Friday, 25 December 2009

Menuju Khusyuk dalam Solat

Artikel ini merupakan edisi kemas kini daripada tulisan asal saya yang pernah disiarkan sebelum ini.
.....................................................................................

Solat merupakan ibadah yang mulia dan agung. Ia telah dikurniakan kepada umat Islam kepada nabi Muhammad saw ketika satu peristiwa yang agung iaitu israk dan mikraj. Bukan setakat itu sahaja, malah majlis pengurniaan ibadah ini kepada nabi saw juga diadakan di satu tempat yang agung.Tempat yang tidak diizinkan oleh Sang Raja kepada sembarangan hamba, hanya kepada insan yang bernama Muhammad. Jibrail yang taat pun tidak diberi pas untuk masuk ke tempat itu iaitu sidratul muntaha.

Namun begitu bukan semua manusia memikirkan persoalan ini lantas menyebabkan mereka memperlakukan solat itu bukan dengan cara yang sepatutnya.

Firman Allah:
“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman.Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (surah al mukminun:1-2)

Pengisytiharan di atas telah dibuat oleh Allah kepada manusia supaya mereka mengetahui hakikat kejayaan di sisi Allah. Alangkah tenangnya hati ini seandainya dapat watikah kejayaan di sisi Raja sekelian raja. Umpama satu kejayaan yang membuka kepada manusia peluang untuk memperoleh kejayaan dalam kehidupan seharian yang lain, berjaya dalam akhlak, berjaya dalam perhubungan sesama makhluk dan berjaya dalam semua aspek kehidupan. Ya, berjaya dalam solat merupakan miftah kepada seluruh kejayaan yang lain.

Bagaimana hendak khusyuk dalam solat?

Khusyuk dalam solat ialah keadaan hati yang sentiasa ingat kepada Allah sewaktu melakukan solat sama ada ketika berdiri, rukuk, sujud dan semua gerakan dalam solat.

Sebenarnya langkah untuk mendapat nikmat khusyuk itu bermula sejak di luar solat lagi. Seseorang itu akan memilih pakaian yang baik dan suci dan memakai wangi-wangian. Dia menyedari pertemuan itu bukan sebarangan pertemuan. Jika itu ialah pertemuan dengan raja dalam sesebuah negara, sudah tentu dia akan menjaga dan memelihara semua perlakuannya.Tapi ini bukan hanya pertemuan dengan raja di kalangan manusia, lebih dari itu, pertemuan ini dengan Raja segala raja. Semua makhluk di langit dan di bumi ini tunduk berhajat kepada-Nya. Sudah tentu ada sesuatu yang penting dan hebat di sebalik ibadah ini.

Ketika menuju ke istana Raja, berjalan dengan penuh tawadhu’ dan rendah diri, memikirkan kekuasaan Allah yang maha agung. Langit yang dicipta tanpa tiang, pokok-pokok yang tumbuh menghijau. Nabi saw mengajarkan kita supaya membaca doa semasa dalam perjalanan menuju ke masjid. Secara ringkas, intipati doa tersebut mengandungi permohonan kita kepada Allah supaya dikurniakan cahaya ke dalam hati, lidah dan pada anggota-anggota yang lain.

Sampai di istana, kita mengambil wudhu. Setiap kali kita menyucikan anggota wudhu, setiap itu juga kita mengharapkan agar Allah mengampunkan dosa kita di setiap anggota yang kita kenakan. Dosa mata yang melihat benda haram, dosa mulut yang sentiasa celupar, mencela makhluk dan semua ciptaan-Nya, dosa tangan dan dosa semua anggota tubuh pinjaman ini.


Akhirnya, setelah semua persiapan diadakan, tiba saat-saat yang mendebarkan. Kita berdiri dengan penuh keinsafan. Kita sedar, kita berjumpa dengan Allah dalam keadaan membawa segunung dosa berbanding amalan yang sebakul cuma.

Menurut Imam al Ghazali, terdapat enam langkah untuk mendapatkan solat yang khusyuk:

1-Hudhurul qalb(menghadirkan hati)

Sebelum mengangkat takbiratul ihram, kita mengenang siapa yang berada di depan kita. Suatu zat yang sentiasa memberi rezeki dan pertolongan kepada kita, tetapi kita membalasnya dengan melakukan meninggalkan perintah-Nya dan melakukan larangan-Nya. Sewaktu mengangkat takbir, kita yakin bahawa semua urusan dan masalah lain ialah kecil jika dibandingkan dengan Allah yang maha Besar. Terdapat dalam sebuah hadis nabi saw, Allah swt berfirman dalam sebuah hadis kudsi yang antara lainnya menyatakan bahawa jika semua manusia di muka bumi ini tidak mahu beriman dan menyembah Allah, nescaya tidak terjejas walau sebesar zarah pun kerajaan dan kekuasaan Allah. Namun, manusia itu sendiri yang akan menanggung azab yang maha pedih.

Apabila kita menyebut kalimah Allah, keagungan dan kebesaran-Nya terus menyusup ke dalam kalbu. Lebih malu kita pada ketika itu, keagungan Allah menembusi kalbu kita yang penuh dengan karat dan kekotoran maksiat. Apabila seseorang itu tidak rasa keagungan Allah ketika menyeru nama-Nya, maka dia akan berasa kosong dengan ‘dating’ ini. Ulama membawa satu misalan, apabila seorang bayi berada di kandang harimau, apakah perasaan bayi itu? Boleh jadi dia akan meluru dan memeluk harimau tersebut. Kerana apa? Sudah tentu kerana bayi tersebut tidak tahu kegarangan dan kebuasan harimau itu. Sebaliknya jika kita yang berada di tempat bayi tersebut, kita pasti akan dalam ketakutan kerana mengenali apa itu harimau.

2-Tafahhum(memahami)

Kita berusaha untuk memahami setiap bacaan yang kita baca dengan penuh tertib dan tartil di samping berusaha untuk membaca dengan alunan yang paling indah. Kita juga memahami maksud tersirat di sebalik gerakan yang kita lakukan. Kita faham bahawa pencuri dalam solat ialah mereka yang lalai dan lagha ketika rukuk dan sujud (antaranya mengabaikan toma’ninah). Menurut sesetengah ulama, menjadi dosa buat seseorang manusia apabila mereka tidak faham apa yang dibaca dalam solat. Bahkan, lebih daripada itu, kita seharusnya memahami maksud tersirat di sebalik penggunaan setiap kalimah dan ayat dalam bacaan solat. Untuk itu, saya menyarankan kepada anda supaya mempelajari tafsir al fatihah sama ada menerusi majlis-majlis ilmu ataupun kitab-kitab terlebih dahulu.

Sungguh pelik apabila banyak dari kalangan umat Islam pada hari ini boleh mengerjakan solat tanpa memahami maksud bacaan sedari al Fatihah sehinggalah mengucapkan salam. Ibaratnya, mereka sedang memakan nasi tanpa lauk dengan penuh berselera sekali! Aneh sungguh.

3-Ta’zhim(mengagungkan Allah)

Setelah kita memahami apa maksud di sebalik solat kita, maka sudah tentu kita akan berasa takjub dengan empunya sifat yang agung itu. Apabila kita membaca doa iftitah, kita yakin bahawa hidup ini semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Sebuah aku janji yang sering dibacakan namun sering juga dinodai. Sementara itu, kita akan merasa lebih hina apabila membaca ayat-ayat yang lain pula. Alangkah malang buat sesiapa yang masih berasa riya dan ujub dengan solat yang ditunaikan sedangkan dia sedang memuji dan memuja Allah. Apabila hadir juga perasaan jahat daripada syaitan itu, maka cepat-cepatlah kita memohon ampun kepada Allah dan menghilangkan perasaan itu. Sesungguhnya keagungan ini hanyalah milik mutlak Allah swt.

Kita berdiri, berukuk dan bersujud dengan penuh kehinaan. Bahkan kita sedang dalam ketidak pastian sama ada semua aksi dalam solat itu akan diterima ataupun tidak.

4-Haibah(takut dengan kekuatan Allah)

Selepas itu, kita berasa semakin takut kepada kekuasaan Allah swt. Kita sedar bila-bila masa sahaja Dia boleh mengambil nyawa kita ataupun Dia boleh untuk menarik kembali nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Lebih ngeri daripada itu jika Allah menyiksa kita di akhirat kelak akibat kealpaan kita sewaktu menunaikan solat. Jika solat itu dikerjakan dengan sebaik-baiknya, maka ketakutan itu akan terbawa-bawa hingga ke luar solat. Ketakutan inilah yang dinamakan sebagai takwa. Takwa merupakan satu pengiktirafan Allah swt kepada hamba-hambanya yang dimuliakan.

Firman Allah, sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa dari kalangan kamu.(surah al hujurat).

Memang ramai manusia yang mahukan ijazah takwa, namun sudah berapa ramai yang kecundang sejak awal-awal lagi apabila mereka lalai dalam solatnya.

5-Haya’(malu)

Ketika mengerjakan solat, kita berasa malu kerana berhadapan dengan Allah dalam keadaan penuh dengan dosa dan kesalahan. Selepas solat pula, kita malu kerana menyedari solat yang kita lakukan tadi masih belum sempurna dengan hati yang kadang-kadang teringat kepada perkara duniawi. Alangkah malunya hati ini apabila setiap kali pertemuan, kita gagal mengawal adab dan pergerakan. Perasaan malu itu disusuli dengan ucapan astaghfirullah memohon ampun dengan kekurangan dalam solat yang ditunaikan. Sebagaimana perasaan haibah, malu juga akan mendidik manusia dalam urusan kehidupan selepas solat. Seseorang hamba itu akan malu untuk melakukan sesuatu yang dilarang Allah kerana sedar dia sedang diperhatikan. Kalau dia bersikap tidak malu, maka Allah swt akan membalasnya dengan kehinaan di dunia dan di akhirat. Terdapat dalam hadis nabi saw; “ apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa yang kamu mahu.”

6-Raja’(amat-amat berharap)

Selesai mengerjakan solat, kita berdoa dengan penuh pengharapan moga-moga Tuhan Yang Maha Penyayang menerima solat kita. Kita menyedari jika Allah tidak menerima solat kita, maka rugilah kita di dunia dan di akhirat. Kepada siapa lagi yang kita harapkan untuk membantu kita daripada azab Allah? Hanya Dia yang layak menerima solat kita. Harapan kita semoga solat kita tidak dilemparkan dengan penuh kehinaan kepada kita di akhirat kelak. Kita sedar apalah daya kita tanpa kasihan belas daripada-Nya. Kita langsung tidak layak untuk berasa puas dengan solat yang dilakukan, apatah lagi untuk berasa selesa dengan solat tersebut. Perlu diingat, kita tidak berupaya untuk mengerjakan solat sekiranya tidak diizinkan oleh Allah. Setelah kesedaran dan pengharapan itu, kita bingkas bangun dan menunaikan solat sunat ba’diyyah sebagai menampung solat yang telah ditunaikan.

Sekian…saya mengharap keampunan dan rahmat daripada Allah…

Madah MarBu…

“jika dalam solat lima waktu yang tidak sampai satu jam daripada 24 jam pun hati kita tak ingat kepada Allah… apalah nak diharapkan sangat kepada hati ini untuk sentiasa ingat kepada-nya…”

0 comments:

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP