Sunday, 10 January 2010

Mencabar Persepsi 4: Apabila Gereja melawan Galileo

Satu ketika dahulu, sejarah merakamkan bahawa telah berlaku pertelagahan antara golongan gereja dan pihak ahli falsafah dan saintis. Kumpulan konservatif dari gereja menentang beberapa pandangan yang berasaskan keilmuan/eksperimental dan empirikal dari kalangan saintis. Kedapatan banyak sejarahwan dan para pemerhati yang mengkritik pihak gereja kerana kejumudan dan sikap ortodoks pihak gereja dalam kes ini. Dalam slot mencabar persepsi ini, saya ingin berpandangan berbeza dengan pendapat umum dan memandang peristiwa ini dengan pandang sisi yang berbeza daripada kebiasaan. Kebiasaannya, para pengkaji akan cenderung mengambil pengajaran bahawa pihak gereja pada waktu itu terlalu jumud dan ketinggalan dalam ilmu sains sehingga menyebabkan pertentangan dengan ahli sains.

Persepsi saya

Saya berpandangan bahawa pihak gereja telah berfikir untuk jangka masa yang panjang dan demi ‘keselamatan ajaran Kristian’ pada masa hadapan. Golongan ahli falsafah dan saintis merupakan pejuang modernisme dan bersikap materialisme di samping memusuhi agama. Tindakan pihak gereja itu demi mempertahankan tradisi keilmuan agama Kristian dan para agamawan mereka melihat bahawa nasib buruk akan menimpa dunia Kristian satu ketika nanti. Sebagaimana yang kita lihat, antara peristiwa besar yang tercetus daripada perbalahan gereja dan saintis ini ialah kemunculan zaman renaissance dan modenisasi yang telah membunuh agama melahirkan sisi pandang yang skeptical terhadap keagamaan.

Zaman yang telah melahirkan fahaman egalitarianisme, humanisme dan sainstisme ditambah pula dengan sikap mereka yang bertalak dengan agama. Pelbagai gelaran diberikan kepada mereka yang setia terhadap ajaran agama seperti ortodoks, jumud dan tradisional manakala penentang keagamaan pula diiktiraf sebagai reformist, pembaharu dan progressive leader.

Pada hemat saya, pihak gereja telah berada di pihak yang benar dalam peristiwa tersebut, cuma tindakan mereka menidakkan fakta sains sahaja melambangkan kedunguan dan dipertikai. Umat Islam mesti belajar sesuatu daripada peristiwa tersebut!

Bahkan, tanpa kita sedari babak di atas juga telah diulang siar dalam usaha melahirkan perasaan sinikal dan skeptical terhadap agama Islam dari kalangan umatnya. Cuma wataknya yang berbeza. Golongan yang bersungguh-sungguh mahu mempertahankan agama akan diberi gelaran ortodoks, jumud, tradisional dan sebagainya sementara istilah-istilah yang lunak seperti mujaddid, islah dan pembaharu pula dianugerahkan kepada pemberontak keagamaan.

Contoh kesilapan bertindak

Tindakan pihak gereja yang bersungguh-sungguh menentang pandangan Galileo pada waktu itu memang agak keterlaluan tetapi kita wajar memuji cara berfikir (paradigma) mereka yang memandang nasib generasi akan datang (umat Kristian). Adapun sejarah umat Islam telah merakamkan bahawa segelintir umat Islam seringkali tewas dan gagal berfikir dengan memandang nasib umat di hadapan mereka. Sebagai contoh pada abad ke-20 dan awal abad ke-20 iaitu saat-saat getir hayat Khilafah Uthmaniyyah. Sebahagian daripada umat Islam telah memohon supaya Khalifah pada waktu itu iaitu Sultan Abdul Hamid 2 supaya berundur dan mereka mahu memisahkan diri daripada ‘penjajahan’ sistem khilafah lantaran fahaman nasionalisme yang sedang berkembang luas.

Akhirnya Sultan Abdul Hamid telah dijatuhkan pada 1909 setelah kira-kira 33 tahun beliau berkuasa dengan penuh komitmen mempertahan hak umat Islam dan tempat baginda diganti oleh Mustafa Kamal attaTurk. Untuk makluman pembaca, situasi umat Islam di beberapa bahagian di seluruh dunia termasuk alam Melayu amat menyokong kenaikan Mustafa Kamal sebagai pemerintah Turki. Mustafa Kamal mendapat pujian dan penghargaan daripada banyak pihak dan beliau dianggap sebagai wira umat Islam, malah terdapat yang menggelarnya sebagai Imam Mahdi (perkara ini berlaku antaranya disebabkan kaedah penyebaran berita yang perlahan pada waktu dahulu, berbanding sekarang yang jauh lebih pantas).

Namun, hakikatnya kejatuhan sistem khilafah telah mendatangkan banyak mafsadah dan porak peranda dalam kalangan umat Islam. Tanpa disedari, ‘dekhilafahisasi’ yang didokong oleh sebahagian umat Islam pada era tersebut ternyata merugikan umat Islam sendiri terutamanya generasi beberapa dekad selepas itu.

Justeru, saya memberi penekanan bahawa umat Islam mesti belajar sesuatu yang tersirat dalam peristiwa perbalahan antara ahli sains dan gereja di atas. Jangan hanya memandang dari satu sisi sahaja. Bersikap teliti dan kritikallah dalam berfikir. Kita mesti berfikir untuk jangka masa yang panjang demi kemaslahatan generasi umat akan datang.

Walau bagaimanapun, saya tetap mempersilakan anda mencabar persepsi saya ini.

Bersambung...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP