Sunday, 30 August 2009

Biarkan Sahaja Laila Pergi

Puisi di bawah dicipta sebagai satira buat kebanyakan muslim pada hari ini. Umat Islam yang sekular sudah terlalu membarah dalam masyarakat kita. Laila yang saya maksudkan ialah malam yang merupakan simbol waktu paling sesuai untuk beribadat. Majoriti umat islam menjadi hamba kepada siang (keduniaan) dan melihat ibadat itu hanya pada waktu malam. Juga golongan yang ditempelak ialah mereka yang bersungguh-sungguh 'menghitamkan' dahi mereka dengan bersujud pada waktu malam tetapi masih mengamalkan sistem hidup yang berlawanan dengan Islam. Mudah cerita, sebagaimana yang dinyatakan oleh Tuan Guru dalam isu 'undi PAS dapat pahala' tempoh hari. Selamat menghayati.
-------------------------------------------------------------------------------------
Usah dikemis laila itu
Andai dirimu masih tegar beradu
Mengapa dikemis laila itu?
Sekiranya siangmu tidak membidik peluru
Biarkan sahaja laila itu pergi
Jangan mengejarnya, jangan berlari!
Siangmu telah dicintai laksana si majnun
Pelbagai noda telah masak ranum

Penindasan dan penipuan
Pencemaran dan pengkhianatan
Penyekutuan dan kekufuran
Semuanya angkara engkau!

Engkau memilih untuk bersama laila
Walhal siangmu dipenuhi dosa dan perbuatan dusta
Seakan-akan dunia ini dirimu yang punya
Aneh, agamamu hanya tika laila
Apabila laila bertandang
Dirimu tunduk khuduk
Sedang siangmu berhidung tinggi
Tiada pernah merendah diri

Kauberasakan laila dan siang itu bersuku-suku
Lalu kaucemari siangmu
Kemudian berpura-pura muntah semasa laila
Sungguh, nifaqmu menebal!
Kuulangi pesanan ini
Biarkan sahaja laila berlabuh
Usahlah bersandiwara
Darah dagingkan dahulu dirimu dengan syariat Ilahi!

MarBu menjenguk laila,
Pasca dinihari, 7 Ramadhan 1430/28 Ogos 2009

Read more...

Thursday, 27 August 2009

Bedah Buku Said Zahari & Respon Isu Kartika

Suatu ketika dahulu, sewaktu sedang menuntut di sekolah menengah, saya cukup bosan dengan pembelajaran sejarah meskipun berkenaan tanah air sendiri. Subjek yang sepatutnya mengakar dalam diri saya selaku seorang pelajar telah dimanipulasi untuk menceritakan kemaksuman pihak pemerintah dan para penjajah. Setelah berpindah dari alam sekolah, barulah saya makin berminat dengan pengkajian sejarah, peradaban dan ketamadunan.

Baru-baru ini saya terjumpa satu buku yang ditulis oleh salah seorang pejuang kemerdekaan, Said Zahari bertajuk Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik. Said Zahari telah menceritakan satu persatu babak-babak yang pernah dilalui beliau. Beliau juga telah mendedahkan perihal kumpulan fasisme-kapitalisme yang berlagak sebagai sosialisme yang dikepalai oleh Lee Kuan Yew, Devan Nair dan rakan-rakan mereka. Saya juga berjaya mengesan kelicikan pemikiran politik yang dimiliki oleh Lee Kuan Yew. Lim Chin Siong, Said Zahari, aktivis komunis, Tunku Abdul Rahman dan banyak lagi telah berjaya dikhianati oleh kepolitikan Lee Kuan Yew. Hal ini menyebabkan saya makin beranimembuat beberapa telahan tambahan berhubung lawatan Lee Kuan Yew ke Malaysia pertengahan 2008 baru-baru ini.

Kolonialisasi, kapitalisme dan sosialisme

Berbetulan dengan diri saya yang meminati pengkajian ideologi-ideologi ciptaan manusia, Said Zahari juga menceritakan bagaimana pembentukan Malaysia yang merupakan salah satu projek kolonialisasi yang teratur dan penting di sisi British, Amerika dan sekutu-sekutu mereka. Penentangan demi penentangan dari kalangan mereka yang memahami strategi politik musuh itu langsung tidak dilayan oleh kebanyakan pemimpin Malaya pada waktu itu.

Tidak ketinggalan, diceritakan juga berkenaan perjuangan kelas yang dipelopori oleh golongan berhaluan kiri pada waktu itu seperti Partai Rakyat Malaya, Partai Rakyat Singapura, barisan Sosialis dan banyak lagi. Penerangan dan informasi yang dinyatakan oleh Said Zahari dalam buku ini memudahkan lagi pengkajian saya berhubung perbezaan antara sosialisme yang diperjuangkan oleh Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR), Hisyamuddin Rais, DAP dan beberapa pertubuhan dan individu lain lagi.

Konspirasi


Buku yang ditulis Said Zahari ini juga telah mendedahkan beberapa konspirasi yang telah dilakukan oleh pihak penjajah dan tali barut mereka di tanah air tercinta ini. penubuhan Lord Cobbold, pengisytiharan pembentukan Malaysia, konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia dan penangkapan beramai-ramai kebanyakan aktivis berhaluan kiri telah menjernihkan lagi pemahaman saya tentang kolonialisme dan kaitannya dengan kapitalisme di alam melayu.

Secara tidak langsung, buku ini juga memberi iktibar kepada kita tentang kegagalan melaksanakan konsep inqilabiah oleh pemerintah Malaysia dan Indonesia satu ketika dahulu. Dengan penjenamaan baru neo-jahiliah dan neo-kolonialisme itu telah memudahkan blok kapitalisme berkuasa meragut artifak berharga di bumi masing-masing.

Selingan: Isu Arak dan liberalisme


Ada yang bertanya kepada saya dan meminta komen berhubung isu Kartika, arak dan sebat di samping cubaan pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan peranan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan mahkamah syariah.

Pada pandangan saya, kecurangan penganut dan pendokong Islam liberal telah dapat dilihat menerusi komentar dan respon yang telah diberikan oleh mereka. Sekali lagi mereka tampil untuk meneruskan agenda dan misi kontekstualisasi dan feminisme dengan meracuni pemikiran mereka yang masih 'di atas pagar' dan tidak mendapat penjelasan sewajarnya tentang beberapa hukum Islam.

Justeru, inilah masanya buat pendakwah-pendakwah berpencak menentang kebiadapan liberalis-liberalis di Malaysia ini dengan hujah-hujah yang konkrit. Dalam masa yang sama, inilah juga masanya untuk kita merenung sejauh mana kita dapat menangkis hujah daripada pihak musuh tersebut ataupun kita karam dalam dunia dakwah kita tanpa mengenali apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh musuh.

Akhir kata, salam ramadhan kareem.

p/s: sedang meneliti buku Islam dan Pluralisme yang menghimpunkan kertas-kertas kerja yang ditulis oleh pendokong-pendokong liberalisme-pluralisme seperti Nurcholis Majid da Reza Pahlavi.

Read more...

Wednesday, 26 August 2009

Kisah Aku dan Si Kupu-kupu

Aku mahu bercerita!
Ini kisah aku
Mengembara bersama-sama si kupu-kupu
Memandang panorama bahagia
Ya, amat bahagia!

Aku melihat dunia mereka
Saling membantu, saling berlagu
Kupu-kupu itu membawaku merantau ke alam nyata
Menjelajah halaman sentosa
Ya, terlalu sentosa!

Aku menyaksikan keteguhan prinsip komuniti mereka
Meskipun hidup di tengah-tengah kejahatan manusia
Kebobrokan kapitalisme

Kemudian,
Aku dibawa meredah samudera, kata kupu-kupu itu
Masya Allah, kotor sungguh sungai-sungai di kota
Semuanya angkara manusia durjana
Ya, maha durjana!

Para kapitalis mencekik darah manusia
Serangga, haiwan dan alam buana
Lagak mereka seolah-olah drakonian di singgahsana
Rakus memperkosa alam sekitar

Seterusnya,
Aku dibawa ke perkampungan kupu-kupu
Sungguh berwarna-warni
Mereka khuduk menjadi makhluk rabbani
Namun, tiba-tiba mereka bertempiaran lari
Seperti sedang memandang hantu dari jeti
Kubertanya kepada kupu-kupu
Mengapa begitu mereka bertingkah laku
Jawab si kupu-kupu:
Kerana dirimu manusia, kaummu merosakkan semua yang ada
Aku menjawab:
Aku sememangnya manusia, yang berbuat fasad itu ialah pencari bala!
Sekian, kisah kembaraku bersama-sama si kupu-kupu

MarBu berfikir,
Awal tengah malam
25 Ogos 2009/ 4 Ramadhan 1430

Read more...

Wednesday, 19 August 2009

Ini Bukan Zaman Sufi Haraki Semata-mata

Kita sering diberi kata semangat supaya menjadi seorang sufi yang haraki. Tidak sedikit remaja dan anak muda pada hari ini begitu teruja untuk menjadi seorang sufi yang haraki seolah-olah status itu wajib dikecapi mereka dalam membelah badai duniawi pada hari ini. Untuk itu, beberapa kisah individu yang berpengaruh dan berjasa besar dalam dunia Islam dijadikan burhan (bukti) demi meyakinkan semua supaya mereka juga bercita-cita menjadi seorang sufi yang haraki.

Siapakah sufi haraki?

Merujuk kepada istilah di atas, secara ringkasnya sufi merupakan seorang yang sentiasa melakukan tazkiyyatun nafs dan muhasabah diri sebagai seorang hamba. Ia melazimi dirinya dengan adab dan akhlak terhadap sesama manusia dan lebih-lebih lagi kepada Allah swt. Haraki pula merujuk kepada sikap yang responsif terhadap situasi dan isu yang wujud di sekelilingnya dan ditambah pula dengan turut berpartisipasi menghadapi isu-isu yang sedang menari. Oleh itu, secara simplistik sufi yang haraki ialah seorang yang sentiasa membersihkan dirinya dan aktif berpartisipasi dalam isu-isu massa.

Sejarah merakamkan bahawa telah wujud banyak golongan sufi yang haraki sejak zaman nabi saw lagi. Namun begitu, istilah ini telah diberi penjenamaan baru setelah kemunculan Imam Hasan al Banna dengan gerakan Ikhwan Muslimin pada era imperialisme sedang bergejolak. Imam Hasan al Banna merupakan sebuah sosok yang begitu mementingkan penjagaan hati, beradab dengan Allah dan sesama manusia di samping bersama-sama dengan rakan beliau menggerakkan umat Islam dalam menghadapi kebiadapan imperialis kuffar dan tali barut mereka. Beliau juga dirakamkan sebagai salah seorang pengikut kumpulan tarikat Hasafiyyah sewaktu di Mesir dahulu.

Jika pada zaman nabi saw, tabi’ dan tabi’ at tabiin, kelompok ini cukup ramai mewarnai dunia umat Islam. Sebagai contoh Abu Hurairah, Salman al Farisi, keempat-empat khulafa’, Imam Ahmad bin Hanbal dan as Syafie. Era moden terutamanya abad yang ke-20 dan 21 turut merakamkan kemunculan golongan sufi haraki yang bersama-sama menjadi contoh kepada umat Islam dalam meniupkan semangat jihad kepada mereka. Al Maududi, Syed Qutb, Abu Hamid Nasr, M. Natsir, Dr Burhanuddin al Helmy dan banyak lagi ialah nama-nama yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena ghuraba’ ini.

Sejarah hidup mereka dibukukan oleh kebanyakan pencinta-pencinta perjuangan Islam supaya inspirasi dan idealisme perjuangan mereka terus hidup dan menghidupkan hati-hati yang lalai dan leka.

Sufi haraki sahajakah?

Saya begitu berasa merendah diri dan terasa bersemangat setiap kali membaca kisah perjuangan para figur sufi haraki. Kekadang, kisah-kisah merekalah yang menjadi pembangkit semangat saya ketika saya sedang berperasaan ‘down’. Sungguh, ruh perjuangan yang dimiliki mereka terus hidup meskipun telah bertahun-tahun mereka mengucapkan selamat tinggal kepada dunia ini.

Namun begitu, saya berpandangan bahawa kita sedikit tersilap apabila meraikan sesebuah tema dan tokoh sebagaimana yang berlaku apabila kita mengangkat tema sufi haraki ini. Lantas saya berpandangan bahawa sufi yang haraki semata-mata tidak layak untuk berpencak sama dalam arena perjuangan pada era ini.

Saya mengakui akan sufi yang haraki cukup diperlukan oleh kita sekalipun kita tidak mahukannya. Tetapi, sepatutnya kita menambah nilai sufi haraki itu sesuai dengan zaman yang sudah berbeza di samping masalah yang lebih kompleks berbanding zaman sebelum ini. Kenapa kita tidak memandang betapa tingginya nilai intelektual yang dimiliki al Banna, al Maududi, Burhanuddin al Helmi dan Bapak Natsir? Cuba kita hayati kisah-kisah mereka, sudah tentu kita akan mengakui hakikat ini.

Disebabkan sikap kita yang hanya melihat sesuatu keajaiban itu pada satu bab ataupun satu segmen sahaja, kita terus menjadikan sufi yang haraki sebagai zikir dan cita-cita tanpa memandang kepada unsur-unsur yang lain khususnya nilai intelektualisme. Akibatnya, lahirlah golongan sufi haraki yang hanya pandai mengulas isu-isu secara superficial tanpa mendalami dengan baik disiplin-disiplin ilmu yang diperlukan.

Sufi haraki yang khutaba’ semata-mata

Saya mempercayai bahawa kelompok khutaba’ (pemidato) yang hanya bijak berucap dan nampak alim dari sudut luaran semata-mata didokongi oleh golongan sufi haraki ini. Mereka mudah melenting apabila dibangkang dan diprovokasi oleh pihak musuh. Sunggh memilukan apabila pandangan berbeza yang diberikan oleh si alim juga ditolak secara kasar dan tidak berdisiplinkan ilmu. Lihat sahajalah isu perbezaan pandangan oleh Dato’ Harussani dan Tuan Guru Nik Aziz. Kita mudah bersikap skeptikal kepada Dato Harussani dan melupakan jasa-jasa beliau tanpa memikirkan perbezaan latar pendidikan antara beliau dan Tuan Guru. Kita hanya mahu menang dengan hujah yang menyebelahi diri kita semata-mata.

Sebaliknya, contoh terbaik yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh sufi haraki yang terdahulu tidak dicaknai oleh kita. Kita terlepas memandang keilmuan al Maududi dan al Qaradawy, kebijaksanaan politik Abu Hamid an Nasr dan Dr Burhanuddin al Helmy di samping contoh-contoh yang lain.

Lagilah menyedihkan apabila pemahaman tentang ilmu haraki dijadikan ukuran dan benchmark sambil melupakan keupayaan dan kecenderungan yang dimilki pejuang sufi haraki yang lain. Intelektualisme dan tanggungjawab menjadi tenaga mahir jarang-jarang disentuh dalam liqa’ dan tamrin. Hanya buku-buku keluaran Dewan Pustaka Fajar (DPF) yang menyentuh soal-soal haraki menjadi pilihan ahli geraka Islam.

Tokoh kita al Banna sahajakah?

Kecenderungan kita yang tersilap dalam memahami gagasan sufi haraki juga telah menyebabkan tokoh-tokoh yang menjadi inspirator kepada kita kebanyakannya tergolong dari kalangan yang hidup pada abad yang ke-20.

Percaya atau tidak, seolah-olah secara automatic minda kita terhenti hanya pada era 1900 dan ke atas apabila memikirkan nama-nama tokoh idaman. Kita tidak Nampak lagi ketokohan as Syafie, Ahmad bin Hanbal, al Ghazali, Ibnu Taimiah, Ibnu Khaldun dan lain-lain. Malah, kisah-kisah hidup mereka jarang dibaca berbanding kisah-kisah figur yang muncul selepas penjenamaan baru sufi haraki oleh Imam Hasan al Banna.

Saya meyakini, al Banna dan rakan-rakan seangkatan dengan beliau juga tidak berkenan dengan salah faham ini.

Read more...

Mahu Sahaja Ku ke Langit Biru

Aku mahu bercanda di atas langit biru
Jauh dari keributan manusia yang tak tahu malu
Mencari ketenangan, menjinakkan kalbu
Mengubati hati yang bertambah pilu
Menyiram iman yang makin lesu
Menikam nafsu yang makin berlagu

Atau,

Aku mahu beredar dahulu
Ku tak sanggup melihat babak-babak tragis terus bertamu
Babak-babak manis pula terus berkata, “tunggu dulu”
Sabarku pula sudah terhambat hingga ke hulu
Terasa jiwa cekalku sedang direnggut kasar oleh sang guru

Tapi,

Himpunan dosaku sudah berbuku-buku
Walhal amalku hanya menumpang lalu
Aksi seterusnya tiada kutahu
Sama ada hitam, putih ataupun kelabu
Hanya Dia yang maha tahu

Lalu,

Kukirimkan jawapan kepada langit biru
Aku akan terus begini dan di sini
Merawat luka dan mencipta suka
Demi Islam yang satu

MarBu ke langit biru,
Rabu/19 Ogos 09

Read more...

Saturday, 8 August 2009

Dua Artikel Yang Tertinggal

Pada kali ini, saya ingin mengepos kembali dua artikel saya yang terpaksa direhatkan sebelum ini disebabkan kedua-dua artikel tersebut dipilih untuk dimasukkan dalam Majalah Permata Huffaz. Semoga anda semua mendapat manfaat yang bernilai.
Selamat membaca!

Mahasiswa dan Budaya Membaca (klik)
Analisis Isu: Huffaz Era Moden (klik)

Read more...

Friday, 7 August 2009

Akukah Algojo Itu?

Akukah algojo itu?
Berterus teranglah wahai pemuda
Aku tewas sambil meraba-raba
Mencari-cari di manakah nur yang sepatutnya menyinari zulumat ciptaan quraniyyun
Sesak dadaku menangisi keranda suci itu diusung pergi
Dibawa pengusung untuk dibenam ke dalam bumi
Lalu datang si pengusung tua
Berbicara jelas tanpa bersembunyi
“Pergilah hai anakku, bumi ini tidak akan subur lagi”
Tiada jawapan daripadaku
Seolah-olah mulutku ini berkunci

Akukah algojo itu?
Bersikap jujurlah hai pemuda
Aku memandang quraniyyun itu dengan penuh belas kasihan
Seusai sahaja aku memandang umat yang sedang terkandas di perjalanan
Kuyakini, semuanya kerana kamu hai quraniyyun
Kamu karam dengan bacaan yang mengasyikkan
Sehingga tangisan dan ratapan umat tiada kedengaran
Seandainya kamu sudah menunjukkan kegagalan
Maka lagilah berganda-ganda umat jauh dari kejayaan
Aku membenci kamu hai quraniyyun penempah neraka!

Akukah algojo itu?
Tunjukkan aku jawapanmu hai pemuda
Menggunung tinggi impianku tapi langkahku seinci cuma
Kucampakkan topeng ini
Aku sudah tidak bermaya lagi
Sihir ciptaan quraniyyun tidak dapat kutandingi
Meski cita-citaku untuk ke langit yang tinggi
Tapi sikapmu telah menikam semangatku yang berapi-rapi

Akukah algojo itu?
Tamparlah aku jika perlu hai pemuda
Aku manusia lemah menagih sebuah janji
Janji memakmurkan bumi dengan keadilan Ilahi
Mengesat air mata umat yang berkolam-kolam
Apakah hanya di sini tempat kuberhenti?
Sedang destinasi masih belum dikecapi
Nabi yang suci terus mengusap kedua-dua pipiku
Senyumnya menampakkan gigi
Kuhanya tertunduk merendah diri
Diriku tidak secekal engkau hai khalili
Kurebah ke pangkuan rabbi
Usaplah daku ya Ilahi..

Pejuang al Quran,
Usai Solat Jumaat, 07/08/09

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP