Sunday, 30 August 2009

Biarkan Sahaja Laila Pergi

Puisi di bawah dicipta sebagai satira buat kebanyakan muslim pada hari ini. Umat Islam yang sekular sudah terlalu membarah dalam masyarakat kita. Laila yang saya maksudkan ialah malam yang merupakan simbol waktu paling sesuai untuk beribadat. Majoriti umat islam menjadi hamba kepada siang (keduniaan) dan melihat ibadat itu hanya pada waktu malam. Juga golongan yang ditempelak ialah mereka yang bersungguh-sungguh 'menghitamkan' dahi mereka dengan bersujud pada waktu malam tetapi masih mengamalkan sistem hidup yang berlawanan dengan Islam. Mudah cerita, sebagaimana yang dinyatakan oleh Tuan Guru dalam isu 'undi PAS dapat pahala' tempoh hari. Selamat menghayati.
-------------------------------------------------------------------------------------
Usah dikemis laila itu
Andai dirimu masih tegar beradu
Mengapa dikemis laila itu?
Sekiranya siangmu tidak membidik peluru
Biarkan sahaja laila itu pergi
Jangan mengejarnya, jangan berlari!
Siangmu telah dicintai laksana si majnun
Pelbagai noda telah masak ranum

Penindasan dan penipuan
Pencemaran dan pengkhianatan
Penyekutuan dan kekufuran
Semuanya angkara engkau!

Engkau memilih untuk bersama laila
Walhal siangmu dipenuhi dosa dan perbuatan dusta
Seakan-akan dunia ini dirimu yang punya
Aneh, agamamu hanya tika laila
Apabila laila bertandang
Dirimu tunduk khuduk
Sedang siangmu berhidung tinggi
Tiada pernah merendah diri

Kauberasakan laila dan siang itu bersuku-suku
Lalu kaucemari siangmu
Kemudian berpura-pura muntah semasa laila
Sungguh, nifaqmu menebal!
Kuulangi pesanan ini
Biarkan sahaja laila berlabuh
Usahlah bersandiwara
Darah dagingkan dahulu dirimu dengan syariat Ilahi!

MarBu menjenguk laila,
Pasca dinihari, 7 Ramadhan 1430/28 Ogos 2009

2 comments:

sot 4 September 2009 at 10:57  

Lailatul Qadar itu
Lebih baik dari 1000 bulan
Cerdik kah aku?
Biarkan ia berlalu
Tanpa ada rasa malu
Namun sudikah dia pada ku?
Rayu lah mendayu-dayu
Jangan malu lagi
Laila aku cinta mu.

Anonymous,  6 September 2009 at 15:17  

aku terkesan.
pengemis laila itu juga, aku.
tepat, padat lirikmu.
benar belaka.tiada salah.

tapi, bukanku pinta mengemis hanya pada laila.
menagih simpati pada sinar rembulan.
meraih hasrat pada kerlipan bintang.
mengais hanya pada sisa saki-baki purnama.

terlalu hina kelihatannya.tidakkah?
tapi itu selayaknya aku.
sememangnya aku, hina.

kupernah mengemis pada mentari.
tapi cahayanya benderang amat.
cubaku elak panahan sinarnya.
gagal! aku dibutakannya.
terus, lorong yg kulalui gelap.

kuakur pada hakikat.
benar bicaramu.
kuterpedaya dengan sang suria.

justeru,kumemilih utk berjinak, bermanja bersama laila.
kerna hanya itu pilihanku.
satu.tiada lain.
walau acapkali laila tiada sudi mnjengukku.hampa.kecewa.

aku berharap pada laila untuk menampung.
kerna detik lain.
penuh kepalsuan, pendustaan.
tidakku kenal siapa aku tika itu.
sekali lagi,benar bicaramu, tiada salah.

kuakui, kudiskriminasikan mentari dan rembulan.
kuakui kupilih kasih.
kugemar laila.
tapi tidak bermakna kubermusuh dengan lawannya.

cuma masih belum ketemui sinar indah pada sang suria.
sepertimana yang kuketemu pada sang rembulan.
tapi pasti,aku kan tetap mencari
hingga jumpa,xkan kulepaskan.erat.


~gerimis turun perlahan,laila kian permisi~

ما لا يدرك كله لا يترك كله

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP