilmu yang cukup tetapi sejauh manakah kita memandang serius kesemua persoalan ini? Ataupun, adakah kita sudah karam dalam mengulas dan menjawab isu-isu politik pada hari ini?

Gelanggang telah dibuka

Setelah meneliti dan membaca beberapa pandangan alim ulama, maka secara peribadi saya bersetuju supaya SIS dikenakan tindakan oleh pihak yang berkuasa di Malaysia. Namun begitu, saya menjadi runsing sekiranya tiada tindakan susulan yang kita akan ambil untuk melawan belitan hujah oleh golongan sesat itu.

Pelajarilah kesungguhan alim ulama yang terdahulu dalam memahami krisis liberalisme dan sentiasa memandang serius amalan berpencak di medan intelektualisme ini. Bagi politikus-politikus kampus, jangan hanya menunjukkan perasaan tidak berpuas hati itu dengan bercakap lantang di belakang tetapi cuba tanya kepada diri, adakah kita bersedia menjawab kesemua persoalan yang dilemparkan oleh mereka?

Akhirnya, saya berpendapat bahawa kita sewajibnya memandang serius hal ini. Apatah lagi apabila kita yang mengaku menjunjung tinggi aspirasi perjuangan Islam ini. Jangan hanya bersungguh dengan buku-buku haraki, tetapi cubalah seimbangkan dengan bacaan-bacaan berat yang lain. Secara peribadi, saya juga mewajibkan diri saya untuk menambahkan bahan bacaan haraki, namun dalam masa yang sama saya cuba memahami beberapa krisis dan akar yang menjadikan krisis itu makin parah menerusi bahan-bahan pembacaan yang lain.

Ingatlah, zaman kebangkitan Islam bukannya milik khutaba’ yang bersemangat semata-mata!

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP