Monday, 15 February 2010

Kritikan Terhadap Sistem Peperiksaan !

Saya selalu berkongsi dengan rakan-rakan saya mengenai perasaan saya yang tidak senang dengan sistem peperiksaan ataupun lebih dikenali sebagai exam oriented. Ia merujuk kepada tabiat sesetengah pihak yang menjadikan exam ataupun peperiksaan sebagai orientasi kepada banyak perkara. Sistem peperiksaan menjadi benchmark rapuh terhadap beberapa nilai besar seperti daya kepemimpinan, intelektual dan kejayaan. Saya bukannya memusuhi sistem peperiksaan tetapi saya bermusuh dengan manusia yang berkiblatkan sistem peperiksaan semata-mata sehingga menjadi rabun dengan elemen-elemen yang lain.

Pelajar yang membunuh karier dan potensi diri

Bagi pelajar yang memberi ketaatan penuh terhadap sistem peperiksaan tanpa mencari unsur luar dalam usaha 'menjadi manusia', maka mereka sebenarnya sedang merancang satu pembunuhan yang sungguh menyayat hati. Mereka telah membunuh potensi diri yang dimiliki, nilai intelektual dan dalam masa yang sama mereka telah mengeruhkan masa depan mereka.

Kebiasaannya, pelajar yang berorientasikan peperiksaan semata-mata akan memandang enteng terhadap beberapa nilai tambah luaran seperti aktiviti sosial, pengajian ilmu di luar kelas, kegiatan persatuan dan sebagainya. Mereka seakan-akan optimis dengan pencapaian yang dimiliki dalam peperiksaan sahaja dan menganggap kegiatan luar hanyalan la'iibun wa lahwun (permainan dan kelalaian). Benarkah begitu?

Sebelum berbincang dengan lebih jauh lagi, saya mengajak anda membaca dengan teliti beberapa fakta di bawah:

- Lebih 50% CEO kepada 500 anak syarikat Fortune (sebuah syarikat yang terkenal) sering mendapat C semasa di kolej.

- 65% daripada seluruh ahli senat Amerika adalah mereka yang sering mendapat kelas pertengahan dan ke bawah ketika di sekolah.

- 75% daripada Presiden-presiden Amerika mempunyai rekod akademik yang buruk.

- Lebih 50% usahawan jutawan tidak menamatkan pengajian di universiti.

Jadi, apa pandangan anda setelah membaca fakta di atas? Saya bukannya mahu melebih-lebihkan Amerika, sebaliknya cuma mahu mengambil contoh sebagai pengajaran buat semua pihak mengenai beberapa perkara. Ternyata sistem peperiksaan bukanlah segala-galanya. Sistem peperiksaan hanya akan melahirkan robot-robot yang akan berkhidmat dengan kapitalis-kapitalis haloba di luar sana. Kebanyakan daripada mereka tidak berupaya berfikir di luar daripada orbit hafalan dan pengetahuan yang hanya berorientasikan peperiksaan. Saya bukan pula ingin memberi kefahaman bahawa kita mestilah menempah kegagalan di alam pengajian untuk mendapat kejayaan. Sekadar pendedahan yang signifikan dengan topic kita pada kali ini.

Sudah berapa banyak individu yang terpaksa menggadaikan potensi diri lantaran kekangan system pendidikan yang berbuahkan exam oriented ini? Seseorang pelajar yang sepatutnya diasah untuk menjadi mahir dalam sesuatu bidang terpaksa merendamkan sedalam-dalamnya potensi yang dimilikinya dan kemudiannya keluar dari alam pengajian dan seterusnya menjadi hamba kepada para kapitalis yang terdapat di luar sana. Dalam masa yang sama, hal ini telah menyebabkan Islam gagal melahirkan penganutnya yang fuqaha’ (tenaga mahir/expert) dalam bidang yang diceburi sebaliknya umat Islam hanya kaya dengan penghafal nota-nota menjelang peperiksaan.

Perbuatan membunuh intelektual

“Budaya peperiksaan dalam sistem pendidikan negara telah menggantikan budaya ilmu.Para pelajar memang giat belajar tetapi kebanyakannya bukan untuk memahami dan mencungkil makna daripada apa yang dipelajari tetapi untuk menghafalnya cukup untuk masa dua tiga minggu tempoh peperiksaan .Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan terbesar murid-murid tidak ingat lagi perkara-perkara yang gigih dipelajarinya sebaik sahaja peperiksaan tamat.Para guru pula memang giat mengajar tetapi penumpuannya lebih kepada untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan mencapai kecemerlangan peperiksaan.”

Demikian kata-kata daripada Prof. Wan Mohd Nor yang merupakan salah seorang pemerhati, pengkaji dan pejuang pendidikan di tanah air. Pandangan beliau sungguh tajam dan menarik untuk dihayati sama ada bagi pihak pelajar ataupun guru.

Pada hemat saya, sistem pendidikan sedikit sebanyak telah membunuh intelektual para pelajar dan guru. Mereka hanya berbincang dan mentadabbur maklumat-maklumat yang berada dalam sukatan/silibus sahaja, tidak lebih daripada itu. Kadang-kadang apabila sistem peperiksaan berganding dengan pihak pentadbiran yang terlalu obses dengan GPA/CGPA semata-mata, menyebabkan mereka seolah-olah diktator yang mengawal semua aktiviti pelajar. Segalanya mesti dikawal, kalau tidak tunggulah nasibnya!
Pelajar-pelajar dilarang mengadakan program-program tertentu, bahan-bahan bacaan mestilah dihadkan dan pelajar hanyalah budak hingusan, jangan melawan cakap guru (sikap melawan cakap guru telah disalah tafsir)! Demikian antara beberapa bentuk contoh sikap terlalu berkiblatkan kepada exam oriented.

Dalam masa yang sama, wujud gejala memperlekeh minda dan pandangan anak muda seolah-olah anak muda hanyalah istana pasir yang boleh diperlaku sesuka hati . Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah membicarakan gejala memperlekeh orang muda sebagaimana berikut:

Gejala memperlekeh orang muda muncul dalam beberapa bentuk.

Pertama, orang muda dilemparkan dengan kata-kata kesat dan sindiran. Contoh yang berlaku di sekolah ialah, "saya tak peduli awak siapa", "budak kampung", "saya tarik balik restu saya sebagai guru", "saya makan kasut kalau awak lulus" dan "awak berdoalah sajalah".

Contoh di universiti ialah, "mahasiswa tidak matang", "mahasiswa masih berhingus", "belum lulus universiti dah nak cakap pasal politik", "sudut pidato pasti berkubur", "awak siapa nak berhujah dengan saya? Saya profesor" dan "aku pegawai, atau engkau pegawai?"

Contoh dalam gerakan belia pula ialah, "awak pemimpin masa depan, sekarang ni jangan campur urusan kepimpinan", "kalau bukan wakil rakyat tak mampu memimpin persatuan belia" dan "idealisme tahi kucing".

Buat segelintir pihak tertentu yang mahu mengawal intelektual dan minda anak muda, cukuplah saya katakana bahawa anda mungkin boleh mengawal beberapa aktiviti pelajar/anak muda tetapi anda tidak akan berupaya mengawal citra dan jiwa mereka! Cederakanlah fizikal mereka semahu anda, tapi anda pasti tidak mampu mencedera minda dan jiwa mereka!

Balik-balik, golongan Barat juga jadi contoh


Eton college yang merupakan milik golongan Barat mungkin boleh jadi contoh untuk diteladani. Eton College tidak terkenal sebagai sebuah institusi pendidikan yang melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai keputusan yang tinggi dalam setiap ujian akademik yang diadakan. Tetapi ada sesuatu yang istimewa di pusat pendidikan yang terletak di United Kingdom ini dan antaranya ialah galakan untuk beraktiviti di kampus. Untuk makluman, Eton College telah berjaya mencetak 18 Perdana Menteri untuk negara Britain dan Abhisit yang menjadi Perdana Menteri berusia muda di negara Thailand juga berasal dari Eton. Ini tidak termasuk lagi dengan figur-figur hebat lain yang turut dicetak Eton College. Eton College merupakan "the chief nurse of England's statesmen" dan menjadi terkenal di seantero dunia.

Inilah yang terjadi apabila sesuatu umat dan bangsa berada di pihak yang lemah. Ia akan menjadikan bangsa yang kuat dan ke hadapan sebagai contoh dan pihak Barat merupakan kumpulan yang berjaya pada hari ini jika kita melihat dengan mata kasar. Sebaliknya pandangan mata hati umat beriman tetap meyakini bahawa keagungan dan ketinggian itu milik Islam semata-mata.

Jika satu ketika dahulu, umat Barat menjadikan Islam sebagai contoh lantaran kehebat mereka dari pelbagai aspek termasuk dari segi pendidikan. Sebagai contoh sewaktu pemerintahan kerajaan Islam Ummayyah di Sepanyol di bawa pimpinan Abdul Rahman III satu ketika dahulu. Terdapat perutusan daripada Raja Inggeris yang memohon Abdul Rahman III supaya membenarkan empat orang rakyat England belajar di Perpustakaan Cordoba. Malahan, tercatat bahawa raja Inggeris itu mengakhiri dengan kata-kata: “Daripada pembantumu yang sentiasan mentaati, Raja England.”

Begitulah roda hidup yang sentiasa berputar mengikut sunnatullah (ketetapan Allah).

Konklusi dan muhasabah

Akan tetapi, saya tetap tidak menafikan bahawa terdapat banyak kelebihan yang dapat diambil menerusi system peperiksaan ini. Antaranya ialah menggalakkan pelajar untuk bertambah serius dalam akademik, memberi informasi kepada pelajar mengenai reputasi terkini mereka menerusi keputusan yang diperoleh dansistem peperiksaan berperanan sebagai pengimbang antara aktiviti kehidupan yang lain dan aktiviti akademik. Saya berdoa semoga saya juga termasuk dalam kalangan yang mendapat manfaat daripada system peperiksaan dan dijauhkan daripada menjadi mangsa sembelihan system ini.

Hayatilah kata-kata daripada Abul A’la al Maududi yang sungguh menusuk ke hati:

"'Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.

Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."

Sekian,
MarBu.

6 comments:

Anonymous,  15 February 2010 at 11:47  

Tahniah atas sentuhan kritis ustaz.semoga terus thabat pd kebenaran.

Anonymous,  15 February 2010 at 13:51  

ana x paham,,
kalau sistem y x exam oriented tu macamamana plak..bleh bagi contoh?

Marwan Bukhari 15 February 2010 at 20:29  

sila baca dgn teliti.. ana bnyak mengkritik manusia yg menjadi hamba kepada sistem peperiksaan sama ad pelajar atau guru.. mereka tidak menganggap bahawa sistem peperiksaan hanyalah alat, bukan segala-galanya..

sharemotivasi 15 February 2010 at 23:33  

salam.tertarik dengan artikel nie..ana dah perasan lama tentang hal nie sbb pengalaman ana dr skola SBP..semua pentadbiran mahukan CGPA yang tinggi untuk mendapat ranking yang tertinggi tanpa memikirkan potensi student..tamat je exam, smua dah lupa apa yang cikgu ajar sbb student mmg dilatih untuk skor dlm exam tapi bukan skor dalam kehidupan..

-dr.elisha- 16 February 2010 at 10:02  

Assalamu'alaikum..mabruk 'alaik! Post ni mengingatkan saya supaya tak terlalu exam-oriented..thanx.

Raisul Fadhla Bin Safiruddin 28 February 2010 at 00:38  

Assalamu alaikum.

Afwab, sebab baru sempat baca dan bagi comment.

Jika dihubungkan dengan aspek IQ, EQ dan SQ, maka exam oriented sekedar memenuhi keprluan IQ.

Selalunya orang berjaya lebih disebabkan oleh kecemerlangan EQ-nya berbanding IQ-nya sebagaimana yang penulis contohkan pada tulisan di atas.

Namun, alangkah baiknya sekiranya ketiga aspek di atas boleh dipadukan secara holistik. Dan begitulah pendidikan dan tarbiyah islamiyah yang sepatutnya.

Wallahu ta'ala a'lam.

Wassalamu alaikum.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP