Sunday, 28 March 2010

Ya, Kita Lewat Matang!

Dulu-dulu umat Islam awal kematangan mereka. Keberanian dan kehebatan Usamah bin Zaid dan Abdullah bin Zubair yang sungguh mengujakan. Anas bin Malik dan Ibnu Abbas yang amat intelijen dan genius bergiat di medan intelektual. Saidina Ali pula sungguh berani memperjudikan batang tubuhnya semasa peristiwa hijrah. Tidak dilupakan Muhammad al Fatih yang matang awal, lantas memberikan persembahan terbaik terhadap perjuangan Islam. Tidak ketinggalan Imam Hasan al Banna yang sudah mengidamkan terdirinya khilafah Islam menggantikan Uthmaniyyah ketika baru 20-an. Banyak lagi nama-nama yang tidak termuat untuk disebut di ruangan ini.

Umat Islam akhir-akhir ini terlewat matang, sebab itulah kita lewat merangkul kemenangan. Ya, kita lewat matang! Lihat sahaja waktu yang kita peruntukkan untuk beribadah berbanding berhibur. Lihat sahaja sifat kita yang lebih suka menasihat daripada dinasihat. Lihat sahaja kebanggaan kita dengan Islam berbanding kesukaan kita terhadap nilai-nilai selain Islam. Kita lebih suka berborak kosong daripada membincangkan masalah umat. Orang Amerika membaca kira-kira dua buah buku dalam seminggu, tapi kita yang lewat matang sangat miskin dari sudut pembacaan. Penggerak-penggerak perjuangan kita lebih sukakan bahan bacaan politik, mengumpat pimpinan dan meninggalkan solat berjemaah daripada aktiviti keilmuan, bersangka baik dengan pimpinan dan menghadiri masjid.

Perhatikan diri kita yang masih menyalahkan Kamal at Taturk atas kejatuhan Khilafah, padahal kita beribu kali bersalah daripada Kamal (Kamal juga matang awal, sebelum usia 20 tahun sudah bergerak untuk menghancurkan Islam). Kita juga masih menyalahkan Amerika yang menindas umat Islam tanpa bermuhasabah diri. Mudah cerita, semua salah orang, bukannya diri kita. Sungguh, kita lewat matang, maka kita terus kecundang. Saya katakan, pergilah kamu terjun ke lautan hai orang-orang yang lewat matang kerana dirimu membantutkan kemenangan Islam. Kata-kata itu sungguh mengesankan, lalu saya ucapkan kepada diri.. "disebabkan diriku lewat matang, maka aku wajib bertaubat dan menangis.."

Saya berhenti di sini, saya tidak mahu mengulas panjang kerana saya mahu mencari kematangan generasi terdahulu. Saya mahu menjadi seperti mereka. Doakan saya bertambah matang.

Sekian,
MarBu

Read more...

Saturday, 27 March 2010

Harimau, Kenapa Merendah Diri?

Di sebuah kampung yang dihuni kambing-kambing, terdapat seekor anak harimau yang terpisah dari ibunya sejak kecil. Di alam kambing, anak harimau itu langsung tidak mengetahui susur galur salasilah dirinya. Anak harimau yang bernama Caliph itu hidup dengan harmoni bersama-sama kambing yang lain. Sebagaimana kambing-kambing di kampung tersebut, Caliph memakan rumput, menyusu dengan ibu kambing dan mengembek. Tidak pernah sekalipun didengari auman Caliph seolah-olah ia bisu mengaum.

Adapun kambing-kambing yang lain tidak pernah menceritakan kepada Caliph bahawa ia bukanlah dari komuniti mereka. Disebabkan takut Caliph mengetahui kekuatan yang dimilikinya sebagai seekor harimau, kambing-kambing tersebut terus bermesra dengan Caliph dan tidak memberi peluang kepada Caliph untuk bertemu dengan spesies harimau yang sebenar.

Sehinggalah pada suatu hari, Caliph menyertai kumpulan kambing ke satu kolam untuk meminum air. Sewaktu sedang meminum air, tiba-tiba Caliph terperasan bahawa terdapat perbezaan yang jelas antara dirinya dengan kambing yang lain. Apabila diamati dengan lebih teliti, Caliph mendapati ia memiliki kuku yang tajam, taring, bertubuh sasa dan berwajah garang. Sungguh paradoks antara dirinya dengan kambing-kambing yang lain.

Menyedari hakikat itu, Caliph berasa sungguh sedih dan menganggap dirinya cacat. Caliph menganggap perbezaan yang dimilikinya sebagai kekurangan dan satu keadaan yang sungguh memalukan, bukannya satu kelebihan dan kekuatan yang mesti dibanggakan. Lalu Caliph berusaha untuk menjadi kambing sejati dengan terus meniru gaya hidup kambing-kambing yang lain.

Tetapi lama kelamaan, tahulah Caliph bahawa ia bukannya berasal dari komuniti kambing. Caliph bertambah sedar bahawa tubuhnya yang sasa, kukunya yang tajam, taring dan wajahnya yang garang merupakan senjata dan aset yang sungguh bernilai. Namun, alangkah malangnya apabila Caliph tidak tahu bagaimana menggunakan senjata tersebut.

*Kisah di atas saya petik dan edit daripada satu ucapan Ahmad Azam Abdul Rahman (mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ) sewaktu dalam satu muktamar tahunan ABIM pada 1999 iaitu kira-kira 10 tahun.
...................................................................................................................................................................

Tokoh pemikir terkenal dalam bidang ketamadunan, Ibnu Khaldun pernah menyebut;

“ Bangsa yang lemah akan sentiasa meniru bangsa yang kuat dalam pelbagai segi.”

Kitalah Caliph, anak harimau dalam kisah di atas. Setelah bangunan khilafah dimusnahkan oleh puak Kuffar pada 1924, kita seakan-akan tidak mengetahui kemuliaan dan asal-usul kita. Kita berasa sungguh malu untuk bangkit dengan peraturan dan prinsip yang telah ditentukan oleh agama kita. Sebaliknya, kita beriya-iya mahu meniru idea global dan pembangunan yang dilancarkan oleh pihak Barat. Kita ditipu dan terus tertipu.

Kita berasa kecewa apabila kita gagal menggapai kemajuan sebagaimana Barat. Kita sedih apabila menyedari kita tidak akan menjadi seperti Barat. Lalu kita cuba meniru Barat dari pelbagai segi dan bergaya hidupkan seperti diajar oleh Barat.

Akhirnya, kita menyedari bahawa kita tidak akan maju sekiranya kita hanya meniru Barat, sebaliknya kita akan dihina oleh Allah disebabkan fi’il kita yang menggantikan petunjuk dengan kesesatan yang dipromosikan oleh Barat. Allah telah memberitahu kepada kita bahawa kita mempunyai kekuatan dan senjata yang cukup ampuh di samping menyatakan bahawa puak dan juak dari kuffar cukup lemah, kekuatan mereka hanyalah seperti sarang labah-labah. Kita menganggukkan kepala sebagai tanda faham. Tetapi malangnya, kita tidak tahu bagaimana cara menggunakan kekuatan dan senjata yang kita miliki.

Akibatnya, kita sering bermusuh-musuhan. Ya, kita akui yang mereka (kuffar) jahat kerana telah memfaraidkan bumi islam kepada boneka-boneka mereka. Tapi, takkan kita terlalu lemah? Di mana kekuatan kita? Siapa boleh memberikan saya jawapan?

Ibnu Khaldun telah memberikan jawapan;

“Apabila cukup ramuan untuk sesuatu bangsa itu bangun, tiada sesiapa yang dapat menghalangnya.”

Kudengar,
suara harimau mengembek,
benarkah?
atau aku yang silap?
ya, aku silap!
mana mungkin itu suara harimau,
bukankah harimau itu mengaum,
menggerunkan makhluk sekeliling.

Kulihat,
harimau itu tiada belang,
benarkah?
atau aku yang silap?
ya, aku silap!
pelik, jika harimau tanpa belang,
kerna tiada belang ibarat telanjang.

Kutengok,
harimau itu hilang taringnya
benarkah?
atau aku yang silap?
ya, aku silap!
mana mungkin harimau tiada taring,
taring itu tanda perkasanya.

Kupandang, kuperhati, kurenung
bukan sekali,
bahkan berkali-kali,

dan aku silap,
aku silap kerna fikir aku silap,
hakikatnya aku tidak silap,
cuma pandanganku malap,
mencari beza antara benar dan perangkap.

Harimau itu berubah sikap,
apa yang lebih telah disentap,
maka berbakilah harimau yang hilang mantap.

Tidak mengaum, tiada belang, tanpa taring.

~harimau, mengaumlah!! Kurayu...~


p/s: artikel ini pernah disiarkan, diulang siar atas sebab kesesuaian pada penilaian MarBu.

Read more...

Tuesday, 23 March 2010

Di manakah Engkau Orang Muda?-Sabda Akhir Orang Tua


Basah kuyup janggut orang tua itu
Dek air mata yang meluncur laju berlari
Mengenai baju yang tak berjenama miliknya
Sungguh syahdu tangisannya
Hingga air mata pun simpati dan sebak melihatnya

Janggut orang tua itu putih beruban
Bersambung dengan misai dan rambut yang juga beruban
Keningnya makin membongkok mencecah mata yang sudah usang
Sebongkok jasadnya yang tak pernah kenal apa itu rehat, apa itu enak
Tongkat cengal menjadi kaki ketiganya, ke hulu ke hilir mendamba bahagia

Garis panjang menjadi tamu tegar di dahinya
Barangkali kerana tiap-tiap detik mindanya berlari dan berfikir
Matanya cekung menghitam, tidak cukup tidur agaknya
Bibirnya terkumat-kamit mengucap doa dan menasihati si penguasa zalim
Suaranya makin serak, ke selatan dan utara berdakwah tanpa lelah

Orang tua itu berkata dengan penuh sayu
Di manakah dirimu hai orang muda?
Sambil mengesat keringat di wajahnya yang penuh kedutan
Mengulang pertanyaan semalam tanpa bosan
Di manakah dirimu hai orang muda?

Kejap hai orang tua, biarku menjenguk di mana mereka
Aku menjenguk di masjid dan surau… seorang dua sahaja
Aku mencari di taman-taman ilmu.. tiga empat orang sahaja
Aku mencari lagi, sehingga ternampak kelibat mereka di konsert-konsert.. ramainya
Di pasar-pasar besar, panggung-panggung wayang, pusat-pusat hiburan.. betulkah itu mereka?
Juga di IPT-IPT, mereka sedang sibuk mengejar CGPA dan keputusan yang perkasa.. perkasakah mereka?

Orang tua itu bersuara lagi, kini suaranya makin melemah
Persis seorang ayah yang nazak sedang berwasiat akhir
Ia mengurut-urut dadanya, mencuba mengungkap sebaris kata
“Orang muda, aku sudah hampir kehabisan nyawa
Sudah tiada tenaga,” huk..huk..huk (batuk-batuk)

“Orang muda usahlah lalai dan leka
Jangan dirimu tua sebelum usiamu tua
Teruskan perjuangan ini hai anak muda
Orang tua sepertiku sudah tak punya upaya
Menanggung beban yang maha berat di pundak”

Huk..huk..huk..
Orang tua itu terbatuk lagi
Perlahan-lahan ia memejamkan mata
Mengakhiri hidup dengan kalimah mulia
Kalimah yang ia bermati-matian kerananya

Orang tua sudah pergi meninggalkan kita
Hai orang muda, di manakah kamu?
Aku mengulang-ulang sabda akhir orang tua yang sudah tak bernyawa

MarBu,
16:17 pm,
Selasa / 23 Mac 2010

Read more...

Friday, 12 March 2010

Kritikan Sebagai Rakan Karib

Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah menyatakan bahawa sekiranya di Kelantan Parti Islam Se-Malaysia ditakdirkan berjaya menawan keseluruhan negeri itu tanpa seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional sebagai pembangkang, maka beliau berpandangan sewajarnya diupah beberapa orang untuk menjadi pembangkang di negeri itu. Inilah pandangan seorang ulama haraki dan futuristik (memandang jauh ke hadapan) yang memahami bahawa kritikan merupakan teman rapat bagi seseorang, sesebuah organisasi dan persatuan dalam usaha memastikan potensi dan kejayaan sentiasa mekar. Kritikan yang konstruktif (membina) akan bertindak sebagai ‘check and balance’ buat sesebuah badan dan pertubuhan.

Otak brilliant tapi tawadhuk

Rasulullah saw menunjukkan peribadi mulia baginda dalam persoalan ini. Pernah satu ketika dalam peperangan Badar, baginda bersama-sama para sahabat yang lain menuju ke mata air badar untuk menguasai tempat tersebut. Mereka telah berhenti di kawasan yang paling dekat dengan kedudukan mereka, lalu Habbab bin Munzir radiallahu anhu bertanya adakah pemilihan tempat itu merupakan wahyu ataupun sekadar pandangan peribadi baginda saw. Setelah diketahui bahawa pemilihan lokasi tersebut hanyalah pendapat peribadi baginda saw, lalu Habbab menyatakan pandangannya dan strategi yang dicadangkan Habbab diterima oleh baginda saw dan secara automatik pandangan baginda saw terbatal.

Habbab mencadangkan supaya memilih kolam air yang paling dekat dengan tempat musuh sebagai markas dan dirosakkan kolam-kolam air yang lain supaya musuh terputus bekalan. Kita juga boleh melihat ketawadhukan Rasulullah saw mengutamakan pandangan dan komen daripada para sahabat yang lain seperti dalam peperangan Ahzab meskipun status baginda saw sebagai kekasih Allah swt. Rasulullah tidak memperlekeh sebarang cadangan yang dinyatakan oleh para sahabat baginda, sebaliknya baginda saw merendah diri meskipun baginda seorang Rasul yang menerima wahyu.

Saidina Umar al Khattab radiallahu anhu pernah ditegur oleh seorang perempuan dalam satu majlis ekoran pendapat Umar untuk mengurangkan nilai mahar perkahwinan bagi perempuan pada waktu itu. Lalu perempuan tersebut memberikan pandangannya sebaik sahaja Umar ra menghabiskan ucapan. Sebagai seorang khalifah yang berjiwa rakyat dan merendah diri, Umar naik semula ke mimbar dan memberitahu hadirin pada waktu itu bahawa perempuan itu benar dan beliau tersilap. Dari pandangan oposisi, perempuan itu menunjukkan keberaniannya memperjuangkan hak gender selagi tidak bertentangan dengan Islam walaupun sedang berdepan dengan seorang khalifah yang terkenal dengan kegarangannya.

Begitu juga apabila kita membelek sejarah Sultan Muhammad al Fatih yang telah berjaya menawan Kota Konstantinopel. Pernah pada suatu hari sewaktu Sultan Muhammad sedang bermesyuarat, kebetulan salah seorang pengawal bertaraf biasa turut berada di dalam bilik mesyuarat. Tiba-tiba pengawal itu berasa terpanggil untuk memberikan pendapat beliau dalam satu topik dan dengan penuh penghormatan Sultan Muhammad dan ahli mesyuarat yang lain menerima pandangan tersebut. Komunikasi yang horizontal dan vertikal.

Kedapatan segelintir golongan yang mendakwa bahawa mereka memahami Islam dan berhak untuk membetulkan apa yang salah pada al Quran dan sunnah Rasulullah saw. Lalu, mereka mendatangkan hujah dan kritikan terhadap Islam atas nama kebebasa bersuara dan memberi pandangan.

Sebagai misal kritikan tersebut ialah bidang tafsir al Quran mestilah dibebaskan daripada penguasaan golongan lelaki semata-mata, tuntutan persamaan hak antara gender, khilafah bukanlah satu tuntutan, hukum hakam dalam agama mestilah dirombak kerana zaman sudah berubah dan hadis bukanlah merupakan sumber hukum dalam Islam.

Antara mereka yang membuat kritikan tersebut ialah Syed Ali Akbar (pengkagum Mustafa Kamal at Taturk dan memusuhi khilafah), Kassim Ahmad, Nasr Abu Zayd, Hasan Hanafi dan ramai lagi.

Berpada-pada dalam mengkritik

Dalam kita teruja membuat kritikan-kritikan, jangan kita lupa untuk memahami adab-adabnya. Kedapatan banyak yang mengkritik dengan semberono sehinggakan melupakan jasa-jasa yang pernah dilakukan oleh insan mahupun organisasi yang dikritik.

Saya ingin memberi pesanan kepada sebilangan kecil yang responsif dan sensitif dengan apa yang berlaku supaya tidak terlalu tajam membuat kritikan sehinggakan seolah-olah mereka lebih mulia di medan perjuangan berbanding orang lain. Kita mestilah mendahulukan husnuz zhon sewaktu membuat kritikan bukannya su’uz zhon sebagaimana yang biasa dilakukan oleh sebilangan besar pada hari ini.

Apabila kita berada di bawah dan sedang mengkritik kelemahan pimpinan atasan, maka kita hendaklah menyimpan perasaan malu kerana sudah tentu para pimpinan mempunyai pengalaman yang jauh lebih baik dan banyak berbanding kita. Sementara apabila kita merupakan pihak atasan dan mahu mengkritik kelemahan orang yang berada di bawah, kita mestilah menyimpan perasaan merendah diri dengan kerja kuat yang telah dilakukan mereka berbanding sikap kita yang lebih kepada mengarah. Jangan kita mengkritik sesuatu perkara lantas mengangkat diri kita sebagai insan yang sempurna kerana itu merupakan sifat takabbur yang dibenci oleh Rasulullah saw.

Sabda baginda: “Takabbur itu ialah sesiapa yang menolak kebenaran dan memperlekeh manusia lain.”

Begitu juga dalam soal berjemaah dan berpersatuan. Janganlah kita saling menanam perasaan benci membenci antara satu sama lain kerana hal tersebut sangat dimurkai tuhan. Jangan pula kita mendakwa hanya kita yang betul dan memperjuangkan Islam sedangkan kumpulan lain hanyalah penyibuk dan tidak serius dalam berjuang. Lupakah kita dengan ayat ini?

“dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada sesiapa yang menyeru kepada Allah dan berbuat amal soleh dan ia berkata, seseungguhnya aku dari kalangan orang islam.”

Apabila kita berdiskusi, bermujadalah, berjuang ataupun berpolemik, jangan kita bersikap syok sendiri sehingga menyangka hanya kita yang berfikir masalah umat ataupun hanya kita yang melakukan gerak kerja Islam. Kita marah dengan kritikan pihak yang lain terhadap kita tetapi dalam masa yang sama sesetengah daripada kita menanam perasaan benci kepada pihak yang lain.

Belajar menerima kritikan

Namun begitu, jangan pula dek kerana kesungguhan menjaga adab-adab mengkritik, kita menjadi takut untuk memberi komentar dan kritikan yang oposisi. Teruskan mengkritik dan perbanyakkan kritikan yang membina kerana itulah yang terbaik dalam usaha menjahit beberapa koyakan pada diri sesorang ataupun pada batang tubuh sesebuah organisasi. Dalam masa yang sama, kita juga wajar bersedia menerima kritikan dan teguran daripada orang lain meskipun kadang-kadang kritikan itu sangat pedih
Nakib saya pernah berpesan: “apabila enta mengkritik, jangan lupa untuk mencatat supaya satu hari nanti enta tak lupa untuk membuat pembaharuan sebagaimana yang dimahukan.

Manakala antara pesanan popular apabila kita berbicara soal kritikan pula ialah: “apabila kita berada di bawah, banyak kritikan-kritikan yang kita nak bagi kepada orang yang berada di atas. Tapi, apabila kita berada di atas, barulah kita tahu betapa susahnya hendak melaksanakan apa yang kita kritik sebelum ini.”

Pada saya, kita pasti tidak akan termampu untuk merealitikan semua kritikan yang kita lontarkan sebelum ini. Namun itu bukan alasannya untuk kita tidak mengkritik, sekurang-kurangnya ada juga yang akan diambil perhatian oleh para pimpinan dan jangan kita lupa untuk mencuba untuk melaksanakan agenda perubahan apabila kita diberi peluang berada di posisi yang sesuai.

Mengkritiklah dalam keadaan kita berpuas hati, jangan membiasakan diri kita untuk mengkritik dalam keadaan kita tidak berpuas hati.


p/s: Artikel ini telah disiarkan sebelum ini dengan tajuk "Kritik!" sebagai respon terhadap isu Kerajaan Perpaduan yang sedang hangat pada waktu itu. Saya menyiarkan semula dengan sedikit nafas baru. Semoga mendapat manfaat.

Read more...

Monday, 8 March 2010

Menanti Turunnya Ababil

“Ketika aku melihatmu tadi, aku takjub dan segan kepadamu. Namun setelah mendengar permintaanmu ini, pandanganku terhadapmu sama sekali berubah. Engkau sama sekali tidak memiliki harga diri.”

Demikianlah kata-kata yang terpacul keluar dari mulut seorang insan yang telah tercatat namanya dalam lipatan sejarah iaitu Raja Abrahah bin Asyram yang telah memimpin satu gerakan ketenteraan dari Yaman untuk memusnahkah Kaabah di Mekah. Kata-kata yang cukup pedih itu telah ditujukan kepada seorang pemimpin masyarakat Mekah yang cukup disegani oleh kawan dan lawan satu ketika dahulu iaitu Abdul Muthalib.

Sebelum memasuki Mekah, Abrahah telah merampas kira-kira 200 ekor unta milik Abdul Muthalib. Setelah itu, Abrahah bersedia untuk melakukan serangan terhadap bumi Mekah. Tetapi, sebelum itu, beliau telah didatangi oleh Abdul Muthalib yang merupakan datuk kepada Rasulullah saw bertujuan untuk berunding dengan Abrahah. Abrahah menyambut Abdul Muthalib dengan penuh hormat lantaran perasaan segan dan takzim beliau terhadap Abdul Muthalib selaku pemimpin mekah yang berkarisma pada waktu itu.

Akan tetapi, setelah ditanya mengenai hajat kedatangan Abdul Muthalib tersebut, Abdul Muthalib telah menyatakan bahawa tujuan kedatangannya ialah untuk menuntut kembali 200 ekor untuk miliknya yang telah dirampas Abrahah. Lantas Abrahah menjadi terkejut dan beliau mengeluarkan kenyataan sepertimana di atas sebagai reaksi spontan terhadap tindakan Abrahah. Lalu, Abdul muthalib menjawab:

“Sesungguhnya aku ialah pemilik unta-unta itu sedangkan Bitullah itu milik tuhan dan pemiliknyalah yang akan melindunginya.”

Begitulah sikap pasif yang telah ditunjukkan oleh Abdul Muthalib selaku seorang pemimpin di Mekah pada satu ketika dahulu. Malah, sikap pasif dan tiada keyakinan diri itu juga dimiliki oleh penduduk mekah pada waktu itu apabila mereka telah bersembunyi di lereng-lereng bukit sekitar Mekah apabila Abrahah dan angkatan tenteranya telah memasuki Mekah dan ingin menghancurkan Kaabah.

Dengan kuasa Allah, Dia telah mengutuskan barisan tentera-Nya iaitu burung-burung Ababil yang membawa batu-batu yang berapi untuk menghadapi pasukan Abrahah. Peristiwa ini diceritakan dengan jelas oleh Allah swt di dalam al Quran.

“Tidakkah Engkau mengetahui Bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka Dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan. Yang melontar mereka Dengan batu-batu dari sejenis tanah Yang dibakar keras. Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.”
(al Fiil: 1-5)

Persoalannya, mengapakah pertolongan daripada Allah swt itu turun terhadap kaum yang pasif dan hanya menyerah diri tanpa persediaan sedikit pun? Jawapannya, begitulah sunnah Allah sebelum kelahiran nabi saw. Pertolongan Allah telah dikurniakan walaupun ke atas kaum yang hanya mengalah dan pasif dengan kekuatan musuh. Sunnatullah ini juga telah berlaku terhadap para nabi yang lain sebelum kelahiran nabi saw seperti kaum nabi Nuh yang dikalahkan dengan bencana banjir besar, kaum nabi Luth yang diterbalikkan bumi, kaum nabi-nabi yang lain yang telah berhadapan dengan kezaliman para penentang.

Kisah “tentera Abrahah” yang berjaya


Kalau kisah di atas begitu sebati dalam kalangan umat Islam dan kita mengetahui bahawa penghujungnya ialah penghinaan buat tentera musuh. Saya datangkan anda kisah yang kedua pula iaitu berkenaan peristiwa besar dalam sejarah umat Islam tetapi jarang dibicarakan oleh kebanyakan pihak. Peristiwa tersebut ialah tragedi berdarah di Tanah Haram pada 8 Zulhijjah 317 hijrah yang telah menyebabkan kekalahan kepada umat Islam pada zaman itu.

Tentera Qaramithah (salah satu mazhab Syiah yang paling biadap dan jahat) telah menyerang Masjidil Haram dan Kaabah selain membunuh umat Islam yang sedang dalam musim mengerjakan ibadat haji di Mekah. Mayat kaum Muslimin berselerakan di sekitar Kaabah. Bahkan angkatan tentera biadap ini juga telah mengeluarkan hajarul aswad dari tempatnya dan merampasnya selama kira-kira 22 tahun dan dalam jangka masa itu juga umat Islam telah bertawaf tanpa hajarul aswad.

Salah seorang tentera yang merampas hajarul aswad telah berdiri dan mengangkatnya ke lagit sambil berkata dengan penuh kekufuran: “Di mana burung-burung Ababil itu? Di mana batu-batu panas yang berasal dari tanah yang dibakar itu? Burung-burung Ababil tak kunjung turun dan batu-batu panas yang berasal dari tanah yang dibakar juga tidak dilemparkan.”

Kisah ini kurang popular dalam kalangan umat Islam sedangkan tragedi hitam itu merupakan antara peristiwa penting dalam kalendar umat Islam sepanjang zaman. Saya menukilkan kisah di atas sebagai respon kepada semua bahawa tiada lagi ‘Ababil’ untuk membantu kita memperjuangkan agama Allah ini kerana sunnatullah telah berubah setelah kedatangan Muhammad saw sebagai rasul akhir zaman.

Di manakah engkau hai Ababil?

Sewaktu Kerajaan Abbasiyyah di Baghdad telah diserang oleh tentera Monggol pada 1258, umat Islam telah dijatuhkan dengan penuh penghinaan dan maruah mereka telah dinodai meskipun Kerajaan Abbasiyyah merupakan pemimpin umat yang sangat digeruni sebelum itu. Tetapi, Ababil tetap tidak kunjung tiba, tiada lagi batu-batu panas untuk dilemparkan kepada musuh-musuh Allah. Ratusan ribu umat Islam telah dibunuh oleh tentera Monggol yang dipimpin Hulagu Khan.

Sebelum itu, sekitar 1096-1099 telah berlaku perang salib yang telah menyebabkan kekalahan menimpa umat Islam. Baitulmaqdis yang terdapat di dalamnya Masjidil Aqsa telah dirampas oleh pengganas Kristian. Umat Islam telah disembelih dan dihina sekalipun mereka merupakan umat pilihan (khaira ummah) mengatasi umat-umat yang lain. Namun begitu, status khaira ummah tidak menjadi syarat kepada umat Islam untuk dikirimkan Ababil supaya membantu perjuangan mereka menentang musuh. Umat Islam tetap tewas.

Pada 2 Januari 1492 pula, kubu terakhir umat Islam di Sepanyol iaitu Kerajaan Islam Granada telah diserahkan secara rasmi daripada Raja Abu Abdillah Muhammad 2 (pemerintah terakhir kerajaan Granada) kepada Raja Fernando dan Ratu Isabella yang mewakili kerajaan Kristian. Raja Abu Abdillah yang korupsi dan khianat telah membeli kemewahan dunia dan menyebabkan umat Islam pada waktu itu dihalau dari bumi Sepanyol selain menerima seksaan yang sangat dahsyat. Sebelum itu, beberapa wilayah Islam yang lain di bumi Sepanyol seperti Malaga, Cordoba dan Sevillia telah dirampas oleh tentera Kristian. sekali lagi timbul persoalan, di manakah Ababil yang pernah menjadi tentera Allah satu ketika dahulu?

Mengapa Ababil tidak turun mencabar keegoan tentera Portugis yang menawan Kesultanan Islam Melaka pada 1511? Begitu juga dengan tempat-tempat lain di mana umat Islam telah dizalimi sekejam-kejamnya. Di manakah engkau hai Ababil?

Menanti turunnya Ababil

Firman Allah swt dalam surah Muhammad, ayat 7:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Umat Islam wajib memahami dan menyedari bahawa mereka tidak lagi berada pada zaman Abrahah. Kita bukan lagi berada pada zaman kaum yang pasif dan hilang keyakinan diri mendapat nusrah (pertolongan) daripada Allah. Sebaliknya inilah zaman yang hanya mengkehendaki mereka yang mempunyai keimanan yang teguh, berjiwa besar, tidak berputus asa, kuat berusaha dan seterusnya bertawakal memohon pertolongan daripada Allah. Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, nescaya “sang Ababil” akan bersama-sama kita membantu agama Allah ini.

Inilah yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw, para sahabat dan pejuang-pejuang Islam yang terdahulu, lantas menyebabkan “Ababil” turun memenangkan mereka.

Dalam peperangan Badar di mana tentera Islam yang hanya berjumlah 313 dan tanpa alatan perang yang lengkap telah bertempur dengan tentera musuh yang bersenjata lengkap. Mereka tidak takut ataupun bersembunyi di rumah-rumah, sebaliknya mereka telah tampil berhadapan dengan tentera musuh dan akhirnya mendapat kemenangan. Antara tindakan yang diambil tentera Islam sebelum dibantu “Ababil” ialah memilih tempat yang strategik sebagai kubu, keberanian yang luar biasa, membawa senjata perang (walaupun tidak lengkap) dan doa kepada Allah. Mereka tidak sekadar berdoa tanpa sebarang usaha yang lain.

Begitu juga dalam peperangan Ahzab di mana Rasulullah saw telah memilih strategi yang terbaik (membuat parit), sanggup berlapar ketika proses meenggali parit, melakukan upacara baiah dan sumpah setia, kesatuan umat Islam,memiliki perisik yang hebat dan keazaman untuk menang selain berdoa kepada Allah al Aziz. Lantas umat Islam telah mendapat kemenangan dan pertolongan daripada Allah walaupun pakatan kuffar yang berjumlah 10000 orang berganda daripada jumlah tentera Islam sebanyak 3000 orang.

Faktor usaha yang berterusan, strategi yang mantap, kesatuan umat, keazaman yang tinggi dan pengharapan hanya kepada Allah juga merupakan sebab musabab yang membawa kepada kemenangan Islam dalam peperangan dan pertempuran yang lain. “Ababil” turun menunaikan tanggungjawabnya sebagaimana firman Allah dalam surah Muhammad, ayat ketujuh sebentar tadi. Perang Mu’tah, Yarmouk, Ain jalut (1260), Zallaqah (1086), Alarcos (1195), pembukaan Kota Baitulmaqdis (1187), Pembukaan Kota Konstatinopel (1453) dan lain-lain telah mencatatkan tinta emas untuk umat Islam walaupun tentera musuh kelihatan lebih bersedia dengan pelbagai senjata dan bilangan tentera yang berlipat kali ganda.

Hal ini bertepatan dengan kata-kata daripada Ibnu Khaldun dalam kitab Muqaddimah:

“Apabila cukup ramuan untuk sesuatu bangsa itu bangun, tiada sesiapa yang dapat menghalangnya.”

Berdasarkan penulisan di atas, kita pasti memahami dan menginsafi mengenai tanggungjawab dam tugas yang kita wajib laksanakan sebelum mendambakan pertolongan Allah. Ada syarat dan tindakan yang mesti dilakukan sebelum “Ababil” turun bersama-sama kita memperjuangkan Islam. Sikap pasif, mudah berputus asa, bermalas-malasan, inferiority complex, perpecahan dan tidak mentaati syariat Allah merupakan antara tembok yang menghalang kita daripada mendapat pertolongan daripada Allah. Sebaliknya, kita mesti menyediakan ‘umpan dan makanan’ yang digemari ‘Ababil’ supaya pakatan antara kita dan tentera Allah yang lain akan meletakkan Islam di tempat yang tertinggi sebagaimana yang layak. Yang pasti, kita wajib berubah!

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP