Tuesday, 23 February 2010

Maulid Yang Lahabisme: Muhasabah

Nabi Muhammad saw diutuskan oleh Allah swt sebagai penyampai khabar gembira dan pemberi amaran kepada seluruh manusia. Khabar gembira tentang agama Islam sebagai agama yang memberi kesejahteraan, ganjaran pahala di sisi Allah dan hadiah yang tidak ternilai di akhirat kelak. Adapun amaran berbentuk ancaman buat mereka yang menentang ajaran Islam, dosa dan azab kubur di samping kedahsyatan azab yang akan ditimpakan kepada golongan yang ingkar pada hari kiamat nanti.

Prinsip basyiran (khabar gembira) dan nadziran (pemberi amaran) ini memberi natijah rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk sekalian alam). Keadilan Islam mengatasi segala-galanya. Manusia, langit dan bumi, haiwan dan semua makhluk menerima tempias rahmat kerasulan Muhammad saw sebagai penutup nabi-nabi. Kelahiran yang dinanti-nantikan.

Kelahiran yang dinanti-nanti

Sewaktu kelahiran baginda saw, pelbagai kejadian ajaib telah berlaku. Antaranya peristiwa keretakan istana Kerajaan Parsi yang kukuh dan teguh, terpadamnya api besar yang disembah oleh penganut agama Majusi dan kira-kira 50 hari sebelum itu, tentera bergajah dari Afrika pimpinan Abrahah yang mahu meruntuhkan Kaabah di Makkah telah diaibkan Allah swt menerusi tentera-Nya yang digelar burung Ababil.
Allah swt mendedahkan peristiwa ini dalam surah al Fiil:

“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentara bergajah?Bukankah dia Telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka'bah) itu sia-sia?Dan dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong, Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”

Di samping itu, para ulama menyatakan pada malam kelahiran nabi saw, kaum-kaum Yahudi yang terdiri daripada Yahudi Bani Nadhir, Bani Qainuqa’, bani Quraizhah dan kaum yang lain telah menyambut penuh kegembiraan kelahiran baginda saw apabila mereka melihat keadaan bintang di langit. Hal ini demikian kerana golongan Ahli Kitab mengetahui tanda-tanda kelahiran baginda saw menerusi kitab-kitab yang telah dikurniakan kepada mereka.

Firman Allah: “Orang-orang yang telah kami berikan Kitab kepadanya, mereka mengenalnya (Muhammad) seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Orang-orang yang merugikan dirinya, mereka itu tidak beriman (kepada Allah).” (al An’am : 20)

Alangkah gembiranya Abu Lahab


Di samping itu, para sejarahwan Islam mencatatkan bahawa antara manusia yang gembira dengan kelahiran baginda saw tidak lain dan tidak bukan ialah bapa saudara baginda saw sendiri iaitu Abu Lahab. Diriwayatkan, semasa insan bernama Muhammad bin Abdullah dilahirkan, Abu Lahab telah membebaskan seorang hamba yang bernama Thuwaibah dan mengorbankan unta-untanya untuk dijamu secara percuma kepada penduduk Makkah pada waktu itu. Alangkah gembiranya Abu Lahab menyambut kelahiran anak saudaranya yang disayangi.

Namun begitu, setelah nabi Muhammad saw menyampaikan risalah baginda sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Allah swt, didapati bahawa antara watak antagonis yang paling melampau ialah Abu Lahab. Masakan tidak, Muhammad saw telah membawa ajaran baru yang berlawanan dengan ajaran nenek moyang mereka, Muhammad saw telah melarang untuk berlaku tidak adil terhadap kaum yang tertindas dan Muhammad saw juga telah berjaya menawan hati golongan berpengaruh di Makkah pada waktu itu seperti Abu Bakar, Hamzah, Uthman dan Abdur Rahman bin Auf.

Abu Lahab yang pada asalnya amat menyayangi nabi Muhammad saw telah bertindak curang dan mula menyerang baginda saw dan para pengikutnya. Insan yang disambut dalam satu majlis yang penuh berprestij telah dituduh gila, melampau dan berdusta. Malah, isteri Abu Lahab sendiri telah bersekongkol dengannya untuk melakukan fitnah dan menentang dakwah baginda saw. Sehidup semati. Akibat kejahatan yang bersangatan ini, maka Allah swt telah menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad saw melaknat Abu Lahab dan isterinya.

Firman Allah swt melaknat Abu Lahab : “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Yang di lehernya ada tali dari sabut.” (al Lahab : 1-5)

Begitulah akibat yang telah menimpa Abu Lahab meskipun satu ketika dahulu, Abu Lahablah manusia yang paling bergembira dengan kelahiran nabi saw. Namun, Allah tidak pernah melupakan bahawa dialah juga menjadi penentang yang paling kuat terhadap dakwah nabi saw. Abu Lahab sebagai antara orang kuat kerajaan Makkah pada waktu itu telah menggunakan seluruh jentera yang dimilikinya untuk memberi persepsi negatif kepada gerakan dakwah baginda saw. Muhammad melampau, Muhammad pembangkang dan pelbagai lagi gelaran dilemparkan.

‘Abu Lahabisme’ setelah 14 abad

Kita tidak pernah lupa kehinaan yang telah menimpa Abu Lahab dan isterinya. Tangan yang satu ketika dahulu girang menyambut kelahiran baginda saw kini telah dilaknat oleh Allah azza wajalla. Cuba kita tajamkan fikiran sejenak, agak-agaknya apakah sebabnya Allah swt mencatat khas peristiwa laknat yang menimpa Abu Lahab dan meletakkannya sebaris dengan watak-watak antagonis yang lain dalam al Quran?

Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah supaya manusia mengambil iktibar daripada peristiwa itu dan bersikap berhati-hati daripada perangai bobrok milik Abu Lahab. Umat Islam tidak sewajarnya beretorik dengan menyambut kelahiran baginda saw dan dalam masa yang sama menentang keras ajaran yang diturunkan oleh Allah.

“Kami Sayang Rasulullah SAW.”

“Rasulullah, Qudwah Hasanah Sepanjang zaman.”

“Kami Cintakanmu Wahai Nabi Allah!”

Kata-kata di atas adalah antara ucapan yang kerap ditonjolkan menerusi kain-kain rentang dan seterusnya dibawa untuk perarakan. Mereka sanggup berhujan, berpanas dan berjalan jauh atas alasan menyambut kelahiran baginda saw. Orang-orang besar membuat sambutan dengan lebih meriah lagi. Peserta-peserta yang dijemput dijamu dengan juadah yang enak-enak dan program-program diatur khas sebagai simbolik cinta yang teramat kepada baginda saw.

Amat menyedihkan apabila dalam masa yang sama, kedapatan dari kalangan mereka yang bertindak liar terhadap generasi pewaris perjuangan nabi saw pada hari ini. Sungguh ironi tatkala kita mengenangkan program-program yang telah diatur untuk menyambut maulidur rasul hilang sekelip mata di sebalik perwatakan persis insan bernama Abu Lahab.

Abu Lahab vs Abu Talib

Abu Talib juga merupakan salah seorang bapa saudara nabi Muhammad saw. Meskipun beliau tidak memeluk agama Islam, tetapi beliau sentiasa menyokong tindakan yang dilakukan oleh nabi saw. Apabila Muhammad saw dihina, Abu Taliblah yang menjadi pembela. Semasa Muhammad saw dicerca, Abu Talib memainkan peranan sebagai penjaga. Beliau tidak pernah menyakiti baginda saw.

Abu Talib dan Abu Lahab merupakan individu yang berbeza. Walaupun akidah mereka sama tetapi akhlak mereka berbeza. Seorang sebagai penentang, seorang lagi pula sebagai pembela. Jauhilah daripada sifat tercela Abu Lahab, malulah kita dengan si Abu Talib.

Read more...

Thursday, 18 February 2010

Mengenai Tarbiah: Awwaluddin Ma'rifatus siayasah?

Dalam penulisan pada kali ini, saya ingin berbicara mengenai satu perkara yang sangat penting dan signifikan dalam meneruskan ranjau hidup ini iaitu tarbiah. Saya tidak mahu bercakap mengenai kepentingan tarbiah kerana saya meyakini sekiranya ditanya adakah tarbiah itu penting, maka tiada sesiapa yang dapat menyangkal tentang kepentingannya dalam kehidupan kita. Semua mengetahui bahawa tarbiah itu mengajar kita untuk mengenali Allah, mengenali diri kita sebagai muslim, mengajar kita bahawa agama ini bukan hanya di masjid-masjid tetapi agama ini berperanan di mana-mana. Tarbiah juga mengajar kita untuk membuat kebajikan sesama manusia dan berjuang untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Tarbiah juga mendidik kita supaya beradab sama ada ketika sedang berada di atas atau di bawah di samping menjernihkan minda kita supaya dapat mengenali Islam secara tepat bukannya ikutan semata-mata.

Menjuzuk-juzukkan tarbiah


Ciri-ciri yang wajib ada pada tarbiah itu ialah ciri-ciri yang ada pada Islam. Justeru, tarbiah itu bersifat rabbaniyyah, syumuliyyah, waqieyyah dan sebagainya. Tiada pemisahan pada mana-mana elemen pada tarbiah kerana tarbiah berasal daripada Islam. Sebagaimana seorang bayi yang keluar dari rahim ibunya, maka bayi tersebut memiliki ciri-ciri manusia seperti yang terdapat pada ibunya. Begitu juga dengan tarbiah.

Disebabkan tarbiah itu bersifat syumul ataupun holistik, sudah pasti tarbiah itu merangkumi semua aspek dan tiada yang terkecuali. Lalu, para ulama mengajar kita bahawa wujudnya tarbiah ruhiyyah, jasadiyyah, akliah, harakiyyah, siasiyyah, askariyyah dan lain-lain lagi. Setiap muslim tidak dibenarkan mengambil bentuk tarbiah yang digemarinya sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain kerana tindakan tersebut seolah-olah telah menafikan sifat syumul yang wujud pada tarbiah.

Disebabkan terdapat segelintir yang hanya mengambil tarbiah ruhiyyah, maka mereka telah bertalak tiga dengan urusan dunia yang lain. Malah Imam Hasan al Banna sendiri telah berhadapan dengan kumpulan sufi yang tidak mengendahkan urusan kaum muslimin di Mesir pada satu ketika dahulu. Lalu beliau membetulkan salah faham tersebut dengan menggerakkan pertubuhan Ikhwanul Muslimin.

Manakala disebabkan wujudnya segelintir yang hanya memberi penekanan dalam soal akliah, maka kedapatan ramai profesor-profesor, cendikiawan-cendikiawan dan cerdik pandai yang sekadar berteori di bilik-bilk mereka. Mereka langsung tiada masa untuk bersama dengan umat Islam yang lain di arena realiti dan praktikal.

Tarbiah yang diperkenalkan Islam tidaklah begitu sifatnya. Ia tidak boleh dijuzuk-juzukkan sewenang-wenangnya kerana akibatnya sangat berbahaya dan memudaratkan semua pihak.

Oleh yang demikian, ruhiyyah, akliah, harakiyyah, siayiyyah, jasadiyyah dan beberapa lagi mestilah diintegrasikan supaya kesannya benar-benar berkesan.

Mana-mana pihak yang hanya berkenan dengan ruhiyyah ataupun akliah semata-mata dan dalam masa yang sama menolak harakiyyah dan siyasiyyah merupakan puak yang rugi dan merugikan. Begitu juga dengan pihak yang hanya berkenan dengan harakiyyah dan siasiyyah semata-mata tetapi menolak ruhiyyah dan akliah. Mereka juga termasuk golongan yang rugi dan merugikan.

Awwaluddin, ma'rifatus siyasah?


Terdapat ulama yang menyatakan bahawa awal agama itu mengenali Allah (awwaluddin ma'rifatullah). Oleh sebab itu, kita dapat melihat banyak ayat al QUran sejak surah al Fatihah sehingga surah an Naas mengajar manusia mengenali tuhannya dengan lebih dekat. Lalu, kita deperkenalkan oleh ALlah dengan nama-nama-Nya yang indah beserta sifat kesempurnaan yang dimiliki-Nya.

Lantaran pengenalan yang dimulakan oleh Allah dan ditambah lagi dengan ajaran daripada nabi saw, maka kita telah membentuk paradigma yang bersumberkan wahyu dan seterusnya bertindak selaku seorang pendokong ajaran Allah. Semuanya disebabkan kita menghayati bahawa permulaan agama itu ialah mengenali Allah. Ini juga yang diberi penekanan oleh tarbiah Islamiah. Inilah tasawwurnya yang paling teras.

Namun begitu, suasana pada hari ini agak berlawanan apabila seolah-olah kedapatan segelintir manusia yang karam dalam dunia pergerakan dan politik tanpa kefahaman yang telus dan sebenar-benarnya telah menukar teori ini kepada awwaluddin ma'rifatus siyasah, awal agama itu ialah mengenali politik.

Akibatnya, lahir politikus-politikus dan manusia haraki yang tidak menjaga hubungan dengan Allah, tidak memelihara keberkatan dalam pergerakan dan organisasi dan mereka juga hanya melihat sunnatullah semata-mata, tiada lagi syariatullah. Begitulah kata-kata saya kepada Zunnur dan Safwan tempoh hari.

Lompat parti angkara kesilapan tarbiah


Saya pernah menyatakan kepada rakan-rakan saya yang lain bahawa antara sebab utama berlakunya lompat parti dalam Parti Keadilan Rakyat ialah kerana masalah tarbiah dalam parti tersebut.

Saya tidak memfokuskan kepada tarbiah ruhiyyah, kerana PKR sememangnya sebuah badan yang plural-liberal dan ciri rabbaniyyah tersangat kabur pada parti tersebut. Apa yang saya maksudkan ialah mengenai flow ataupun step-step dalam tarbiah.

Tarbiah Islamiah bermula dengan taarif, takwin dan seterusnya tanfiz. Sebenarnya itu juga step dalam tarbiah 'isme-isme' seperti komunisme dan nasionalisme. Mereka mempunyai proses-proses yang tertentu. Tetapi tidak pada PKR.

Kebanyakan yang berada dalam PKR berasal dari kumpulan dan parti yang lain dan tanpa mengikut step yang khusus, mereka terus menjadi pelaksana (tanfiz). Lalu akibatnya sebagaimana yang kita lihat iaitu tragedi lompat parti yang istikamah. Justeru, tradisi step dan flow dalam tarbiah Islamiyyah ini mestilah dipertahankan oleh semua pihak.

Ingatilah kata-kata salah seorang pendokong Ikhwanul Muslimin, "tarbiah itu bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiah."
Sekadar itu perkongsian saya, sekadar menghilangkan stres berada dalam fatrah peperiksaan. Sekian.

Read more...

Monday, 15 February 2010

Kritikan Terhadap Sistem Peperiksaan !

Saya selalu berkongsi dengan rakan-rakan saya mengenai perasaan saya yang tidak senang dengan sistem peperiksaan ataupun lebih dikenali sebagai exam oriented. Ia merujuk kepada tabiat sesetengah pihak yang menjadikan exam ataupun peperiksaan sebagai orientasi kepada banyak perkara. Sistem peperiksaan menjadi benchmark rapuh terhadap beberapa nilai besar seperti daya kepemimpinan, intelektual dan kejayaan. Saya bukannya memusuhi sistem peperiksaan tetapi saya bermusuh dengan manusia yang berkiblatkan sistem peperiksaan semata-mata sehingga menjadi rabun dengan elemen-elemen yang lain.

Pelajar yang membunuh karier dan potensi diri

Bagi pelajar yang memberi ketaatan penuh terhadap sistem peperiksaan tanpa mencari unsur luar dalam usaha 'menjadi manusia', maka mereka sebenarnya sedang merancang satu pembunuhan yang sungguh menyayat hati. Mereka telah membunuh potensi diri yang dimiliki, nilai intelektual dan dalam masa yang sama mereka telah mengeruhkan masa depan mereka.

Kebiasaannya, pelajar yang berorientasikan peperiksaan semata-mata akan memandang enteng terhadap beberapa nilai tambah luaran seperti aktiviti sosial, pengajian ilmu di luar kelas, kegiatan persatuan dan sebagainya. Mereka seakan-akan optimis dengan pencapaian yang dimiliki dalam peperiksaan sahaja dan menganggap kegiatan luar hanyalan la'iibun wa lahwun (permainan dan kelalaian). Benarkah begitu?

Sebelum berbincang dengan lebih jauh lagi, saya mengajak anda membaca dengan teliti beberapa fakta di bawah:

- Lebih 50% CEO kepada 500 anak syarikat Fortune (sebuah syarikat yang terkenal) sering mendapat C semasa di kolej.

- 65% daripada seluruh ahli senat Amerika adalah mereka yang sering mendapat kelas pertengahan dan ke bawah ketika di sekolah.

- 75% daripada Presiden-presiden Amerika mempunyai rekod akademik yang buruk.

- Lebih 50% usahawan jutawan tidak menamatkan pengajian di universiti.

Jadi, apa pandangan anda setelah membaca fakta di atas? Saya bukannya mahu melebih-lebihkan Amerika, sebaliknya cuma mahu mengambil contoh sebagai pengajaran buat semua pihak mengenai beberapa perkara. Ternyata sistem peperiksaan bukanlah segala-galanya. Sistem peperiksaan hanya akan melahirkan robot-robot yang akan berkhidmat dengan kapitalis-kapitalis haloba di luar sana. Kebanyakan daripada mereka tidak berupaya berfikir di luar daripada orbit hafalan dan pengetahuan yang hanya berorientasikan peperiksaan. Saya bukan pula ingin memberi kefahaman bahawa kita mestilah menempah kegagalan di alam pengajian untuk mendapat kejayaan. Sekadar pendedahan yang signifikan dengan topic kita pada kali ini.

Sudah berapa banyak individu yang terpaksa menggadaikan potensi diri lantaran kekangan system pendidikan yang berbuahkan exam oriented ini? Seseorang pelajar yang sepatutnya diasah untuk menjadi mahir dalam sesuatu bidang terpaksa merendamkan sedalam-dalamnya potensi yang dimilikinya dan kemudiannya keluar dari alam pengajian dan seterusnya menjadi hamba kepada para kapitalis yang terdapat di luar sana. Dalam masa yang sama, hal ini telah menyebabkan Islam gagal melahirkan penganutnya yang fuqaha’ (tenaga mahir/expert) dalam bidang yang diceburi sebaliknya umat Islam hanya kaya dengan penghafal nota-nota menjelang peperiksaan.

Perbuatan membunuh intelektual

“Budaya peperiksaan dalam sistem pendidikan negara telah menggantikan budaya ilmu.Para pelajar memang giat belajar tetapi kebanyakannya bukan untuk memahami dan mencungkil makna daripada apa yang dipelajari tetapi untuk menghafalnya cukup untuk masa dua tiga minggu tempoh peperiksaan .Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan terbesar murid-murid tidak ingat lagi perkara-perkara yang gigih dipelajarinya sebaik sahaja peperiksaan tamat.Para guru pula memang giat mengajar tetapi penumpuannya lebih kepada untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan mencapai kecemerlangan peperiksaan.”

Demikian kata-kata daripada Prof. Wan Mohd Nor yang merupakan salah seorang pemerhati, pengkaji dan pejuang pendidikan di tanah air. Pandangan beliau sungguh tajam dan menarik untuk dihayati sama ada bagi pihak pelajar ataupun guru.

Pada hemat saya, sistem pendidikan sedikit sebanyak telah membunuh intelektual para pelajar dan guru. Mereka hanya berbincang dan mentadabbur maklumat-maklumat yang berada dalam sukatan/silibus sahaja, tidak lebih daripada itu. Kadang-kadang apabila sistem peperiksaan berganding dengan pihak pentadbiran yang terlalu obses dengan GPA/CGPA semata-mata, menyebabkan mereka seolah-olah diktator yang mengawal semua aktiviti pelajar. Segalanya mesti dikawal, kalau tidak tunggulah nasibnya!
Pelajar-pelajar dilarang mengadakan program-program tertentu, bahan-bahan bacaan mestilah dihadkan dan pelajar hanyalah budak hingusan, jangan melawan cakap guru (sikap melawan cakap guru telah disalah tafsir)! Demikian antara beberapa bentuk contoh sikap terlalu berkiblatkan kepada exam oriented.

Dalam masa yang sama, wujud gejala memperlekeh minda dan pandangan anak muda seolah-olah anak muda hanyalah istana pasir yang boleh diperlaku sesuka hati . Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah membicarakan gejala memperlekeh orang muda sebagaimana berikut:

Gejala memperlekeh orang muda muncul dalam beberapa bentuk.

Pertama, orang muda dilemparkan dengan kata-kata kesat dan sindiran. Contoh yang berlaku di sekolah ialah, "saya tak peduli awak siapa", "budak kampung", "saya tarik balik restu saya sebagai guru", "saya makan kasut kalau awak lulus" dan "awak berdoalah sajalah".

Contoh di universiti ialah, "mahasiswa tidak matang", "mahasiswa masih berhingus", "belum lulus universiti dah nak cakap pasal politik", "sudut pidato pasti berkubur", "awak siapa nak berhujah dengan saya? Saya profesor" dan "aku pegawai, atau engkau pegawai?"

Contoh dalam gerakan belia pula ialah, "awak pemimpin masa depan, sekarang ni jangan campur urusan kepimpinan", "kalau bukan wakil rakyat tak mampu memimpin persatuan belia" dan "idealisme tahi kucing".

Buat segelintir pihak tertentu yang mahu mengawal intelektual dan minda anak muda, cukuplah saya katakana bahawa anda mungkin boleh mengawal beberapa aktiviti pelajar/anak muda tetapi anda tidak akan berupaya mengawal citra dan jiwa mereka! Cederakanlah fizikal mereka semahu anda, tapi anda pasti tidak mampu mencedera minda dan jiwa mereka!

Balik-balik, golongan Barat juga jadi contoh


Eton college yang merupakan milik golongan Barat mungkin boleh jadi contoh untuk diteladani. Eton College tidak terkenal sebagai sebuah institusi pendidikan yang melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai keputusan yang tinggi dalam setiap ujian akademik yang diadakan. Tetapi ada sesuatu yang istimewa di pusat pendidikan yang terletak di United Kingdom ini dan antaranya ialah galakan untuk beraktiviti di kampus. Untuk makluman, Eton College telah berjaya mencetak 18 Perdana Menteri untuk negara Britain dan Abhisit yang menjadi Perdana Menteri berusia muda di negara Thailand juga berasal dari Eton. Ini tidak termasuk lagi dengan figur-figur hebat lain yang turut dicetak Eton College. Eton College merupakan "the chief nurse of England's statesmen" dan menjadi terkenal di seantero dunia.

Inilah yang terjadi apabila sesuatu umat dan bangsa berada di pihak yang lemah. Ia akan menjadikan bangsa yang kuat dan ke hadapan sebagai contoh dan pihak Barat merupakan kumpulan yang berjaya pada hari ini jika kita melihat dengan mata kasar. Sebaliknya pandangan mata hati umat beriman tetap meyakini bahawa keagungan dan ketinggian itu milik Islam semata-mata.

Jika satu ketika dahulu, umat Barat menjadikan Islam sebagai contoh lantaran kehebat mereka dari pelbagai aspek termasuk dari segi pendidikan. Sebagai contoh sewaktu pemerintahan kerajaan Islam Ummayyah di Sepanyol di bawa pimpinan Abdul Rahman III satu ketika dahulu. Terdapat perutusan daripada Raja Inggeris yang memohon Abdul Rahman III supaya membenarkan empat orang rakyat England belajar di Perpustakaan Cordoba. Malahan, tercatat bahawa raja Inggeris itu mengakhiri dengan kata-kata: “Daripada pembantumu yang sentiasan mentaati, Raja England.”

Begitulah roda hidup yang sentiasa berputar mengikut sunnatullah (ketetapan Allah).

Konklusi dan muhasabah

Akan tetapi, saya tetap tidak menafikan bahawa terdapat banyak kelebihan yang dapat diambil menerusi system peperiksaan ini. Antaranya ialah menggalakkan pelajar untuk bertambah serius dalam akademik, memberi informasi kepada pelajar mengenai reputasi terkini mereka menerusi keputusan yang diperoleh dansistem peperiksaan berperanan sebagai pengimbang antara aktiviti kehidupan yang lain dan aktiviti akademik. Saya berdoa semoga saya juga termasuk dalam kalangan yang mendapat manfaat daripada system peperiksaan dan dijauhkan daripada menjadi mangsa sembelihan system ini.

Hayatilah kata-kata daripada Abul A’la al Maududi yang sungguh menusuk ke hati:

"'Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.

Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."

Sekian,
MarBu.

Read more...

Saturday, 13 February 2010

Isu Pendidikan: Masanya Memugar Institusi Guru/Pensyarah

Baru-baru ini, saya sempat berdiskusi dengan tiga orang sahabat saya dari Sekretriat Pendidikan Islam Nasional (SPIN) iaitu Naqiu (Presiden), Saifuddin (Unit Penyelidikan dan Pembangunan) dan Mohamad. Kami sempat berbincang secara ringkas berkenaan beberapa isu pendidikan di negara Malaysia dan mencari solusi yang bertenaga dan bergaya. Saya berhasrat berkongsi dua point untuk tontonan dan bacaan anda semua. Point-point yang lain akan disampaikan pada waktu yang lain insyaAllah.

Pertama, ditimbulkan persoalan mengapa isu ini menjadi terlalu asing dan seolah-olah telah ditalak tiga oleh kebanyakan anak muda dan orang tua pada hari ini berbanding isu-isu seperti hal ehwal politik dan hiburan. Kami bersepakat bahawa isu ini terpinggir disebabkan sifat akademik yang wujud padanya di samping agak payah untuk disensasikan terhadap massa khususnya anak muda (termasuk ‘mahasiswa jurubicara ummah’ retorika!). Kalaupun isu ini mendapat tempat di hati kebanyakan anak muda sebagaimana yang berlaku dengan isu PPSMI, kebanyakannya menyokong disebabkan elemen politik dan ‘keindahan berdemonstrasi’.

Bukannya disebabkan mereka membaca buku ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ karangan al Attas yang memberi penekanan mengenai kaitan antara bahasa dan agama, bukan juga kerana mereka menghayati sejarah pemerkosaan bahasa dan agama yang berlaku sejak tanah Melayu dijajah oleh ‘orang putih berhidung mancung’ hingga diteruskan ‘orang putih berhidung belang’, malahan bukan juga kerana mereka memahami bahawa merogol bahasa merupakan kunci kepada merogol agama. Apa yang mereka faham hanyalah “mari kita turun ke jalan raya melawan pasukan FRU!”

Alamatnya, kami terpaksa berfikir jalan lain untuk menarik perhatian semua pihak khususnya mahasiswa supaya mereka berasa penting untuk memperjuangkan system pendidikan Islam yang sedang dinodai ini. Bahawa angkara pencabulan system inilah yang menyebabkan membiaknya generasi yang buta agama dan maruah, rumahtangga yang sering bertelagah, masyarakat yang punah ranah lantas menyebabkan pemimpin atasan bernafsu binatang buas.

Kami juga mesti mencari jalan untuk menyatakan kepada semua pihak bahawa Imam al Ghazali, Abdul Qadir Jailani, Syeikh Muhammad Abduh, Hasan al Banna, Prof Naquib al Attas, al Qaradawi dan banyak lagi merupakan antara golongan yang berhempas pulas ingin merejuvenasi system pendidikan dalam kalangan umat Islam. Muhammad Abduh, Hasan al Banna, al Qaradawi, Abu Bakar Baqir dan Dr Burhanuddin Helmy bukan sahaja berbicara mengenai politik dan daulah, malah mereka merupakan pejuang isu pendidikan. Mereka juga mesti memahami bahawa intelektualisme dan aktivisme mesti berjalan seiring bukannya terpisah.

Semua pihak mesti meyakini bahawa masalah-masalah seperti kes mencuri, couple, vandalisme, hedonism dan sebagainya merupakan present problem/issue yang wajib ditangani secara bersungguh-sungguh dan berterusan. Adapun real problem/issue kepada semua masalah ialah kebobrokan system pendidikan yang masih belum diatasi dengan bersungguh-sungguh. Justeru, dalam kita melakukan kerja dakwah untuk menyelesaikan present problem, kita mesti mendalami, mengkritik dan memberi cadangan/idea untuk membaiki real problem.

Jangan khuatir sekiranya anda masih gagal menangkap beberapa topic asas dalam isu system pendidikan kerana itulah sifat ilmu. Mesti berusaha dan tiada jalan pintas (shortcut).

Kedua, saya meneruskan diskusi dengan memberikan pendapat bahawa buat masa ini, kita tidak perlu terlalu bersusah payah untuk mendesak pihak kerajaan merejuvenasi ataupun menukar system pendidikan di negara ini immediately kerana hal ini dijangka akan mengambil masa yang agak lama.

Sebaliknya saya berpandangan institusi perguruan/pensyarah/tenaga pengajar mesti dipugar segera kerana mereka mempunyai saham yang besar dalam jatuh bangun pelajar dalam negara ini. Jika para guru/pensyarah dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebagai pengajar (muallim), pendidik (murabbi), pengajar adab (muaddib) dan pendakwah (daie) secara serentak, maka sedikit sebanyak masalah besar kemiskinan kefahaman Islam dalam kalangan pelajar akan dapat diatasi. Adapun fenomena yang kita biasa lihat dalam kalangan guru ialah mereka hanya melakukan tugas sebagai pemindah ilmu (transform) daripada dirinya kepada anak muridnya. Itu sahaja. Terlalu banyak wujud guru yang tidak mempunyai kesedaran dakwah dan tarbiah dan memahami secara serius bahawa mereka merupakan arkitek manusia yang sangat signifikan. Inilah juga jawapan yang saya berikan apabila saya ditanya oleh salah seorang pelatih sebuah institusi perguruan di Bangi.

Justeru, pihak kerajaan mesti membaiki dan menambah baik modul dan bahan di institusi-institusi perguruan di samping seseorang guru itu sendiri wajib menghayati tugas sebagai seorang muallim, murabbi, muaddib dan daie. Ia bukannya hanya seorang guru. Kalau di Darul Quran (DQ), seorang pensyarah tasmik itu bukan sahaja mendengar bacaan dan hafazan anak muridnya, tetapi ia mestilah memainkan peranan sebagai seorang murabbi, muaddib dan daie. Saya selalu berkata kepada rakan saya di DQ, “kalaulah setiap pensyarah tasmik memainkan peranan sebagai murabbi, paling kurang 10 minit sahaja, lama kelamaan masalah pelajar akan berkurangan.”

Saya berkata demikian kerana mempercayai bahawa sentuhan seorang guru sangat ajaib dan berkat. Malanglah sekiranya seoraang guru/pensyarah/tenaga pengajar hanya berminat menghabiskan silibus pengajian anak-anak murid mereka tanpa menyelitkan (secara berteruskan) tanggungjawab sebagai murabbi. Tiada gunanya jika system pendidikan berubah, tetapi guru masih lagi bertindak sebagai pemindah ilmu semata-mata. Saya mencadangkan anada membaca buku ‘Pendidikan Rabbani’ tulisan Dr Sidek Baba yang telah menghurai secara tuntas mengenai isu ini.

Tahniah saya ucapkan kepada PERKEMAT DQ kerana sedang berusaha memberi cadangan kepada Jabatan al Quran melalui pensyarah-pensyarah tasmik supaya bertindak sebagai murabbi/muaddib/daie/muallim dalam usaha meningkatkan keberkesanan system didikan di DQ.

Kursus-kursus perguruan, kem-kem dan sebagainya juga mesti dipugar. Kursus-kursus bukan hanya sebagai medan perbincangan bagaimana mahu meningkatkan pelajar dan sekolah yang mampu mendapat banyak ‘A’, tetapi persoalan mengenai tanggungjawab guru sebagai daie, murabbi dan muaddib juga wajar disentuh. System exam oriented hanya akan melahirkan robotic-robotik yang gagal menyelesaikan masalah yang di luar orbit hafalan mereka. Malah system ini jugalah yang menjadi pemangkin kepada kelahiran ‘penjenayah kolar putih’.

Sekian.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP