Thursday, 27 August 2009

Bedah Buku Said Zahari & Respon Isu Kartika

Suatu ketika dahulu, sewaktu sedang menuntut di sekolah menengah, saya cukup bosan dengan pembelajaran sejarah meskipun berkenaan tanah air sendiri. Subjek yang sepatutnya mengakar dalam diri saya selaku seorang pelajar telah dimanipulasi untuk menceritakan kemaksuman pihak pemerintah dan para penjajah. Setelah berpindah dari alam sekolah, barulah saya makin berminat dengan pengkajian sejarah, peradaban dan ketamadunan.

Baru-baru ini saya terjumpa satu buku yang ditulis oleh salah seorang pejuang kemerdekaan, Said Zahari bertajuk Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik. Said Zahari telah menceritakan satu persatu babak-babak yang pernah dilalui beliau. Beliau juga telah mendedahkan perihal kumpulan fasisme-kapitalisme yang berlagak sebagai sosialisme yang dikepalai oleh Lee Kuan Yew, Devan Nair dan rakan-rakan mereka. Saya juga berjaya mengesan kelicikan pemikiran politik yang dimiliki oleh Lee Kuan Yew. Lim Chin Siong, Said Zahari, aktivis komunis, Tunku Abdul Rahman dan banyak lagi telah berjaya dikhianati oleh kepolitikan Lee Kuan Yew. Hal ini menyebabkan saya makin beranimembuat beberapa telahan tambahan berhubung lawatan Lee Kuan Yew ke Malaysia pertengahan 2008 baru-baru ini.

Kolonialisasi, kapitalisme dan sosialisme

Berbetulan dengan diri saya yang meminati pengkajian ideologi-ideologi ciptaan manusia, Said Zahari juga menceritakan bagaimana pembentukan Malaysia yang merupakan salah satu projek kolonialisasi yang teratur dan penting di sisi British, Amerika dan sekutu-sekutu mereka. Penentangan demi penentangan dari kalangan mereka yang memahami strategi politik musuh itu langsung tidak dilayan oleh kebanyakan pemimpin Malaya pada waktu itu.

Tidak ketinggalan, diceritakan juga berkenaan perjuangan kelas yang dipelopori oleh golongan berhaluan kiri pada waktu itu seperti Partai Rakyat Malaya, Partai Rakyat Singapura, barisan Sosialis dan banyak lagi. Penerangan dan informasi yang dinyatakan oleh Said Zahari dalam buku ini memudahkan lagi pengkajian saya berhubung perbezaan antara sosialisme yang diperjuangkan oleh Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR), Hisyamuddin Rais, DAP dan beberapa pertubuhan dan individu lain lagi.

Konspirasi


Buku yang ditulis Said Zahari ini juga telah mendedahkan beberapa konspirasi yang telah dilakukan oleh pihak penjajah dan tali barut mereka di tanah air tercinta ini. penubuhan Lord Cobbold, pengisytiharan pembentukan Malaysia, konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia dan penangkapan beramai-ramai kebanyakan aktivis berhaluan kiri telah menjernihkan lagi pemahaman saya tentang kolonialisme dan kaitannya dengan kapitalisme di alam melayu.

Secara tidak langsung, buku ini juga memberi iktibar kepada kita tentang kegagalan melaksanakan konsep inqilabiah oleh pemerintah Malaysia dan Indonesia satu ketika dahulu. Dengan penjenamaan baru neo-jahiliah dan neo-kolonialisme itu telah memudahkan blok kapitalisme berkuasa meragut artifak berharga di bumi masing-masing.

Selingan: Isu Arak dan liberalisme


Ada yang bertanya kepada saya dan meminta komen berhubung isu Kartika, arak dan sebat di samping cubaan pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan peranan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan mahkamah syariah.

Pada pandangan saya, kecurangan penganut dan pendokong Islam liberal telah dapat dilihat menerusi komentar dan respon yang telah diberikan oleh mereka. Sekali lagi mereka tampil untuk meneruskan agenda dan misi kontekstualisasi dan feminisme dengan meracuni pemikiran mereka yang masih 'di atas pagar' dan tidak mendapat penjelasan sewajarnya tentang beberapa hukum Islam.

Justeru, inilah masanya buat pendakwah-pendakwah berpencak menentang kebiadapan liberalis-liberalis di Malaysia ini dengan hujah-hujah yang konkrit. Dalam masa yang sama, inilah juga masanya untuk kita merenung sejauh mana kita dapat menangkis hujah daripada pihak musuh tersebut ataupun kita karam dalam dunia dakwah kita tanpa mengenali apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh musuh.

Akhir kata, salam ramadhan kareem.

p/s: sedang meneliti buku Islam dan Pluralisme yang menghimpunkan kertas-kertas kerja yang ditulis oleh pendokong-pendokong liberalisme-pluralisme seperti Nurcholis Majid da Reza Pahlavi.

1 comments:

Hasbi 27 August 2009 at 22:46  

Faedah berhijrah untuk mencari identiti diri yang lebih hebat.. Dulu, subjek sejarah akan menyebabkan proses pengurangan oksigen dalam otak, lantas menyebabkan proses kemengantukan, maka hari ini, minat dan ikhlas harus disatukan.. bagus-bagus.. Nanti, bantu aku pula buat kajian tentang SIS..Diorang berhujah dengan Undang-undang..Dan undang-undang berkaitrapat dengan Sejarah..

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP