Sunday, 12 July 2009

Isu Kakak Tua: Penjelasan Saya

Ketika sedang berkongres di Auditorium Muzium Selangor, Shah Alam semalam bersempena Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (KO SPIN ‘09), tiba-tiba timbul satu suasana kontroversial semasa sesi soal jawab bersama pembentang pada sesi petang. Pembentang pada waktu itu ialah Dr Abdul Halim Tamuri, Dr Tajul Arifin Noordin dan DSP Tuan Ghazali Daud. Sementara kontroversial yang dimaksudkan ialah apabila saya bangun bertanyakan satu soalan kepada pembentang (saya menujukan soalan itu kepada Dr Tajul Arifin) berhubung salah satu pandangan beliau yang terdapat dalam kertas kerja yang diberi. Sebelum itu, Dr Tajul Arifin membentangkan kertas kerja yang bertajuk ‘Pengsekularan Sistem Pendidikan Islam: Analisa Suatu Pengalaman’.

Secara peribadi, saya bersetuju dengan kesemua penceramah yang hadir malahan saya cukup mengagumi mereka sebelum datang ke kongres lagi. Akan tetapi, atas dasar minat berdiskusi dan jiwa muda yang penuh berinkuiri, saya bertanya satu soalan sambil memberikan pandangan yang bertentangan dengan beliau berhubung kenyataan ini;

“Mengkaji kemungkinan menjadikan Model Maahad Tahfiz Sains (MTS) yang sekarang dilaksanakan di kelantan dan Selangor sebagai model pendidikan untuk seluruh sekolah di Malaysia.” (muka surat 10, nombor lima roman)
Soalan saya pula ialah;

“Saya ingin meminta respon Dr berkenaan pandangan tersebut dan saya berpandangan, bukankah ini salah satu perangkap golongan sekularis kerana sistem ini masih lagi berkait dengan sekularisme disebabkan pengajaran subjek-subjek seperti Sains, Matematik dan lain-lain masih lagi tidak mengalami Islamisasi dan dibimbangi tindakan ini akan melahirkan lebih banyak ‘kakak tua’ yang tidak memahami agama.” (soalan penuh boleh didapati menerusi rakaman, jika ada)

Sementara itu Dr Tajul dan Dr Abdul Halim pula berpandangan sebaliknya dan saya melihat kedua-duanya lebih terkesan dengan istilah ‘kakak tua’ berbanding maksud sebenar soalan saya. Hal ini menyebabkan kesemua pembentang terutama Dr Tajul dan Dr Abdul Halim menganggap saya mempersendakan golongan penghafal al Quran dengan menggelarkan mereka sebagai ‘kakak tua’. Berhubung hal itu, saya dengan merendah diri memohon ampun dan maaf kerana tidak menjelaskan secara terperinci maksud sebenar istilah ‘kakak tua’ dan keseluruhan soalan tersebut disebabkan masa yang cukup singkat semalam dan saya sendiri merupakan penyoal terakhir dalam sesi itu.

Maksud sebenar soalan saya
Apabila melihat kepada kenyataan dalam kertas kerja Dr Tajul sebagaimana yang di atas, saya berasa bimbang dan terus mencatat sesuatu di atas kertas kerja itu dan ingin mengambil peluang bertanya kepada Dr sendiri sewaktu sesi soal jawab.

Saya berasa bimbang kerana cadangan beliau itu seolah-olah mencipta satu alternatif baru kepada golongan sekularis untuk mereka meneruskan dasar dualisme dalam keilmuan. Bukannya saya terpengaruh dengan kognitivisme dan sekularisme sebagaimana yang dikatakan oleh Dr ketika beliau memberi jawapan.

Hal ini adalah demikian kerana model yang dinyatakan dalam kertas kerja tersebut hanya menambah satu aspek iaitu penghafalan al Quran dan dalam masa yang sama sistem pendidikan masih bercantum dengan sekularisme. Bukankah ini satu kegagalan? Kita membicarakan soal Islamisasi ilmu dan bercita-cita mahu merejuvenasikan sistem, tetapi dalam masa yang sama konsep dualisme yang mengakar dalam sistem pendidikan di Malaysia terus dilaksanakan. Saya bimbang, kita tertipu dengan istilah dan konsep dan dalam masa yang sama terperangkap dengan puak-puak sekularis. Sistem tahfiz yang berasingan dengan sistem pendidikan.

Di samping itu pengintegrasian antara sistem penghafalan al Quran dan ilmu duniawi yang lain juga merupakan sekularisme dan dasar yang masih dipengaruhi aristotlelianisme. Pandangan Aristotle merupakan antara asas yang memacu perkembangan sekularisme pada satu ketika. Signifikan pandangan beliau tersebut ialah apabila Aristotle telah mengasingkan antara world view dan ketuhanan. Aristotle mendakwa tuhan hanya mengetahui akan halnya sendiri dan tidak mengetahui tentang alam ciptaannya. Ini pandangan saya. Mungkin ada benar dan boleh jadi silap.

Kenapa burung kakak tua?
Lagilah saya bimbang sekiranya konsep ini akan melahirkan kakak-kakak tua yang sekadar menghafal al Quran tanpa memahami dan menghayati ilmu fardhu kifayah yang mereke sedang pelajari. Saya berpandangan sebegini disebabkan pengalaman saya sebagai seorang penghafal al Quran dan saya melihat institusi-institusi hafiz seluruh negara telah ‘membazirkan’ banyak huffaz di Malaysia. (insyaAllah saya akan terangkan persoalan pembaziran huffaz ini dalam artikel yang lain)

Adapun kakak tua yang saya maksudkan dalam soalan saya ialah golongan penghafal yang tidak memahami dan tidak menghayati wahyu. Sebagaimana sifat burung kakak tua yang sekadar menghafal apa yang diajar oleh tuannya tanpa memahami istilah yang dihafal. Ini antara masalah terbesar dalam dunia huffaz, saya tidak berniat menghina salah satu sunnah nabi saw iaitu menghafal al Quran.

Ibnu Mas’ud pernah menyatakan kebimbangan beliau iaitu berapa banyak orang yang membaca al Quran dan dalam masa yang sama dilaknat oleh al Quran. Itu baru membaca, alangkah lagilah berat hukuman yang dikenakan ke atas orang yang menghafal al Quran tetapi dalam masa yang sama dilaknat oleh al Quran. Sebenarnya terlalu banyak hujah sama ada yang datang dari al Quran, hadis mahupun pandangan alim ulama yang menyatakan kewujudan penghafal wahyu yang membebani umat. Namun, saya tidak berniat mengulas panjang tentang istilah tersebut dalam penulisan ini.

Kenapa saya berbeza pandangan dengan ilmuan?

Kedapatan sahabat saya yang memberi respon yang saya ‘berani’ berhujah dan berbeza pandangan dengan tokoh ilmuan. Hal ini demikian disebabkan tindakan saya menyatakan pandangan peribadi yang berbeza dengan pandangan pembentang. Perkara ini dapat dilihat sedari sesi pada waktu pagi lagi iaitu apabila saya memberikan pandangan yang berbeza dengan pandangan tokoh yang saya cintai sendiri iaitu Prof. Dr Sidek Baba.

Jawapan saya ialah, inilah peluang kita nak menguji kemampuan kita dan mengambil manfaat kehadiran tokoh-tokoh keilmuan. Kita bertanya dengan penuh rasa hormat dan dalam masa yang sama bersikap berani dan meyakini hujah yang dimiliki. Bukankah keberanian berhujah dan memberi pandangan itu merupakan salah satu ciri mahasiswa yang idealis dan kritis?

Selain itu, saya juga tidak mahu menyia-nyiakan peluang berada dalam satu majlis dengan tokoh keilmuan dengan mengajukan soalan yang ‘biasa-biasa’ sahaja. Kita mesti bijak membezakan antara soalan yang boleh ditanya pada bila-bila masa kepada orang awam dan soalan yang jarang-jarang diberi kesempatan untuk ditanya. Malangnya, masih terdapat mahasiswa yang tidak menyedari betapa besarnya manfaat dapat bersama-sama tokoh pemikir dan keilmuan dalam satu majlis.

Sekadar itu sahaja penerangan dan penjelasan yang saya ingin kemukakan. Adapun sebab saya tidak bangun mempertahankan diri saya sewaktu dikatakan ‘menghina sunnah’ ialah kerana rasa hormat yang cukup menebal terhadap pembentang. Lagipun, saya berpandangan adalah tidak elok jika saya terus mempertahankan pandangan saya dalam suasana sebagaimana semalam. Sekali lagi, dengan penuh merendah diri, saya memohon maaf jika saya telah membuat konroversi sewaktu berkongres. Buat sahabat-sahabat mahasiswa, ayuh bersama kita meningkatkan keupayaan ilmu dan keberanian supaya cita-cita untuk melahirkan mahasiswa beridealisme dan kritis akan menjadi kenyataan!

Salam hormat,
Marwan Bukhari bin Abdul Hamid

6 comments:

muzammir muhammad 12 July 2009 at 16:27  

It's going to become a big deal for many of us to rearrange the system that won't meet the requirement of Islamic education.. I turn up to agree with the statement that we play the role that secularism ideology has solicited to.. It's nothing to do with the statement that Islam needs other alternatives to create a path to successful education.. As we know, Islam itself is the one that branches the germination of knowledge in this world.. And it has to be that the Islam scholar namely Ibn Sina, Al khawarizmi and others had found the value of knowledge in the guidance of Islam's knowledge.. So apparently, the separation between both elements of education is one of the worst things that won't lead us to the right path.. Consequently, scholar will come out to become the terrorist to Islam.. They tend to create a holocaust system that won't end up with a solidarity and as well as going apart from His guidance and blessings.. I'm so sorry of saying this though I'm not one of the huffaz, but I still can feel the wind of changes that flow from our real value.. It isn't hard to break the ambience but there's a difficulty to gain it back.... By right, the system of education should somehow go back to the verily Creator.. that's how we will grasp the successful in the world and hereafter..

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid 12 July 2009 at 22:52  

teruskan dengan gaya pemikiran anda..
tp jgn sampai tidak meraikan cara pemikiran orang lain..
'ala kulli hal, smg segala tingkah laku kita dipandu oleh iman..
slm juang buat adik ana yg hbat!

Cikgu N 12 July 2009 at 22:53  

I'm glad that some youngsters nowadays could speak up their minds amidst the well-known 'dr's and so forth and do not feel belittle by them.Hope my offsprings will follow your example.

aura mujahadah 14 July 2009 at 18:04  

assalamualaikum...

berkaitan dengan isu 'kakak tua' tu, ana faham apa yg us nak sampaikn.
mgkn org yang benar2 faham apa yg us nak sampaikn adalah org yang sama seperti kita.
hanya jauhari mengenal manikam..
tapi, mungkin ada hikmah di sebalik berlaku ksilapan2 ni..
mgkn ALLAH nk bagi semua orang cakna dengan isu ni.

smoga kita lebih prihatin...
wallahu a'lam

aura mujahadah 14 July 2009 at 18:04  

assalamualaikum...

berkaitan dengan isu 'kakak tua' tu, ana faham apa yg us nak sampaikn.
mgkn org yang benar2 faham apa yg us nak sampaikn adalah org yang sama seperti kita.
hanya jauhari mengenal manikam..
tapi, mungkin ada hikmah di sebalik berlaku ksilapan2 ni..
mgkn ALLAH nk bagi semua orang cakna dengan isu ni.

smoga kita lebih prihatin...
wallahu a'lam

Anonymous,  18 July 2009 at 17:14  

Salam,
Pendapat yang baik...cuma sebagai pemikir muda,apabila sesuatu pepatah yang nak digunakan (contoh:kakak tua) perlu diberikan penjelasan terlebih dahulu sebelum soalan sepenuhnya dilontarkan..agar tidak timbul salah faham...teruskan perjuangan..Wassalam.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP