Wednesday, 22 July 2009

Cadangan Buku

Baru-baru ini, saya telah meminjam satu buku yang cukup menarik di perpustakaan Darul Quran. Tajuk buku tersebut ialah 'Malik bin Nabi dan Pergolakan Sosial'. Sebelum itu tangan saya terketar-ketar meminjam dan membawa pulang ke bilik kerana terpaksa melupakan buku-buku lain seperti karya Abu Hasan Ali an Nadwi di samping tulisan-tulisan golongan Islam liberal dari Indonesia. Antaranya ialah tulisan Nurcholis Majid (CakNur) dan juak-juaknya dalam membicarakan soal pluralisme agama dan liberalisme yang sudah tentu menjadi tema asas yang sudah ditajarrud oleh mereka.

Almarhum Malik bin Nabi merupakan salah seorang tokoh pemikir Islam dan dunia Arab yang dilupai oleh masyarakat Islam seluruh dunia. Salah satu fakta menarik dalam buku tersebut ialah bahawa beliau dikatakan sebagai pencetus kepada konsep islamization of knowledge (mengIslamkan ilmu). Dr Ali al Quraisyiy sebagai pengulas pemikiran tokoh besar ini telah beriya-iya menyatakan bahawa beliau merupakan pencetus konsep ini sebelum dikembangkan oleh tokoh-tokoh pemikir yang lain di seluruh dunia. Sebelum ini, saya sendiri masih belum mendapati akan hal ini dari mana-mana buku dan penulisan. Sebaliknya, tokoh-tokoh yang sudah masyhur dan dikenali ramai seperti Ismail Raji al Faruqi, Prof Naqib al Attas dan Seyyed Hossein Nasr antara nama-nama yang disebut apabila membicarakan soal islamisasi ilmu ini. Malah apabila saya membelek buku falsafah pendidikan Islam menurut al Attas, saya tidak menemui sebarang apresiasi buat Malik bin Nabi berhubung hal ini.

Cadangan Buku


Saya ingin mencadangkan kepada anda sebuah buku yang menghimpunkan pandangan Abul A'la al Mauddudi dan Syed Qutb bertajuk Lailahaillallah, Manhaj Hidup Muslim. Kedua-dua reformis dan penyelamat akidah umat itu telah menghuraikan dengan cukup baik sehingga menggoncangkan nafsu yang sedang bertapak di dada. Kita juga boleh melihat titik pertemuan pemikiran yang cukup menarik pada kedua-dua tokoh itu. Kedua-duanya dianggap penyelamat akidah yang giat mempromosikan Islam sebagai cara hidup yang komprehensif dan masa depan kebahagiaan alam ini di tangan Islam.

Selain itu, apabila kita membandingkan teknik dan kaedah yang dimainkan oleh Maududi dan Qutb, kita akan menemui jawapan kenapa Tuan Guru Nik Abdul Aziz boleh melembutkan jiwa-jiwa pendengar setiap kali beliau menyampaikan tazkirah. Teknik logikal bersulam radikal yang digunakan sentiasa menyentap hati-hati yang dihuni pelbagai macam sifat-sifat kemanusiaan dan kesyaitanan.

Kalaulah saya dibenarkan mewajibkan anda membaca buku ini, maka saya akan mewajibkannya terutamanya kepada sesiapa yang tidak membuat pengkhususan dalam bidang keagamaan. InsyaAllah sedikit sebanyak, huraian yang terdapat dalam buku tersebut boleh membantu meligatkan lagi latihan iman anda di samping membantu anda mengejar cita-cita menjadi fuqaha' (baca; tenaga mahir) yang akan membela dan mengesat air mata umat.

Sekadar itu perkongsian ringkas daripada saya, izinkan saya membedah pemikiran Malik bin Nabi terlebih dahulu ya. Buku yang dibeli di MPH tempoh hari pun sedang merenggek mahu dilayan. :)

p/s; saya tidak berniat untuk pos pun sebenarnya..

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP