Friday, 12 March 2010

Kritikan Sebagai Rakan Karib

Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah menyatakan bahawa sekiranya di Kelantan Parti Islam Se-Malaysia ditakdirkan berjaya menawan keseluruhan negeri itu tanpa seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional sebagai pembangkang, maka beliau berpandangan sewajarnya diupah beberapa orang untuk menjadi pembangkang di negeri itu. Inilah pandangan seorang ulama haraki dan futuristik (memandang jauh ke hadapan) yang memahami bahawa kritikan merupakan teman rapat bagi seseorang, sesebuah organisasi dan persatuan dalam usaha memastikan potensi dan kejayaan sentiasa mekar. Kritikan yang konstruktif (membina) akan bertindak sebagai ‘check and balance’ buat sesebuah badan dan pertubuhan.

Otak brilliant tapi tawadhuk

Rasulullah saw menunjukkan peribadi mulia baginda dalam persoalan ini. Pernah satu ketika dalam peperangan Badar, baginda bersama-sama para sahabat yang lain menuju ke mata air badar untuk menguasai tempat tersebut. Mereka telah berhenti di kawasan yang paling dekat dengan kedudukan mereka, lalu Habbab bin Munzir radiallahu anhu bertanya adakah pemilihan tempat itu merupakan wahyu ataupun sekadar pandangan peribadi baginda saw. Setelah diketahui bahawa pemilihan lokasi tersebut hanyalah pendapat peribadi baginda saw, lalu Habbab menyatakan pandangannya dan strategi yang dicadangkan Habbab diterima oleh baginda saw dan secara automatik pandangan baginda saw terbatal.

Habbab mencadangkan supaya memilih kolam air yang paling dekat dengan tempat musuh sebagai markas dan dirosakkan kolam-kolam air yang lain supaya musuh terputus bekalan. Kita juga boleh melihat ketawadhukan Rasulullah saw mengutamakan pandangan dan komen daripada para sahabat yang lain seperti dalam peperangan Ahzab meskipun status baginda saw sebagai kekasih Allah swt. Rasulullah tidak memperlekeh sebarang cadangan yang dinyatakan oleh para sahabat baginda, sebaliknya baginda saw merendah diri meskipun baginda seorang Rasul yang menerima wahyu.

Saidina Umar al Khattab radiallahu anhu pernah ditegur oleh seorang perempuan dalam satu majlis ekoran pendapat Umar untuk mengurangkan nilai mahar perkahwinan bagi perempuan pada waktu itu. Lalu perempuan tersebut memberikan pandangannya sebaik sahaja Umar ra menghabiskan ucapan. Sebagai seorang khalifah yang berjiwa rakyat dan merendah diri, Umar naik semula ke mimbar dan memberitahu hadirin pada waktu itu bahawa perempuan itu benar dan beliau tersilap. Dari pandangan oposisi, perempuan itu menunjukkan keberaniannya memperjuangkan hak gender selagi tidak bertentangan dengan Islam walaupun sedang berdepan dengan seorang khalifah yang terkenal dengan kegarangannya.

Begitu juga apabila kita membelek sejarah Sultan Muhammad al Fatih yang telah berjaya menawan Kota Konstantinopel. Pernah pada suatu hari sewaktu Sultan Muhammad sedang bermesyuarat, kebetulan salah seorang pengawal bertaraf biasa turut berada di dalam bilik mesyuarat. Tiba-tiba pengawal itu berasa terpanggil untuk memberikan pendapat beliau dalam satu topik dan dengan penuh penghormatan Sultan Muhammad dan ahli mesyuarat yang lain menerima pandangan tersebut. Komunikasi yang horizontal dan vertikal.

Kedapatan segelintir golongan yang mendakwa bahawa mereka memahami Islam dan berhak untuk membetulkan apa yang salah pada al Quran dan sunnah Rasulullah saw. Lalu, mereka mendatangkan hujah dan kritikan terhadap Islam atas nama kebebasa bersuara dan memberi pandangan.

Sebagai misal kritikan tersebut ialah bidang tafsir al Quran mestilah dibebaskan daripada penguasaan golongan lelaki semata-mata, tuntutan persamaan hak antara gender, khilafah bukanlah satu tuntutan, hukum hakam dalam agama mestilah dirombak kerana zaman sudah berubah dan hadis bukanlah merupakan sumber hukum dalam Islam.

Antara mereka yang membuat kritikan tersebut ialah Syed Ali Akbar (pengkagum Mustafa Kamal at Taturk dan memusuhi khilafah), Kassim Ahmad, Nasr Abu Zayd, Hasan Hanafi dan ramai lagi.

Berpada-pada dalam mengkritik

Dalam kita teruja membuat kritikan-kritikan, jangan kita lupa untuk memahami adab-adabnya. Kedapatan banyak yang mengkritik dengan semberono sehinggakan melupakan jasa-jasa yang pernah dilakukan oleh insan mahupun organisasi yang dikritik.

Saya ingin memberi pesanan kepada sebilangan kecil yang responsif dan sensitif dengan apa yang berlaku supaya tidak terlalu tajam membuat kritikan sehinggakan seolah-olah mereka lebih mulia di medan perjuangan berbanding orang lain. Kita mestilah mendahulukan husnuz zhon sewaktu membuat kritikan bukannya su’uz zhon sebagaimana yang biasa dilakukan oleh sebilangan besar pada hari ini.

Apabila kita berada di bawah dan sedang mengkritik kelemahan pimpinan atasan, maka kita hendaklah menyimpan perasaan malu kerana sudah tentu para pimpinan mempunyai pengalaman yang jauh lebih baik dan banyak berbanding kita. Sementara apabila kita merupakan pihak atasan dan mahu mengkritik kelemahan orang yang berada di bawah, kita mestilah menyimpan perasaan merendah diri dengan kerja kuat yang telah dilakukan mereka berbanding sikap kita yang lebih kepada mengarah. Jangan kita mengkritik sesuatu perkara lantas mengangkat diri kita sebagai insan yang sempurna kerana itu merupakan sifat takabbur yang dibenci oleh Rasulullah saw.

Sabda baginda: “Takabbur itu ialah sesiapa yang menolak kebenaran dan memperlekeh manusia lain.”

Begitu juga dalam soal berjemaah dan berpersatuan. Janganlah kita saling menanam perasaan benci membenci antara satu sama lain kerana hal tersebut sangat dimurkai tuhan. Jangan pula kita mendakwa hanya kita yang betul dan memperjuangkan Islam sedangkan kumpulan lain hanyalah penyibuk dan tidak serius dalam berjuang. Lupakah kita dengan ayat ini?

“dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada sesiapa yang menyeru kepada Allah dan berbuat amal soleh dan ia berkata, seseungguhnya aku dari kalangan orang islam.”

Apabila kita berdiskusi, bermujadalah, berjuang ataupun berpolemik, jangan kita bersikap syok sendiri sehingga menyangka hanya kita yang berfikir masalah umat ataupun hanya kita yang melakukan gerak kerja Islam. Kita marah dengan kritikan pihak yang lain terhadap kita tetapi dalam masa yang sama sesetengah daripada kita menanam perasaan benci kepada pihak yang lain.

Belajar menerima kritikan

Namun begitu, jangan pula dek kerana kesungguhan menjaga adab-adab mengkritik, kita menjadi takut untuk memberi komentar dan kritikan yang oposisi. Teruskan mengkritik dan perbanyakkan kritikan yang membina kerana itulah yang terbaik dalam usaha menjahit beberapa koyakan pada diri sesorang ataupun pada batang tubuh sesebuah organisasi. Dalam masa yang sama, kita juga wajar bersedia menerima kritikan dan teguran daripada orang lain meskipun kadang-kadang kritikan itu sangat pedih
Nakib saya pernah berpesan: “apabila enta mengkritik, jangan lupa untuk mencatat supaya satu hari nanti enta tak lupa untuk membuat pembaharuan sebagaimana yang dimahukan.

Manakala antara pesanan popular apabila kita berbicara soal kritikan pula ialah: “apabila kita berada di bawah, banyak kritikan-kritikan yang kita nak bagi kepada orang yang berada di atas. Tapi, apabila kita berada di atas, barulah kita tahu betapa susahnya hendak melaksanakan apa yang kita kritik sebelum ini.”

Pada saya, kita pasti tidak akan termampu untuk merealitikan semua kritikan yang kita lontarkan sebelum ini. Namun itu bukan alasannya untuk kita tidak mengkritik, sekurang-kurangnya ada juga yang akan diambil perhatian oleh para pimpinan dan jangan kita lupa untuk mencuba untuk melaksanakan agenda perubahan apabila kita diberi peluang berada di posisi yang sesuai.

Mengkritiklah dalam keadaan kita berpuas hati, jangan membiasakan diri kita untuk mengkritik dalam keadaan kita tidak berpuas hati.


p/s: Artikel ini telah disiarkan sebelum ini dengan tajuk "Kritik!" sebagai respon terhadap isu Kerajaan Perpaduan yang sedang hangat pada waktu itu. Saya menyiarkan semula dengan sedikit nafas baru. Semoga mendapat manfaat.

1 comments:

MiztER MURTphalanx! 15 March 2010 at 18:44  

InsyaALLAH berfikir dgn akal berlandas wahyu... Kritikan membina diri dan komuniti

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP