Saturday, 4 July 2009

Khutaba' dan Fuqaha'

Apabila melihat kepada realiti semasa yang sedang ditayangkan di depan mata kita pada hari ini, sudah pastinya kita merasa pedih dan letih. Kekadang terasa ingin menampar-nampar pipi dengan penuh harapan bahawa realiti ini hanyalah mimpi. Namun, beribu kali kita menampar-nampar pipi sekalipun, katak tetap katak, ia bukan lagi berudu yang kecil. Panorama yang parah tetap parah meskipun meluap-luap kita berperasaan marah.

Makin bertambah ngeri panorama ini, maka makin banyaklah yang terjelupuk jatuh. Sugul. Ketika itu, muncullah para pembakar semangat dengan penuh segak dan tegap. “Jangan gusar, jangan takut! Langit pasti akan kembali terang, bintang-bintang pasti akan kembali berkerlipan.” Mereka berucap dengan penuh kepemudaan.

Ya, saya yakin bahawa kita sangat memerlukan pemidato-pemidato yang bijak meletakkan bahan-bahan api dalam ucapan mereka. Akan tetapi, cukupkah hanya mereka untuk diletakkan sebagai watak utama dalam meleraikan kekusutan sosial dan politik pada hari ini? Mampukah ‘bahan api’ yang keluar dari mulut mereka itu membakar keangkuhan imperialis-imperialis curang dan jalang pada hari ini? Ataupun sekurang-kurangnya untuk merampas kembali hak milik kekal umat Islam iaitu Masjidil Aqsa daripada pendatang Yahudi yang berperangai syaitan? Jawapannya ialah ....................................... (fill in the blank)

Antara khutaba’ dan fuqaha’


Kita sudah memiliki banyak khutaba’/pemidato yang boleh memberi taujihad kepada umat Islam tatkala mereka mengalami konflik motivasi diri. Namun, kita wajib mengesali dan mengakui bahawa kita kekurangan fuqaha’ yang akan menganalisis, mengdiagnosis dan seterusnya akan bertindak sebagai reformis dalam misi mengesat air mata umat. Fuqaha’ yang saya maksudkan bukannya hanya tertumpu kepada mereka yang mendalami bidang fiqh dan usul fiqh semata-mata, akan tetapi fuqaha’ tersebut ialah individu yang berkemahiran dalam bidang masing-masing sama ada dalam bidang keagamaan ataupun lapangan keilmuan yang lain termasuklah politik.

Satu ketika dahulu, kita memiliki banyak tenaga mahir yang mempunyai keyakinan dengan aspirasi perjuangan Islam. Mereka berkhidmat untuk agama. Nama-nama seperti Imam al Ghazali, Ibnu Taimiah, Ibnu Khaldun, al Khawarizmi dan banyak lagi yang dikenali umum telah menabur bakti terhadap agama Islam. Kehadiran mereka saling melengkapi antara satu sama yang lain dan disenangi oleh orang awam yang hidup dengan penuh aman. Ismail Raji’ al Faruqi, tokoh pemikir Islam yang terkenal dewasa ini telah memuji-muji kehebatan Ibnu Taimiah sebagai mujaddid/reformis umat Islam pada zamannya.

Adapun khutaba’, kebanyakan mereka hanya pandai mengulas isu-isu semasa tanpa mendalaminya dengan baik. Mereka boleh bercakap soal daun dan ranting, tetapi tidak mampu berbicara tentang akar yang merupakan induk. Malah, kadang-kadang kelantangan mereka melebihi tahap ilmu yang dimiliki. Semua isu yang kontroversial akan diulas dengan tradisi menghentam, kritikan dekonstruktif dan kemarahan yang meluap-luap tanpa dilap dengan ‘sapu tangan ilmu’. Malah, kedapatan yang sentiasa tergesa-gesa dalam memberikan pendapat tanpa penelitian yang sewajarnya.

Generasi fuqaha’

Sementara fuqaha’ pula kebiasaannya akan sentiasa berfikir dengan teliti terhadap sesuatu perkara. Mereka cukup berdisiplin dan berhati-hati dalam mengulas isu-isu semasa. Golongan ini juga akan mencari akar permasalahan sesuatu perkara supaya lebih mudah diatasi kendati payah untuk mengharungi situasi.

Fuqaha’ dalam bidang bioteknologi akan melaksanakan projeknya dengan mengambil kira kesan terhadap alam dan penghuninya. Fuqaha’ politikus pula akan menjadikan keadilan Islam sebagai puncak misinya dan sentiasa berwaspada dengan muslihat musuh di samping peka terhadap sesuatu isu dan akan menanganinya dengan bijaksana. Dalam bahasa yang lebih mudah, fuqaha’ akan memandang sesuatu perkara dengan berjangka masa panjang, bukan hanya kepentingan jangka masa pendek semata-mata.

Aliran zionisme yang telah mengkucar-kacirkan dunia dengan aspirasi songsang mereka merupakan sebuah produk hasil pemikiran para intelijen Yahudi dari seluruh dunia. Dalam menggerakkan matlamat menguasai dunia, zionisme tidak hanya membincangkan kekuatan tentera, kemantapan peruntukan wang ataupun ramainya jumlah mereka tetapi mereka membina potensi diri yang wujud dalam diri setiap orang Yahudi. Mereka meyakini bahawa hanya generasi fuqaha’ merupakan senjata paling ampuh untuk menawan dunia. Akhirnya hari ini, semua bidang teras seperti ekonomi, politik dan lapangan intelektual yang lain telah dikuasai oleh mereka.

“Zaman kegemilangan Islam, zaman kekuasaan fuqaha’!”

Mari kita menoleh ke belakang seketika. Kita menziarahi zaman keemasan pemerintahan Islam yang telah memimpin umat menangani hegemoni musyrik. Imam Ahmad bin Hanbal, Auza’i, Hasan al Basri, al Ghazali dan Ibnu Taimiah antara contoh pemuka fuqaha’ yang giat menyelamatkan akidah umat. Begitu juga Thawus,Imam Abdul Qadir Jailani, Syamsuddin al Wali dan al Kurani yang sentiasa memberi inspirasi kepada Khalifah yang berkuasa pada zaman mereka.

Sultan Nuruddin Mahmud Zanki, Salahuddin al Ayyubi, Muhammad al Fatih dan Harun ar Rasyid antara fuqaha’ yang telah memimpin umat Islam dan wilayahnya dengan penuh bijaksana.

Apabila kita menganalisis generasi kegemilangan tamadun Islam, kita pasti akan bersetuju bahawa pada waktu itu kolam fuqaha’ tidak pernah dibiarkan kering. Bahkan sentiasa penuh sehinggalah saat-saat kejatuhan menyebabkan kolam itu kian tohor sehinggalah sekarang.

Pelan membina generasi fuqaha’

Sewajarnya kita telah bergerak secara agresif dalam melaksanakan pelan membina generasi fuqaha’ pada era globalisasi ini. Antara bidang fuqaha’ yang kita cukup perlukan ialah ekonomi, politik, ICT, undang-undang dan penghujah dalam perbandingan agama dan falsafah.

Justeru, beberapa rombakan dalam sistem usrah, tamrin, liqa’ fikri, kelas pengajian akademik dan kuliah-kuliah agama mestilah dilakukan. Saya memuji Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) yang telah membuat turning point dan memandang secara serius persoalan ini. Tahniah buat semua pimpinan yang dihormati.

Para pensyarah, mudir, ustaz, guru dan pengkuliah agama mestilah berusaha untuk mengubah pendekatan yang diambil sebelum ini. Gabungan murabbi, muaddib dan catalyst (pemangkin) mestilah wujud dalam diri mereka. Bukan hanya memakan gaji dan hamba kepada sistem yang wujud!

Saya menyokong sahabat saya, Fuad Syazwan yang sedang menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Harith Hasyimi (Universiti Teknologi Petronas) dan Hasbullah (UIAM) dalam bidang ekonomi, Abdul Majid Faiz (UIAM) dalam jurusan kejuruteraan dan Faez Kader dalam bidang perubatan yang kini sedang berada di Mesir. Begitu juga teman-teman yang lain dalam pelbagai bidang. InsyaAllah, saya berjuang di medan saya dan kalian di medan kalian.

Saya akan mengulas lanjut persoalan ini dalam tulisan akan datang, insyaAllah. Saya akan terus berfikir dan mengkritik!

2 comments:

Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, 4 July 2009 at 23:58  

Assalamualaikum,

Ustaz, saya berpandangan, perlu ada sinergi antara Khutaba' dan Fuqaha' kerana kedua-duanya memiliki potensi hebat yang tidak boleh diabaikan. Misalnya, ada yang menolak penyair-penyair namun mengapa nabi meraikan mereka dikala gendang jihad dipalu?

Apakah tidak cukup dengan fuqaha'? Penyair tadi ada kelebihannya. Kerana kelebihan yang dimiliki bisa memberikan ketumbukan yang maha dahsyat. Bisa menegakkan bulu-bulu roma yang sedang tidur, bisa memanaskan dan memudakan darah-darah pejuang.

Teringat ketika saya masih belajar di Darul Quran dalam madah Psikologi Dakwah. Salah satu bab yang kami pelajari ialah dakwah melalui saluran emosi. Pendakwah yang baik adalah mereka yang bisa memainkan emosi mad'u agar ilmu dan islam itu difahami dengan baik serta penuh penghayatan. Mungkin dengan inilah keindahan ilmu dan Islam itu tertonjol.

Maka, sifir dhaif saya, Khutaba'- Fuqaha' = ibarat melahirkan singa yang buta. Fuqaha' - Khutaba' = ibarat melahirkan singa yang tidur. Khutaba' + Fuqaha' = ibarat melahirkan singa yang siap siaga di rimba walau bersendirian, dialah raja.

Saya pernah membentangkan kepada sahabat-sahabat saya bahawa Jihad = kefahaman + iltizam. kefahaman - iltizam = menanti laknat. iltizam - kefahaman = menghilangkan nikmat.kefahaman + iltizam = mengundang rahmat. mungkin saya boleh mengembangkan sedikit lagi sifir ini dengan mengatakan bahawa kefahaman datangnya dari fuqaha' dan iltizam itu hasil tiupan khutaba'.

Maaf ustaz andai saya merapu tengah-tengah malam ni ditambah dengan sifir yang entah apa-apa. saya insan dhaif, mohon tunjuk ajar lagi dari ustaz. Salam juang.

MarBu 5 July 2009 at 00:33  

wassalam..

pertamanya, ana cukup segan dgn kehadiran abg.. presiden isiukm. amir kepada anak muda islam di ukm.. :)

ana brsetuju dgn pndangan abg brkenaan jalinan antara khutaba n fuqaha... n itulah kesimpulan yg ana ingin bawa ttp x ditulis... syukran atas pndangan 2...

namun, fokus ana ialah kebanjiran khutaba' brbanding fuqaha' pd hari ini...

"sudah trlalu ramai khutaba' "- ust ramadhan fitri...

tambahan point yg ana nak bw ialah..

pada pandangan ana, mengasah bakat kepemimpinan dan politik sepanjang bergelar mahasiswa itu suatu yg cukup baik.. tetapi lagi cantik sekiranya mahasiswa itu bersabar dan tidak terus terjun ke kancah politik negara setelah pencen sbg mahasiswa..

ada baiknya jika mahasiswa terus menyambung pengajian dlm bidang yg diyakini dapat menggilapkan potensi dirinya..

kerana, ana melihat.. kilang yg bertanggungjawa melahirkan khutaba' yg bukan fuqaha' ialah sistem tarbiah kampus itu sendiri..

mereka hanya berani menyalak di belakang, tetapi tidak berani berwacana atau berhadapan untuk berhujah dengan lebih serius berkenaan sesuatu isu...

punca krisis?

intelektualisme...

bayangkan, sudah bergelar mahasiswa tetapi masih gagal memahami 'isme'2 yg berkeliaran dlm dunia hari ini..

tidak trmasuk lagi istilah2 seperti hermeneutik, quran edisi kritis, isu percanggahan manuskrip (mushaf) al quran yg lama dll yg dibawa oleh golongan islam liberal..

dibimbangi, kita hanya galak berpencak sendirian ataupun menyepak terajang patung yang diibaratkan sbg musuh tetapi tidak berani masuk gelanggang... kita mengkritik sis tetapi bersediakah kita jika dicabar oleh mereka untuk duduk satu meja?

semua persoalan di atas dilontarkan kepada semua khususnya ana sendiri yg baru setahun jagung bertatih di medan juang..

ampun atas segala kekurangan..

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP