Monday, 12 October 2009

Dilema Antara Intelektualisme dan Aktivisme

Berikut ialah komentar daripada sahabat saya, Fuad Syazwan berhubung kritikan saya terhadap mahasiswa yang hanya bersungguh-sungguh turun ke jalan raya sewaktu berdemo, tetapi bersikap 'malu-malu' untuk memahami sesuatu isu secara mendasar.
-------------------------------------------------------------------------------------

jangan lupa syeikh... yang turun berdemo di jalan raya tu menzahirkan kemarahan, kebencian, kepada musuh Islam... yang ini yang menimbulkan gerun di hati musuh...

yang duduk dalam seminar, duduk dalam kutub khannah tu, musuh pun tak tahu apa dibuat...

jangan diperlekeh orang yang berdemo...

tak tau dari A sampai Z tentang musuh tak menjatuhkan martabat orang berdemo...

kalau nak tunggu tahu semua benda pasal musuh sampai "mampus" pun Islam tak menang...

musuh dah depan pintu pagar, tapi kita masih dalam istana membuat diskusi...

cairkan otak yang beku berseminar dengan turun ke jalan raya...

wallahua'lam...


Pandangan saya:

Kepada saudara Fuad, terima kasih atas komentar menarik tersebut dan sememangnya saya cukup menantikan komen yang sebegitu rupa daripada seorang mahasiswa yang tidak taqlid buta, masih bertenaga dan mempunyai paradigma perjuangan yang jelas sesuai dengan status mahasiswa yang dimiliki.

Ternyata antara point penting yang wujud dalam kritikan Fuad ialah hubungan antara intelektualisme dan aktivisme beserta realiti dalam kancah kemahasiswaan pada hari ini.

Formula saya

Intelektualisme tanpa aktivisme = KAKU

Aktivisme tanpa intelektualisme = KELU

Integrasi antara intelektualisme dan aktivisme = PADU



Realiti dalam gelanggang mahasiswa dan politik hari ini


Sekiranya kita meneliti dengan sebaiknya hakikat yang sedang berlaku pada hari ini, maka terbukti bahawa nilai perjuangan hanya tertumpu kepada dua kelompok yang besar di samping satu kelompok ghuraba' yang tersisih dan masih belum diangkat sebagai pilihan utama para pejuang.

Dua kelompok besar tersebut ialah:

1) Kelompok yang memandang bahawa hanya dengan melakukan gerak kerja Islam, matlamat perjuangan Islam akan berjaya dicapai. Akibatnya, mereka seolah-olah rabun dengan keberkesanan intelektualisme dalam memacu perubahan. Mereka juga seolah-olah memandang skeptikal terhadap golongan yang berjuang di medan ilmu lantas menyifatkan mereka sebagai hanya pandai berteoretikal tanpa bersama-sama melukis praktikal. Kedapatan segelintir daripada kelompok ini yang terlalu malas dengan perjuangan ilmu tetapi sanggup berletihan di medan demonstrasi dan tunjuk perasaan.

Antara dalil yang digunakan oleh mereka sebagai hujah ialah:

- Firman Allah: "Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad pada jalan Allahdengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta benda dan jiwanya ke atas orang-orang yang duduk satu darjat. Kepada masing-masing Allah menjanjikan pahala yang baik dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad ke atas orang-orang yang duduk dengan pahala yang besar." (an Nisa: 95)

-Kisah Imam Ibnu Taimiah yang bersama-sama dengan tentera Islam yang lain dalam satu peperangan.

2) Kelompok yang memandang bahawa kegemilangan umat akan kembali dijulang sekiranya kita kembali kepada faktor asas iaitu ilmu. mereka akan berhujah dengan petunjuk daripada sejarah bahawa hampir semua tamadun yang gah telah wujud disebabkan keilmuan yang dijulang. Tetapi, tanpa disedari mereka terlalu asyik dengan intelektualisme sehingga mengenepikan beberapa aspek praktikal. Segelintir daripada mereka berhujah dengan tindakan Imam al Ghazali yang masih asyik di medan ilmu menganalisis dan diagnosis terhadap umat Islam dan tidak turun ke peperangan salib pada zaman beliau.

Dalil dan hujah kelompok ini pula ialah:

- firman Allah: "Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang beriman pergi semuanya ke medan peperangan. Hendaklah ada dari setiap golongan itu sekumpulan yang memperdalam ilmu pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka telah kembali kepada mereka (dari medan ilmu) supaya kaum mereka berhati-hati."
(at Taubah: 122)

- Kisah Imam al Ghazali yang terus beruzlah dengan mengkaji ilmu dan tidak bersama-sama turun ke medan perang menentang tentera salib.

Kelompok Ghuraba'

Sementara itu, kelompok ghuraba' yang saya maksudkan ialah kelompok yang mengintegrasikan antara intelektualisme dan aktivisme. Mereka bijak mengimbangkan antara pengkajian ilmu dan tuntutan untuk menjadi amilin (aktivis). Mereka berdiskusi,berseminar dan berpencak secara serius di gelanggang intelek tetapi dalam masa yang sama bersama-sama turun ke jalan raya, melakukan gerak kerja Islam dan sebagainya. Pada hemat saya, inilah kelompok bijaksana dan bertepatan dengan saranan daripada al Quran di atas.

Hujah yang menggunakan tindak-tanduk Imam al Ghazali pada waktu itu tidak kuat untuk merelakan segelintir pihak memisahkan diri daripada aktivisme. Bukankah sandaran al Quran, hadis dan sebagainya lebih kuat daripada fi'il Imam al Ghazali tersebut? Dan adakah sama situasi dan waqie yang dihadapi Imam al Ghazali dengan situasi kita pada hari ini?

Adapun tindakan untuk menjadi amilin semata-mata juga bukanlah tindakan yang bijak. Perlu difahami, untuk menjadi amilin yang baik itu mestilah dengan memiliki ilmu dan kedapatan terlalu banyak ayat dalam al Quran yang menyatakan "orang yang beriman dan beramal soleh". Amal soleh itu antaranya ialah perbuatan kita sendiri yang terpantul menerusi iman yang dimiliki dan untuk memiliki tingkatan iman yang tinggi itu sudah semestinya dengan ilmu.

Firman Allah:
"Sesungguhnya orang yang benar-benar takut kepada Allah ialah ulama (yang memiliki ilmu).."

Selain itu, tuntutan semasa pada hari ini yang melibatkan serangan pemikiran yang cukup dahsyat terhadap umat Islam hanya boleh diatasi dengan ilmu. Kewujudan Islam liberal, pencemaran sistem kehidupan seperti ekonomi, politik dan sosial dan segala kekalutan yang berlaku juga disebabkan pencemaran ilmu. Adalah satu kehinaan kepada kita sekiranya kita diperbodohkan dengan aktivisme sedangkan musuh-musuh Islam berhilai tawa terhadap kita disebabkan kecuaian kita dengan ilmu.

Ingatlah, Muhammad saw itu lebih tinggi tarafnya berbanding seorang intelektual dan lebih cemerlang amalannya daripada seorang aktivis sepanjang masa.

lihat artikel ini, Politik vs Intelektual: Contohi Anwar

p/s: maaf jika penulisan ini agak berterabur. Kalau berkesempatan, saya akan menyusunnya semula.

5 comments:

MOHD SYAZREEN ABDULLAH 12 October 2009 at 15:11  

masalah ini yg kami diskusikan tempoh ari.melahirkan aktivisme intelektual memerlukan pengkajian dan kefahaman yg jelas..chaiyok=)

Marwan Bukhari 12 October 2009 at 21:44  

btol2.. rugi sgt klu para intelektual hanya memanaskan punggung mereka di dewan2 utk berseminar. tapi, yg pastinya, kita tidak boleh mencerca golongan amilin meski mreka kurang berminat dgn intelektual.

byk lg point yg ana nak bwk, tp sdang tapis2, bwk isu berat dlm bentuk ringan..hehe..

artikel penuh, ana bwk balik insyaALlah..

Ashcroftstylus Az 13 October 2009 at 01:33  

jadilah aktivis yg berintelek,

jadilah seorang pelaku yang berilmu akan ape yang dilakukan,

jadilah pendiskusi yang akan mempraktikalkan diskusi itu ke pentas realiti,

sebab, ape yg org tu cakap, die je paham,

kalo nak org paham ape die buat, mesti fizikalkan teori die,

barulah org dapat paham.

Marwan Bukhari 14 October 2009 at 00:13  

ash,
ada seorg prof, dia pernah bgtau yg tugas dia hanyalah memikirkan, sebaliknya pelaksana itu org lain... entah.. ana hanya terdiam sbb ana juga mghormatinya..

Nasionalis Bertauhid 14 October 2009 at 07:38  

Segalanya mesti simultaneous. Intelek dan praktikal. Bukan merendahkan golongan yang lantang, tetapi, kelantangan itu akan menjadi hebat, apabila adanya pemikiran intelek. Tindakannya bukan sekadar muqallid atau fanatik. Saat itu, lahirlah pemikiran kritis dan kreatif dalam berorganisasi. Rujuk Muqaddimah, Ibnu Khaldun.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP