Sunday, 3 January 2010

Berfikir Secara Kritikal

Satu kenyataan yang tidak dapat dielakkan lagi pada era ini ialah umat Islam menghadapi pelbagai cabaran yang mencengkam spiritual, meletihkan fizikal dan merimaskan intelektual. Umat Islam pada abad ini jauh berbeza dengan umat pada zaman nabi saw sama ada dari sudut isu yang dihadapi, rintangan yang menghalangi dan kuantiti para ilmuan berjiwa murabbi yang mengelilingi. Justeru, perkara yang tidak dapat dielakkan umat Islam dalam berhadapan perbezaan tersebut ialah dengan kesediaan mengubah paradigma (cara berfikir) dan aksi ataupun tindakan dalam memastikan ketulenan Islam tidak terhina.

Umar al Khattab yang bijaksana

Sekiranya kira mengimbas sejenak cabaran yang dihadapi oleh generasi yang terdahulu dan apakah pula persepsi dan aksi mereka dalam menghadapinya, maka kita akan terpegun dan akur dengan kebijaksanaan mereka. Sebagai contoh, lihat sahaja Umar al Khattab ra yang telah menunjukkan cara berfikir yang futuristik (jauh ke hadapan) dan kritikal sewaktu memberi cadangan kepada Abu Bakar ra supaya membukukan al Quran setelah kebanyakan huffaz terkorban dalam peperangan menentang puak yang murtad.

Dalam konteks pada waktu itu, cadangan daripada Umar itu merupakan sesuatu yang baru dan agak janggal dalam kalangan para sahabat. Namun, ternyata Umar mengubah cara berfikir tepat pada waktunya disebabkan implikasi yang besar akan menimpa generasi umat Islam seandainya kitab rujukan utama itu masih belum disistematikkan. Cadangan Umar itu akhirnya diterima oleh Abu Bakar dan para sahabat yang lain. Hasilnya sebagaimana telah dinikmati oleh umat Islam sejak zaman sahabat sehinggalah kepada kita pada hari ini. Segalanya bermula dengan kesediaan seorang insan untuk melakukan anjakan pemikiran bersesuaian dengan cabaran yang dihadapi pada zamannya.

Al Ghazali dan Ibnu Taimiah

Selain itu, kita tidak lupa juga dengan tokoh mujaddid iaitu Imam al Ghazali. Beliau juga telah mengubah pemikiran beliau menjadi lebih kritikal tepat pada waktunya. Hal ini kita dapat lihat menerusi salah sebuah kitab peninggalan beliau yang bertajuk ‘Tahafut al Falasifah’. Kitab ini mengkritik fahaman beberapa ahli falsafah yang terpengaruh dengan falsafah dari Yunani khususnya metafizik Ibnu Sina. Berbanding sesetengah ulama yang lebih menggunakan konsep ‘menjatuhkan hukum’ apabila sesuatu fahaman itu berlawanan dengan akidah Islam, Imam al Ghazali pula tampil dengan membaca karya-karya falsafah dari sudut mereka sendiri. Umpama kita membaca buku-buku tulisan orientalis-orientalis, suku-sakat sesat dari Barat dan sebagainya, barulah kita mengkritik secara lebih teratur dan efisyen. Begitulah apa yang telah dilakukan oleh Imam al Ghazali.

Apa yang dilakukan oleh beliau pada zamannya agak jarang dan ternyata mindanya tajam dan kritikal dalam melakukan analisis dan dikatakan bahawa beliau telah mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk memahami falsafah, barulah beliau mengkritik dan menghakimi unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam yang terdapat dalam falsafah dan pemikiran Yunani (hellenisme).

Banyak lagi contoh yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu. Mereka berani mengubah cara berfikir tepat pada waktunya tanpa ikut-ikutan (taklid) secara membuta tuli. Ibnu Taimiah dengan fatwa-fatwa beliau yang kritikal, sebagai contoh yang jelas ialah sewaktu dalam satu peperangan antara tentera Islam menentang tentera Monggol. Peperangan tersebut telah berlaku pada bulan Ramadhan iaitu ketika umat Islam sedang menunaikan ibadat puasa dan situasi itu telah menyebabkan umat Islam keletihan dan kekurangan tenaga. Dengan keilmuan yang dimiliki, Ibnu Taimiah telah mengeluarkan fatwa bahawa umat Islam wajib berbuka puasa dan beliau sendiri telah berjalan ke khemah-khemah tentera Islam sambil memakan makanan sebagai bukti kesungguhan beliau terhadap ijtihad yang dilakukan.

Minda kritikal yang dimiliki Ibnu Taimiah menyebabkan beliau berjaya mencetak beberapa anak murid yang hebat dan masyhur seperti Imam Ibnu Qayyim yang terkenal dengan keluasan ilmunya. Begitu juga dengan Imam Ibnu Kathir yang merupakan seorang genius dalam bidang tafsir dan menjadi rujukan oleh banyak alim ulama terutamanya dalam disiplin ilmu tafsir.

Syeikh Abduh, al Qaradawi dan al Attas


Dalam era yang lebih moden, kita tidak dapat melupakan seorang bintang yang hebat iaitu Syeikh Muhammad Abduh yang telah disuntik pemikirannya oleh Jamaluddin al Afghani, seorang pemikir Islam. Syeikh Muhammad Abduh meneruskan aspirasi yang telah diperjuangkan para cerdik pandai dahulu kala. Sewaktu beliau bergiat aktif sebagai ‘khadam umat’, beliau telah mengkritik keras sistem pendidikan di Universiti al Azhar yang mana menurutnya telah memiskinkan daya pemikiran kreatif dan kritis pelajar. Konfrontasi hujah antara beliau dan ulama al Azhar sentiasa berlaku apabila membicarakan soal tersebut. Malahan, beliau sendiri telah menawarkan diri untuk membantu mengubah beberapa sistem yang diyakininya pincang di universiti terkenal tersebut.

Pada zaman terkini, sosok tubuh yang bernama Syeikh Prof Dr Yusuf al Qaradawi seakan-akan menjadi peneraju utama golongan ulama dan intelektual dalam dunia Islam. Banyak buah fikiran beliau seperti dalam bab fiqh aulawiyyat, fiqh kenegaraan (daulah) dan bab kewanitaan seakan-akan menghidupkan kembali budaya berfikir secara perkasa dalam kalangan umat Islam. Beliau merupakan mutiara tak ternilai yang dikurniakan Allah pada zaman yang serba mencabar ini dan idea-idea bernas beliau telah banyak membantu memperkaya khazanah ilmu dan perjuangan umat.

Apa yang menarik, beliau sentiasa menasihati umat Islam terutamanya golongan ilmuan supaya memperbanyak ijtihad dan idea baru kerana zaman sekarang cukup pantas dan kompleks dengan pelbagai isu dan cabaran. Katanya lagi, jika pada zaman Imam Syafie, beliau (Imam Syafie) dikenali dengan fatwa dan ijtihadnya yang berubah (qaul qadim dan qaul jadid), maka sudah tentu zaman yang amat mencabar ini mengkehendaki para ilmuannya supaya lebih berminda maju dan ke hadapan.

Sementara itu, di tanah air kita terdapat seorang pemikir agung umat Islam yang telah menumpukan hampir seluruh hidupnya dengan menjadi hamba ilmu. Beliau ialah Prof Syed Muhammad Naquib al Attas,diiktiraf sebagai salah seorang sarjana besar peringkat antarabangsa. Beliau merupakan mantan Penaja dan Pengarah Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) dan telah diberi penghormatan menerima anugerah Fellow of The Imperial Iranian Academy of Philosophy. ISTAC yang sungguh gah telah berfungsi melahirkan banyak intelektual Muslim yang berwibawa seperti Alparslan Acikgenc (dari Turki), Dr Ugi Suharto, Dr Adi Setia dan banyak lagi.

Di Indonesia pula, INSISTS yang mirip ISTAC di Malaysia pula merupakan sebuah institusi pendidikan yang menerima pemikiran dan idea daripada al Attas. INSISTS sebagaimana ISTAC telah berperanan besar dalam melahirkan ilmuan-ilmuan yang cukup digeruni oleh para pendokong fahaman Islam Liberal seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia yang sering bertembung dengan para cerdik pandai dari kalangan anak murid al Attas. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa beliaulahorang pertama yang mengemukakan idea tentang Islamisasi ilmu (Islamization of knowledge) sebelum dikembangkan oleh Prof Ismail al Faruqi dan lain-lain.

Battle of ideas


Sejarah dunia Islam dan antarabangsa tak dapat melupakan salah satu peristiwa dan tragedi besar yang berkait dengan umat Islam dan Kristian iaitu peristiwa peperangan salib yang berlaku sejak 1097 sehingga 1250 (menurut perkiraan para sejarahwan, antaranya Prof Dr Ahmad Shalaby). Majoriti babak yang berlaku dalam peperangan salib memberi kemenangan kepada umat Islam sekalipun dalam sesetengah peperangan, umat Kristian di Eropah dan Timur bergabung membentuk satu pasukan yang besar dan kuat. Namun begitu, pihak Kristian mendapat jawapan berhubung kekentalan yang dimiliki oleh umat Islam tersebut iaitu umat Islam berperang untuk mati sedangkan mereka berperang untuk mendapat dunia.

Lalu, mereka menggerakkan perubahan strategi iaitu melakukan serangan dan peperangan pemikiran. Kalau dulu meriam, senapang dan bom sebagai senjata, kini mereka menjadikan fahaman-fahaman sesat dan hedonisme sebagai senjata utama. Paul Wolfowitz pernah berkata, “ this is a battle of idea and battle of minds”. Begitu juga dengan ‘wanita puaka’ dari Amerika Syarikat, Condoleeza Rice yang berkata, “to win the war on terror, we must win the war of ideas”. Lantaran itu, pelbagai serangan terhadap fikrah dan pemikiran umat Islam telah dilakukan secara besar-besaran dan berterusan. Hal ini menyebabkan world view (pandangan alam/ weltanscauung) yang dimiliki umat Islam tercedera parah lantas menjadikan mereka semakin sekular dan bersikap tidak meyakini kekuatan dan kebenaran agama sendiri.

Untuk memenangi peperangan ini, sudah tentu kita memerlukan senjata yang serupa iaitu melibatkan pemikiran dan minda. Kita memerlukan para intelektual yang mantap dan boleh menentang ideologi dan ‘isme-isme’ yang tersebar luas pada hari ini. Kita memerlukan para penghujah yang bijaksana dalam menghadapi belitan lidah oleh pihak-pihak seperti kumpulan Islam liberal dan golongan sesat yang lain. Di sinilah sejauh mana kritikalnya minda kita akan teruji. Hujah dan logik akal kita dalam memenangkan Islam akan teruji.

Sebagaimana Syeikh Ahmad Deedat yang bijaksana dalam berhujah dengan pihak Kristian. Sebagaimana Syeikh Dr Yusuf al Qaradawi yang tegas mengecam puak ekstrem dan liberal dalam beragama. Sebagaimana pihak INSISTS di Indonesia yang sentiasa ‘bergusti’ ilmu dengan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang terpesong jauh.

Two sides of the same coin: Antara dua kritikal, antara dua ekstrem

Pada pemerhatian saya, pemikiran yang kritikal melahirkan dua jenis golongan yang berbeza jauh dari sudut pegangan. Sebagai contoh, mereka yang berfikir terlalu kritikal menjadi terlalu ekstrem dan ‘syadid’ dalam beragama. Peperangan didahulukan berbanding rundingan, penindasan terhadap golongan wanita dengan menggunakan hujah agama, sentiasa bertindak sebagai penghukum bukannya penyeru dan banyak lagi.

Contoh-contoh tersebut diwakili oleh golongan yang menyatakan bahawa mereka merupakan penegak Islam di era moden ini. Kononnya kehadiran mereka merupakan rahmat kepada semua. Semua mesti mengikut pandangan dan tindakan mereka, jika tidak semuanya akan dibantai dan disesatkan. Sesetengan mereka terlalu taksub dengan mazhab dan sesetengah mereka mencela dan menyesatkan golongan yang bermazhab. Mereka memberi fitnah yang besar terhadap agama.

Golongan berfikir kritikal yang kedua pula ialah pendokong dan penyokong fahaman
Islam liberal. Kalau kita meneliti pandangan daripada mereka, kita akan melihat bahawa mereka berfikir di luar kotak sehingga terkeluar dari orbit agama. Mereka mencari solusi kepada pemasalahan agama dan dalam masa yang sama mencari alasan untuk mencela beberapa aspek penting dalam agama. Golongan tersebut sepert Hasan Hanafi, Nasr Abu Zayd dan Zainah Anwar.

Tidak perlu perbezaan hukum antara lelaki dan perempuan, kedamaian itu adalah dengan menyamakan setiap agama dan Islam mesti mengikuti zaman bukannya zaman yang mengikuti Islam. Contoh-contoh yang disebut merupakan beberapa pandangan mereka yang tersasar jauh daripada Islam. Mereka mendakwa bahawa golongan yang serius dan tegar berpegang dengan ajaran Islam sebagai kolot dan penyekat kemajuan. Perempuan yang berhijab dan menutup aurat sebagai simbol kemunduran. Walhal sebenarnya mereka yang curang dalam beragama.

Kedua-duanya ekstrem, cuma wajah yang berbeza. Mereka ibarat tangan kanan dan kiri kepada manusia yang sama. Two sides of the same coin. Seumpama sekeping duit syiling yang berbeza ‘side’. Hakikatnya kedua-dua golongan yang cuba berfikir kritikal tersebut membawa obor fitnah ke dalam gelanggang umat Islam.

Bagaimana berfikir kritikal?


Bagi menjawab persoalan ini, saya lebih cenderung untuk mengemukakan pandangan daripada cendikiawan Melayu Islam yang terkenal iaitu Prof Dr Sidek Baba. Berikut merupakan pandangan beliau tentang bagaimana berfikir kritikal.

Istilah kritikal berasal dari perkataan Greek kritikos yang bermaksud judge atau menghakimi atau mengadili. Dalam tradisi orang-orang Greek dan Yunani, ia melahirkan pemikir-pemikir yang amat kritikal terhadap sesuatu subjek dan akhirnya menjadi ahli falsafah yang terkenal.

Barat menjadikan asas berfikir Aristotle, Plato dan Socrates sebagai landasan mengembangkan ilmu dan kehidupan. Dalam tradisi orang-orang Islam pemikiran kritikal memang menjadi landasan dalam membuat sesuatu keputusan, tafsir dan takwil . Menafsir al- Quran dan hadis dilakukan secara kritikal supaya hasil pemikiran selari dengan kebenaran. Kebenaran dalam Islam merujuk kepada sumber naqliah atau sumber wahyu. Wahyu adalah autoriti atau wibawa yang tertinggi dalam memandu manusia berfikir supaya kebenaran yang diterima tidak saja zahir tetapi memberi makna yang hakiki.

Berfikir secara kritikal membimbing pemikir ke arah kebenaran. Puncak kepada berfikir menemukan manusia mengenai kebenaran. Proses berfikir kritikal membolehkan seseorang membezakan yang benar dengan yang salah, yang buruk dengan yang baik, yang bermanfaat dan bermusibat, yang memberi faedah atau mendatangkan padah dan sebagainya. Sudah tentu asas yang memberikan kemampuan seseorang berfikir kritikal ialah ilmu, maklumat, pengalaman, pertukaran pandangan dan dalam tradisi Islam diakhiri dengan hikmah. Hikmahlah merupakan jalan terbaik membimbing manusia menemui kebenaran.


Mari berfikir kritikal


Setelah saya membawa beberapa hujah dan pandangan di atas. Saya meyakini bahawa umat Islam sangat memerlukan umatnya berupaya berfikir secara kritikal dan mendalam memandangkan cabaran yang sedang berada di hadapan sangat membimbangkan. Zaman sekarang berlalu dengan cukup pantas. Sesaat berupaya mencipta ribuan masalah yang di luar pemikiran dan jangkaan kita.

Justeru, kita memerlukan ulama, pemimpin Islam, ahli gerakan Islam dan anak muda yang berfikiran kritikal. Sebab yang utama ialah kerana pihak musuh sudah berfikiran secara kritikal dan pemikiran kritikal menjadi senjata utama mereka pada masa ini. Mari kita berfikir secara kritikal demi agama tercinta, mari kita berminda selaku seorang mujaddid.

Sebagai penutup, saya tinggalkan anda dengan sebuah sabda nabi saw:
"Allah akan mengutus kepada umat ini di setiap awal kurun seorang yang akan memperbaharui (atau memulihkan) urusan agama" (Sunan Abu Dawud, Kitab al-Malahim, bab 1.)

2 comments:

senikehidupan 3 January 2010 at 18:39  

Menarik mendengar kupasan akh tentang fikiran kritis. Kritis adalah berpunca daripada minda yang mempunyai daya analitikal yang sangat kuat.

Kritis sahabat karibnya adalah kreatif, yang menggunakan perahan idea yang sangat tinggi.

Tetapi bagi saya untuk melalui kedua-dua ini, ia bukanlah semudah dengan meninjau sesuatu isu, kemudian memberi pandangan yang singkat.

Begitu juga ia tidaklah semudah dengan berfikir lama-lama tentang sesuatu keadaan, mahupun diajak untuk berfikir kritikal.

Minda sebenar yang kritis dan kreatif, adalah merupakan minda yang begitu lama di'tamrin', diasuh, dipaksa untuk belajar gaya baru berfikir. Saya namakannya skill berfikir.

Membaca buku dengan banyak adalah satu cara yang baik untuk meningkatkan potensi otak berfikir secara kritis.

Tetapi membaca buku semata-mata masih tidak cukup.

Orang yang kritis + kreatif membaca gaya orang lain berfikir.

Kemudian menganalisa, meninjau, sejauh mana pemikiran itu bias dan sejauh mana dia akan mengaitkan dirinya dengan cara fikiran orang lain.

Sahaja berkongsi~ ;)

Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, 5 January 2010 at 00:27  

pengetahuan tidak boleh menggantikan pemikiran. begitu juga pemikiran tidak boleh menggantikan pengetahuan. kedua-duanya penting untuk menuju intelek (edward de bono)

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP