Tuesday, 27 April 2010

Berhentilah Menangis Di Kuburan itu

Kuburan itu sudah terlalu berusia
Berabad-abad, berkurun-kurun umurnya
Kuburan itu tetap di situ
Hujan atau panas, taufan atau banjir langsung tidak memberi kesan
Kuburan itu tegar di situ
Ditangisi ramai manusia
Dari pelbagai bangsa, berkongsi satu agama
Kuburan itu menyimpan kisah suka dan duka
Menjadi muzium zaman gilang dan kelam
Dihuni panglima perkasa dan pengkhianat berdosa
Kuburan itu menyimpan segala-galanya

Berhentilah menangis di kuburan itu hai umat bijaksana
Kuburan itu tetap begitu
Ia bukannya keramat, hanya merakam variasi hikmat
Rakaman dulu-dulu, kini menjadi tatapan suka dalam ratapan duka
Kuburan itu sudah dipenuhi lalang-lalang
Pepohon kecil juga menjajahi kuburan usang itu
Walau kuburan itu simbol zaman Islam terjulang
Ia tetap di situ
Usah menangis lagi

Tiada gunanya kamu teresak-esak di tepian kuburan itu
Ratapan kamu hanya ditertawakan mereka
Tangisan kamu dipandang sinis oleh dunia
Kini bukan masanya kamu berkabung di situ
Kerna kuburan itu tidak menjanjikan apa-apa
Sebaliknya kamu yang mesti bangkit berganda-ganda
Membina diri supaya perkasa
Mencipta gelombang untuk menuntut bela
Barulah ruh kuburan itu akan kembali bernyawa
Itu tugas kamu hai umat yang dianiaya
Bukan tugas mereka, bukan kerja dia

Berhentilah menangis di kuburan itu
Bangunlah, aku merayu sepenuh jiwa!

MarBu,
17:49
26/4/2010 (Isnin)

Read more...

Thursday, 22 April 2010

Mencabar Kerajaan atau Mencabar Diri?

Salah satu strategi terbaik dalam berpolitik ialah dengan menyatakan secara tegas beberapa kelemahan dan keburukan pihak lawan. Kelemahan dan sifat buruk yang dimiliki oleh sesebuah parti atau kumpulan akan didedahkan kepada rakyat, bertujuan membuka minda rakyat supaya berfikir dan seterusnya diharapkan rakyat akan memberi sokongan kepada pihak yang mengaku berada di pihak benar. Strategi ini dilaksanakan oleh hampir semua badan politik dalam dunia ini termasuklah di Malaysia.
Mencabar perubahan kerajaaan

Pihak yang memperjuangkan kebenaran, keadilan dan kebajikan rakyat sering mengkritik pihak kerajaan yang melakukan kezaliman dan kemungkaran. Andai kata ada apa-apa cadangan daripada pihak kerajaan, maka cadangan itu akan diperhatikan dari sudut negative kerana berdasarkan pengalaman kebiasaannya pihak kerajaan mempunyai agenda yang tersembunyi dan berkepentingan berbanding mahu memberi bakti kepada rakyat. Lalu pihak yang benar akan terus membangkang. Sebagai contoh ialah isu GST yang dicadangkan oleh pihak Kerajaan Malaysia baru-baru ini. Walaupun cadangan pelaksanaan GST itu mempunyai hujah-hujah yang tertentu tetapi tetap dibangkang oleh pihak Pakatan Rakyat (PR) khasnya disebabkan khuatir akan mendatangkan inflasi dan menyusahkan rakyat selain hanya menguntungkan ‘orang-orang’ tertentu.

Di negara-negara seperti Pakistan, Indonesia, Mesir, Thailand dan beberapa buah lagi termasuklah negara Malaysia akan kelihatan rakyat di negara-negara tersebut mengadakan perhimpunan sama ada dalam bentuk rapat umum ataupun berdemonstrasi. Mereka mendesak perubahan daripada pihak kerajaan. Sama ada kerajaan yang berundur dan diganti oleh badan politik yang lain, ataupun pihak kerajaan sendiri yang didesak supaya berubah demi kebaikan negara dan rakyat. Kebiasaannya tuntutan yang sentiasa dimainkan ialah isu ekonomi, pendidikan dan keadilan. Yang pasti, desakan supaya kerajaan berubah sering kedengaran di banyak tempat.

Di tanah air kita, kedapatan beberapa siri rapat umum dan demonstrasi yang pernah menggemparkan negara iaitu demonstrasi pada 1998 yang menuntut keadilan ke atas penindasan yang dikenakan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu. Begitu juga dengan demontrasi menuntut pilihanraya yang lebih bersih dan adil, demonstrasi membantah PPSMI, demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa lagi. Saya menyebut peristiwa-peristiwa di atas sebagai bukti bahawa desakan supaya kerajaan berubah dan lebih adil sering kedengaran dan dijerit tanpa henti.

Mencabar perubahan diri

Saya melihat, sesetengah pemimpin hanya mengajak dan mendoktrin ahlinya untuk menuntut perubahan daripada pihak kerajaan tetapi sangat menyedihkan apabila jarang kedengaran seruan daripada pihak atasan parti tersebut supaya ahli berubah sebelum menuntut perubahan. Kalaupun ada, tidak banyak yang bertindak sedemikian. Hanyalah beberapa ustaz dan ulama yang tidak popular sering menasihati anak buah masing-masing supaya melakukan perubahan pada diri dengan tuntas. Adapun tokoh-tokoh politik yang lain nampaknya sangat miskin dalam memandang hal-hal sebegini.

Di mana nasihat kepada ahli supaya memperbanyak doa, membaiki akhlak diri, memelihara kualiti ibadat, beradab dalam berorganisasi dan banyak lagi? Takkanlah hanya nasihat supaya tingkatkan gerak kerja, jangan takuti musuh atau lawan tetap lawan? Kenapakah nasihat syariatullah kelihatan di tepi-tepi sahaja berbanding nasihat sunnatullah yang sentiasa kedengaran?

Kata bijak pandai: “Jika kamu mahu membuat perubahan yang besar, maka mulakanlah dari dalam diri kamu..” Mendesak kerajaan supaya berubah itu adalah sesuatu yang sangat besar, apatah lagi apabila kita sendiri yang berjuang untuk melakukan perubahan, sudah tentu matlamat itu sangat besar. Namun demikian, sangat menyedihkan sekiranya kita terlupa untuk mengubah diri kita sendiri sama ada dari sudut ibadat, akhlak, disiplin dan sikap.

Tidak hairanlah wujudnya petugas pilihanraya yang subuhnya ketika matahari sudah naik, penceramahnya mencaci maki pihak lawan tanpa haq (mengumpat yang dibenarkan Islam) dan suasana adu domba di mana-mana sahaja ketika musim pilihanraya. Dalam skala yang lebih besar, wujudnya budaya buruk lompat parti dan menerima rasuah. Semua contoh di atas gara-gara tidak memberi penekanan untuk perubahan dari dalam diri sebaliknya hanya memekik supaya kerajaan berubah.

Kata-kata Hasan Hudaibi

“Dirikanlah daulah Islamiah dalam diri kamu, nescaya akan terdiri di bumi kamu.”

Mendirikan daulah Islamiah dalam diri bermaksud mendirikan ‘kerajaan hati’ yang tidak dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan. Hati yang menjadi raja akan dinasihati oleh akal sebelum melakukan sesuatu perkara. Apabila hati sudah’ beriman’, maka seluruh anggota yang lain akan turut ‘beriman’ sama ada tangan, kaki, mata, telinga dan lidah. Sebagaimana Parameswara yang beriman kepada Allah dan menjadi Muslim sewaktu memerintah Melaka, maka seluruh bangsawan dan rakyatnya memeluk Islam.

Akan tetapi, seringkali kita mahu perubahan yang terlalu besar sampaikan terlupa untuk mengubah diri sendiri. Kita terpesona untuk menegakkan kembali Khilafah Islamiah sehingga terlupa untuk menjadi individu Muslim yang soleh, berkaliber dan progresif. Akhirnya, semua menjadi tidak cukup sifat termasuklah rumahtangga, masyarakat dan jemaah yang disertai tidak lagi seumpama ‘bunyanun marshush’ disebabkan kegagalan menyeimbangkan antara dua mujahadah. Mujahadah untuk daulah dan mujahadah untuk diri sendiri.

Sebelum Sultan Salahuddin al Ayyubi menawan Jerusalem pada 1187, beliau membersihkan dahulu akidah umat Islam daripada Syiah kepada Sunni. Antaranya ialah dengan membersihkan institusi pendidikan al Azhar di Mesir yang sebelum beliau memerintah Mesir, Mesir diperintah oleh golongan Syiah. Beliau bersabar sebelum melakukan perubahan iaitu dengan mengutamakan perubahan terhadap umat Islam terlebih dahulu. Tidak ketinggalan Sultan Muhammad al Fatih yang berusaha sedaya mungkin untuk memiliki sebaik tentera dan beliau sendiri melazimi diri dengan muhasabah dan tazkiyatunnafsi. Beliau tidak mahu melakukan perubahan di bumi Konstatinopel secara terburu-buru.

Renungan

Sekiranya kita gemar melakukan dosa (yakni hati tiada gundah), solat berjemaah yang tidak diambil endah, lebih memandang kesalahan dan keburukan lawan berbanding menginsafi keburukan diri, beribadat dalam keadaan malas, banyak sembang yang bukan-bukan. Ketahuilah, itu antara sifat-sifat seorang munafiq. Walhal, kita sedang berjuang menentang kemungkaran pihak munafiq. Para pejuang dulu-dulu, beriman dan berjuang lantas kemenangan di pihak mereka. Adapun kita, menentang puak munafiq dalam keadaan diri kita bersifat munafiq, patutlah masih belum menang. Salam perubahan pada diri!

Read more...

Friday, 9 April 2010

Saya Huffaz progresif!

Tulisan ini bertujuan memberi respon terhadap beberapa pandangan sinikal daripada pihak-pihak tertentu terhadap pelajar yang membuat pengkhususan dalam bidang agama. Saya tidak menulis artikel ini untuk sekadar menyebut-nyebut kebaikan diri. Selamat membaca dan membuat kritikan.

_____________________________________________________________________________________

Saya merupakan seorang penuntut di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala Kubu Bharu yang terletak di Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan. Sejak di alam sekolah menengah, terutamanya ketika di tingkatan lima, saya berminat untuk menyambung dalam bidang Syariah dan akhirnya saya melakukannya di Darul Quran iaitu dengan melanjutkan pengajian dalam bidang Tahfiz dan Syariah. Saya tidak segan untuk mengaku bahawa saya merupakan salah seorang pelajar di sini walaupun Darul Quran mungkin tidak semasyhur institut pengajian lain di bumi Malaysia. Malahan ada yang sinikal terhadap pelajar dalam bidang agama, tapi saya tidak tergugat untuk terus melangkah sebagai seorang pelajar tahfiz yang progresif.

Ya, saya seorang huffaz yang progresif dan bukannya sebagaimana yang dilabelkan oleh segelintir manusia penghidap inferiority complex bahawa pelajar dalam bidang agama kebiasaannya agak tertutup mindanya, tidak peka isu-isu semasa dan tidak mempunyai masa depan untuk bersama-sama massa dalam mengharungi kehidupan pada era yang sangat moden ini. Maaf, saya tidak sebagaimana sangkaan nakal yang bersarang dalam kepala mereka. Bahkan, saya sangat benci dengan mentality berkudis dan berkurap yang sesetengah mereka miliki.

Saya mempelajari ilmu-ilmu agama dan dalam masa yang sama saya sangat berminat mengikuti perkembangan dalam bidang yang menjadi teras kepada pemasalahan yang sedang wujud pada hari ini seperti isu-isu pendidikan dan pemikiran. Status saya sebagai penghafal al Quran amat menguntungkan apabila banyak isu-isu yang sedang mengaum pada hari ini sudah dijelaskan dengan baik dalam al Quran dan saya tidak menghadapi banyak kesukaran dalam memahami isu-isu tersebut dari kaca mata seorang mukmin. Kadang-kadang, saya membuka tafsir Syed Qutb, Said Hawa, Abuya Hamka dan beberapa kitab tafsir yang ditulis oleh para ulama yang lain dalam mencari hujah dan dalil untuk sesuatu isu.

Namun demikian, saya juga cuba memahami pandangan-pandangan para sarjana yang terkenal sama ada daripada Islam ataupun Barat. Sebagai contoh, saya cuba memahami idea daripada Francis Fukuyama (penulis The End of History) yang sangat kuat khayalannya dengan keutuhan system demokrasi secular liberal, Samuel Huntington (penulis The Clash of Civilization) yang mana bukunya menjadi rujukan para pembuat dasar Amerika terhadap dunia Islam khususnya, John Hick dengan falsafah pluralismenya yang menjadi pegangan kebanyakan penganut fahaman Islam liberal dan pluralisme agama. Ada lagi nama-nama sarjana Barat yang saya tidak nyatakan di sini tetapi menjadi pemerhatian saya dalam membuat kajian terhadap sesuatu isu. Adapun para sarjana Islam seperti Muhammad al Ghazali yang sangat genius, al Qaradhawi dan sebagainya, sudah tentu menjadi pilihan utama saya.

Saya teringat sewaktu berdiskusi bersama seorang pimpinan Persatuan Ulama Malaysia dan aktivis Sahabat Alam Malaysia (SAM), beliau menyuarakan nada terkejut apabila mengetahui saya merupakan seorang penghafal kitab Allah dari Darul Quran. Beliau agak terkejut kerana mendengar saya berbicara mengenai libertarianisme, kapitalisme dan perihal hegemoni dalam diskusi tersebut. Kenapa mesti terkejut, adakah beliau juga menyimpan pandangan serong terhadap manusia yang mempelajari agama seperti saya dan rakan-rakan? Jangan begitu, tapi pandang seronglah terhadap segelintir manusia yang nampak hebat hanya pada luaran tetapi menghidap krisis identity yang teruk, hanya membaca bahan bacaan yang picisan dan hidupnya untuk berhibur sahaja.

Saya juga sangat berminat dan cakna dengan isu-isu tentang alam sekitar. Isu yang sepatutnya dijuarai oleh umat Islam ini seolah-olah menjadi terasing dari kalangan umat, termasuk oleh pihak yang mendakwa mereka lebih ‘mulia dan maju’ daripada kami, para penghafal al Quran. Setelah membaca buku karangan MS Anuar Mahmod (Pegawai Senior Sahabat Alam Malaysia/ Penyelidik persatuan Pengguna Pulau Pinang) yang bertajuk ‘Suara-suara Terpendam’, saya yang ‘mundur’ ini menghubungi Cikgu Azmi (Pengerusi Teras) dan menyatakan minat untuk berpartisipasi dalam isu ini dan Cikgu Azmi memberi nombor Saudara Nizam untuk dihubungi sebagai langkah untuk menganggotai Sahabat Alam Malaysia demi memperjuangkan isu alam sekitar yang sememangnya sangat jarang diperjuangkan oleh para pendakwah dan pejuang Islam kita. Saya tidak tahu mengapa.

Saya agak kurang senang apabila ada seorang dua penceramah yang datang menyampaikan syarahan beliau kepada pelajar di Darul Quran seolah-olah memandang sinis terhadap kami. Terutama dalam isu bahasa Inggeris dan kepekaan kami terhadap isu-isu semasa. Barangkali, beliau menganggap bahasa Inggeris terlalu asing dengan kami dan kami pula hanya memberi tumpuan terhadap al Quran dan tidak menghiraukan isu-isu semasa. Sungguh naïf pandangannya, padahal semua menyedari bahawa sekarang merupakan zaman teknologi dan mustahil kami yang sedang berada di sebuah negeri paling maju di Malaysia tidak menyedari arus kemodenan yang sedang pesat berlaku.

Nampaknya, saya ada bukti yang saya ni merupakan seorang huffaz progresif, bukannya jumud dan terkebelakang sebagaimana yang difikirkan mereka. Dengan izin Allah, baru-baru ini secara rasminya saya terlibat secara langsung dalam mengkaji dan mengkritik system pendidikan di Malaysia ini apabila saya telah menjadi salah seorang penggerak kepada Institut Pemikiran dan Pendidikan Islam Nasional (IPPIN) bersama-sama sahabat-sahabat yang lain. Untuk pengetahuan anda, bukan mudah untuk pihak kami mencari jiwa-jiwa yang peka dengan isu teras ini, walaupun dari sebuah institusi pendidikan yang tampak gah. Pada mulanya, saya menolak tawaran jawatan daripada IPPIN, tapi akhirnya saya akur dan menerima dengan rela hati meskipun saya pasti akan bertambah dari sudut gerak kerja dan hal berkaitan.

Dalam keghairahan saya meraikan semangat muda dan keazaman terhadap keilmuan, saya tidak lupa untuk menekuni ilmu-ilmu wajib kepada seorang Muslim seperti ilmu akidah, syariah dan akhlak. Status diri sebagai seorang ahli gerakan Islam juga menyebabkan saya tidak mengetepikan manhaj tarbiah harakiah dan perjuangan Islam dan meneruskan langkah. Saya memohon kepada Allah supaya dipelihara daripada sebarang kejahatan, maksiat dan penyakit hati dan berupaya memartabatkan Islam di tempat yang selayaknya.

Saya membuat tulisan ini bertujuan untuk memberi respon terhadap kekacauan pemikiran sesetengah pihak yang memandang skeptical dan sinikal terhadap pelajar-pelajar agama. Sebelum terlupa, kepada adik-adik yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama termasuk tawaran dari Darul Quran, jangan ragu-ragu untuk menerimanya. Tugas anda untuk membersihkan pandangan manusia lain terhadap institusi ini, mereka yang di luar hanya pandai memandang lekeh sahaja kepada para pelajar agama. Dengan penuh tawadhuk dan merendah diri, saya Marwan Bukhari insyaAllah merupakan seorang huffaz progresif! Begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain.

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP