Monday, 8 March 2010

Menanti Turunnya Ababil

“Ketika aku melihatmu tadi, aku takjub dan segan kepadamu. Namun setelah mendengar permintaanmu ini, pandanganku terhadapmu sama sekali berubah. Engkau sama sekali tidak memiliki harga diri.”

Demikianlah kata-kata yang terpacul keluar dari mulut seorang insan yang telah tercatat namanya dalam lipatan sejarah iaitu Raja Abrahah bin Asyram yang telah memimpin satu gerakan ketenteraan dari Yaman untuk memusnahkah Kaabah di Mekah. Kata-kata yang cukup pedih itu telah ditujukan kepada seorang pemimpin masyarakat Mekah yang cukup disegani oleh kawan dan lawan satu ketika dahulu iaitu Abdul Muthalib.

Sebelum memasuki Mekah, Abrahah telah merampas kira-kira 200 ekor unta milik Abdul Muthalib. Setelah itu, Abrahah bersedia untuk melakukan serangan terhadap bumi Mekah. Tetapi, sebelum itu, beliau telah didatangi oleh Abdul Muthalib yang merupakan datuk kepada Rasulullah saw bertujuan untuk berunding dengan Abrahah. Abrahah menyambut Abdul Muthalib dengan penuh hormat lantaran perasaan segan dan takzim beliau terhadap Abdul Muthalib selaku pemimpin mekah yang berkarisma pada waktu itu.

Akan tetapi, setelah ditanya mengenai hajat kedatangan Abdul Muthalib tersebut, Abdul Muthalib telah menyatakan bahawa tujuan kedatangannya ialah untuk menuntut kembali 200 ekor untuk miliknya yang telah dirampas Abrahah. Lantas Abrahah menjadi terkejut dan beliau mengeluarkan kenyataan sepertimana di atas sebagai reaksi spontan terhadap tindakan Abrahah. Lalu, Abdul muthalib menjawab:

“Sesungguhnya aku ialah pemilik unta-unta itu sedangkan Bitullah itu milik tuhan dan pemiliknyalah yang akan melindunginya.”

Begitulah sikap pasif yang telah ditunjukkan oleh Abdul Muthalib selaku seorang pemimpin di Mekah pada satu ketika dahulu. Malah, sikap pasif dan tiada keyakinan diri itu juga dimiliki oleh penduduk mekah pada waktu itu apabila mereka telah bersembunyi di lereng-lereng bukit sekitar Mekah apabila Abrahah dan angkatan tenteranya telah memasuki Mekah dan ingin menghancurkan Kaabah.

Dengan kuasa Allah, Dia telah mengutuskan barisan tentera-Nya iaitu burung-burung Ababil yang membawa batu-batu yang berapi untuk menghadapi pasukan Abrahah. Peristiwa ini diceritakan dengan jelas oleh Allah swt di dalam al Quran.

“Tidakkah Engkau mengetahui Bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka Dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan. Yang melontar mereka Dengan batu-batu dari sejenis tanah Yang dibakar keras. Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.”
(al Fiil: 1-5)

Persoalannya, mengapakah pertolongan daripada Allah swt itu turun terhadap kaum yang pasif dan hanya menyerah diri tanpa persediaan sedikit pun? Jawapannya, begitulah sunnah Allah sebelum kelahiran nabi saw. Pertolongan Allah telah dikurniakan walaupun ke atas kaum yang hanya mengalah dan pasif dengan kekuatan musuh. Sunnatullah ini juga telah berlaku terhadap para nabi yang lain sebelum kelahiran nabi saw seperti kaum nabi Nuh yang dikalahkan dengan bencana banjir besar, kaum nabi Luth yang diterbalikkan bumi, kaum nabi-nabi yang lain yang telah berhadapan dengan kezaliman para penentang.

Kisah “tentera Abrahah” yang berjaya


Kalau kisah di atas begitu sebati dalam kalangan umat Islam dan kita mengetahui bahawa penghujungnya ialah penghinaan buat tentera musuh. Saya datangkan anda kisah yang kedua pula iaitu berkenaan peristiwa besar dalam sejarah umat Islam tetapi jarang dibicarakan oleh kebanyakan pihak. Peristiwa tersebut ialah tragedi berdarah di Tanah Haram pada 8 Zulhijjah 317 hijrah yang telah menyebabkan kekalahan kepada umat Islam pada zaman itu.

Tentera Qaramithah (salah satu mazhab Syiah yang paling biadap dan jahat) telah menyerang Masjidil Haram dan Kaabah selain membunuh umat Islam yang sedang dalam musim mengerjakan ibadat haji di Mekah. Mayat kaum Muslimin berselerakan di sekitar Kaabah. Bahkan angkatan tentera biadap ini juga telah mengeluarkan hajarul aswad dari tempatnya dan merampasnya selama kira-kira 22 tahun dan dalam jangka masa itu juga umat Islam telah bertawaf tanpa hajarul aswad.

Salah seorang tentera yang merampas hajarul aswad telah berdiri dan mengangkatnya ke lagit sambil berkata dengan penuh kekufuran: “Di mana burung-burung Ababil itu? Di mana batu-batu panas yang berasal dari tanah yang dibakar itu? Burung-burung Ababil tak kunjung turun dan batu-batu panas yang berasal dari tanah yang dibakar juga tidak dilemparkan.”

Kisah ini kurang popular dalam kalangan umat Islam sedangkan tragedi hitam itu merupakan antara peristiwa penting dalam kalendar umat Islam sepanjang zaman. Saya menukilkan kisah di atas sebagai respon kepada semua bahawa tiada lagi ‘Ababil’ untuk membantu kita memperjuangkan agama Allah ini kerana sunnatullah telah berubah setelah kedatangan Muhammad saw sebagai rasul akhir zaman.

Di manakah engkau hai Ababil?

Sewaktu Kerajaan Abbasiyyah di Baghdad telah diserang oleh tentera Monggol pada 1258, umat Islam telah dijatuhkan dengan penuh penghinaan dan maruah mereka telah dinodai meskipun Kerajaan Abbasiyyah merupakan pemimpin umat yang sangat digeruni sebelum itu. Tetapi, Ababil tetap tidak kunjung tiba, tiada lagi batu-batu panas untuk dilemparkan kepada musuh-musuh Allah. Ratusan ribu umat Islam telah dibunuh oleh tentera Monggol yang dipimpin Hulagu Khan.

Sebelum itu, sekitar 1096-1099 telah berlaku perang salib yang telah menyebabkan kekalahan menimpa umat Islam. Baitulmaqdis yang terdapat di dalamnya Masjidil Aqsa telah dirampas oleh pengganas Kristian. Umat Islam telah disembelih dan dihina sekalipun mereka merupakan umat pilihan (khaira ummah) mengatasi umat-umat yang lain. Namun begitu, status khaira ummah tidak menjadi syarat kepada umat Islam untuk dikirimkan Ababil supaya membantu perjuangan mereka menentang musuh. Umat Islam tetap tewas.

Pada 2 Januari 1492 pula, kubu terakhir umat Islam di Sepanyol iaitu Kerajaan Islam Granada telah diserahkan secara rasmi daripada Raja Abu Abdillah Muhammad 2 (pemerintah terakhir kerajaan Granada) kepada Raja Fernando dan Ratu Isabella yang mewakili kerajaan Kristian. Raja Abu Abdillah yang korupsi dan khianat telah membeli kemewahan dunia dan menyebabkan umat Islam pada waktu itu dihalau dari bumi Sepanyol selain menerima seksaan yang sangat dahsyat. Sebelum itu, beberapa wilayah Islam yang lain di bumi Sepanyol seperti Malaga, Cordoba dan Sevillia telah dirampas oleh tentera Kristian. sekali lagi timbul persoalan, di manakah Ababil yang pernah menjadi tentera Allah satu ketika dahulu?

Mengapa Ababil tidak turun mencabar keegoan tentera Portugis yang menawan Kesultanan Islam Melaka pada 1511? Begitu juga dengan tempat-tempat lain di mana umat Islam telah dizalimi sekejam-kejamnya. Di manakah engkau hai Ababil?

Menanti turunnya Ababil

Firman Allah swt dalam surah Muhammad, ayat 7:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Umat Islam wajib memahami dan menyedari bahawa mereka tidak lagi berada pada zaman Abrahah. Kita bukan lagi berada pada zaman kaum yang pasif dan hilang keyakinan diri mendapat nusrah (pertolongan) daripada Allah. Sebaliknya inilah zaman yang hanya mengkehendaki mereka yang mempunyai keimanan yang teguh, berjiwa besar, tidak berputus asa, kuat berusaha dan seterusnya bertawakal memohon pertolongan daripada Allah. Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, nescaya “sang Ababil” akan bersama-sama kita membantu agama Allah ini.

Inilah yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw, para sahabat dan pejuang-pejuang Islam yang terdahulu, lantas menyebabkan “Ababil” turun memenangkan mereka.

Dalam peperangan Badar di mana tentera Islam yang hanya berjumlah 313 dan tanpa alatan perang yang lengkap telah bertempur dengan tentera musuh yang bersenjata lengkap. Mereka tidak takut ataupun bersembunyi di rumah-rumah, sebaliknya mereka telah tampil berhadapan dengan tentera musuh dan akhirnya mendapat kemenangan. Antara tindakan yang diambil tentera Islam sebelum dibantu “Ababil” ialah memilih tempat yang strategik sebagai kubu, keberanian yang luar biasa, membawa senjata perang (walaupun tidak lengkap) dan doa kepada Allah. Mereka tidak sekadar berdoa tanpa sebarang usaha yang lain.

Begitu juga dalam peperangan Ahzab di mana Rasulullah saw telah memilih strategi yang terbaik (membuat parit), sanggup berlapar ketika proses meenggali parit, melakukan upacara baiah dan sumpah setia, kesatuan umat Islam,memiliki perisik yang hebat dan keazaman untuk menang selain berdoa kepada Allah al Aziz. Lantas umat Islam telah mendapat kemenangan dan pertolongan daripada Allah walaupun pakatan kuffar yang berjumlah 10000 orang berganda daripada jumlah tentera Islam sebanyak 3000 orang.

Faktor usaha yang berterusan, strategi yang mantap, kesatuan umat, keazaman yang tinggi dan pengharapan hanya kepada Allah juga merupakan sebab musabab yang membawa kepada kemenangan Islam dalam peperangan dan pertempuran yang lain. “Ababil” turun menunaikan tanggungjawabnya sebagaimana firman Allah dalam surah Muhammad, ayat ketujuh sebentar tadi. Perang Mu’tah, Yarmouk, Ain jalut (1260), Zallaqah (1086), Alarcos (1195), pembukaan Kota Baitulmaqdis (1187), Pembukaan Kota Konstatinopel (1453) dan lain-lain telah mencatatkan tinta emas untuk umat Islam walaupun tentera musuh kelihatan lebih bersedia dengan pelbagai senjata dan bilangan tentera yang berlipat kali ganda.

Hal ini bertepatan dengan kata-kata daripada Ibnu Khaldun dalam kitab Muqaddimah:

“Apabila cukup ramuan untuk sesuatu bangsa itu bangun, tiada sesiapa yang dapat menghalangnya.”

Berdasarkan penulisan di atas, kita pasti memahami dan menginsafi mengenai tanggungjawab dam tugas yang kita wajib laksanakan sebelum mendambakan pertolongan Allah. Ada syarat dan tindakan yang mesti dilakukan sebelum “Ababil” turun bersama-sama kita memperjuangkan Islam. Sikap pasif, mudah berputus asa, bermalas-malasan, inferiority complex, perpecahan dan tidak mentaati syariat Allah merupakan antara tembok yang menghalang kita daripada mendapat pertolongan daripada Allah. Sebaliknya, kita mesti menyediakan ‘umpan dan makanan’ yang digemari ‘Ababil’ supaya pakatan antara kita dan tentera Allah yang lain akan meletakkan Islam di tempat yang tertinggi sebagaimana yang layak. Yang pasti, kita wajib berubah!

3 comments:

hasanhusaini 9 March 2010 at 05:28  

Setekah beberapa bulan, mungkin inilah posting yang paling ringan dari Us Marwan...:-)

Marwan Bukhari 10 March 2010 at 00:24  

posting ringan mungkin sebab dah lama 'terperap' dlm imtihan.. :)

gerimis di lautan 23 June 2010 at 12:29  

kenapa perlu menanti turunnye ababil???... orang2 yahudi telah ade burung2 besi(jet pejuang) yg membawa batu2( peluru berpandu) untuk meyerang umat islam... adakah mereka mencipta jet pejuang ini setalah mendapat idea daripada kisah Ababil yg dicerutakan dalam Al Quaran???

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP