Tuesday, 23 February 2010

Maulid Yang Lahabisme: Muhasabah

Nabi Muhammad saw diutuskan oleh Allah swt sebagai penyampai khabar gembira dan pemberi amaran kepada seluruh manusia. Khabar gembira tentang agama Islam sebagai agama yang memberi kesejahteraan, ganjaran pahala di sisi Allah dan hadiah yang tidak ternilai di akhirat kelak. Adapun amaran berbentuk ancaman buat mereka yang menentang ajaran Islam, dosa dan azab kubur di samping kedahsyatan azab yang akan ditimpakan kepada golongan yang ingkar pada hari kiamat nanti.

Prinsip basyiran (khabar gembira) dan nadziran (pemberi amaran) ini memberi natijah rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk sekalian alam). Keadilan Islam mengatasi segala-galanya. Manusia, langit dan bumi, haiwan dan semua makhluk menerima tempias rahmat kerasulan Muhammad saw sebagai penutup nabi-nabi. Kelahiran yang dinanti-nantikan.

Kelahiran yang dinanti-nanti

Sewaktu kelahiran baginda saw, pelbagai kejadian ajaib telah berlaku. Antaranya peristiwa keretakan istana Kerajaan Parsi yang kukuh dan teguh, terpadamnya api besar yang disembah oleh penganut agama Majusi dan kira-kira 50 hari sebelum itu, tentera bergajah dari Afrika pimpinan Abrahah yang mahu meruntuhkan Kaabah di Makkah telah diaibkan Allah swt menerusi tentera-Nya yang digelar burung Ababil.
Allah swt mendedahkan peristiwa ini dalam surah al Fiil:

“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentara bergajah?Bukankah dia Telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka'bah) itu sia-sia?Dan dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong, Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”

Di samping itu, para ulama menyatakan pada malam kelahiran nabi saw, kaum-kaum Yahudi yang terdiri daripada Yahudi Bani Nadhir, Bani Qainuqa’, bani Quraizhah dan kaum yang lain telah menyambut penuh kegembiraan kelahiran baginda saw apabila mereka melihat keadaan bintang di langit. Hal ini demikian kerana golongan Ahli Kitab mengetahui tanda-tanda kelahiran baginda saw menerusi kitab-kitab yang telah dikurniakan kepada mereka.

Firman Allah: “Orang-orang yang telah kami berikan Kitab kepadanya, mereka mengenalnya (Muhammad) seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Orang-orang yang merugikan dirinya, mereka itu tidak beriman (kepada Allah).” (al An’am : 20)

Alangkah gembiranya Abu Lahab


Di samping itu, para sejarahwan Islam mencatatkan bahawa antara manusia yang gembira dengan kelahiran baginda saw tidak lain dan tidak bukan ialah bapa saudara baginda saw sendiri iaitu Abu Lahab. Diriwayatkan, semasa insan bernama Muhammad bin Abdullah dilahirkan, Abu Lahab telah membebaskan seorang hamba yang bernama Thuwaibah dan mengorbankan unta-untanya untuk dijamu secara percuma kepada penduduk Makkah pada waktu itu. Alangkah gembiranya Abu Lahab menyambut kelahiran anak saudaranya yang disayangi.

Namun begitu, setelah nabi Muhammad saw menyampaikan risalah baginda sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Allah swt, didapati bahawa antara watak antagonis yang paling melampau ialah Abu Lahab. Masakan tidak, Muhammad saw telah membawa ajaran baru yang berlawanan dengan ajaran nenek moyang mereka, Muhammad saw telah melarang untuk berlaku tidak adil terhadap kaum yang tertindas dan Muhammad saw juga telah berjaya menawan hati golongan berpengaruh di Makkah pada waktu itu seperti Abu Bakar, Hamzah, Uthman dan Abdur Rahman bin Auf.

Abu Lahab yang pada asalnya amat menyayangi nabi Muhammad saw telah bertindak curang dan mula menyerang baginda saw dan para pengikutnya. Insan yang disambut dalam satu majlis yang penuh berprestij telah dituduh gila, melampau dan berdusta. Malah, isteri Abu Lahab sendiri telah bersekongkol dengannya untuk melakukan fitnah dan menentang dakwah baginda saw. Sehidup semati. Akibat kejahatan yang bersangatan ini, maka Allah swt telah menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad saw melaknat Abu Lahab dan isterinya.

Firman Allah swt melaknat Abu Lahab : “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Yang di lehernya ada tali dari sabut.” (al Lahab : 1-5)

Begitulah akibat yang telah menimpa Abu Lahab meskipun satu ketika dahulu, Abu Lahablah manusia yang paling bergembira dengan kelahiran nabi saw. Namun, Allah tidak pernah melupakan bahawa dialah juga menjadi penentang yang paling kuat terhadap dakwah nabi saw. Abu Lahab sebagai antara orang kuat kerajaan Makkah pada waktu itu telah menggunakan seluruh jentera yang dimilikinya untuk memberi persepsi negatif kepada gerakan dakwah baginda saw. Muhammad melampau, Muhammad pembangkang dan pelbagai lagi gelaran dilemparkan.

‘Abu Lahabisme’ setelah 14 abad

Kita tidak pernah lupa kehinaan yang telah menimpa Abu Lahab dan isterinya. Tangan yang satu ketika dahulu girang menyambut kelahiran baginda saw kini telah dilaknat oleh Allah azza wajalla. Cuba kita tajamkan fikiran sejenak, agak-agaknya apakah sebabnya Allah swt mencatat khas peristiwa laknat yang menimpa Abu Lahab dan meletakkannya sebaris dengan watak-watak antagonis yang lain dalam al Quran?

Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah supaya manusia mengambil iktibar daripada peristiwa itu dan bersikap berhati-hati daripada perangai bobrok milik Abu Lahab. Umat Islam tidak sewajarnya beretorik dengan menyambut kelahiran baginda saw dan dalam masa yang sama menentang keras ajaran yang diturunkan oleh Allah.

“Kami Sayang Rasulullah SAW.”

“Rasulullah, Qudwah Hasanah Sepanjang zaman.”

“Kami Cintakanmu Wahai Nabi Allah!”

Kata-kata di atas adalah antara ucapan yang kerap ditonjolkan menerusi kain-kain rentang dan seterusnya dibawa untuk perarakan. Mereka sanggup berhujan, berpanas dan berjalan jauh atas alasan menyambut kelahiran baginda saw. Orang-orang besar membuat sambutan dengan lebih meriah lagi. Peserta-peserta yang dijemput dijamu dengan juadah yang enak-enak dan program-program diatur khas sebagai simbolik cinta yang teramat kepada baginda saw.

Amat menyedihkan apabila dalam masa yang sama, kedapatan dari kalangan mereka yang bertindak liar terhadap generasi pewaris perjuangan nabi saw pada hari ini. Sungguh ironi tatkala kita mengenangkan program-program yang telah diatur untuk menyambut maulidur rasul hilang sekelip mata di sebalik perwatakan persis insan bernama Abu Lahab.

Abu Lahab vs Abu Talib

Abu Talib juga merupakan salah seorang bapa saudara nabi Muhammad saw. Meskipun beliau tidak memeluk agama Islam, tetapi beliau sentiasa menyokong tindakan yang dilakukan oleh nabi saw. Apabila Muhammad saw dihina, Abu Taliblah yang menjadi pembela. Semasa Muhammad saw dicerca, Abu Talib memainkan peranan sebagai penjaga. Beliau tidak pernah menyakiti baginda saw.

Abu Talib dan Abu Lahab merupakan individu yang berbeza. Walaupun akidah mereka sama tetapi akhlak mereka berbeza. Seorang sebagai penentang, seorang lagi pula sebagai pembela. Jauhilah daripada sifat tercela Abu Lahab, malulah kita dengan si Abu Talib.

2 comments:

naima_surflife 24 February 2010 at 00:15  

syukran..begitu terkesan..

Anonymous,  18 March 2013 at 15:14  

Terima kasih.

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP